Thursday, July 18, 2013

Resah perokok tegar

Resah perokok tegar
Ramadan wajar jadi permulaan buang tabiat negatif

Bagai irama dan lagu, begitulah situasi dialami perokok. Hubungan ‘akrab’ ini sukar dipisahkan. Lantaran itu, si perokok memerlukan keazaman tinggi untuk berhenti. 

Bagaimanapun, diakui ia sangat sukar direalisasikan kerana rokok memberikan ketagihan kepada si perokok tegar walaupun kesannya kepada kesihatan begitu berisiko. 
Ketagihan nikotin dalam sebatang rokok antara punca kepada kegagalan usaha untuk berhenti merokok. Perokok yang cuba berhenti merokok akan mengalami beberapa gejala pengeluaran atau ketiadaan (nikotin) seperti cepat berasa resah, kecewa, marah, tidak selesa; sukar menumpukan perhatian, bimbang, tidak bersemangat dan sukar tidur malam - yang membuatkan mereka terdorong merokok semula bagi menghilangkan gejala ini. 


Dalam satu kajian, didapati nikotin dalam asap rokok mengambil masa kurang 10 saat untuk sampai ke otak dan merangsang penghasilan dopamin, iaitu reseptor untuk nikotin yang membuatkan perokok berasa gembira dan selesa. 
Bagaimanapun, lama-kelamaan otak akan memerlukan lebih banyak nikotin untuk membolehkan perokok berasa gembira dan kesan pendedahan jangka panjang terhadap nikotin ini dizahirkan dalam bentuk fizikal. Justeru, apabila otak perokok tidak menerima nikotin, mereka akan mengalami gejala negatif berkenaan. 

Hanya bertahan 14 jam 

Apabila tiba bulan Ramadan, golongan perokok tegar ini mungkin berhadapan dengan situasi yang meresahkan apabila terpaksa menghentikan aktiviti itu sedangkan amalan itu wajib turut ditunaikan. 
Memangnya sesetengahnya berjaya melaksanakan puasa, tetapi perkara pertama yang masuk ke dalam kerongkongnya mungkin juga rokok, sebelum menjamah makanan lain. Selepas berbuka pula mereka akan melepaskan gian merokok semahunya. 

Lebih dikesalkan, tabiat merokok semakin menjadi-jadi. Jika waktu biasa, kuantiti rokok mungkin hanya sekotak tetapi pada bulan mulia ini, pengambilannya lebih daripada biasa. 

Dalam Jurnal Neurologi mendapati, perokok mengalami kemerosotan mental lima kali lebih cepat berbanding orang tidak merokok dan ini bermakna, tabiat negatif ini hanya mempercepatkan seseorang mengalami alzheimer atau nyanyuk. 

Bagi perokok wanita pula, kajian menunjukkan kehilangan keanjalan kulit tidak hanya pada muka, malah memberi kesan kepada seluruh badan terutama pada bahagian lengan dan payudara yang mana ia menjadikan payudara si perokok wanita cepat kendur. 

Lantaran itu, apa kata pada Ramadan yang indah ini dijadikan satu medium untuk menguatkan hati, menawan jiwa kepada amalan berpotensi menjauhkan diri daripada tabiat yang hanya memudaratkan diri. Fikirkan, betapa bahayanya kesihatan diri kerana sebatang rokok mengandungi lebih daripada 4,000 bahan kimia yang membawa risiko. 

Panduan berhenti dan mengurangkan ketagihan merokok bulan Ramadan 

  • Tenangkan diri. 
  • Sibukkan diri dengan aktiviti faedah. 
  • Banyakkan baca buku atau Al Quran. 
  • Rehatkan minda dan luang masa untuk aktiviti luar (jangan terlalu berat). 
  • Kerap tarik nafas untuk kesegaran. 
  • Tekad pada diri sendiri untuk berhenti merokok. 
  • Banyakkan beribadat.

Wednesday, July 17, 2013

Kera sumbang

Tidak semua orang petah berkata-kata. Ada yang diam seribu bahasa tidak pandai mengolah ayat dan menyusun kata untuk dilontarkan kepada orang lain. Malahan nampak janggal untuk bersuara dan bila perlu saja atau sepatah ditanya sepatah yang dijawab.
Kera sumbang yang dimaksudkan adalah sebilangan mereka yang suka bersendirian dan tidak suka bergaul. Masih ada lagi mereka yang begini? Setahu penulis, mereka yang bersikap menyendiri biasanya tidak suka campur tangan dalam urusan orang lain. 
Mereka yang kera sumbang ini biasanya amat sukar untuk dilihat keluar secara berkumpulan. Mereka lebih suka berseorangan. Keluar makan atau berbuka puasa juga seorang diri. Tidak seperti rakan yang lain sibuk bergelak ketawa dengan pelbagai aneka cerita kawan-kawan.

