Tuesday, October 4, 2011

Sekat Alunan Merdunya Suara - Bhgn 1


Atikah sudah bersiap-siap. Gincu berwarna merah muda dicalitkan di bibirnya yang mulus itu. Dia merenung sekilas ke arah cermin yang berada di sisinya. Dia tersenyum puas. Puas kerana penampilannya pada hari itu sudah cukup sempurna pada pandangannya. Rambut yang telah siap didandan di salon pagi tadi dibetulkan sedikit. Parasnya yang sudah sememangnya cantik itu semakin berseri apabila dia menggayakan baju kebaya moden yang baru saja ditempahnya beberapa hari yang lalu.
Hari ini, dia akan menghadiri majlis perkahwinan kakaknya di kampung. Lagu nyanyian Saloma yang berkumandang di radio segera menarik perhatiannya. Dia turut menyanyi mengikut rentak lagu tersebut. Atikah memang suka menyanyi. Sebut saja nama Atikah di kampung, pasti suaranya yang merdu dan menawan itu akan terngiang-ngiang di telinga para teruna yang telah terdengar akan suara itu. Suara yang mendapat sambutan hangat setiap kali ia "dijual". Tidak ubah seperti pisang goreng yang dijual di gerai-gerai di tepi jalan. Begitulah "lakunya" suara Atikah yang turut menjadi igauan gadis-gadis sebayanya di kampung.
*******************************************************************
Kehadiran Atikah segera menarik perhatian setiap mata yang tadinya tertumpu kepada bakal"raja sehari". Atikah tampak lebih cantik daripadanya kakaknya sendiri. Tempat pengantin perempuan pada hari itu sudah selayaknya dia gantikan sahaja. Dia begitu cantik. Ditambah pula dengan suaranya yang memikat kalbu. Tidak ubah bagai bidadari yang turun dari kayangan. Begitu mempesonakan.
Perhatian kini tertumpu sepenuhnya kepada gadis Melayu yang sedang mengalunkan lagu"Selamat Pengantin Baru" di atas pentas yang telah dihias gah itu. Suaranya dialunkan sesuai lenggokan badan yang membutakan setiap mata yang memandang. Ramai pemuda kampung sudah hampir hilang "sabar" apabila terlihat akan susuk yang dilenggang-lenggokkan sesuai mengikut rentak lagu.
Atikah merasa puas apabila tepukan gemuruh diberikan selesai saja dia menyanyikan lagu tersebut. Kalau diikutkan hati, ingin saja dia menyanyi sepanjang tempoh majlis itu berlangsung. Namun, dia tidak mungkin semudah-mudahnya "menjual" suaranya dengan harga semurah itu. Dia ingin penduduk kampung sendiri yang mencarinya. Dia ingin mereka mabuk rindu kerana terlalu ingin mendengar suaranya. Begitulah "mahalnya" suara Atikah.
*******************************************************************
Sejak dari kecil lagi, Atikah dan kakaknya hidup sebatang kara. Pemergian ibu serta ayah tercinta telah menjadikan hidup mereka berdua bagai rumput di tepi jalan. Pada ketika itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup membantu mereka berdua. Hidup melarat dan merempat sehinggalah pada suatu hari apabila Atikah mula menyanyi di kelab-kelab dangdut bagi menanggung hidupnya serta kakak tercinta. Sejak dari hari itu, nama Atikah mula dikenali ramai. Bukan senang untuk mencari seorang penyanyi yang cukup "pakej". Bak kata orang kampung " Rupa ada, suara pun ada. Two in one. Memang sempurnalah!"
Tetapi, segala-galanya berubah apabila Atikah berpindah ke bandar. Baginya, hidup di kampung terlalu merugikan. Orang yang cantik dan berbakat sepertinya tidak patut disimpan saja di kampung itu. Oleh itu, dia berpindah ke bandar untuk mencuba nasibnya di sana. Mencari kerja di bandar agak sukar kerana bukan seorang sahaja gadis cantik yang mempunyai suara sepertinya.
Di bandar, ada ramai perempuan sepertinya. Malah, lebih cantik dan lebih berbakat daripadanya. Oleh itu, Atikah sudah cukup berpuas hati andai ada hotel-hotel yang sanggup memanggilnya untuk menyanyi pada malam-malam yang istimewa. Tidak kurang juga kelab-kelab ekslusif yang ingin mengupah Atikah. Upah yang dia dapat daripada "menjual suaranya"di tempat-tempat seperti itu sudah cukup untuk membuatkan dia hidup bagai permaisuri di bandar.
*******************************************************************
Duduk seminggu di kampung sudah cukup untuk membuatkan Atikah berasa lemas. Lemas dengan suasana kampung yang serba kekurangan. Lemas dengan pemuda-pemuda di kampung yang asyik mengganggunya. Lemas dengan keadaan rumah kakaknya yang panas dan sempit. Dia ingin segera pulang, namun tidak pula dia sanggup meninggalkan kakaknya seorang diri menghadapi hari-hari awalnya sebagai isteri orang. Biarlah dia mengalah dengan egonya dan duduk di kampung untuk seminggu lagi.

No comments:

Post a Comment