Telusuri hikmah gaya bahasa Ibu Dhiya' dalam meleraikan perbalahan mereka ini (Madam Zeema, Ustazah Qatrun dan Ibu Satri). (Petikan daripada novel Sebarkan Cinta-Mu, terbitan PTS)
"....Bagaimana nasib beribu wanita yang bercita-cita bagi menikah tetapi tiada calon suami?" Ustazah Qatrun melontarkan persoalan.
"Bukan andalusia sahaja ramai, bujang lapuk, lelaki tua dan lelaki duda yang teringin sangat mahu menikah pun ramai. Salah seorangnya adalah Pak Anuar. Sudah lama dia mencari. Golongan ini lagi sengsara sebab tidak sepandai perempuan mengurus keperluan harian," kata Ibu Satri.
"Betul. Saya sendiri mempunyai abang yang sehingga kini belum berkahwin kerana tiada calon," sokong Madam Zeema kemudian menyambung kata.
"ustazah, cuba ustazah rujuk Jabatan Statistik sebelum memberi hujah. Dalam akhbar The News Strait Time, survey tahun 2000 menunjukkan, untuk setiap 100 orang wanita yang belum berkahwin, ada 130 orang lelaki yang belum berkahwin. Jadi, sekiranya poligami itu digalakkan, bukankah itu menafikan hak lelaki ini bagi memiliki isteri? Langsung, apa yang akan terjadi? Rogol semakin berleluasalah jawabnya."
Hujah berfakta itu membuatkan Ustazah Qatrun terdiam. Namun dia masih mahu berhujah.
"Saya tahu, sekalipun jumlah lelaki dan wanita di Malaysia masih agak seimbang, tetapi realitinya lelaki berkualiti sangat sedikit. Ramai lelaki lebih senang merempit dan menjadi penghuni pusat serenti. Saya sendiri, saya lebih rela menjadi isteri kedua kepada lelaki yang berkualiti," kata Ustazah Qatrun.
"Sekiranya pun benar wanita lebih ramai, anak-anak terbuang juga ramai di pusat-pusat kebajikan. Yang peliknya, soal wanita ramai hendak sangat diberikan pembelaan. Namun, tiada siapa mempromosikan soal mengambil anak-anak yatim dan terbuang sebagai anak angkat. Mana satu lebih perlukan pembelaan? Ini suatu keikhlasan bagi memikul tanggungjawab ataupun sekadar mahu beralasankan angka untuk memenuhi nafsu?" Ibu Satri bersuara lagi.
Penyelesaian yang dicadangkan oleh Cahayadi Takriyawan di dalam bukunya Di Jalan Dakwah Aku Menikah adalah ikhwah-ikhwah yang sudah mendapat kebenaran menikah ini sepatutnya mendepankan keperluan dakwah, iaitu membantu akhawat-akhawat berusia yang sudah lama menunggu, berbanding memilih mengikut kemahuan dirinya sendiri. Itu adalah sebuah pilihan yang baik, yang dapat membuktikan cintanya kepada pasangan bukan didasari rupa paras mahupun pandangan nafsu, tetapi atas dasar cinta kepada dakwah.
"Ya. Sepatutnya, sebelum ustazah mensasarkan suami orang, ustazah didik dahulu lelaki-lelaki dalam hidup ustazah, termasuklah adik dan abang supaya menjadi lelaki baik," ujar Madam Zeema kemudian hujahnya diteruskan.
"Untuk apa lelaki ini dididik? Supaya ramai lelaki berkualiti di muka bumi ini, agar tiada lagi wanita yang perlu mensasarkan suami orang. Supaya lebih ramai wanita lain dapat suami baik tanpa perlu berpoligami. Inilah penyelesaian sebenar bagi masalah ramai wanita bujang, malah menyelesaikan masalah ramai lelaki bujang kerana terperangkap dalam masalah sosial.Semua pihak perlu berganding bahu mendidik lelaki, bukannya menyuruh segelintir lelaki berpoligami. Ia hanya menghancurkan kebahagiaan orang lain. Ingat, poligami itu tetap menyakitkan hati seorang wanita biarpun lisannya berkata rela," tegas Madam Zeema.
"Jangan menuduh saya sebarangan. Awak tidak faham situasi saya." Ustazah Qatrun membela diri.
Hatinya minta difahami, bahawa perkahwinannya atas kerelaan isteri pertama yang tidak mampu memberikan ramai anak. Menjerit-jerit suara batinnya. Dia yakin situasinya itu tidak mengkhianati sesama kaum hawa kerana dia tidak menjalinkan hubungan terlarang di luar pengetahuan isteri pertama sebelum berkahwin, malah isteri pertama dimuliakan suami untuk melamar dirinya.
Ustazah Qatrun memandang Ibu Dhiya', mengharap sokongan. Ibu Dhiya' berdiam diri. Dia mahu berlaku adil dalam situasi itu dengan menghormati hujah kedua-duanya.
INFO FIQH
Alasan Poligami yang Masih Boleh Diterima Masyarakat.
Menurut Abdul Aziz Ahmad, seorang pakar motivasi terkenal di Indonesia, dalam bukunya Fiqh Cinta, alasan-alasan berikut masih boleh diterima masyarakat bagi seseorang lelaki yang mahu berpoligami.
1. Isteri pertama tidak mampu memberikan keturunan.
2. Isteri pertama tidak mampu melayani hajat seksual suami kerana sakit dan terdapat sebab-sebab lain.
Sedangkan orang yang berpoligami di luar alasan ini, bersiap-sedialah dihukum masyarakat sama ada dengan celaan, pemboikotan bisnes ataupun tidak dipercayai.
No comments:
Post a Comment