Monday, June 30, 2014

'Berbuka bukan masa balas dendam'

Puasa didik Mukmin berjuang lawan nafsu, elak pembaziran

Ramadan kembali dan umat Islam seluruhnya diwajibkan berpuasa berdasarkan firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan terhadap orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat ke-183). 
Pengertian sebenar puasa ini penting untuk dihayati agar pemahaman umat Islam terhadap makna puasa tidak terbatas kepada menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari. 
Nabi SAW bersabda bermaksud: “Siapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala Allah, nescaya diampunkan Allah dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Semasa menjalani ibadah puasa, setiap Mukmin bukan saja harus menahan lapar dan dahaga pada siang hari, tetapi juga harus menahan nafsu, menahan perkataan dan perbuatan tercela dan sia-sia, termasuk segala sesuatu yang boleh mengurangi nilai puasa itu. Inilah makna sebenar puasa yang bermatlamat mencapai takwa.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan makan dan minum, tetapi sesungguhnya puasa itu adalah dengan meninggalkan perbuatan lagha (sia-sia) dan rafats (perbuatan keji). Sekiranya seseorang mencemuh kamu atau berbuat bodoh terhadapmu, maka katakanlah; “Sungguh aku sedang berpuasa’.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah).

Berjuang lawan hawa nafsu

Ketika berpuasa, seluruh manusia berjuang melawan hawa nafsunya, mendidik manusia berdisiplin tinggi, takut melanggar segala larangan Allah walaupun sekecil mungkin, pada hal tidak ada manusia lain melihat tingkah laku perbuatannya. Hal ini begitu besar pengaruhnya dalam meninggikan keperibadian seseorang insan itu. 
Maksud menahan nafsu bukan hanya nafsu syahwat, tetapi merangkumi semua aspek seperti nafsu makan dan minum, amarah, menahan diri berbelanja secara boros atau berlebihan sehingga berlaku pembaziran, juga dalam berkata-kata dan pelbagai urusan keduniaan lainnya.

Puasa juga mendidik seseorang Mukmin yang tidak pernah atau belum mengalami situasi kekurangan makan dan minum supaya timbul rasa belas kasihan kepada sesama saudara Islam.

Ini mendorongnya untuk menghulurkan bantuan dan hasilnya akan menghindarkan dirinya daripada sifat keji seperti sombong, bakhil dan lain-lain sifat tercela dari hati.

Tidak berlebih-lebihan ketika berbuka

Dalam hal makan dan minum pula, terutama sewaktu berbuka puasa, umat Islam diseru agar tidak berlebih-lebihan, seolah-olah waktu berbuka itu dijadikan sebagai masa untuk ‘membalas dendam’ lantaran berperang dengan lapar dan dahaga pada siang hari.

Sebaliknya, puasa yang dikehendaki Allah SWT ialah yang dapat membina dan membangun mentaliti manusia apabila dilaksanakan dengan penuh keimanan, penghayatan dan keikhlasan kepada Allah.

Puasa seperti inilah yang akan mendapat ganjaran pahala yang besar dari Allah berupa penghapusan dosa seseorang.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Siapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala Allah, nescaya diampunkan Allah dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Antara hikmah terpenting ibadah puasa selain bertujuan membentuk jiwa seseorang Muslim menjadi insan muttaqin (bertakwa), puasa juga dapat menambahkan keimanan seseorang.

Tanpa keimanan, seseorang itu tidak akan sanggup melakukan kerja ‘berat’ seperti ibadah puasa ini yang mana terpaksa menahan lapar dan dahaga serta lain-lain keinginan.

Berpuasa juga sebenarnya dapat memberi pengaruh yang besar dari sudut kesihatan. Selama 11 bulan kita makan dan minum tanpa henti, maka dalam tempoh itu ‘jentera’ memproses makanan dalam tubuh bekerja tanpa rehat.

Maka, menurut pakar kesihatan, berpuasa akan dapat memelihara kesihatan tubuh. Alat pencernaan makanan dalam tubuh manusia dapat diumpamakan sebuah mesin, yang mana jika beroperasi terus menerus tanpa rehat, akan mengalami kerosakan. 

Sunday, June 29, 2014

Ibadah puasa rawatan alternatif

Ramadan tiba kini dan semua umat Islam wajib menunaikan ibadah puasa sebagaimana disyariatkan dalam Islam. Berpuasa baik untuk kesihatan seperti dibuktikan dalam pelbagai kajian saintifik.
Berpuasa dalam Islam berbeza de­ngan berpuasa difahami masyarakat Barat yang melakukan ‘crash diet’ sehingga memberi kesan buruk kepada kesihatan. 
Islam dan kesihatan adalah sesuatu yang sinonim kerana Islam menitikberat­kan soal kesihatan. Setiap ibadah disyariatkan dalam Islam mempunyai banyak faedah kesihatan yang tersembunyi dan hanya kini mula difahami dunia sains. 

Ramadan adalah bulan latihan kendiri untuk umat Islam. Ramadan bukan bulan ‘pesta makan’ yang secara tidak sedari kita lakukan setiap tahun. Makan secara berlebihan dan memakan makanan tidak sihat adalah bertentangan dengan sema­ngat Ramadan.

Kita sepatutnya memfokus kepada ibadah dan mencari sebanyak mungkin pelbagai ganjaran pahala berganda yang dikurniakan oleh Allah sepanjang bulan mulia ini.

Dalam Ramadan, kita hanya mengubah waktu makan tetapi bukan jumlah dan jenis makanan. Kita patut mengambil sepenuhnya peluang pada Ramadan untuk mendapat faedah kesihatan dengan mengamalkan cara hidup sihat. 

Menurut kajian kesan fisiologi yang positif, amalan berpuasa menurunkan paras glukosa darah, paras kolesterol darah dan tekanan darah tinggi. 

Hakikatnya, berpuasa dicadangkan sebagai rawatan untuk pesakit yang me­ngalami diabetes stabil, ringan hingga sederhana, pesakit darah tinggi dan seseorang yang mempunyai masalah berat badan.

Berpuasa dicadangkan sebagai satu bentuk rawatan dalam persidangan 
perubatan First International Congress on ‘Health and Ramadan’ pada 1994 di Casablanca, Maghribi. 

