Lihat ke dalam diri kita dan lihatlah DNA kita yang sedang diputarkan, sentiasa berputar, lihat pula sel-sel kita, sel darah, sel rambut, semuanya sedang bergerak. Pada hakikatnya digerakkan oleh Allah, pada hakikatnya Allah yang sedang menggerakkan semuanya. Rasa pula denyutan nadi kita, ada yang sedang mengepam jantung kita. Ya. Dia itu Allah, yang sedang mengepam jantung kita. Tidak mungkin jantung itu mengepam sendiri. Ada yang mengepamnya yakni Allah. Allah meliputi semuanya. Allah meliputi kita. Allah Maha Dekat. Berhenti sejenak dan rasakan dekatnya Allah itu.
Di televisyen saya lihat begitu ramai orang membanjiri Dataran Merdeka. Menghitung 10 .. 9 ... 8 ... 7 ... sebagai menghargai detik tahun baru yang akan datang. Saban tahun kita menyambut ketibaan tahun baru. Kita punyai tahun-tahun baru ini kerana adanya bumi yang berputar. Kita merasakan ada hari ini dan hari esok kerana adanya bumi ini.
Sekarang cuba hilangkan bumi ini. Bayangkan kita hidup tidak ada bumi ini, tidak ada putaran bumi. Adakah hari esok? Adakah hari ini? Pasti tidak ada. Yang ada hanya sekarang. Aku tetap di sini sekarang. Saban tahun, umur kita meningkat kita merasakan umur meningkat kerana ada hitungan tahun, jasad pun semakin berubah. Dari kecil sehingga menjadi remaja dan kemudian dewasa dan akhirnya tua tapi kita bukan jasad ini. Jasad ini hanyalah karungan sahaja bagi jiwa dan ruh kita.
Jasad ini sama seperti ciptaan Allah yang lain, contohnya seperti buah limau, akhirnya dia akan tua dan busuk. Nah, cuba juga hilangkan jasad ini. Perhatikan jiwa dan ruh kita. Dia tidak melalui proses tua atau muda, bila jasad sudah tidak berfungsi (sudah mati), jiwa dan ruh tetap ada tetap di sini. Maka pada hakikatnya, aku tetap di sini. Aku yang sebenarnya tidak terbatas oleh ruang, masa, sempadan.
Aku tetap bersama dengan Tuhanku di sini. Aku tetap di sini sebagai hamba-Nya. Aku tetap di sini sebagai milik-Nya.
Saya mengelirukan anda? Maaf kalau anda tidak memahaminya. InsyaAllah semoga satu hari anda akan faham. Bagi sahabat yang sudah memahami hakikat ini dan yang dapat memahaminya dari tulisan saya ini, maka kefahaman ini sangat penting di dalam kita berhadapan dengan Allah samada dalam solat atau pada bila-bila masa. Kefahaman ini akan melahirkan rasa ihsan yang berterusan dalam hidup kita. Allah yang sangat dekat dan berada bersama kita di sini.
No comments:
Post a Comment