Apabila berseorangan, kemungkinan hidup akan menjadi murung, sehingga menjejaskan prestasi kerja atau belajar. Seperti yang kita tahu, setiap manusia memerlukan teman untuk meluahkan perasaan atau berkongsi masalah terutama yang berhampiran dengan mereka.

Tidakkah muncul perasaan aneh apabila tidak mempunyai teman rapat yang boleh memberikan sedikit sebanyak kata-kata motivasi dan nasihat dalam diri.

Si kera sumbang ini kebiasaannya sangat suka menjauhkan diri daripada orang lain. Mengapa agaknya terjadinya masalah ini? Apakah cara terbaik untuk elak diri digelar kera sumbang? 


Tidak disenangi rakan-rakan

Apabila tidak disenangi oleh rakan-rakan seperti diejek, dikeji dan diumpat, membuatkan perasaan mereka berasa menurun daripada bersemangat terus menjadi kosong peratus. 

Malah ingin menegur rakan-rakan yang lain juga bimbang akan dimarahi dan diketawakan. Sebenarnya tidak semua orang suka dengan diri kita jika kita sukar untuk menyukai diri orang lain.

Maksudnya di sini kita perlu mengkaji diri sendiri semula, sejauh mana penerimaan kita terhadap orang lain sebelum kita menilai penerimaan orang lain terhadap diri sendiri. 

Penulis membuat andaian sendiri bahawa kebanyakan golongan remaja terlalu melihat kehebatan diri sendiri tanpa mengkaji kehebatan orang lain yang tidak ada pada diri. 


Penampilan selekeh

Penampilan yang kurang menyenangkan juga membuatkan orang sekeliling sukar untuk mendekati. Bukan sahaja kita yang menjauhkan, malah orang lain pun tidak ingin rapat.

Remaja perlu ingat, penampilan melambangkan keperibadian seseorang. Dengan penampilan juga membolehkan orang lain menerima dan berkawan dengan kita. 

Kepelbagaian fesyen terkini yang lebih moden, golongan muda boleh tampil dengan imej yang bersih dan kelihatan lebih segar, berbanding imej yang membuatkan diri dibelenggu kemurungan kerana sentiasa keseorangan. 

Menjaga penampilan dengan imej yang sihat dan bersih, mampu menarik lebih ramai kawan untuk mendekati, seterusnya menghilangkan gelaran si kera sumbang. 


Kurang bertutur 

Tidak mempunyai keberanian dalam melontarkan pendapat juga menjadi penyebab kepada si kera sumbang menyendiri dan berdiam duka. 

Mereka seharusnya bermotivasi diri dalam mengeluarkan hujah dan pendapat yang bernas kepada orang lain. Tetapi perlu sedar juga sebenarnya orang yang pendiam ini lebih berbahaya daripada mereka yang banyak bercakap.


Cara-cara untuk bergaul

1. Mulakan dengan diri sendiri 


Jika berasa meluat dengan kelakuan orang lain yang ‘plastik’ dan mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan diri menjauh, cuba praktikkan dan terapkan nilai itu dalam diri dulu, sebelum meminta orang lain untuk berkelakuan sama. 


2. Jadilah manusia yang bijak

Manusia diberikan akal untuk berfikir. Kita bukanlah sesiapa untuk mengajak orang berkawan dengan kita. Cubalah bertimbang rasa dan menerima orang lain sebaiknya kerana mereka sudi menerima kita apa adanya. Jangan terlalu sombong dengan kecantikan rupa paras yang menyebabkan orang lain menjauhkan diri daripada terus berkawan. 


3. Berlaku adil

Cuba berlaku adil dengan semua rakan yang dikenali, agar mereka tidak berkecil hati dengan penerimaan anda kepada mereka sehingga diri dipulaukan. Tidak menyebelahi mana-mana pihak jika ada sebarang pertelingkahan yang terjadi antara rakan lain. 


4. Bertanya dan meminta pertolongan

Jangan malu untuk bertanyakan pendapat orang sekeliling tidak kira yang rapat atau tidak. Apabila terlalu menyombong diri seperti semua perkara anda tahu, membuatkan anda lagi tersisih daripada masyarakat lain. 


5. Jadi orang yang boleh dipercayai

Sikap ini memang sukar untuk setiap orang lakukan, sehingga sanggup berbohong untuk mendapatkan sesuatu. Tapi harus diingatkan untuk mendapatkan ramai teman anda mestilah jujur dan ikhlas dalam berkawan, agar semua orang mempercayai kata-kata yang anda ucapkan dan mempunyai mesej yang baik. 


6. Kenali rakan anda

Perlu tahu bahawa setiap orang mempunyai peribadi dan karakter yang berbeza-beza dan jangan fikir semua orang mempunyai pendirian yang sama seperti yang anda harapkan. Mengenali dan bergaul dengan mereka secara tidak langsung akan mengukuhkan keakraban sesama manusia.

Tuesday, July 16, 2013

Ku Sangka Orang Gila

......26 May 2011.....

