ada suatu hari, burung-burung berkicauan, ada yang bekerja, ada yang bergembira.. indahnya pemandangan yang dilatari sawah padi yang menghijau saujana mata memandang.
Mendamaikan mata yang melihat dan menyejukkan hati yang menikmatinya. Subhanallah. Meskipun begitu, Usop masih termenung keseorangan di tepi parit ditemani kesedihan dan kekesalan sambil matanya terarah kepada Pak Jabit yang sedang memancing.
"Termenung apa tu Usop?!" Pak Jabit menegurnya.
"Tiada apa-apalah Pak Jabit, sedang melayan hati yang lara je ni.."
"Laaa tengah sedih ke? Kenapa? 'Ce cite ce cite'," soal Pak Jabit sambil tersengih melihat gelagat Usop.
"Panjang 'cite'nya Pak Jabit.. Saya cuba pendekkan ye.. Saya sebenarnya benar-benar terguris dengan sikap Hussien. Hussien telah memburuk-burukkan diri saya kat orang kampung meskipun saya selalu bersangka dan berbuat baik pada dia. Pernah dulu, orang kampung ada yang memburuk-burukkan nama Hussien tetapi saya sebagai seorang kawan menafikan tohmahan-tohmahan itu.. tetapi sekarang.. hm.. 'sabor jelah'," balas Usop menceritakan hal yang membuatkan hatinya kecewa.
Pak Jabit terus mendekati Usop sambil membawa beberapa ikan yang berjaya ditawannya.
"Usop, tersenyumlah! Meskipun dalam senyuman itu mungkin tersimpan kelukaan hati, tersorok kesakitan jiwa. Kesenangan, kebahagiaan, kegembiraan, kesedihan, kekecewaan dan kedukacitaan adalah sesuatu yang biasa dialami manusia. Apabila memperolehi sesuatu yang menggembirakan daripada keenakan dunia maka manusia akan berasa senang dan gembira.
Sebaliknya ketika mendapat sesuatu yang tidak diingini maka manusia merasa sedih dan kecewa. Kamu tidak perlu terkejut ketika menghadiahkan sebatang pena kepada seseorang, lalu ia memakai pena itu untuk menulis cemuhan kepada kamu dan kamu juga tidak perlu terkejut dengan apa yang terjadi ini.
Inilah sikap manusia. Jangan bersedih, sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita. Berharaplah pada redha Allah semata-mata. Nescaya Usop mesti tak kecewa.
Sebab apa? Sebab Allah tidak pernah mensia-siakan segala kebaikan yang kita buat walaupun seberat zarah sepertimana firman-Nya dalam surah az-Zalzalah ayat 7 dan 8;
"Maka barangsiapa mengerjakan kebajikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat(balasan)nya, dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat(balasan)nya. Malah jika kita ikhlas berbuat kebaikan semata-mata kerana-Nya diganjarkan pahala kepada kita."
Baikkan Allah?"
Usop mengangguk tanda setuju..
"Tidak seperti manusia. Kadang-kadang macam situasi Usop ni. Seolah-olah melepaskan anjing yang tersepit, tetapi apapun Usop, tidak perlulah bersedih mengenangkan peristiwa yang sudah lalu kerana angin pun akan terus berhembus ke depan dan air pun terus mengalir ke depan..
Jadi lagi baik Usop sabar dan terus tabah. Pandanglah ke hadapan, usirkanlah kesedihan. Allah Yang Menciptakan segala-galanya pun ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan oleh manusia tidak berakal yang ingkar kepada-Nya. Nabi Muhammad S.A.W yang mulia itupun ada yang membenci serta mengejinya.
Inikan pula kita yang hanyalah seorang hamba-Nya yang biasa, yang pasti penuh kekhilafan. Anggap sajalah segala apa yang dikatakan Hussien itu satu kritikan yang membina. Anggap saja ini teguran dari Allah.
Jangan bersedih, kerana kesedihan kamu terhadap musibah ini akan melahirkan pelbagai musibah lainnya. Ketika kamu sedih dengan perkara ini, bukankah kesedihan itu hanya akan menambah kedukaan kamu itu?
Bersabarlah walaupun hatimu disakiti. Maafkan sahajalah si Hussien tu. Janganlah biarkan kegundahan yang disebabkan pandangan manusia kepada kita terus menyedihkan kita tetapi hakikat yang patut kita sedar pandangan Allah kepada kitalah yang perlu dan sangat kita gundahkan.
Insya-Allah apabila Allah redha pada kita, hati pasti lebih bahagia?" Sambung Pak Jabit untuk menenangkan hati Usop.
"Terima kasih Pak Jabit! Alhamdulillah tenang hati saya mendengar nasihat Pak Jabit ni. Tidak macam doktor pencen, macam ustaz Pak Jabit ni." Ujar Usop sambil tersenyum memandang Pak Jabit.
"Sama-sama.. bukan ustaz.. Alhamdulillah apa yang Pak Jabit belajar dari ustaz-ustaz, Pak Jabit kongsikanlah pada kamu. Ini pun Pak Jabit masih seorang doktor lagi lah ni. 'Doktor hati' yang sedang merawat kamu. Merawat hati yang kecewa dek tingkah laku manusia hingga lupa ganjaran yang ada di sisi Allah itu lebih baik dan membahagiakan.. Kamu pun, cubalah rajin-rajinkan sikit belajar agama. Ini tak... Asyik-asyik 'english education je'... ok?"
"Baiklah Pak Jabit, insya-Allah akan saya usahakan."
"Hmm.... tapi kan usop..," Pak Jabit melontarkan satu persoalan.
"Tapi apa? 'Ce cite ce cite'..,"soal Usop penuh penasaran
"Hmm. Pak jabit terfikir. Yelah. Terkadang rasanya sikap Hussien itu ada juga dalam diri ini. Usop hamba Allah, Pak Jabit juga hamba Allah dan semua insan tidak kira siapapun, sehebat mana pun dia, setinggi mana dia, tetap hamba Allah.
Kita diberi pelbagai kenikmatan, diberi oksigen untuk bernafas, diberi tubuh badan yang sihat, dianugerahi akal, senang cerita semua nikmat Allah bagi pada kita.
Tetapi kebanyakannya dosa, keingkaran dan kelalaian kepada dunia pula yang banyak kita balas kepada Allah. Selepas tu, kita kata pula kita hendak dan sangat menginginkan syurga-Nya.. Ya Allah, bila renung balik... Pak Jabit malulah pada Allah.. Malu semalu-malunya.."
"Hmm betul tu Pak Jabit. Insaf pula rasanya... Ya Allah berapa banyaklah amalan kebaikan yang telah saya lakukan ini diredhai Allah.." Sambut Usop mengiakan celoteh Pak Jabit.
"Sama-samalah kita muhasabah diri kita, yang baik kita tambah, yang tidak baik kita tolak. Sambil Pak Jabit menasihat kamu ni, Pak Jabit pun mengingatkan diri Pak Jabit sendiri yang penuh dengan kekhilafan. Moga Allah redha... dah jom balik, dah nak maghrib ni. Lepas ni jom siap-siap pergi berjemaah magrib di masjid.." ajak Pak Jabit.
"Insya-Allah. Baiklah Pak Jabit.. 'thanks' bebenor lah ye," sambut Usop sambil tersenyum simpul.
No comments:
Post a Comment