Ya Illahi,
Tidak pernah kuharapkan,
Selain dari keredhaanmu buat diri ini.
Ya Illahi,
Tidak syurgamu yang kuingini,
Setelah kini ku sedari,
Segala yang kulakukan tiada yang sempurna,
Kerana Engkau yang Maha Sempurna,
Bagaimana mungkin aku mampu melakukan yang terbaik,
Sedangkan yang kulihat dalam segenap wajah,
Engkaulah yang Maha Wujud, Maha Ada,
Bagaimana mungkin ku mengharapkan pahala,
Sedang Engkau yang memiliki ku dan segenap gerakku,
Segalanya atas izin-Mu,
Maka siapakah aku untuk mengatakan aku layak ke syurga-Mu.
Ya Illahi,
Engkau jauh lebih indah dari apa yang ku lukiskan dalam kehidupanku tentang keindahan-Mu,
Bagaimana mungkin aku mampu menggapai-Mu Ya Allah,
Bagaimana mungkin cinta-Mu bertakhta dihati ini,
Sedang cintaku kepada keindahan nafsuku,
Tidak pernah sedikit pun mampu ku hindari,
Maha Suci Engkau Ya Allah,
Jauh Maha Tinggi dari segala kerendahan yang kami pamerkan kepada-Mu.
Maha Benar Engkau Ya Rabbi,
Benar syurga itu indah,
Tapi Maha Indah lagi Engkau Ya Rabbi,
Maha Indah hinggakan aku tidak perlu menginginkan syurga-Mu di sana,
Sedang di dunia ini sudah terhampar segala keindahan-Mu,
Adakah perlu aku mendustakan-Mu,
Mereka menyangka dengan melihat syurga-Mu di sana, mereka akan bahagia,
Bagaimana mungkin Ya Rabbi, sedang hakikat syurga dan neraka itu ada di sini,
Segalanya ada di sini,
Cuma hati ini yg buta dari melihat hakiki.
Andai diri ini,
Tidak mampu mendapat pandangan-Mu walau sesaat,
Tidak layak untuk mendapat kasih sayang dan cinta-Mu,
Maka aku mohon kepada-Mu,
Andai tiada syurga buatku sekalipun,
Izinkan aku menjadi butiran debu yg melekat di kaki kekasih-Mu Muhammad kelak,
Menemani Rasullulah ke mana pun kakinya berjalan di syurga-Mu,
Itu sudah cukup membahagiakan ku Ya Rabbi,
Sudah cukup membahagiakan ku.
Sungguh tidak pernah ku harapkan apa-apa selain dari-Mu,
Selain dari pandangan-Mu, pandanglah aku walau sesaat,
Kerna itu sudah cukup membahagiakan ku Ya Rabbi.
No comments:
Post a Comment