Pagi tadi lebih kurang pukul 10.30 aku singgah sarapan di bazar batu buruk sementara menunggu interview di steten minyak kerana sudah tiada kerja di Terengganu yang menggunakan Ijazah aku ini. Sewaktu makan, mata ni terpandang seorang pakcik yang "lusuh " karekternya.. Bau busuk, baju koyak, pakai kain pelikat singkat, tak beralas kaki, tapi berkopiah.

Duduk bersandar di tiang bazar dekat dengan kerusi aku. Terdetik dalam hati, apa pakcik ni kelaparan. Orang gila pun lapar, masih tetap manusia. Aku pesan satu lagi nasi minyak. Pesanan aku sampai ke meja. Terus aku beri pada pakcik tadi. Tuan kedai terkejut dan mengangkat tangan melambai seolah2 memanggilku. Aku pun balas tunggu skejap.

Pakcik tadi tenung aku sambil berkata "pakcik dah makan nak.. terima kasih nak.." Dalam hati terdetik sungguh indah bahasa pakcik yang ku sangka gila tadi. Aku bangun dengan kecewa kerana pesanan aku tidak dijamah oleh pakcik. Lalu aku pergi kepada tuan kedai yang memanggil ku tadi.

Ada apa pakcik? Pakcik kedai balas: Jangan bagi dan suruh dia makan kat sini, nanti customer pakcik lari. Aku tersentap. Dan spontan aku membalas. "Jika orang ini ayah kandung pakcik, pakcik halau tak dia?" Pakcik tu diam. Takpe pakcik, saya akan bayar ansuran kalo pakcik rugi hari ni. Saya nak tanya, betul ke pakcik td tu sudah makan? Pakcik kedai jawab, tidak. Dari mula pakcik buka kedai pukul 6.30 tadi pakcik kopiah tu duduk kat tiang tu.

Dalam hati kecil ni cakap, tak pernah aku jumpa pakcik gila semulia ini. Tidak mengemis, tidak pula meminta. Aku pegi semula pada pakcik kopiah tu. "Pakcik, saya sunyi makan sorang2, pakcik teman saya makan jom." Pakcik tu akur dengan pelawaan aku kerana kesungguhan aku. Ramai yang beralih meja kerana bau pakcik tu, namun kerana ingin menjaga hati orang tua yang aku tak kenal, aku tahan bau itu.

Lega tengok pakcik tu makan dengan sangat sopan. Aku lontarkan beberapa soalan pada pakcik tu. Pakcik dari mana, tinggal dimana? Pakcik tu jawab. Pakcik merantau cari redha Allah. Aku terkejut. Dalam hati aku dah syak bukan2. Kot2 wali ke ni? Mana keluarga pakcik?
Pakcik dibuang oleh keluarga pakcik kerana sekeping geran tanah. Kenapa pakcik? Apa masalahnya? Pakcik sedekahkan geran itu untuk seseorang untuk dibangunkan pondok2 mengaji. Keluarga pakcik terus buang pakcik. Allah...

Pakcik tinggal dimana? Pakcik tu diam tak menjawab. Masa terlalu singkat untuk aku menyambung urusan kerja. Aku panggil pakcik kedai untuk kira. Semuanya berharga RM 11.60. Aku celup dompet aku, dan aku lupa yang aku hanya bawa RM 5.00. Aduh.... Pakcik tu nampak raut wajah muka aku seolah2 melihat masalah dalam dompetku. Pakcik tu mencelah. Nak, ambil duit ni, pakcik bayarkan.

Nak tau ape? pakcik keluarkan satu sampul surat sebagai dompet dia (macam dompet TGNA), dalam tu duit seratus setebal setengah inci, dan satu kad BSN dan i.c lama (pakcik tu bekas tentera laut).. Satu kedai dia bayarkan. Allah.. Satu kedai hairan apabila pakcik kedai tu announce yang makanan semua sudah dibayarkan oleh pakcik kopiah tadi. Masing2 semua pandang aku dan pakcik kopiah. Dengan tiba2 pakcik kopiah angkat tangan dan berdoa dengan suara yang agak sederhana kuat, aku pun turut angkat sama. Dan paling terharu apabila aku dengar suara "amin....." dengan suara yang ramai. Bila aku berpaling ke belakang, satu kedai mengangkat tangan bersama pakcik kopiah tu.. Ada yang bangun mendekati kami berdoa dekat2.

Terasa sangat gemuruh dan terharu dengan keperibadian orang yang ku sangka gila ini rupanya seorang guru agama!! Ada yang menangis kerana doa oleh sang guru itu sungguh merdu.. Kecoh seketika.. Selesai berdoa, aku bersalam dengan pakcik tadi dan ucap terima kasih dengan harapan dapat jumpa lagi. Aku terus berjalan ke motor aku. Aku berpaling ke belakang, semakin ramai yang berkerumun pada pakcik tadi. Aku senyum tanda puas bahawa orang sekeliling mula mendekati pakcik. Aku buka semula dompet aku kerana aku simpan kunci motor dalam tu.

