Pagi yang ditiup angin saat menunaikan solat Subuh,
Sejuk sungguh angin pagi,
Enaknya jika nafsu dilayan untuk tidur,
Alhamdulillah kekuatan iman melepasi nafsu,
Saat tiba rumah Allah, senyuman terukir melihat warga emas,
Pagi-pagi bersemangat,suara yang lantang dan jelas...
Membincangkan hal-hal dan bicara khabar disaat menunggu azan.
Namun terdetik dihatiku...
Ke manakah pemuda-pemuda Islam?
Ke mana mereka pergi?
Di manakah mereka bersolat?
Tidak kira mana-mana masjid pun kebanyakannya bilangan jemaah pemuda yang hadir dapat dikira dengan jari...
Malah "tahi cicak" lagi banyak jika dibilang.
Tepuk dada tanyalah hati, adakah aku termasuk orang yang selalu menghadirkan diri ke masjid ketika solat Subuh?
Hati sayu mula merasai, adakah menunggu saat uban dikepala? Kenapa tidak gunakan usia mudamu?!
Sesungguhnya dugaan subuh lebih ringan daripada dugaan maghrib atau isyak untuk berjemaah... tiada gangguan hiburan, manusia, tapi hanya gangguan syaitan naknatullah.
Lawan dan lawanlah dia agar dirimu terlepas daripada rantai syaitan di pagi hari.
Antara kelebihan solat subuh berjemaah
Ganjaran pahala solat Subuh mengatasi keindahan dunia sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. lebih-lebih lagi apabila dilakukan secara berjemaah :
"Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di Akhirat kelak." (Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Jagalah solat Subuh kerana ia menggerunkan kaum kafir kerana kesatuan kita dan menjadi lambang kekuatan kita umat Islam.
Rasulullah S.A.W. mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis:
"Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya)." (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)
Sabda Rasulullah S.A.W. :
"Seseorang mukmin yang mengerjakan solat Subuh selama 40 hari secara berjemaah, akan diberi oleh Allah S.W.T. dengan dua kebebasan, iaitu :
1) dibebaskan daripada api neraka
2) dibebaskan daripada nifaq (sifat munafik)"
Diriwayatkan daripada Muslim daripada Uthman bin Affan berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:
"Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment