Ya, itulah kehidupanku sehari-hari. Hujung minggu, disi dengan kerja sambilan pula, berniaga membantu rakanku di gerainya. Cita-citaku tinggi, hendak menggapai harta yang banyak, supaya hidupku senang di kemudian hari. Bukannya sekarang hidupku susah, entah , memang itu lumrah sikap seorang manusia, sentiasa tamak dan tidak pernah puas. Rutin harianku ini bergerak dari sehari ke sehari, seminggu hingga minggu yang lain, bulan ke bulan yang lain, hingga menginjak ke beberapa tahun.
Inilah dia kisah hidup seorang manusia, saya percaya, jalan ceritanya tidak sama, pasti berbeza, tetapi rutin kehidupan yang tidak pernah berubah dari hari ke hari, pasti sama bagi sebahagian daripada kita. Jadi apa yang membezakan kita dari yang lain?
Persoalan itu yang akan cuba dirungkai dengan melihat konsep disebalik satu perkataan iaitu 'nikmat'. Ya, nikmat, itulah perkataannya. Pernah tidak kita terfikir, bahawa segala yang berlaku dalam kehidupan kita adalah satu nikmat? Pernah tidak kita duduk dan merenung berapa banyak nikmat yang Allah swt telah berikan kepada kita ?
Suatu contoh, sakit yang datang pada seseorang yang tidak pernah solat, lalu, baru pada ketika itu, dia mula mengingati yang maha esa, dan berubah dari jauh, leka kepada menjadi taat kepada Allah swt setelah sembuhnya. Maka, awalnya dianggap satu musibah berubah menjadi satu kebaikan yang tidak terperi nilainya.
Oleh itu, setiap detik yang kita lalui,tidak kira baik atau buruk, perlulah lahir rasa bersyukur dengan sentiasa merendah diri dan berusaha sebaik mungkin untuk taat pada yang Maha Esa. Jangan berputus asa dengan rahmat yang Allah swt berikan dan jangan sesekali menganggap sesuatu keburukan atau kecacatan itu sebagai sesuatu yang tidak sempurna. Pasti dan yakinlah bahawa setiap perkara itu ada hikmah dan kelebihannya yang kita sebagai manusia biasa memang tidak pernah akan mampu untuk berfikir akan kebaikannya.
Jika kita memerhati dan mengkaji nikmat ini kesemuanya, pasti tidak mampu untuk kita berfikir, kerana terlalu banyak nikmat yang Allah swt berikan dalam kehidupan kita sehari-hari. Akhirnya, jalan yang terbaik adalah kembali berserah pada Allah swt, atas segala apa yang berlaku dalam hidup kita, moga-moga kita sentiasa dipimpin oleh Allah swt dalam meniti arus kehidupan di dunia yang sementara ini.
No comments:
Post a Comment