Nak tau apa? Aku terkejut kerana ada 2 keping duit seratus dan satu nota kecil yang bertulis: "Ambil duit ni buat beli susu anak dan buah delima untuk orang rumah anak yang mengidam.." Aku terkaku, dan terus pandang ke arah tempat pakcik tadi. Beliau sudah tiada disitu. Aku terus pakai helmet dan tutup pemuka helmet. Aku menangis kerana terharu dan sangat bersyukur. Bagaimana dia tahu aku dalam kesusahan...
Ya Allah.. Kau peliharakanlah pakcik itu..

Lelaki berhati tisu

Mungkin kita akan rasa ‘geli’ dan mungkin juga yang akan mengatakan ia perkara biasa bila bercakap perihal lelaki mudah menangis. Hakikatnya, memang jarang untuk temui lelaki apatah lagi bermuka ganas yang mudah tersentuh. Egolah katakan!
Selain dilihat kasar dan tidak romantis, lelaki biasanya dianggap hanya boleh pecahkan masalah mereka dengan kekerasan. Benarkah? Secara luaran, memang tanggapan itu berasas tetapi apabila mengenali mereka dengan lebih mendalam, tak mustahil ada sebahagian perlakuan mereka yang boleh mencuit hati wanita. Contohnya, memang lucu kalau bayangkan lelaki dengan susuk badan tegap dan berurat tetapi menangis apabila menonton drama menyayat hati.
Tak salah apabila lelaki menangis, cuma mereka sendiri merasakan ia satu tindakan kurang normal yang tidak akan dilakukan kerana seolah-olah meletakkan mereka setaraf dengan golongan wanita. Namun menangis tak bermakna anda kalah. Ia boleh dijadikan cara untuk luahkan perasaan dan sebagainya. 
Calar ego
Sebenarnya, lelaki akan cuba menyembunyikan air mata. Sebolehnya nak tutup dengan perlakuan ‘macho’ dan sifat kejantanan supaya tak mahu dilabel ‘lembut’. Mereka makhluk keras dan tegar. Tapi entah kenapa penulis merasakan mereka nampak comel dan manis apabila mula menangis.

Jika malu nak menangis untuk sesuatu yang anda rasa perlu, tengoklah keadaan. Tak salah untuk anda yang bergelar lelaki meluahkan masalah dengan cara menangis. Berhati lembut juga tidak mengapa kerana ia tak merendahkan tahap anda sebagai lelaki. Berlembut harus kena pada tempatnya. Jangan asyik bela ego menggunung, bukan boleh disimpan buat harta pusaka.

‘Di sebalik kekasaran seorang lelaki, pasti ada secebis kelembutan’

‘Dan kelembutan itulah yang berjaya menawan hati seorang perempuan.


Malu mengaku

Perasaan lelaki sama seperti wanita iaitu cepat tersentuh namun mereka malu untuk mengakuinya. Dikatakan setiap titisan air mata mereka memang ‘mahal’. Tapi kita akan rasa geli hati apabila mereka menangis untuk perkara yang kurang relevan. Maksudnya situasi yang tidak kena dengan status mereka sebagai lelaki. Contohnya ‘kantoi’ mengesat air mata apabila menonton filem Hindustan ataupun membaca novel yang pengakhiran mengecewakan.

Walaupun mereka berhati lembut, bukan maksudnya lelaki ini dalam golongan ‘lembut’. Cuma mereka tergolong dalam kelompok yang mudah terguris dan terasa hinggakan ada kes di mana rakan serumah tak ajak keluar makan malam boleh menyinggung perasaan si jejaka. 

Setinggi mana pun ego seorang lelaki, dia akan tetap menangis, cuma cara mereka berbeza sama ada menangis di dalam hati atau diluahkan secara bersendirian. Dilahirkan sebagai lelaki memang banyak cabaran, tak terkecuali juga wanita. Tetapi dugaan si jejaka dikatakan lebih mencabar apatah lagi bergelar ketua keluarga. 


Lelaki biasa menangis bila...
  • Kehilangan orang yang disayangi kerana kematian. Lelaki jarang menunjukkan rasa lemahnya kerana mungkin bimbang sifat maskulin akan pudar.
  • Apabila sesuatu hubungan terputus di tengah jalan. Siapa cakap lelaki tak ada perasaan apabila perempuan idamannya minta putus atau berubah hati. Hati tetap rasa tersentuh dan bagai direntap. Jalan mudah, menangis sambil berpura-pura tidur.
  • Gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki. Lelaki yang bertanggungjawab akan merasa tercabar sekiranya dia gagal memberikan nafkah kepada isteri atau anaknya lalu diluahkan dengan linangan air mata.
  • Bergaduh atau berselisih faham dengan isteri. Seorang lelaki mungkin akan mengalirkan air mata jika isteri bersikap tidak ambil peduli atau tidak tahu menahu mengenai keperluan ataupun tak ambil kisah perasaan mereka.
  • Melihat anak atau isteri menderita sakit. Lelaki punya hati yang keras dan tak mudah dipecah tetapi bila diuji Tuhan dengan menimpakan penyakit berbahaya kepada orang yang disayangi termasuklah ahli keluarga.
  • Terharu dan terlalu gembira sehingga mengalirkan air mata kesyukuran. Lelaki yang pernah menangis untuk hal seperti ini adalah lelaki yang berhati lembut dan sensitif.
  • Gagal dalam pelajaran atau kerjaya juga boleh menyebabkan kaum lelaki berlinangan air mata.
  • Friday, July 12, 2013