Pada persidangan ini, sebanyak 50 kajian dibentangkan mengenai kebaikan berpuasa kepada kesihatan. Bagaimanapun, ada pesakit tertentu tidak digalakkan berpuasa seperti penghidap kanser yang teruk, diabetes yang tidak terkawal dan gastrik ulser. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor untuk me­ngetahui jenis penyakit yang tidak digalakkan berpuasa. 

Berpuasa juga bantu merehatkan sistem pencernaan dalam saluran gastro usus, selain organ hati dan kelenjar pankreas. 

Secara tidak langsung, ia membantu organ hati kita melakukan proses detoksifikasi dengan membuang toksin dalam sistem tubuh manusia yang selama ini memakan pelbagai jenis makanan. 

Banyak kajian menunjukkan berpuasa menurunkan paras kolesterol dalam darah. Ini baik untuk pesakit yang mengalami masalah kolesterol tinggi dan pesakit jantung. 

Ini kerana ketika berpuasa, paras glukosa darah yang rendah menyebabkan paras hormon insulin juga menurun. Ia menyebabkan enzim yang menghasilkan kolesterol berlebihan di dalam hati menjadi kurang aktif dan menurunkan paras kolesterol secara tidak langsung. 

Penurunan paras kolesterol mengurang­kan risiko penyakit jantung, strok, darah tinggi dan diabetes. 


Kelebihan puasa dari sudut perubatan 


Penurunan berat badan
 

• Dapat membantu individu obes menurunkan berat badan dengan cara sihat dan murah. Bagi pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi, paras tekanan darah serta kandungan gula dalam tubuh boleh diturunkan dengan lebih baik. PenuWrunan berat badan daripada amalan puasa Ramadan berbeza dengan amalan diet ketat atau cara diet untuk menurunkan berat badan lain seperti langsung tidak makan nasi (hanya minum air). Penurunan berat badan dengan berpuasa selalunya lebih stabil kerana pesakit tidak mengalami masalah kenaikan berat badan secara mendadak jika berhenti puasa. 


Mempercepat proses pemulihan 

• Ketika berpuasa, penggunaan tenaga diarahkan dari sistem penghadaman ke sistem lain seperti penyembuhan, imun atau metabolisme badan. Proses penggantian tisu yang rosak pula bertambah baik hasil proses pembentukan protein sintesis yang semakin berkesan disebabkan antibodi badan lebih teratur. Pembentukan protein yang lebih efisien akan menghasilkan sel serta tisu lebih sihat. Kajian turut mendapati berlaku penurunan suhu badan dan kemerosotan kadar asas metabolisme badan ketika berpuasa menjadikan badan menyimpan lebih tenaga. 


Awet muda dan melanjutkan usia 

• Hormon pertumbuhan, sejenis hormon anti-penuaan dirembeskan dengan banyak ketika berpuasa. Fenomena ini juga berpunca daripada proses pembentukan sintesis protein yang lebih efektif, ketahanan badan lebih baik serta kadar metabolisme lebih rendah. 


Mengurangkan risiko penyakit aterosklerosis 

• Kajian mengesahkan penurunan dari segi kandungan kolesterol dan gula. Ini seterusnya mengurangkan risiko penyakit aterosklerosis (sejenis penyakit pada arteri di mana plak berlemak berkembang pada dinding dalam dan akhirnya menyekatkan aliran darah). Keadaan ini terutama berlaku dalam kalangan pesakit diabetes. 


Solat Tarawih memetabolismekan makanan 

• Indah apabila bulan puasa turut diiringi dengan solat sunat Tarawih pada sebelah malamnya. Ia membantu memproses makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga (sehingga 200 kalori). Di samping itu, ia juga sebagai cara senaman 
ringkas yang baik untuk menguatkan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah). 


Disiplinkan diri berhenti merokok 

• Amalan puasa dapat melatih diri meninggalkan amalan kurang baik seperti mengurangkan nikotin yang berbahaya di dalam tubuh perokok. Pada waktu siang, perokok boleh meninggalkan rokok kerana terpaksa berpuasa manakala pada malam, mereka boleh meninggalkan rokok kerana takut akan kemudaratan kesihatan seperti penyakit kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit sekatan pernafasan. 


Ketenangan mental 

• Dari segi kesihatan mental, manusia berasa lebih tenang pada bulan Ramadan. Ganjaran berlipat ganda pada bulan puasa menjadikan mereka lebih bertumpu kepada menunaikan ibadah, sekali gus mendatangkan ketenangan.

Depan Mata: Kawal nafsu elak membazir

Salam Ramadan. Hari ini kita mula menjalankan ibadah puasa, semoga kita dapat menunaikan Rukun Islam ketiga ini dengan penuh keimanan dan keinsafan. Bukan hanya menahan lapar dan dahaga tetapi juga mengelak dosa kecil yang boleh menipiskan pahala puasa.
Apabila puasa, tentu akan ditanya, buka puasa di mana? Pada bulan puasa juga, nafsu makan memang hebat hingga semua yang teringat pada siang hari hendak dibeli. Maklumlah seharian tidak makan, mahu makan sepuas-puasnya sebaik saja azan Maghrib berkumandang. 
Hakikatnya, ketika berbuka, kita hanya mampu menjamah sedikit. Jangan membazir, beli serba sedikit. Hari ini kuih dua jenis, esok yang lain pula, kan puasa sebulan... 

Kemampuan membeli memang tiada masalah dalam kala­ngan kita apabila tiba soal makan. Namun jangan diikutkan, membazir itu amalan syaitan.

Bagi yang ingin berbuka di luar, terutama hotel dan restoran, sana sini menawarkan bufet berbuka puasa dengan pelbagai tarikan dan harga.

Sebelum puasa, saya sempat menghadiri promosi berbuka puasa di Restoran Puteri, Sungai Penchala. Restoran milik penulis lirik dan produser, Habsah Hassan itu menawarkan masakan Melayu Asli & Asia Barat dengan lebih 25 jenis hidangan yang ditukar setiap hari untuk memberi kepuasan kepada pelanggan. 

Menariknya, harga ditawarkan sangat berpatutan dan murah berbanding di tempat lain yang turut menyediakan bufet buka puasa. 

Dengan harga RM68 (nett) untuk dewasa dan RM30 (nett) kanak-kanak, ia tidak membebankan ibu bapa untuk membawa anak berbuka bersama atau meraikan keluarga besar berbuka bersama di luar. 

