Monday, March 5, 2012

Wuduk

..Ia antara impian yang hampir menjadi kenyataan. Saya berdoa agar ia kekal begitu dan mudah-mudahan ia dimudahkan. Malah saya berharap agar Allah ringankan hati untuk terus mengamalkannya.
Ya, saya mahu saat-saat akhir kehidupan sentiasa dalam keadaan berwuduk. Alhamdulillah, di sini suasananya begitu. Bila terbatal sahaja wuduk, ia bukan satu keberatan atau kesusahan untuk memperbaharuinya.
Bila begitu, banyak perkara lain akan membantu. Misalnya, Roza sudah lama tidak bermake-up. Ia sudah tidak jadi satu keperluan sebagaimana masa lampau yang telah berlalu. Di antara memperbaharui wuduk dengan bermake-up buat wanita – kadangkala – menjadi satu beban besar.
Jika saya dipanggil mengejut, mudah-mudahan saya pergi dalam keadaan paling bersih di sisi Allah.
Takdir
Saya memahami satu perkara, tidak ada mereka yang terlepas dengan menyatakan, "Ya Allah aku tidak solat kerana Engkau telah menetapkan begitu. Kaulah yang Maha Berkuasa, kenapa tidak gerakkan aku untuk solat?"
Saya juga tahu, bekas staf saya di UiTM Johor tidak boleh menipu Allah dengan menyatakan, "saya tidak solat di masjid UiTM kerana Dr Kamil mengadakan mesyuarat pada ketika azan dilaungkan".
Janganlah berhelah dengan pilihan yang kita lakukan.
Begitulah, ibu-bapalah yang membentuk anaknya menjadi Majusi atau Nasrani. Namun Allah Maha Berkuasa, Dia sudah mengetahui apa pilihan yang dibuat oleh manusia sebelum kita dilahirkan lagi.
Kita? Ia bukan dalam pengetahuan kita!

Allah tidak pernah berlaku zalim terhadap hambaNya. Ia ada aturan dan peraturan tertentu yang perlu dipelajari dan diamati. Jangan kita terkhilaf dalam soal ini.
Ia konsep yang sangat membuntukan kepala. Lalu dinasihatkan kepada kita, "bab ini jangan difikir-fikirkan sangat!".
Tetamu Umrah
Jaga aurat tanda awal umrah atau haji mabrur buat wanita"Jangan banyak ketawa, suka-suka atau terlalu bergurau senda," salah satu pesan saya kepada mereka dan diri sendiri.
"Masa yang telah kita lalui lebih panjang daripada masa yang tinggal. Apa yang telah kita lakukan pada masa lampau? Hampirkah kita kepada Allah?"
Ia kenyataan untuk kita serius dalam melaksanakan ibadat umrah atau haji. Biar kita lakanakan yang terbaik, hati dan perasaan supaya ada perubahan signifikan dalam kehidupan seharian selepas pulang ke Tanah Air. Dan ia bermula di sini.

No comments:

Post a Comment