    10 aspek kemas

    Hari ini istilah tatarias diri bukan hanya untuk kaum wanita sebaliknya lelaki juga perlu memberi penekanan kepada keseluruhan aspek penampilan dan kebersihan diri. Jangan anggap ia sebagai beban kerana setiap langkah penting bagi mendapatkan awet muda biarpun tubuh terus dimamah usia. MURSHID EUNOS senaraikan 10 ciri ini.
    1. Sabun buku bukan untuk wajah
    Lelaki mempunyai kulit berminyak kira-kira 15 peratus melebihi wanita. Pori besar membenarkan segala kekotoran meresap ke dalam kulit. Usah malas mencuci muka menggunakan pembersih wajah yang betul. Elakkan penggunaan sabun buku untuk badan pada wajah. Begitu juga dengan syampu dan krim pencukur, pastikan anda mempunyai sabun khusus untuk setiap perkara.
    2. Krim pelindung matahari
    Disebabkan kebanyakan lelaki banyak menghabiskan waktu dengan aktiviti luar pejabat, kulit mereka mudah terdedah pada cahaya matahari. Bagi mengelak diserang masalah warna kulit tidak sekata, jangan ragu-ragu menggunakan krim atau losyen pelindung matahari setiap hari.


    3. Pelembap rambut

    Langkah yang sering ditinggalkan jejaka ialah merapi rambut selepas menggunakan syampu. Tiada salahnya merapi rambut sebanyak dua kali seminggu (bergantung pada jenis rambut) kerana ia penting bagi mengekalkan kelembutan tekstur rambut. Ia juga mampu menyingkirkan minyak berlebihan pada akar kepala sekali gus mengurangkan risiko rambut gugur.


    4. Pemakaian

    Pilih baju yang diperbuat daripada fabrik kapas yang ringan bagi mengurangkan peluh. Rapikan bulu ketiak secara berkala kerana ia boleh mengundang bau badan yang tidak menyenangkan. Pakaian juga perlu digosok terutamanya persalinan formal. Baju yang berkedut-kedut melambangkan keperibadian lelaki yang tidak ‘taat’ pada kebersihan dan kekemasan.


    5. Potong kuku

    Kuku sering dipandang remeh jejaka. Mereka hanya memotong kuku tangan apabila ia benar-benar panjang, manakala kuku kaki mungkin dirapikan sebulan sekali. Beri penekanan pada kebersihan kuku kerana ia terdedah pada bakteria hampir setiap saat. Kuku kaki khususnya, hampir separuh hari ia diliputi stokin dan kasut, banyak kekotoran terkumpul sekali gus menyumbang pada masalah kaki berbau.


    6. Bercukur

    Hampir semua lelaki perlu bercukur. Perapian misai dan janggut perlu agar penampilan sentiasa tampak kemas. Jangan sekali-kali bercukur tanpa krim yang betul kerana ia boleh mencederakan kulit. Mesin pencukur yang tepat juga memainkan peranan bagi membentuk gaya yang diingini. Selepas bercukur, aplikasikan ‘after shave’ yang bertujuan mengurangkan kerengsaan.


    7. Cucian malam

    Selepas seharian bekerja atau melakukan riadah malam, ramai lelaki mengabaikan kepentingan mencuci wajah dan rambut sebelum tidur. Kekotoran dan minyak yang tertinggal pada wajah dan rambut perlu disingkirkan agar ia tidak merosakkan kedua-dua bahagian itu saat anda melelapkan mata.


    8. Flos gigi

    Walaupun anda dikurniakan wajah kacak, namun bau nafas yang kurang menyenangkan bakal memberi impak negatif pada penampilan. Menggosok gigi dua kali sehari tidak mencukupi. Pastikan anda flos gigi sekurang-kurangnya sekali sehari bagi mendapatkan nafas segar, gigi putih dan gusi yang sihat.


    9. Agen pengelupasan

    Struktur kulit jejaka diakui agak kasar berbanding perempuan. Bagi mengatasi masalah itu, rajinkan diri memakai ‘masker’ atau menjalani rawatan wajah sebulan sekali. Proses itu mampu menghapuskan sel kulit mati yang terbentuk di permukaan kulit.