Ramadan juga bulan rezeki apabila ramai berniaga, sama ada di bazar Ramadan atau pejabat. Bagi artis, inilah masanya mereka kurangkan aktiviti berlakon dan me­nyanyi tetapi digantikan dengan perniagaan. Macam-macam boleh dijual daripada pakaian, tudung, aksesori hinggalah biskut raya. 

Khamis lalu, penyanyi Deja Moss datang ke pejabat membawa kek lapis Sarawak. Kata Deja, dia baru melancarkan bas Trans Nasional ke utara yang paparkan iklan kek lapisnya. 

Kerjasama dengan syarikat bas itu selama sebulan ini akan menarik perhatian orang ramai untuk mendapatkan kek lapis yang dibuatnya sendiri. 

Macam-macam jenis kek lapis dihasilkan Deja, menunjukkan betapa kreatifnya mereka hingga menghasilkan kek bercorak unik dan menarik itu. Tidak perlu susah-susah mahu buat sendiri, beli saja daripada mereka yang pakar membuatnya. 

Perniagaan ini diusahakannya sejak enam tahun lalu dan sepanjang Ramadan ini dia sibuk me­nyiapkan tempahan kek lapis di restorannya, Cafe Hadeeja di Ukay Perdana, Hulu Kelang. 

Penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu Aku Di Jiwamu Dia ini manis bertudung sejak dua tahun lalu dan datang bersama suaminya Azfendy Azzuddin Ahmad. 

Lama juga tidak bertemu Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss, tetapi orang­nya tetap manis dengan senyuman dan ramah. 

Deja akui sejak tiga tahun lalu tidak memenuhi undangan fotografi dengan media kerana malu dengan keadaan dirinya. Rupa-rupanya rawatan IVF yang dilakukannya dalam usaha mendapatkan cahaya mata menyebabkan kegemukan hingga berat badannya mencecah 90 kilogram. 

Rawatan selama tiga bulan itu juga tidak berjaya, tapi Deja tidak putus asa serta terus berusaha dan berdoa supaya dikurniakan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga yang dibina sejak 30 Ogos 2008. 

Kata Deja, hidupnya kini tenang dan sesekali kalau ada undangan menyanyi dia akan penuhi, tetapi tidak seperti dulu. Masih ada permintaan untuk menyanyi tetapi disesuaikan dengan keadaan. 

Deja juga sempat berkongsi cerita mengenai dugaan dilaluinya sebelum berhijrah. Rasa resah dan takut dilaluinya setiap hari hingga tidak lena tidur dan hanya dapat melelap­kan mata dua jam setiap malam. Selebihnya sentiasa dihimpit ketakutan dan keresahan. 

Suami membawanya bercuti menenangkan fikiran tetapi ha­nya tenang sementara, keresahan­nya kembali hingga akhirnya suami memintanya menutup aurat dan mendekatkan diri dengan Allah. 

Alhamdulillah, kata Deja, segala keresahan itu hilang sebaik dia nekad berhijrah pada Jumaat, 15 Jamadil Akhir, dua tahun lalu. Deja juga bersyukur berjaya menurunkan berat badannya hingga 58 kilogram dan mahu mendapatkan kembali berat badan asal 55 kilogram.

Monday, June 16, 2014

Obesiti tak ok!

Bukan sekali dua Gen Y memaparkan statistik, kesan, kajian dan punca berlakunya obesiti yang makin meruncing hari ini. Ia salah satu medium membunuh kebanyakan anak muda. Sekali lagi, MURSHID EUNOS dan Ejen Gen Y, Siti Sarah Yusof juga pelajar Ijazah Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia membincangkan isu ini dengan lebih terperinci.
Amalan pemakananseimbang sangat penting untuk menjalani kehidupan seharian. Hal ini kerana corak atau pun pola pemakanan yang tidak sekata akan menyumbang kepada masalah obesiti yang semakin menular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Individu atau masyarakat digalak mengamalkan diet yang bersesuaian dengan mereka. Tujuan mengamalkan pemakanan atau diet yang seimbang selain daripada mencegah obesiti juga bertujuan mengekalkan kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti darah tinggi, kencing manis, strok dan jantung. 

Ramai yang masih tidak menyedari bahawa punca utama bagi serangan penyakit ‘tenat’ seperti kanser dan jantung adalah kerana kurangnya keprihatinan dalam pemakanan sempurna dan kurang mengambil makanan berkhasiat serta kurang bersenam.

Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, ‘Diri anda ialah apa yang anda makan’ dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan. Malaysia dikatakan mempunyai masalah obesiti yang serius.

Empat daripada sepuluh orang dewasa yang melebihi usia 18 tahun di negara ini sama ada mengalami kegemukan atau terlebih berat badan. Permasalahan ini boleh diatasi melalui amalan corak pemakanan yang sihat. Menurut salah satu kenyataan yang enyebut yang diet sihat mengandungi semua zat makanan (nutrien) yang penting, tenaga yang perlu bagi mencegah kekurangan dan kelebihan zat makanan menjaminkan kesihatan. 

Diet sedemikian boleh didapati dari pelbagai makanan yang mudah didapati, mampu dibeli dan dinikmati sesiapa saja. Makanan yang baik bukan saja kelihatan menarik dan menyelerakan, tetapi juga mesti seimbang. Ini bermakna makanan kita perlu mengandungi semua tujuh kelas makanan dalam kadar yang betul dan sejajar dengan keperluan tubuh badan. 

Makanan kita perlu mengandungi protein untuk tumbesaran, karbohidrat dan lemak untuk tenaga, makanan tambahan lain seperti vitamin, mineral dan air untuk kesihatan. 

Individu atau masyarakat haruslah menikmati pelbagai jenis makanan setiap hari termasuk bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, daging, ayam, kekacang, susu, lemak dan minyak namun wajar dilakukan mengikut kuantiti yang tertentu berdasarkan empat peringkat di dalam piramid makanan. 

Peringkat pertama dalam pengambilan makanan adalah bijirin diikuti dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang berada di peringkat kedua. Seterusnya susu, dadih, keju, ikan, daging dan kekacang yang berada di peringkat ketiga. 

Produk makanan yang paling sedikit yang diperlukan oleh tubuh badan berada pada peringkat pertama iaitu di puncak dan ia adalah lemak, minyak, gula serta garam. Setiap individu perlu mengekalkan berat badan yang sihat dengan mengimbangkan pengambilan makanan dan aktiviti fizikal. 

Sebelum menyediakan atau mengambil setiap hidangan, ketahui nilai kalori dan pastikan hidangan yang dimakan sepanjang hari tidak melebihi nilai kalori yang diperlukan badan kerana ia akan menambahkan berat. Nilai kalori bagi bagi 
setiap hidangan sangat penting bagi tubuh badan kita. 

Apa saja yang dimakan atau minum akan dikira sebagai penambahan kalori, tenaga atau lemak dalam badan. Sebagai contoh, dalam tempoh 24 jam, jumlah makanan diambil ditolak dengan segala tenaga yang diguna juga dalam tempoh yang sama. 

Jika jumlah kalori yang kita makan untuk tempoh itu adalah 2000 kalori dan pembakaran kalori hanya 1800 kalori, bermakna kita terlebih makan 200 kalori. Keperluan kalori seharian bergantung kepada individu itu sendiri. 

Sebagai contoh, keperluan kalori bagi seorang budak lelaki yang aktif dengan seorang budak perempuan yang kurang aktif adalah berlainan. Keperluan kalori juga bergantung kepada beberapa faktor lain seperti jantina, umur, saiz badan, jenis pekerjaan, iklim dan keadaan kesihatan. 

Beralih pula kepada obesiti, ditakrifkan sebagai suatu keadaan berlaku pengumpulan atau penyimpanan lemak berlebihan dalam badan. Secara umum seseorang dewasa yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI) 30 kg/m2 dan ke atas dikelaskan sebagai obes. 

Bagaimanapun, penilaian peratus lemak badan adalah lebih tepat. Seseorang individu boleh dikategorikan sebagai obes sekiranya peratus lemak di dalam badan melebihi 25 peratus bagi lelaki dan 35 peratus bagi wanita. Obesiti boleh memberi pelbagai kesan, terutama dari segi ketrampilan diri dan juga penyakit contohnya darah tinggi, kencing manis dan jantung. 

Langkah untuk mengelak daripada obesiti adalah dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup yang sihat. Mengambil hidangan bijirin dan buah-buahan serta sayur-sayuran penting kepada tubuh kerana ia sumber vitamin yang lengkap, tetapi ia perlu diambil dalam kuantiti yang betul. 

Senaman pula haruslah sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian secara berterusan setiap hari dalam tempoh 20 hingga 30 minit bergantung kepada aktiviti yang dilakukan. Senaman ini merangkumi berjoging, berbasikal, aerobik, bersukan, berenang dan sebagainya.

Kesimpulannya corak pemakanan yang sihat amat penting dalam menjalani kehidupan seharian. Sekiranya tubuh tidak mempunyai tahap kesihatan yang baik, segala aktiviti tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Aktiviti harian juga menjadi tidak bermakna sekiranya badan sentiasa rasa tidak bermaya dan lesu.


Kadar obesiti rakyat Malaysia serius

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan yang kadar obesiti dalam kalangan rakyat negara ini semakin serius dan perlu diatasi. Ketika itu kadar obesiti mencatat 44.4 peratus, namun meningkat 15.1 peratus pada 2011 kepada 59.1 peratus.

Tahun berganti tahun, kajian teliti terus dilakukan, statistiknya tidak pernah menunjukkan pengurangan meskipun pelbagai kempen dan kaedah penyelesaian dilakukan. Malah tahun lalu, rekod terbaru yang diterima, sebanyak 8.5 juta penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4 juta orang obes.

Takut? Memang mengerikan. 

Peningkatan ini berpunca daripada sikap masyarakat Malaysia yang sering mengamalkan budaya pemakanan kurang sihat dan lebih banyak duduk daripada bersenam. Oleh kerana terdapat pelbagai pilihan makanan, mereka makan dalam kuantiti yang banyak dalam satu-satu masa sehingga tidak mampu untuk mengawal nafsu makan.

Mereka juga kerap duduk di atas kerusi selepas makan dan memberi pelbagai alasan seperti sibuk untuk mengelak daripada melakukan senaman. Justeru jalan penyelesaiannya adalah dengan kita sendiri perlu mengelak daripada makan secara berlebihan dan perlu kerap membuat senaman sebagai langkah utama mencegah masalah obesiti secara berkesan.

Obesiti perlu ditonjolkan sebagai satu penyakit bagi menunjukkan betapa ia boleh membahayakan kesihatan seseorang. Ini kerana langkah awal perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan berdepan nasib malang apabila dewasa kelak. 

Kebanyakan kita tidak menyedari yang obesiti adalah penyakit. Jadi, tiada siapa peduli dan berfikir yang gemuk itu OK. Apabila kita menganggapnya sebagai satu penyakit, ia akan menyedarkan orang ramai. Obesiti adalah faktor asas bagi penyakit kronik seperti kencing manis.

Obesiti dan berat badan berlebihan antara faktor berlakunya risiko penyakit kencing manis jenis II dan kencing manis gestasi yang berlaku sewaktu kehamilan. Malaysia menduduki tempat keenam di rantau Asia Pasifik bagi masalah obesiti dan mendahului senarai di Asia Tenggara untuk kedua-duanya; obesiti dan kencing manis.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dalam satu kenyataan sebelum ini kepada media pernah berkata yang terdapat kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang mengalami lebihan berat badan dan bilangannya semakin meningkat dalam situasi di mana kira-kira lima juta individu menderita mengalami pelbagai peringkat penyakit kencing manis.

Bikin diri syok sendiri

‘Syok sendiri’ mungkin istilah agak sinis. SHUHADA MANSOR cuba alih pandangan dan faham maksud ayat ini dari sudut berbeza. Tak salah buat diri rasa gembira untuk lupakan perkara tak penting yang mengganggu emosi seharian.
Malas untuk bersiap ke tempat kerja atau ke kuliah adalah perkara biasa. Rutin harian ini kadang-kadang boleh buatkan perjalanan harian penuh dengan tekanan. Jika ia kerap berlaku, mulalah kita buat hal. Pergi kerja lambat, makan tengah hari berjam-jam, tak sabar untuk habis kerja, kuliah dan sebagainya. Jika masalah ini berlaku sudah lama, itu tandanya anda sudah muak dengan rutin terbabit. 
Keadaan pejabat, kelas dan persekitaran yang tidak menyeronokkan antara punca untuk kita mengelak daripada ‘duduk’ lama di setiap lokasi disebutkan. Mungkin ada segelintir pernah terfikir tekanan ini membuatkan anda rasa seolah-olah mahu berhenti belajar atau menamatkan kuliah, tetapi ada kekangan tak dapat dielakkan. Sebagai contoh, keadaan ekonomi keluarga ataupun diri sendiri yang tidak kukuh, tidak ada sumber pendapatan lain antara sebab utama. Justeru, mahu atau tidak, kita terpaksa menghadapi isu yang sama setiap hari. 

