Tuesday, March 6, 2012

Ratu Hidupmu

...berkat doa ibulah, boleh membantu mengukuhkan kesejahteraan rumahtangga? Sedarkah anda bahawa dengan berkat doa ibu, suasana keluarga yang porak peranda boleh kembali ceria dan aman damai..
"Dah telefon emak hari ini?"
Demikianlah setiap pagi soalan yang terpacul dari mulut suami saya.
"Maklumlah, Abang dah tak ada emak. Abang tumpanglah emak orang lain," begitulah lazimnya dia berseloroh.
Inilah amanah yang sentiasa diperingatkan oleh suami saya. Selagi ibu saya masih hidup, saya diwajibkan menelefon ibu sekurang-kurangnya sekali sehari!
Setiap kali telefon berdering, belum tentu dapat bercakap dengan ibu. Keadaan kesihatan yang semakin uzur ditambah dengan pelbagai ubat yang perlu diambil setiap hari kerana pembedahan "open heart surgery" beberapa tahun lalu membuatkan ibu lemah, cepat letih dan sering tidur di waktu siang. Pernah saya gagal bercakap dengannya selama beberapa hari kerana setiap kali ditelefon, kebetulan dia masih di pembaringan. Jika ini berlaku, dia akan merajuk dan mulalah mengatakan yang saya tidak lagi menyayanginya.
Serba Tidak Kena
Anda yang masih ada ibu yang sudah lanjut usianya dan semakin uzur, pernahkah terasa tercabar dan hampir hilang sabar dengan karenahnya? Jika tinggal di rumah anda, mungkin ada sahaja yang tidak kena padanya. Lauk terlalu masin atau tidak cukup garam.  Atau katil yang kurang empok. Atau nasi terlalu keras. Atau mungkin ibu anda kurang "table manners" dan suka cedok makanan dengan jari sendiri, tidak menggunakan sudu seperti yang dilakukan oleh orang moden?
Ada juga ibu yang semakin uzur, semakin lemah ingatannya, langsung tidak pandai mengurus diri. Buang air kecil dan besar merata di sana sini. Tak ubah seperti anak kecil. Malah untuk sesetengah pasangan, keadaan ini menimbulkan ketegangan antara suami-isteri. Jika yang uzur dan nyanyuk adalah emak si suami, timbul rasa malu kepada si isteri. Begitu juga sebaliknya. Sehinggakan sanggup menghantar ibu ke rumah orang tua-tua demi kesejahteraan rumahtangga.
Kasih Ibu Membawa Ke Syurga
Bila melayani karenah ibu, ada ketika terasa benar diri ini diuji. Namun sebelum sempat mengeluh, teringat pula kisah seorang lelaki yang amat dikasihi Nabi S.A.W. bernama Owais Al Qarni yang hidup suatu ketika di Yaman.
Istimewanya Owais Al Qarni ini, dia ditimpa penyakit sopak (kulitnya putih di sana sini). Ayah Owais Al Qarni meninggal dunia sewaktu dia kecil. Owais bukanlah seorang yang terkenal di kalangan masyarakat setempat. Malah, waktunya dihabiskan demi beribadat dan menjaga ibunya yang uzur dan lumpuh.
Suatu hari ibu Owais terlalu ingin menunaikan ibadat Haji ke Mekah. Dia merayu agar Owais membawanya ke sana. Owais bukanlah seorang yang kaya. Namun dia tidak putus akal. Dibelinya seekor anak lembu dan dibuatkannya sebuah pondok di atas bukit di mana lembu ini diletakkan. Setiap hari, Owais akan memikul lembu ini menuruni bukit untuk diberi makan. Kemudian dipikulnya semula mendaki lereng bukit ke pondok yang disediakan.
Selepas beberapa bulan, anak lembu yang dibela Owais bertambah berat badannya. Manakala tubuh Owais pula menjadi tegap sasa, maklumlah hari-hari menggalas lembu yang semakin hari semakin bertambah berat badannya. Dan inilah yang sengaja dirancangkannya. Dengan badan yang sihat dan kuat, Owais berjaya mendukung ibunya merentas Yaman ke Mekah, meredah panas terik gurun yang amat memeritkan sesiapa sahaja, semata-mata untuk menyempurnakan hajat ibunya untuk menunaikan ibadat Haji. Selesai ibadat Haji, didukung ibunya lagi untuk kembali ke Yaman.
Mungkin kisah Owais Al Qarni ini akan tenggelam begitu sahaja dalam lipatan sejarah jika tidak kerana sabda Nabi S.A.W. yang pernah berpesan kepada Umar dan Ali r.a.:
"Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Owais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu."
Mengikut riwayatnya, mulianya Owais Al Qarni ini bukan sahaja kerana ia pemuda soleh dan kuat beribadat, tetapi juga kerana dalam dan ikhlas cintanya kepada ibu kandungnya. Sehinggakan sanggup berbuat apa sahaja demi menggembirakan hati si ibu yang sudah tua. Nah, bukankah ini bukti yang cukup kuat betapa memuliakan ibu dan melayani segala karenahnya sekaligus membuka pintu syurga untuk anda dan saya?

Jadikan Ibu Ratu Hidupmu
Pepatah ada mengatakan "Seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak. Tetapi sepuluh orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu." Namun tahukah anda bahawa berkat doa ibulah, boleh membantu mengukuhkan kesejahteraan rumahtangga? Sedarkah anda bahawa dengan berkat doa ibu, suasana keluarga yang porak peranda boleh kembali ceria dan aman damai?
Hakikatnya, doa ibu boleh merobah perkara yang kurang baik kepada yang elok. Malah, perkara sebaliknya juga boleh berlaku jika anda suka menyakiti hati ibu atau sering tidak mengendahkan ibu. Oleh itu, janganlah sekali-kali disakiti hati ibumu. Jangan sekali-kali meluahkan kata-kata yang boleh mengguris hati ibu. Jauh sekali meninggikan suara pada ibu atau melontarkan pandangan yang kurang menyenangkan padanya.
Anda yang bergelar ilmuwan, jangan dipandang enteng ibu yang tidak faham idea-idea yang anda utarakan. Anda yang bergelar suami, jangan sekali-kali mementingkan isteri sehingga ibu merasa dirinya ibarat kain buruk yang sudah tidak berguna lagi. Anda yang bergelar isteri, mintalah izin dari suami untuk memenuhi keperluan ibu dan melayani apa sahaja yang dicitakannya.
Layanilah ibu laksana dia ratu dalam hidup anda. Jangan sampai tersinggung hatinya seolah-olah dia adalah beban yang tidak diundang dalam hidup anda. Seolah-olah sakit pening dan makan minumnya tiada dalam perkiraan anda.
 Jika selama ini merasa diri mengabaikan ibu, mintalah ampun darinya hari ini juga...
Jika dada terasa sempit dan hidup terasa sulit, berusaha dan berdoalah. Mintalah ibu supaya mendoakan untuk anda! Tidak mustahil sulitnya hidup dan sempitnya dada kerana lebih mementingkan yang lain daripada ibu sekian lama.

Alangkah bertuahnya anda yang masih punya ibu. Alangkah berhemahnya anda yang suka memastikan ibu merasa selesa, walau apa pun karenahnya. Yang arif bahawa selagi ibu masih hidup, itulah peluang keemasan untuk mengambil hatinya, memintanya untuk berdoa demi keberkatan dan kejayaan hidup anda dunia dan akhirat. Sesungguhnya doa seorang ibu InsyaAllah adalah antara doa yang lebih mudah diterima dan dimakbulkan Allah, InsyaAllah. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment