Bermula hari ini, umat Islam mengerjakan ibadah puasa selama sebulan. Apabila berpuasa, jadual pemakanan kita pasti berubah. Perubahan ini sedikit sebanyak pasti memberi kesan kepada tubuh badan. Satu masalah diet yang sering dihadapi ialah, kurang minum air dan terlebih makan sehingga menyebabkan badan menjadi tidak bermaya.
Kali ini GUA mahu berkongsi beberapa tip untuk memilih makanan sesuai untuk bersahur. Jom semak!
1) Pastikan anda mengambil makanan seimbang supaya tubuh badan mendapat tenaga secukupnya sebelum tiba waktu berbuka puasa. Jadi, kena ada karbohidrat, protein, lemak, serat, vitamin dan mineral. Elakkan makanan tinggi lemak kerana ia susah dihadam.
2) Sebaik-baiknya sediakan makanan yang baru. Bukan memanaskan lebihan makanan ketika berbuka puasa. Ini kerana makanan atau masakan yang dipanaskan beberapa kali akan hilang zatnya.
3) Lebih baik minum air kosong atau air mineral daripada mengambil minuman manis. Ini kerana minuman dan makanan yang manis-manis boleh menyebabkan perut cepat lapar.
4) Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan.
5) Pilih karbohidrat kompleks kerana ia lebih lambat dihadam (sehingga 8 jam). Produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, tepung penuh mil, kekacang, beras perang adalah contoh karbohidrat kompleks. Begitu juga dengan nasi dan capati.
6) Elakkan pengambilan kafein dan minuman berkarbonat kerana ia boleh menyebabkan anda lebih kerap membuang air, dan mempercepatkan kehilangan cecair. Sebaliknya ambil jus buah-buahan.
7) Makanan berempah dan terlalu pedas juga tidak begitu baik untuk bersahur kerana ia akan merangsang pengeluaran terlalu banyak asid gastrik. Mereka yang mempunyai masalah gastrik baik elak makanan sebegini.
8) Makan secara sederhana, jangan berlebih-lebihan.
No comments:
Post a Comment