Sebenarnya, dari sudut psikologi, banyak faktor mampu mendorong kita untuk kembalikan rasa seronok dalam diri walaupun dengan hanya mengubah sedikit rutin harian. Perwatakan, sikap diri, persekitaran antara elemen yang boleh diubah dan diperbaiki untuk kesenangan masa depan. Banyak cara boleh dilakukan untuk ‘tembusi’ rasa bosan ini. Baca dan cuba beberapa perkara menarik yang Gen Y kongsikan untuk anda.

Dilema waktu pagi 

Waktu pagi perlu dimulakan dengan emosi tenang, tetapi percayalah ia boleh dimusnahkan sekelip mata dengan perkara tidak diingini. Kesesakan lalu lintas, kemalangan, tertinggal barang di rumah, terlupa kunci pintu rumah, antara sebab boleh tukarkan rasa tenang menjadi marah dan tekanan. Sudahlah lambat sampai ke destinasi, orang sekeliling seolah-olah sengaja cari pasal dengan memandu melulu, ‘potong’ garisan waktu membeli tiket bas boleh bikin gaduh. 

Elakkan perkara ini mengganggu kosentrasi anda untuk ke tempat kerja atau kuliah, jika menggunakan kenderaan awam, baca novel kesukaan, pakai ‘mp3’ dan putarkan lagu kegemaran anda sepanjang perjalanan. Begitu juga bagi sesiapa yang memandu ke tempat kerja. Itu cara untuk buatkan rutin harian lebih menarik, sekali gus emosi tenang dibawa ke pejabat. 


Kreatifkan ruang sendiri 

Status pelajar ataupun bekerja pasti mempunyai ruang anda sendiri. Meja kerja anda adalah antara elemen yang mampu mempengaruhi emosi seharian. Bayangkan jika anda terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas selama berjam-jam hingga lambat tiba di pejabat walaupun keluar rumah awal, emosi akan lebih terganggu apabila melihat ruang kerja yang serabut. 

Selalunya kita akan diberikan sebuah meja kerja yang membosankan dan kecil. Oleh itu, maksimumkan kreativiti anda dengan mencipta dekorasi berbeza seperti lampu atau tanaman mini yang dapat memberikan rasa nyaman. Hal lain yang anda dapat lakukan adalah menjadi ‘pembersih tegar’. Bersihkan meja kerja atau ruang kerja jika anda bosan, hal ini akan mengisi waktu anda dengan cepat. Jika meja kerja sudah bersih, bersihkan fail berhabuk ataupun fail di dalam perisian komputer anda. 

Letakkan foto orang yang anda sayangi, pilih ‘screen saver’ gambar selebriti idola anda, atau pelapik tetikus bergambar haiwan comel. Tak ada salahnya meletakkan hiasan meja dengan cenderamata yang mengingatkan anda pada kenangan bercuti yang menyenangkan. Ketahuilah, meja kerja yang terlalu banyak ‘sentuhan peribadi’ pemiliknya boleh mengurangkan ciri profesional atau ‘skema’. 


Tak salah bermain 

Setiap orang mempunyai rutin harian berbeza, namun tak salah jika anda selitkan permainan antara masa bekerja ataupun belajar untuk buatkan diri lebih ceria. ­Timbulkan rasa seronok bekerja, sehingga anda tidak sedar masa berlalu. 

Jika kerja sudah siap, apa kata cabar diri anda. Tapi kali ini pilih untuk mencabar diri anda dalam satu permainan. Beribu permainan yang anda boleh pilih dari pelbagai sumber antaranya daripada telefon pintar jenis Android (google play), permainan komputer atau ‘play station’, ataupun apa saja permainan video di dalam ‘Aps Store’ (Iphone). 

Sekiranya anda bukan seorang yang ‘gila gadjet’, tak salah untuk beli satu set permainan chess ataupun sodoku untuk diletakkan di pejabat. Penulis percaya pasti ramai rakan yang mengalami masalah sama, jadi, permainan anda ini pasti akan mendapat sambutan menggalakkan! 


Berborak 

Tidak semua orang dilahirkan dengan sikap positif sepanjang masa. Penulis percaya dalam kalangan rakan kuliah atau sepejabat pasti ada yang senasib dengan anda. Jika orang berhampiran anda kelihatan sama bosan, mulalah berbual kosong ataupun topik menarik untuk mengisi kebosanan sementara. Tentunya hal ini harus dilakukan dengan hati-hati agar tidak mengganggu suasana pejabat. Jangan pula asyik bercerita hingga ketawa terlalu kuat dan mengganggu orang lain. 

Jika anda bosan sendirian sedangkan orang lain sibuk dengan kerja mereka, apa kata anda cuba ringan tulang untuk membantu. Mungkin dengan melakukan skop kerja berbeza mampu mengganggu sebentar rasa bosan. Selain mampu mengisi kebosanan, situasi ini juga boleh mengeratkan lagi hubungan dengan rakan. 


Cari kerja baru 

Anda sudah melakukan semua hal di atas, tetapi tetap rasa bosan dengan pekerjaan sekarang. Bagi mereka yang sudah bekerja, jangan terlalu tegas kerana mungkin tidak ada yang salah dengan diri anda. Cuma, ada kemungkinan pekerjaan itu tidak sesuai dengan perwatakan dan cita rasa anda. Justeru, sudah sampai waktunya untuk ucapkan selamat tinggal kepada rasa bosan itu untuk selamanya, iaitu keluar dari pekerjaan dan mencari pekerjaan baru yang lebih menyeronokkan! 