    10. Senaman dan pemakanan

    Sukan atau senaman sudah sebati dengan karakter lelaki. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana majoriti mereka memang mengamalkan gaya hidup yang sihat. Bagaimanapun, bagi jejaka yang kurang memberi perhatian pada kepentingan senaman, sudah tiba masa untuk anda mengubah cara hidup. Riadah ringan tiga kali seminggu cukup untuk membekalkan kecergasan dan mengekalkan bentuk badan ideal. Begitu juga dengan pemakanan, kadar metabolisme lelaki diketahui memang tinggi berbanding wanita. Ketahui kalori diperlukan badan anda dan makan mengikut jadual pemakanan yang betul dan seimbang.

    *Perempuan: Cantik atau Hodoh? Pilihan Di Tangan Sendiri


    “Ehhh, kak long kau kenapa dah tak cantik?? Amboii dulu kemainn lagi makeup.” 
    “Alahh makcik ni… itu dulu-dulu zaman muda-muda. Orang kan dah duduk kampung sekarang ni. Dulu duduk kat KL lain laa…. Zaman tu dah berlalu cik… Sekarang ni dah tua. Dah jadi pompuan kampung dahh… Takde dah nak makeup-makeup tuu… Takde makne dah haa…”
    “Ha’a kan. Kau sekarang dah betul-betul jadi pompuan kampung. Kulit pun dah gelap dah cik tengok. Hampir cik tak kenal. Dari tadi cik dok perati siapa laaa minah pakai kain batik dok terkebil-kebil tengok aku ni. Yer laaa kau dulu tiap kali datang rumah hahh! Makeup tebal dress up macam nak pegi kenduri! Hahaha…” 
    “Bukan la tak makeup langsung makcik. Pakai juga kalau keluar dan pergi kenduri. Setakat duduk rumah jadi surirumah ni takdenye saya nak makeup-makeup bagai makcikkk…Takde kerja saya nak buat semua tu haa… Buang tabiat ape dah tua-tua ni!” 

    ***
     “Kak Rin ni asal time masak jer mesti dia dah siap-siap nak pegi melingkup! Takut di suruh masak letteww…” 
    “Ehh… xde lah. Manada orang nak keluar”
    “Kak Rin ni nak masuk dapur puuunn nak pakai bedak. Putih hahh dah macam tepung gomak!” 
    “Tak de laa… Panas laa… Sebab tu pakai krim muka. Manada bedak tebal. Biase jer kott”
    “Ohh panas ye kak Rin. Yer laa rumah kampung memang panas. I ni tak pakai bedak okey jerr”

    ***

    Asalamualaikum wahai sayang-sayang sekelian. Lama tak up entry untuk blog ini. Jadi di hari mulia ini, tergerak hati ini untuk membicarakan soal penampilan diri kita. Beginilah. Situasi di atas adalah berdasarkan kisah benar cuma watak dan latar belakang tempat adalah dirahsiakan. Buat masa ini tidak ada kaitan dengan yang sudah meninggal dunia. Jika ada pun, ianya adalah suatu kebetulan. Heh~

    Situasi pertama--- yang menegur kak long itu adalah seorang makcik berumur dalam lingkungan lewat 40-an. Yang ditegur itu pula adalah seorang perempuan, sudah berkahwin, ada anak seorang dan sedang mengandung anak kedua. Berumur dalam 27 tahun. Rasa-rasa uolsss, perempuan berumur 27 tahun tua sangat ke? 

    Si kak long menganggap dirinya sudah tua. Yer la. Dah bersuami, dah ada anak seorang berumur dalam 3 tahun lebih. Lagi pula sekarang sedang sarat mengandung menunggu kehadiran cahaya mata kedua. Badan pun dah kembang. Nak bergaya pun mood dah turun tahap zero. Sebab dia fikir dia dah takde point untuk melawa lagi dah. Dah ada laki dah pun… Nak nak lagi duduk kawasan kampung. Sapelah yang nak nengok ye dak? 

    Come on girls!! Takkan lah hanya sebab kau dah berhijrah semula ke kampung halaman, meninggalkan kerjaya impian atas dasar komitmen dengan hubungan suami, anak dan keluarga kau terus bertukar menjadi Cinderella versi kena buli! Cinderella versi kena buli pun tak lah sebegitu hodoh. Heh. Aku tak cakap dia hodoh. Cuma bagi aku sebagai perempuan yang sudah menjadi isteri dan mempunyai anak berumur 3 tahun dalam usia 27 tahun adalah tidak patut melabel diri sebagai tua. Kenapa mesti men-tua-kan diri? Kenapa?? Aku jadi tertanya-tanya. Perlu ke men-tua-kan diri hanya sebab kau dah ada suami, kau ni isteri orang, kau dah pernah beranak, maka kau pun berubah menjadi tua mental dan tua fizikal. Tua mental tu aku faham la. Maksudnya kau dah lebih matang dari sebelum itu. Sebelum menjadi isteri, sebelum ada suami, sebelum ada anak. Fikiran dan segala tindakan sudah berubah mengikut perubahan keadaan diri dan persekitaran. Lebih matang. Dah banyak makan garam.

