Saya buntu.
Kereta kepunyaan ibu ayah saya hilang beberapa minggu lalu. Setelah berita kehilangan itu diwawarkan kepada ibu ayah, mereka sedih dan sedikit bising di astro kiri kanan saya.
Tetapi, sebelum kejadian itu berlaku, saya menggunakannya dengan sebaik mungkin. Dari permulaan memandu, sehinggalah diletakkan di kawasan letak kenderaan, semuanya berada dalam kondisi baik.
Hendak dikatakan tidak mengunci, saya telahpun menguncinya. Kira, keadaan sebelum kejadian itu berlaku memang berada pada paras yang baik dan amat baik. InsyaAllah, saya yakin.
Tetapi, keyakinan itu dijentik dengan misteri kehilangan kereta.
.
Hari ini, berita kehilangan pesawat MH370 sudah merata.
Yang hilang, pesawat dan insan-insan yang berada di dalamnya. Bukan sehari dua kehilangannya. Ia berlarutan hampir satu minggu sudah.
Dan kita tahu, ini adalah sebahagian daripada ujian yang diberikan daripada Tuhan Yang Maha Berkuasa buat diri kita. Walhal, proses kerja dan penerbangan tersebut dilakukan dengan baik.
Namun, ujian ini hadir pada sesiapa dan tidak mengenal erti siapa. Semua orang akan merasainya dan laluinya.
Begitulah dua cerita ringkas di atas.
Saya merumuskan kedua-duanya baik dek kerana pelaksanaannya dilakukan dengan cara yang baik.
Dan bilamana proses yang kita laksanakan itu dengan baik, sudah pasti sedikit sebanyak kita menginginkan hasil yang terbaik. Sebaliknya, hasil yang kita perolehi berlainan dengan sangkaan serta jangkaan kita.
Secara tiba-tiba, tanpa kita duga, ujian bersemuka. Allah ~
Komen saya.
Jujur, kita belum lagi baik. Walhal, kita telahpun mengimani bahawa Tuhan Maha Baik. Kerana kita masih lagi meragui dengan Tuhan.
Masih lagi mempersoalkan itu ini tentang kerja Tuhan. Masih lagi menjadi Tuhan dengan mengeluarkan berbagai-bagai andaian dan tafsiran mengikut acuan akal dan nafsu sendiri.
Masih lagi melakukan kerja-kerja serta tindakan yang kurang wajar. Masih lagi sibuk dengan sesuatu perkara yang kurang penting sehingga kita terlupa serta mengabaikan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba.
Begitulah kita.
Pada saya secara peribadi, Allah swt Maha Baik. Mustahil DIA memberikan yang tidak baik buat para hamba-hambaNya.
Hari ini Allah swt uji sebab DIA mahu memberikan yang terbaik dan menginginkan yang terbaik dari kita semua. Sama ada aspek dalaman dan luaran, perlu kita seiringnya ke arah yang lebih baik.
Kekadang, secara zahir kita akui tentang keEsaan Tuhan. Tetapi di dalam hati masih lagi samar-samar. Meskipun kita ini orang yang solat.
Meskipun kita ini seorang yang menjaga aurat. Meskipun kita ini orang yang belajar agama dan bercakap-cakap tentang agama.
Belajarlah sangka baik, fikir baik, pandang baik, dan rasa baik terlebih dahulu terhadap sesuatu ujian.
Lihat, hari ini hampir beberapa buah negara bertungkus lumus berusaha mencari para mangsa yang hilang. Hari ini, berapa ramai para insani meratapi, berdoa dan bermohon kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh.
Perhatikan, hari ini sedikit sebanyak kita cuba bersatu di dalam mengatasi ujian dan cabaran ini.
Semua ini dengan suatu ujian yang Allah swt angkat dengan kebijaksanaanNya, seribu satu kebaikan menjelma yang kekadang kita ini terlalu sibuk cungkil satu persatu keburukan berbanding kebaikan, walaupun keburukan itu ada dan kita tidak boleh nafikannya.
Subhanallah ~
Harapan saya.
Usah kita lupa untuk meminta dan berdoa pada Allah swt. Kerana Allah swt suka dan cinta akan hambaNya yang berdoa. Tetapi DIA murka pada hambaNya yang tidak berkeinginan dan tidak suka berdoa kepadaNya.
Sebab, hamba itu lemah, fakir, dan tiada daya upaya dalam menguruskan urusannya sendiri. Pintalah kepadaNya dengan bersungguh-sungguh.
Seandainya mampu mengeluarkan air mata, silakan. Boleh jadi, air mata yang gugur itu akan memadamkan segala dosa-dosa kita.
Tetapi, doa sudah dilakukan, Allah swt masih lagi tidak memperlihatkan pesawat serta membantu menyelesaikan ujian ini. Bagaimana..?
Doa tidak semestinya dibayar secara terus. Boleh jadi, doa itu Allah swt menundakannya untuk generasi serta umat yang akan datang.
Boleh jadi juga, doa itu Allah swt gantikan ia dengan sesuatu yang lebih baik yang kita tidak ketahuinya. Juga, boleh jadi Allah swt mengurniakan doa kita di akhirat kelak sana.
Percayalah dan bersabarlah serta yakinlah bahawa Allah Maha Baik.
No comments:
Post a Comment