Ada pendapat mengatakan jika berasa bosan kerja dalam tempoh lama, maka itu sudah tiba waktunya anda pertimbangkan alternatif ini. Tapi, perlu tahu akibat sisi baik dan buruknya. Jika ada yang memandang sini, katakan pada diri, bukan kawan-kawan anda yang bayar gaji. Untuk menjadi individu yang cemerlang, perlu komited dengan apa yang anda lakukan, rajin dan belajar kemahiran lebih dari bidang tugas sedia ada yang diperlukan. Paling penting, lakukan dengan rasa gembira tanpa dipaksa!

Jimatkan duit

Bagi kamu yang baru saja bekerja dan dapat menikmati pendapatan sendiri buat kali pertama, pastinya dorongan untuk membeli pelbagai keperluan itu kadangkala keterlaluan. Oleh itu, apa kata belajar dulu cara untuk menyimpan duit dengan mudah dan paling penting memastikan kewangan anda stabil manakala wang tidak dibazirkan pada sesuatu yang tidak berfaedah.
Gen Y ingin berkongsi sedikit tip dalam hal ini. 
1. Uruskan hutang terlebih dulu - Jika anda terlalu banyak berhutang, itu menyukarkan anda untuk menjadualkan perbelanjaan bulanan. Ia juga akan mengganggu kewangan seterusnya menyebabkan anda gagal untuk menyimpan lebihan wang kerana beban hutang yang keterlaluan. 

Apa kata dengan duit dalam tangan, bayar dulu hutang yang tertunggak mengikut kemampuan dan pada masa yang sama, elakkan dari berhutang pada masa hadapan.

2. Beli mana yang patut - Seterusnya, jadualkan terlebih dulu perkara perkara dan barang yang ingin dibeli dalam tempoh sebulan. Mungkin anda ingin membeli telefon pintar baru maka perlu buat perancangan yang bijak agar tidak muflis. 

Paling ideal adalah dengan membeli sesuatu yang menjadi keperluan dulu seperti barang dapur, pakaian dan juga makanan. 


3. Tetapkan masa - Untuk menjadikan diri anda lebih bermotivasi dan dedikasi, apa kata tetapkan masa yang perlu diperuntukkan untuk mencapai sesuatu sasaran. Misalnya, anda ingin membeli kereta dan rumah baru. Tetapkan bila tarikh akhir untuk mencapai sasaran itu. 

Dengan cara ini, anda boleh menyimpan duit untuk masa akan datang bagi mencapai objektif itu.


4. Simpan rekod - Jangan lupa untuk menyimpan rekod kewangan untuk menilai sebanyak mana wang yang dibelanjakan dalam sebulan. Adakah ia berbaloi ataupun sebaliknya. Memandangkan anda bebas melakukan pilihan, catat segala perbelanjaan mingguan dan bulanan dalam nota. 

Senaraikan semua perbelanjaan bukan hanya yang kecil kecil saja. Letakkan juga kategori bagi setiap perbelanjaan seperti sewa rumah, ansuran kereta dan sebagainya.

Cantik vs sakit

Kebanyakan gadis sanggup menahan sakit dalam diam semata-mata ingin kelihatan bergaya terutama dalam menggayakan kasut tumit tinggi masing-masing. Tapi tak guna kalau tahan sakit, tapi masih gagal menarik perhatian lelaki kerana penggunaan stiletto ada caranya. Apa kata ikuti tip yang dikongsikan MURSHID EUNOS bagi gadis dalam memilih stiletto paling sesuai dengan penampilan kamu.
Kasut tumit tinggi, terutamanya ‘stiletto’, tidak pernah asing dari dunia fesyen sebenar. Malah tidak dinafikan, penggunaan stiletto atau sesiapa saja yang menggayakannya akan berjaya memberi kelebihan dalam menarik perhatian orang sekeliling atau mata yang memerhati. 
Ini kerana ia menyerikan lagi penampilan seseorang selain menambahkan ketinggian seseorang gadis untuk tampil lebih yakin dengan busana yang menjadi pilihan. Lelaki ada fantasi tersendiri apabila melihat gadis yang menggayakan stiletto mereka. 

Bagaimanapun perlu diingatkan yang stiletto boleh meninggalkan kesan tidak selesa, sakit atau melecet jika salah penggunaannya. Kenapa perlu sakit sedangkan ada cara yang betul untuk mengenakannya?

Memang benar, kasut bertumit tinggi pelengkap gaya seseorang wanita. Selain rekaannya yang cantik, kasut tumit tinggi membuatkan wanita berdiri dengan gaya menawan berbanding berkasut rendah. Malah, ia menambah sentimeter pada si pemakai agar kelihatan setanding dengan supermodel yang berjalan di pentas peragaan.

Sekali gus, ia meningkatkan keyakinan diri dan membuatkan si pemakainya lebih menarik. Bagaimanapun, ada fakta tidak boleh disangkal yang penggunaan kasut tumit tinggi ini sebenarnya boleh merosakkan badan si pemakainya jika tidak pandai. 

Selain kecenderungan yang tinggi untuk terseliuh di bahagian buku lali, pelbagai lagi masalah disebabkan oleh kasut bertumit tinggi seperti radang saraf dan ligamen, sakit pada belakang buku lali, otot betis memendek dan sakit belakang yang kronik. 

Kesan dan akibat adalah sesuatu yang selalunya sudah pun diketahui kebanyakan gadis yang memilih untuk memakainya. Tapi kesilapan yang acap kali berlaku adalah pemilihan stiletto yang silap kepada gaya yang sedang diperagakan. Itu lebih menakutkan. 

Malah, lebih perlu diberi perhatian adalah jenis dan konsep stiletto itu agar ia memberi keyakinan lebih kepada gaya kamu. Jangan salah beli dengan mendapatkan warna yang tidak sesuai atau kualiti yang langsung tidak serasi dengan diri kamu sendiri. 

Justeru apa kata kamu pastikan beberapa perkara sebelum mendapatkan stiletto pilihan hati. Jika kamu seorang penggemar kasut tumit tinggi, jangan salah pilih produk sebaliknya pilih mana yang bersesuaian untuk keselesaan. 

Kasut tumit yang lebih sempit dan ‘stiletto’ adalah lebih bersesuaian dengan mereka yang berbadan langsing dan disertai dengan fesyen yang lebih ke arah ‘slimming look’. Bagi kamu yang berbadan lebih besar, cuba pilih kasut tumit yang lebih tebal tapaknya untuk keseimbangan dan kesesuaian. 

