Tuesday, March 25, 2014

Diet bunuh diri

Benci bentuk badan sendiri yang dianggap gemuk membuatkan seseorang sanggup lakukan apa saja demi memenuhi keinginan untuk kurus. Persepsi badan gemuk ditafsirkan berbeza mengikut pandangan setiap individu. Ada beranggapan tubuh seberat 55 kilogram (kg) dikatakan sudah melangkaui berat sepatutnya walaupun dilihat ideal bagi orang lain.
Keinginan untuk mempunyai susuk tubuh ramping seperti model yang sering tampil di kaca televisyen atau majalah fesyen. Sekali gus menganggap badan model adalah ukuran terbaik. Ia secara tak langsung menciptakan ilusi mengenai bagaimana kita juga mahukan tubuh ideal. Gadis remaja khususnya merasa mereka perlu meniru model ini dengan melakukan diet ekstrim untuk kelihatan cantik selain boleh gayakan apa saja baju trend terkini.
Diet yang pada awalnya boleh dianggap pengendalian berat badan betul akan berubah menjadi gangguan psikologi sekiranya individu itu tekad dan terlalu obses untuk kurus. Mereka memiliki fokus lebih untuk jadi ramping tanpa sedari bahawa obsesi ini mengganggu kesihatan. Tanpa sedar, keinginan ini mewujudkan pelbagai jenis diet melampau hingga ada di antaranya tidak masuk akal.
Kurus tanpa makan?
Logiknya, kita berpendapat makanan membuatkan seseorang bertambah berat badan hinggakan makanan dicop sebagai punca gemuk. Tetapi persepsi itu sebenarnya menyimpang jauh kerana berat badan meningkat bergantung kepada pola pemakanan dan kategori makanan yang diambil.

Tapi mungkinkah anda dapat menurunkan berat badan dengan hanya mengurangkan pengambilan makanan, mengambil ubatan tertentu tanpa melakukan apa-apa aktiviti fizikal? Anda mungkin dapat mengurangkan berat badan dengan hanya ‘berlapar’ tetapi tidak mungkin mendapat bentuk badan yang diidamkan. Risiko sebaliknya pula, berat badan akan naik mendadak apabila anda kembali makan seperti biasa.

Untuk langkah terbaik bagi mereka yang obses untuk kurus, anda disaran mewujudkan satu buku catatan pengambilan makanan seharian. Dengan diari diet ini, kita pastinya menjadi lebih berhati-hati untuk memasukkan sesuatu ke dalam mulut kerana anda harus mencatat apa saja dimakan di dalam buku terbabit. Catatan itu pasti membantu untuk anda membezakan antara makanan yang diambil secara perlu atau mengikut nafsu.

Jangan terlalu taksub dengan pendapat kurang makan mampu kurangkan berat badan. Kekalkan pola pemakanan seharian, tetapi sebahagiannya boleh ditukar kepada kumpulan makanan lain yang mempunyai tahap nutrisi diperlukan setaraf dengan makanan sebelumnya. Sebagai contoh, jika anda gemarkan roti, mi atau kek, kategori makanan ini boleh digantikan dengan pasta, roti gandum ataupun bijiran ‘cereal’. Untuk buatkan rasa lebih enak, campurkan dengan buah-buahan segar, dada daging ayam atau sayuran.


Tolak senaman

Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norsyamimi Ahmad berkata, program mengurangkan berat badan tanpa senaman amat tidak logik. Senaman perlu untuk mengeluarkan tenaga daripada makanan jika tidak ia akan ditukar menjadi lemak. Namun aktiviti fizikal itu perlu dilengkapi dengan penjagaan makanan bagi memberikan berat badan yang ideal.

Menurutnya, bukan semua orang boleh melakukan senaman terutama bagi mereka yang dikategorikan sebagai morbit obes - jika bacaan Indeks Jisim Berat Badan (BMI) melebihi bacaan 40 (berbanding 19 hingga 25 yang biasa) serta mempunyai masalah kesihatan. Dilaporkan pesakit morbit obes tidak mampu bersenam kerana kaki tidak berupaya menampung berat badan.

Katanya lagi, diet tanpa senaman atau dinamakan ‘yo-yo diet’ biasanya akan menyebabkan berat badan turun naik mendadak kerana kehilangan otot. Diet ini menggunakan otot untuk ditukar kepada tenaga kerana otot dua kali lebih berat berbanding lemak. Pakar kesihatan menasihatkan mereka yang mengamalkan diet terbabit mempunyai risiko bertambah berat badan dua kali ganda, kerosakan buah pinggang, haid tidak teratur, emosi tidak betul, tekanan darah tidak stabil dan paras gula dalam darah menurun sehingga kadang-kala boleh pengsan.

Anorexia Nervosa adalah penyakit yang sering dikaitkan dengan pengamal diet. Ia ditafsirkan sebagai gangguan makan kesan daripada penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan berkurang hingga ke tahap berbahaya. Hal ini berpunca daripada ketakutan tak wajar seseorang terhadap kemungkinan mengalami kenaikan berat badan dan kehilangan kemampuan untuk kawal makan.

Kedengaran memeritkan, tapi bagi para penderita anoreksia, mereka bangga dengan diet ekstrim ini. Lebih membimbangkan, ada di antara mereka percaya berat badan mereka masih berlebihan walaupun hakikatnya tubuh sudah ibarat lidi. Untuk memudahkan kata, mereka ini adalah golongan yang takut gemuk!


