Tuesday, March 20, 2012

Dia Pemuda Yang Paling Bersemangat!

Dai'e ibarat tiram di laut. Dihiris pepasir tercalarlah ia. Sungguhpun terluka tetapi dipendam. Sungguhpun pedih tapi tetap disimpan. Namun akhirnya dibalas mutiara berharga. Perjuangan Islam bukannya ada pilihan tetapi satu amanah Allah.Menuntut seribu pengorbanan bagi sesiapa yang dihatinya terselit iman dan Taqwa dan sedar dirinya bertuhankan Allah.
Mengambil ibrah sirah. Betapa kegilaan pemuda bertubuh Mus'ab Umair menjadi contoh para dai'e dalam meneruskan agenda menegakkan syiar islam di bumi Allah.
Bagaimana semangat pejuangnya mengajak manusia berusrah?Bagaimana pengorbanannya tanpa mengira masa, tenaga dan wang yang dilaburkan?Bagaimana istiqamahnya di jalan dakwah?
Setelah lama islam bergerak. Gerakan menyebarkan islam  makin berkembang. Kiita dahulunya hanyalah satu entiti kecil. Kemudian perlahan-lahan kita membesar, kita berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Bila kita membesar dan terus membesar, kadang-kadang kita jadi cair, kuantiti mengurangkan kualiti, kualiti tenggelam di sebalik timbunan kuantiti. Bahkan kadang-kadang kita hilang jati diri kerana kualiti yang semakin mencair.
Para daie perlu muhasabah.
 Tidak ada salahnya membesar, tetapi yang paling penting ialah kita mesti memfokuskan destinasi dan hala tuju kita. Lebarkan sayap, tetapi kita mesti fokus pada halatuju yang satu.
Apakah hala tuju kita?
Halatuju kita ialah Mardhatillah.
Firman Allah di dalam surah Al Bayyinah ayat 7 hingga 8 : "Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah Syurga A'dn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah balasan bagi orang yang takut kepada Tuhannya."
Firman Allah lagi di dalam surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30 : "Wahai jiwa yang tenang!. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku. Dan masuklah ke dalam syurgaKu."
Saban hari pula kita berdoa, "Rabbana atina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, waqina azabannar".
Bukankah keredaan Allah yang kita cari?
Namun mardhatillah itu sangat luas, maka kita selaku orang-orang yang Allah beri kelebihan melalui ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi, kita kecilkanlah skop mardhatillah itu bersesuaian dengan kemahiran yang kita ada.

Maka objektif kita tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengumpul dan mengajak manusia seramai yang mungkin agar bertaqwa kepada Allah. Dan kita menggunakan kemahiran ilmu untuk menyeru manusia takutkan Allah, mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan-Nya.
Di dalam jangka masa pendek ini para dai'e perlu mengembalikan semula kualiti yang sedang cair. Yang mana puncanya adalah kerana semakin dinginnya proses Tarbiyyah. Untuk itu kita perlu menghangatkan kembali kedinginan tarbiyyah.
Antara langkah yang perlu dititikberatkan dengan menghidupkan usrah bulanan di kalangan dai'e mahupun secara online.Dengan itu mudah-mudahan proses tarbiyyah ini dapat membantu merungkai kecairan yang menimpa kita selama ini.
Renungilah.
Untuk sebuah kapal berjaya meredah lautan yang luas, ianya memerlukan kerjasama sepenuhnya di antara anak-anak kapal dan nakhodanya. Kita perlu kepada kesatuan yang kukuh, bahu-membahu, bertolong-bantu dengan ikhlas. Arahan perlu diberi dengan ketaqwaan dan didengar dengan ketaqwaan. Hendaklah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dan hidup berpandukan alQuran dan sunah Nabi Muhammad SAW.
Hangatkan kembali kedinginan tarbiyyah.

No comments:

Post a Comment