Pilih warna dan gaya yang sesuai dengan kamu. Paling penting, warna yang dipilih haruslah bersesuaian dengan fesyen yang digayakan. Hitam adalah warna yang boleh digayakan dengan apa saja warna pakaian. Jika salah pilih, kamu akan dikritik sebagai mangsa fesyen. 

Disebabkan pemakaian kasut tumit kadangkala merumitkan, pilih saiz yang sesuai dengan kaki. Ambil masa untuk cuba setiap satu kasut tumit. Untuk kesan yang lebih baik, berdiri tegak selepas memakai kasut tumit yang dipilih. Seterusnya, cuba berdiri dengan memberikan tekanan pada jari kaki agar ada sekurang-kurangnya satu inci ruang di bawah tumit. 

Jika tidak mampu, ia bermakna tumit itu terlalu tinggi dan kamu tidak patut memakainya. 

Seterusnya, cuba gayakan kasut itu di rumah dan cuba berjalan selama 15-30 minit dalam satu masa dan kemudian tanggalkannya seketika. Ketika berjalan, pastikan tumit itu lurus dan tidak bengkok kerana kamu mungkin alami kemalangan. 

Belajar untuk memusingkan kasut tumit itu dengan berhati-hati agar tidak terjatuh. Jangan gunakan kasut tumit dengan terlalu kerap jika kamu seorang yang gemar berjalan. Banyak kesakitan pada kaki dan lutut berpunca dari pemakaian kasut tumit yang berpanjangan. 

Setiap kali menanggalkan kasut tumit, urut kaki kamu selama beberapa minit.

Gajet membunuh

Kebelakangan ini, sering kali kita melihat pelbagai gajet canggih seperti telefon pintar dan tablet dicipta. Keluarannya di pasaran bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Bagi pengguna yang sentiasa mengikuti perkembangan keluaran gajet canggih pastinya merasa ketinggalan jika tidak memiliki gajet tersebut.
Namun, ada juga yang merasakan cukuplah mereka mempunyai satu gajet saja, tidak perlu terlalu mengikut trend gajet terbaru yang ada di pasaran kini. Memang tidak dinafikan, penggunaan gajet canggih sememangnya banyak membawa kelainan dan nafas baru dalam dunia komunikasi kini. 
Namun sedarkah kita, di sebalik keghairahan pengguna menggunakan gajet ini telah menyebabkan mereka menjadi seorang yang antisosial?

Antisosial adalah wabak yang semakin menular dalam kalangan masyarakat kini. Jika dulu kita lihat masyarakat lebih mesra bertegur sapa, namun kini mereka lebih rela ‘membayar’ untuk memulakan interaksi. Wabak ini berlaku apabila masing-masing lebih mesra berinteraksi di alam maya berbanding berinteraksi dengan rakan yang berada di sekeliling.

Antisosial boleh terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor utama berlakunya masalah ini pastinya adalah kerana keghairahan pengguna gajet canggih menggunakannya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Masalah antisosial bukanlah satu perkara baru, malah ia pernah dibincangkan dalam sebuah artikel pada tahun 2013 bertajuk Anti Sosial di Pagi Syawal menyatakan, remaja lebih senang bersendirian dan berinteraksi bersama gajet seperti telefon bimbit dan komputer riba berbanding masyarakat sekeliling.

Namun sehingga kini, masalah antisosial masih tidak dapat diatasi rentetan daripada peningkatan jumlah pengguna telefon pintar daripada 47 peratus pada 2012 kepada 63 peratus pada 2013. Selain itu, jumlah penggunaan tablet juga turut menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 14 peratus kepada 39 peratus.

Jika dulu penggunaan telefon pintar dan gajet canggih hanya menular dalam kalangan warga korporat dan kaya, namun kini sesiapa saja mampu memilikinya. Kepintaran gajet ini bukan saja dilengkapi dengan aplikasi untuk berinteraksi, malahan ia turut boleh dilengkapi dengan keperluan yang khusus untuk pekerjaan, hiburan atau perniagaan, pembelajaran dan lain-lain.

Semua aplikasi ini sangatlah mudah untuk diperoleh dan ini sekali gus menggalakkan penggunanya lebih cenderung untuk berinteraksi melalui alam maya saja. Mereka tidak lagi hiraukan keadaan sekeliling apabila menggunakannya dan kesannya menyebabkan ikatan persahabatan boleh menjadi renggang.

Faktor yang kedua pula adalah didikan ibu bapa terhadap anak-anaknya. Institusi keluarga memainkan peranan penting dan amat besar dalam pembentukan sahsiah diri dan akhlak anak-anak dari peringkat awal. Melihat kepada situasi kini ramai ibu bapa yang berkerjaya mampu membelikan anak-anak mereka gajet canggih seperti tablet dengan tujuan untuk meningkatkan dan membantu proses pembelajaran mereka.

Anak-anak kecil yang sepatutnya menghabiskan masa mereka dengan membaca, menjadi semakin leka dengan aplikasi permainan yang ditawarkan dalam gajet tersebut. Remaja pula yang sepatutnya sibuk menelaah pelajaran sebagai persiapan menghadapi peperiksaan semakin leka dengan aplikasi laman sosial yang ada dalam telefon pintar.

Hal ini akan menyebabkan dunia anak ini hanya tertumpu dalam dunia maya saja tanpa menghiraukan orang lain. Seterusnya faktor yang ketiga pula adalah disebabkan keselesaan berinteraksi dalam laman sosial menggunakan gajet canggih.

Dapat kita lihat sekarang, bagaikan menjadi satu trend semasa apabila setiap perlakuan yang dilakukan akan diberitahu dalam laman sosial yang ada dalam telefon pintar mereka. Pengguna tanpa segan silu meluahkan perasaan cinta, marah, sedih mahupun gembira kepada orang awam.

Keselesaan mereka berinteraksi secara maya adalah kerana tidak perlu bertemu muka dan mendengar suara orang lain sehingga ada kalanya mereka boleh dilabel antara golongan yang hebat dalam mengeluarkan hujah dan fakta. Namun hakikatnya dalam dunia realiti, mereka bagaikan bisu dan mula berasa kekok apabila perlu bertemu dengan orang ramai, dan ini menjadi tanda bahawa mereka adalah seorang antisosial.

Sudah menjadi lumrah, setiap perkara pasti akan memberi kesan kepada penggunanya. Ada kala kesan tersebut negatif dan ada kalanya positif. Hal yang sama juga boleh berlaku dengan penggunaan gajet canggih yang popular kini. Memang tidak dinafikan dengan adanya gajet canggih, ia memberikan pelbagai kemudahan dalam berhubung walau di mana saja penggunanya berada.

Pengguna bukan saja boleh bercakap melalui telefon, malah turut boleh membuat panggilan video. Pelbagai aplikasi mesej seperti WhatsApp, Line dan pelbagai lagi turut ditawarkan kepada pengguna. Tidak ketinggalan juga terdapat aplikasi mesej ringkas dalam bentuk suara seperti We Chat.

Kesan utama yang dapat kita lihat adalah menularnya wabak antisosial. Remaja era baru terlalu fanatik dengan pelbagai gajet canggih yang boleh mengakses Internet seperti telefon pintar atau komputer riba membolehkan mereka melayari pelbagai jenis laman sosial tanpa had waktu.

Peranan mulut untuk berbual kini diambil alih pula oleh jari yang sibuk menari-nari di atas skrin telefon pintar dan gajet canggih masing-masing. Mereka lebih rela memandang skrin telefon daripada berbual mesra dengan rakan di sekeliling.

Jika wabak ini tidak cuba dikikis dari awal, ia pastinya akan menggugat keharmonian dalam persahabatan mahupun keluarga. Maka timbul pula perang di alam maya apabila masing-masing cuba meluahkan rasa tidak puas hati. Begitu juga situasinya dalam institusi kekeluargaan.

Malah hal ini juga akan menimbulkan masalah komunikasi kepada anak-anak yang sedang meningkat dewasa. Kebanyakan kanak-kanak yang bermain gajet berseorangan, jadi secara tidak langsung ia akan menjarakkan hubungan bersama kawan yang lain, menjadi antisosial, sedangkan pada usia tujuh hingga 11 tahun, mereka perlu bergaul dan mengeratkan silaturahim.

Apabila keadaan ini berlaku, nilai murni dalam kalangan mereka sudah tiada. Mereka enggan bergaul, lebih teruk lagi kesihatan akan terjejas terutama mata kerana terlalu kerap dan lama melihat gajet. Kanak-kanak ini juga kurang didedahkan dengan dunia luar, maka ia akan menjejaskan tahap keyakinan mereka bersama keluarga dan masyarakat.

Hal ini jelas menunjukkan anak yang membesar dengan gajet canggih pastinya akan menyebabkan interaksi mereka dengan keluarga akan berkurang dan lama kelamaan akan menyebabkan mereka menjadi antisosial. Kanak-kanak yang didedahkan kepada gajet canggih juga mengalami proses kesukaran memberi fokus dalam pembelajaran, perkembangan minda serta berpontensi mengalami masalah autisme.

Hal ini adalah kerana kanak-kanak ini lebih banyak menguasai visual iaitu perbuatan melihat berbanding auditori iaitu mendengar. Selain itu mereka juga berpotensi untuk mendapat masalah kesihatan terutamanya pada aspek penglihatan dan ketegangan urat saraf dalam tempoh jangka panjang.

Risiko mendapat obesiti juga berkemungkinan boleh dihidapi oleh mereka ini memandangkan hanya pergerakan yang tertentu saja digunakan ketika bermain peralatan gajet canggih ini. Melihat kembali kesan gajet kepada anak remaja yang sering kali menjadikan aplikasi di dalam telefon pintar mereka sebagai medium untuk berkongsi apa saja yang sedang dilakukan, hal ini juga boleh memberikan kesan negatif kepada mereka.

Kecenderungan anak remaja yang menjadikan laman sosial dan dunia Internet canggih sebagai medium untuk meluahkan perasaan telah membuka ruang untuk lelaki si hidung belang memperdayakan mereka. Mana tidaknya, baru ‘chatting’ dua tiga kali sudah berani untuk keluar bersama. Ramai remaja yang tidak berfikir dulu kesannya dan apabila terjadi sesuatu yang tidak diingini barulah perasaan menyesal timbul.


Siapakah yang harus dipersalahkan

Seharusnya kita tidak perlu menuding jari mencari salah siapa, tetapi apa yang penting adalah mencari langkah agar masalah ini dapat dibendung. Langkah utama dalam membendung masalah ini bermula dari institusi kekeluargaan. Institusi kekeluargaan adalah faktor penting dalam membentuk sahsiah anak-anak.

Ibu bapa tidak seharusnya menjadikan alasan sibuk bekerja sebagai cara untuk mengelakkan diri daripada mengambil berat hal anak-anak. Penyediaan gajet canggih kepada anak-anak bukanlah satu perkara yang salah, namun sebagai ibu bapa yang bijak haruslah rajin memantau penggunaan gajet tersebut selain mengurangkan masa penggunaan gajet oleh anak-anaknya.

Langkah ini untuk kebaikan mereka juga yang pastinya akan memberikan persekitaran positif dalam tumbesaran mereka. Sebagai ibu bapa yang juga adalah ketua keluarga, mereka seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu keibubapaan yang tinggi agar dapat mendidik dan membentuk anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.

Ibu bapa juga haruslah tegas dan tidak berkompromi dengan anak-anak yang mudah leka bermain permainan maya mahupun bersosial di alam maya menggunakan gajet canggih mereka. Keperluan ibu bapa untuk mendekati dan mengetahui masalah anak-anak juga perlu agar mereka tidak dihimpit kesunyian sehingga menyebabkan timbulnya luahan perasaan di laman sosial.

Masalah antisosial pula boleh diatasi dengan cara mengharamkan penggunaan telefon pintar mahupun gajet canggih ini ketika berada bersama keluarga dan juga rakan-rakan.

Sebagai kesimpulan, penggunaan gajet canggih dalam dunia yang semakin meningkat maju ini adalah bagus kerana ia menjadikan penggunanya sentiasa ke hadapan dalam mengikuti perkembangan semasa. Namun harus diingat bahawa penggunaan dan pendedahan terhadap peralatan canggih ini akan menyebabkan berlakunya wabak yang semakin membimbangkan kita iaitu wabak antisosial.

Jadi sebagai pengguna, kita haruslah bijak menggunakan telefon pintar dan peralatan canggih ini dengan cara yang betul agar tidak tenggelam dan leka dengan keseronokan yang dibawakan dalam dunia canggih ini.