Kisahnya adalah psikologi. Antara dua makhluk yang berlainan, tinggal dalam satu perjanjian teguh yang dinamakan pernikahan. Buku ini banyak mengajar akibat apabila komunikasi yang tidak berkesan berlaku. Juga kegagalan suami atau isteri memahami gerak tingkah laku pasangannya. Semuanya boleh jadi satu kelebihan andai masing-masing pandai mengendalikan.
Saya ambil contoh, dalam salah satu bab yang diceritakan dalam buku ini adalah bagaimana lelaki perlu memahami cara sudut wanita menafsir hadiah yang telah diberikan pada mereka.
Penulis buku tersebut mengatakan, apabila seorang suami membawa isteri dan anak-anaknya melancong dan telah berhabis banyak duit itu semua satu kecukupan. Tidak perlu memberi lagi hadiah lain dalam satu tempoh tertentu. Tetapi pandangan ini silap, andai kata suaminya memberikan sejambak bunga ros pada selang seminggu selepas tarikh bercuti ianya adaah sama nilainya di sisi seorang isteri.
Begitu juga sifatnya apabila seorang suami membayar wang ansuran bulanan. Jangan fikir isteri akan segera memahami dan tidak meminta apa-apa lagi, lalu memang apa-apapun suami tidak beli atau hadiahkan. Paling kurang hadiah sesuatu, atau belikan sesuatu walaupun perkara itu seremah sejambak bunga. Percayalah dengan komunikasi berkesan, maka kedua-dua akan faham dan saling bersama-sama untuk membaiki diri sendiri.
Berkahwinlah untuk banyak memberi berbanding menerima
Itulah perjanjian teguh yang disebut Allah di dalam kalam sucinya hanya pada 3 tempat. Dalam surah An-Nisa' ayat 154 ketika Allah mengangkat bukit Tsur di atas kepala Bani Israel dan menyuruh mereka bersumpah setia dengan Allah Taala. Kedua, dalam surah Al-Ahzab ketika Allah Taala mengambil perjanjian teguh ke atas Nabi Muhammad SAW dan Rasul Ulul Azmi dan ketiga pada surah An-Nisa' ayat 21 tentang hubungan pernikahan.
Bagi seorang suami, apa-apa yang diinfakkan untuk isteri dan keluarganya adalah satu sedekah yang tinggi nilainya di sisi Allah Taala. Jika isteri adalah seorang yang suka meminta yang tidak patut, seorang suami seharusnya memahamkan melalui sikap dan tingkah laku mereka. Seseorang pernah menasihatkan saya, teguhkanlah perjanjianmu dengan isteri pada malam pertama perkahwinan. Tetapkan halatuju perkahwinan yang didambakan dan anak-anak yang bakal membesar dalam lingkungan didikan perkahwinan ini. Terangkan pada isteri, nantinya walau Allah Taala memberi rezeki yang banyak, tetapi itulah bukan tujuan pernikahan ini. Kerana cita-cita tertinggi itu adalah syurga Allah Taala, yang perlu sama-sama suami isteri cita-citakan. Dan demi cita-cita ini tidak mustahil Allah Taala berikan sedikit ujiannya.
Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah ayat 155)
Bagi seorang isteri, jangan memungkiri perjanjian yang teguh ini. Kerana apabila seorang suami berbesar hati untuk memberikan mahar, bermakna mereka menghargai dirimu sendiri. Eratnya tangan suami mengenggam saat nikah begitulah teguhnya hati untuk menerima tanggungjawab ini. Berazamlah untuk banyak memberi juga, kerana perjanjian ini juga membantu kamu untuk meraih syurga.Apa yang diperlukan adalah sekeping hati
Dalam diri seorang lelaki yang bakal menempuh hari-hari perkahwinannya, tiada lain yang pemberian seorang isteri, atau perkara yang paling menggembirakannya selain sekeping hati seorang isteri. Hati tulus yang sanggup dan bersedia berada di sisi mereka saat senang, dan tentunya hati itu bakal menguatkan di kala kesusahan. Hati yang berbunga saat sama-sama ketawa dan hati yang sama-sama bersimpati saat mengalami muram durja.
Inilah kemulian seorang isteri yang paling menggembirakan. Sehinggakan kebaikan ini tergambar dalam kata-kata Nabi SAW saat memuji Saiditina Khadijah,
"Dia adalah seorang wanita yang terbaik,kerana dia telah percaya dan beriman kepadaku di saat orang lain masih dalam bimbang keingkaran, dia telah mengorbankan semua harta bendanya ketika orang lain mencegah kemurahannya terhdapku, dan dia telah melahirkan bagiku beberapa putera-puteri yang tidak ku dapatkan dari isteri-isteri yang lain"
Kerana Baitulmuslim itu menguatkan, maka suami isteri yang kuat dan sentiasa mencari redho Allah SWT akan menjadi permata berharga buat masyarakat dan meneguhkan ummat.
No comments:
Post a Comment