    Tua fizikal bagi aku adalah segala rutin kecantikan zaman sebelum menjadi isteri, sebelum ada suami, sebelum ada anak menjadi berubah 360 darjah selepas menjadi isteri, ada suami dan ada anak. Kalau dulu rajin makeup dan dress up lawa-lawa walaupun hanya duduk di rumah tak kemana-mana, sekarang dah malas dan rasa tak perlu makeup dan dress up lawa-lawa di rumah sebab dah ada suami dan anak-anak. Kehadiran suami dan anak-anak ibarat kulat dalam kehidupan perempuan selepas berkahwin ke? Seperti kehadiran insan-insan tersebut menjadi penghalang untuk kita perempuan kekal cantik seperti sewaktu sebelum adanya mereka. Alahai… Pelik aku. Yang muda, terasa diri tua lalu men-tua-kan diri. Ada yang tua pula masih tetap ingin kelihatan seperti orang muda. Macam Cik Ta kita tuu… Walaupun dia dah berumur, rasanya sebaya kot dengan makcik yang menegur kak long tu tapi dia nampak muda dan lebih jelita dari perempuan sebayanya. Setanding dengan perempuan berumur 27 tahun kott… 

    Kenapa mesti tua fizikal sebelum usia? Fikiran tua tak apa dik. Jangan la fizikal pun turut tua hanya sebab status diri sudah berubah. Maksudnya dari segi penampilan diri. Fizikal berubah selepas berumahtangga tu normal. Kebanyakkan kita perempuan (tak kira perempuan asia atau eropah) fizikal terutama tang perut, peha, lengan dan dada akan mengembang akibat perubahan hormone dan tabiat makan. Tapi janganlah sampai terus hilang seri. Kadang ada perempuan walaupun dia dah montel selepas berkahwin tapi tetap nampak cantik dan anggun sebab dia masih rajin menjaga kulit dan kesihatan dalamannya. Kes si kak long ni memang aku tak boleh terima. Kau masih muda kot. Baru 27 tahun. Jangan disebabkan sifat yang malas menjaga penampilan diri akan merosakkan kerukunan rumahtangga yang dibina. 

    Aku pernah baca satu artikel ni. Memang boleh pakai juga la fakta-faktanya. Tapi lupa dapat kat mana. Artikel tentang 6 sebab yang paling popular yang menyebabkan suami curang. 6 sebab itu adalah:-

    1. Nafsu seks
    2. Digoda
    3. Memang kaki perempuan
    4. Balas dendam
    5. Sudah tabiat
    6. Keegoan

    Tapi di sini aku nak fokuskan yang no. 1 tu je. Ini kerana dari no. 1 tu lah punca ke 2, ke 3, sampai ke 6 berlaku. Dan no. 1 itu ada kaitannya dengan kita:- perempuan. Lagi-lagi sebagai isteri. Hehhhh~ 

    Para ustaz  pun ada cakap, isteri kena jaga 2 perkara ini kalau nak suami sayang sampai mati. Kena pandai pikat suami. Memikat suami bukannya susah, hanya 2 perkara sahaja yang perlu dijaga iaitu jaga 2 nafsu suami:-

    1. Nafsu perut
    2. Nafsu batin

    Tak nak cakap pasal nafsu yang no. 1 sebab itu semua sudah sedia maklum. Nafsu yang no. 2 tu yang paling berkait dengan fizikal perempuan. Lagi-lagi fizikal isteri. Hehhh~

    Nafsu lelaki yang no. 2 tu hanya nak yang 'itu' sahaja. Jadi buat isteri walau macamana keadaan sekalipun layanan yang ‘itu’ mesti tiptop. Ustaz pun ada ajar kann… Isteri kena laa berhias dan berpakaian bersih cantik dan wangi dirumah, agak hati suami tertambat tak pandang perempuan lain lagi dahh… Sebab ini adalah punca utama kes perceraian berlaku. Lelaki tak akan cakap sebab kenapa dia curang. Lelaki tak akan cakap apa yang dia suka dan tak suka secara terang-terang depan isteri. Jadi kalau nak rumahtangga bahagia dan selamat, ia bermula dari diri kita sebenarnya. Tak perlu jadi secantik Cik Ta tapi cukuplah jaga kebersihan dan seri diri untuk suami dan anak-anak. 

    Bukanlah nak cakap yang kita orang perempuan jer kena jaga, orang lelaki pun kena jaga penampilan diri walaupun sudah berumahtangga. Tapi kan sekarang ni aku tengah cakap pasal hal si kak long. Jadi penekanan isu ini sudah tentu tentang satu pihak saja iaitu pihak kita:- Orang perempuan. 