Sengaja seksa diri

Sementara itu, bercakap perihal sama, Pengurus Diet Gleneagles Kuala Lumpur Lim Ai Leng menjelaskan, aspek pemakanan haruslah diberi penekanan agar tubuh badan sihat. Selain itu pemakanan betul dapat membekalkan tenaga agar kelihatan segar dan cerdas. Katanya, penderita Anoreksia boleh menyebabkan berat badan menurun antara 25 hingga 50 peratus daripada berat badan mereka. Badan mereka juga akan merasa lemah, tidak bertenaga dan sukar memberi tumpuan.

Anoreksia boleh menyebabkan kematian akibat kelaparan atau cubaan membunuh diri. Rawatan dan pemulihan diberikan adalah dengan menerangkan kepada mereka mengenai pemakanan secara sihat dan seimbang diiringi latihan senaman betul untuk jangka masa panjang. Penghidapnya juga akan mengalami gangguan degupan jantung, rembesan hormon terjejas, gangguan kitaran haid, kemandulan, tulang rapuh, ketidakseimbangan bahan galian dalam badan dan gangguan pada sistem saraf.

Bukan itu saja, Bulimia Nervosa antara perilaku lain yang berkaitan dengan isu ini. Ia merujuk kepada rasa lapar dan juga gangguan emosi makan dengan cara memuntahkan kembali makanan yang baru saja dimakan. Bulimia terjadi kepada individu yang mempunyai nafsu makan, tapi memuntahkan kembali secara diam. Akibatnya, ia menjurus kepada masalah kesihatan seperti luka pada dinding perut, radas usus dan denyutan jantung tidak teratur.

Tak keterlaluan jika dikatakan keinginan untuk kurus ini ibarat bentuk penyiksaan terhadap diri sendiri di mana kedua-dua keadaan itu sama bahaya bagi tubuh. 

Bagi pekerja swasta Zahirah Zainal, 26, dia berpendapat memang benar seorang penderita anoreksia tidak pernah puas dengan penurunan berat badannya. Berat badan tetap antara hari ini, keesokan harinya atau setiap penambahan berat badan boleh mengakibatkan rasa panik, cemas dan tekanan.

“Ramai orang label saya anoreksia. Saya tak pasti betul atau tidak, tapi yang pasti memang saya paranoid untuk gemuk,” katanya ketika ditemui penulis baru-baru ini. Ditanya mengenai berat badan idealnya, dia berkata, memang ia di bawah paras sepatutnya namun dia tak risau memandangkan setakat ini tiada sebarang penyakit dihidapinya.

Menurutnya, dia tak pasti jika anoreksia dilabel sebagai trend, tapi akui ramai rakannya terutama wanita obses menjaga, mengawal dan sentiasa berusaha untuk kekal kurus.

“Tak dinafikan, bila kurus senang nak gayakan apa jenis baju malah ada di antara rakan lelaki saya juga lebih memilih perempuan kurus. Mungkin kelihatan unik atau tak khuatir `girlfriend’ mereka gemuk kalau dah berkawan lama. Dan saya percaya, faktor ini juga jadi pendorong untuk jadi remaja perempuan khususnya untuk amalkan ekstrim diet,” katanya.


Gelagat melampau selebriti terkenal

Adriana Lima -
 Dianggap sebagai kebanggaan Victoria’s Secret, ia seolah-olah seperti pekerjaan yang sukar untuk model terkenal ini. Adriana Lima mendedahkan bahawa sembilan hari sebelum persembahan fesyen tahunan, dia hanya mengambil air dan 12 jam sebelum dia berhenti minum air hanya untuk menyeimbangkan berat air dalam badan. 

Jennifer Aniston - Pelakon Hollywood ini kadang-kadang meninggalkan sarapan pagi, sebaliknya hanya minum segelas jus limau diperah segar pada waktu pagi. Dia yakin bahawa ia adalah cara yang terbaik untuk menghilangkan lemak. Kedengaran seperti cara yang baik untuk memulakan pagi.

Beyonce - Penyanyi terkenal ini pernah diminta untuk mengurangkan berat badan untuk menjayakan filem Dreamgirls. Jadi selama 14 hari, dia hanya mengambil air, cili merah dan sirap maple untuk diet. Sepanjang 14 hari itu, dia semakin mengecil dan mengecut. 

Reese Witherspoon - Pelakon kecil molek ini dikenali sebagai peminat makanan bayi. Makanan untuk sarapan pagi dan makan tengah hari cumalah makanan bayi. Namun begitu, dia akan mengambil makanan ruji pada sebelah petang.

Nicole Kidman - Selebriti ini hanya memakan telur rebus untuk menjayakan wataknya dalam filem Cold Mountain. Dia mengambil satu biji telur rebus pada waktu pagi dan dua biji telur rebus untuk makan malam. Jika terasa lapar lagi, dia akan menambah tiga biji telur. 

Katie Holmes - Aktres berwajah redup ini pernah membuat keputusan untuk mengurangkan berat badan dengan hanya memakan sup lobak merah untuk sarapan pagi dan brokoli mentah untuk makan tengah hari serta makan malam. Mampukah kita mengikut cara diet ini?

No comments:

Post a Comment