Firman Allah Ta'ala:
Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan yang menjadi penyejuk mata (penyenang hati), dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang bertaqwa."
(Al-Furqan:74)
Apakah yang dimaksudkan dengan qurratu 'ain? Al-Quran diturunkan sebagai satu kitab dan panduan yang jelas, lagi menjelaskan. Ia diturunkan dalam bahasa Arab, dan tiada yang lebih memahami bahasa Al-Quran, melainkan orang Arab, atau mereka yang mahir dalam bahasa Arab.(Al-Furqan:74)
Kalimah qurratu 'ain (penyejuk mata) digunakan oleh bangsa Arab sebelum dan semasa Al-Quran diturunkan, dengan membawa maksud:
1. Sesuatu yang memberi kegembiraan, ketenangan hati dan bahagia
Kita lihat pula perkataan yang berlawanan dengannya, di mana dalam masyarakat Arab dahulu, antara perkataan buruk yang boleh diucapkan oleh seseorang kepada orang yang lain adalah "Semoga mata anda menjadi panas." Apakah yang dimaksudkan dengan 'panas' di sini? Dalam kata lain, ia bermaksud "Semoga anda sentiasa dilanda kesedihan, hidup tertekan, dan diselubungi sengsara."
2. Sesuatu yang melindungi dan memberi kerehatan
Masyarakat Arab dahulu, apabila mengembara dengan menggunakan unta, dan apabila dalam pengembaraannya, ribut pasir melanda, mereka akan menutup seluruh tubuh dan muka mereka dengan kain atau pakaian, melainkan mata mereka. Maka mata terpaksa bertahan, sehingga ribut berhenti atau mereka sampai ke tempat perlindungan. Apabila mereka berjaya mencari tempat berlindung dan istirehat, mereka berkata "Mataku kini menjadi sejuk."
Tentang ayat Al-Quran di atas, antara 'ibrah yang boleh kita ambil:
Pertama, 'ibrah yang tersurat, berdoalah kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan pasangan hidup dan anak yang menjadi penyejuk mata, penyenang hati, penenang jiwa. Semoga pasangan hidup dan anak menjadi sumber kegembiraan, ketenangan, bahagia dan kerehatan.
Kedua, 'ibrah yang tersirat, berusahalah menjadi isteri atau suami yang menjadi penyejuk mata, penyenang hati, penenang jiwa kepada pasangan. Jangan hanya berharap dan berkata "Dia sepatutnya menjadi penyejuk mata buat aku." Usahakan dahulu agar diri menjadi penyejuk mata buat dirinya.
Solat Sebagai Penyejuk Mata
Sabda Rasulullah s.a.w. :
"Dijadikan penyejuk mataku di dalam solat." (Riwayat Ahmad dan An-Nasaai)
Rasulullah s.a.w pada ketika berlaku sesuatu yang menyedihkan atau mendukacitakan, baginda bersabda:"Wahai Bilal! Serulah untuk solat (iqamat) dan rehatkanlah kami dengannya." (Riwayat Abu Daud)
Bagaimana dengan kita? Adakah kita menemui ketenangan dan kerehatan dalam solat? Atau resah dan tergesa-gesa ketika solat, hanya tenang dan gembira selepas habis solat? Sama-sama kita muhasabah, sama-sama berusaha meningkatkan kualiti solat kita.Kualiti solat memberi gambaran tentang hubungan kita sebagai hamba dengan Allah s.w.t. Ya, hubungan dengan Allah. H.D.A = Hubungan Dengan Allah. Hubungan dengan Allah, merangkumi segala bentuk ibadah, khusus dan juga umum.
Hubungan dengan Allah s.w.t. perlu dijaga dan dikukuhkan, barulah mudah untuk kita membina dan memelihara hubungan dengan manusia. Perbaiki hubungan dan urusan dengan Allah Al-Khaliq, insyaAllah mudah untuk kita perbaiki hubungan dengan manusia.
Andai belum kukuh hubungan dengan Allah s.w.t , sukar untuk seseorang itu menjadi penyejuk mata kepada pasangannya, juga sukar untuk seseorang itu memandang dan merasai pasangannya sebagai penyejuk mata, walau sebaik mana pun pasangannya. Sebagai contoh, lihat kepada kisah Fir'aun dan Asiah r.a., juga kisah Nabi Lut a.s. dan isterinya.
Mata yang memandang ke langit yang indah lagi bersih melalui tingkap yang kotor, tidak dapat memandang langit sebagai indah. Hati yang kotor, tidak dapat memandang sesuatu yang baik dan bersih sebagai baik. Apabila hati kita bersih, mudah bagi kita untuk memandang yang baik sebagai baik. Maka, muhasabahlah diri dahulu, jangan terus 'muhasabahkan' pasangan kerana malas muhasabah diri.
Andai solat dan ibadah khusus belum menjadi qurratu 'ain buat kita, kita tidak akan menjadi qurratu 'ain buat pasangan. Suami atau isteri dan anak juga tidak akan menjadi qurratu 'ain buat kita.
Andai hubungan hamba-Tuhan tidak memberi ketenangan kepada diri, hubungan suami-isteri, ibubapa-anak juga tidak akan memberi ketenangan.
Maka bersihkanlah hati kita, cuci hati, tazkiyyah diri. Kukuhkan hubungan dengan Allah s.w.t., nescaya dengan izinNya, dipermudahkan kita menjadi penyejuk mata buat pasangan atau bakal pasangan, juga dipermudahkan kita memandang dan merasai pasangan hidup dan anak sebagai penyejuk mata, penyenang hati, penenang jiwa.
Saya pernah ditanya oleh seorang sahabat "Boleh tak nak tanya pengalaman abang? Macam mana abang tahu yang abang dah sedia untuk kahwin?"
Sebahagian daripada jawapan saya, adalah sepertimana di atas.
Pemilik Cinta
Pemilik cinta kita, yang pertama adalah Allah s.w.t. Cinta insani sesekali tidak boleh mendahului. Cinta insani, tempatnya adalah menuruti cinta hamba kepada Ilahi. Cinta insani, adalah buah kepada cinta hamba kepada Allah s.w.t.
Andai cinta hamba kepada Allah belum berkembang mekar, maka cinta insani tidak akan berkembang mekar. Bajai dan suburkan cinta kepada Allah s.w.t, cinta insani akan lebih mudah mekar, dengan izinNya.
"Kami memohon kepadaMu ya Allah, jadikanlah solat kami sebagai penyejuk mata. Jadikanlah pasangan hidup dan anak kami sebagai penyejuk mata. Dan jadikanlah khidmat kami kepada deenMu sebagai penyejuk mata kami."
No comments:
Post a Comment