    Situasi kedua itu adalah aku. Bakal adik ipar aku memang selalu jer cam nak buli-buli aku. Ehh. Jawapan yang aku beri itu adalah spontan. Sebenarnya aku tak tahu nak jawab apa. Sebab rasanya dah memang tabiat aku kott… lepas mandi akan pakai krim muka sapu losyen dan sebagainya sebelum memulakan kerja. Takde lah sampai tepek foundation bagai. Setakat tepek sedikit press powder atau paling malas pun aku tepek bedak baby jhonson je di muka supaya tak berminyak. Aku tahu aku tak secantik Neelofa. Tapi tak salah kan, berhias untuk kekalkan kecantikan diri yang Tuhan dah beri. Kena lagi dengan cuaca panas berbahang sebenarnya memang aku takut kulit aku menjadi gelap. Dah la memang aku ni tak secerah Adira. Aku adalah Sabahan yang tak rupa Sabahan punn… Jadi memang aku takut panas. Perlukah aku ditegur sebegitu rupa? Salah ke aku berhias diri di dalam rumah? Kena lagi bukan rumah aku. Rumah bakal mertua kot. Ini lah mentality orang kita. Lagi-lagi orang yang dah lama duduk kampung. Bukan nak cakap orang kampung tak pandai bergaya. Tapi tu lah… Kenapa nak mengata? Aku pun asal dari kampung juga. Orang kampung juga macam dia. Dan aku bukanlah perempuan kampung yang lupa asal-usul. Macam ni je lah. Cantik atau hodoh pilihan di tangan kita sendiri. Kalau kau rasa dengan meng-“hodohtua”-kan diri kau boleh bahagia, teruskan. 

    Aku pelik kenapa ada sesetengah perempuan (sebenarnya aku lebih suka panggil wanita bagi yang dah berumahtangga) totally change terutama dari segi penampilan diri bila dah berkahwin beranak pinak. Sama ada semakin bergaya atau semakin selekeh. Risau juga dengan diri ini. Kurr kurr kurr~

    Cantik sangat pun salah, selekeh sangat pun tak boleh. Maksudnya di sini kita sebagai orang perempuan kena la pandai bergaya ikut suasana. Walaupun tidak bekerja dan hanya duduk di rumah, bukan alasan untuk tampil selekeh di depan suami, anak-anak dan keluarga. Kalau suami tak tegur, orang lain yang akan tegur. Macam kes kak long, makcik sendiri yang tegur. Kalau kau rasa kau tak terkesan dengan teguran itu, kau patut rasa terkesan bagi pihak suami kau. Kalau dapat suami yang jenis lepas cakap lagi bagus tau, dari dapat suami yang diam dan makan dalam. Suami tegur tandanya dia sayang. Prihatin. Peduli pasal kau. Kalau tak tegur tandanya bukan tak sayang. Tapi kesian. Huhuu~ 

    Wednesday, July 10, 2013

    Pilih Makanan Sihat Waktu Bersahur

    Bermula hari ini, umat Islam mengerjakan ibadah puasa selama sebulan. Apabila berpuasa, jadual pemakanan kita pasti berubah. Perubahan ini sedikit sebanyak pasti memberi kesan kepada tubuh badan. Satu masalah diet yang sering dihadapi ialah, kurang minum air dan terlebih makan sehingga menyebabkan badan menjadi tidak bermaya.
    Kali ini GUA mahu berkongsi beberapa tip untuk memilih makanan sesuai untuk bersahur. Jom semak!
    1) Pastikan anda mengambil makanan seimbang supaya tubuh badan mendapat tenaga secukupnya sebelum tiba waktu berbuka puasa. Jadi, kena ada karbohidrat, protein, lemak, serat, vitamin dan mineral. Elakkan makanan tinggi lemak kerana ia susah dihadam.
    2)  Sebaik-baiknya sediakan makanan yang baru. Bukan memanaskan lebihan makanan ketika berbuka puasa. Ini kerana makanan atau masakan yang dipanaskan beberapa kali akan hilang zatnya.
    3) Lebih baik minum air kosong atau air mineral daripada mengambil minuman manis. Ini kerana minuman dan makanan yang manis-manis boleh menyebabkan perut cepat lapar.
    4) Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan.
    5) Pilih karbohidrat kompleks kerana ia lebih lambat dihadam (sehingga 8 jam). Produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, tepung penuh mil, kekacang, beras perang adalah contoh karbohidrat kompleks. Begitu juga dengan nasi dan capati.
    6) Elakkan pengambilan kafein dan minuman berkarbonat kerana ia boleh menyebabkan anda lebih kerap membuang air, dan mempercepatkan kehilangan cecair. Sebaliknya ambil jus buah-buahan.
    7) Makanan berempah dan terlalu pedas juga tidak begitu baik untuk bersahur kerana ia akan merangsang pengeluaran terlalu banyak asid gastrik. Mereka yang mempunyai masalah gastrik baik elak makanan sebegini.
    8) Makan secara sederhana, jangan berlebih-lebihan.