Thursday, July 4, 2013

Stigma sakit mental

Hanya dua daripada lima wanita dapatkan bantuan pakar atasi kemurungan

Wanita negara ini masih bergelut dengan cabaran ekonomi, jurang perbezaan sosial, gender dan kekangan diskriminasi untuk menjadikan mereka lebih cemerlang. 
Malangnya, selari dengan pencapaian itu, wanita juga berhadapan cabaran membabitkan isu kesihatan, khususnya penyakit tidak berjangkit iaitu sakit mental akibat pelbagai tekanan, antaranya disebabkan masalah rumah tangga, bebanan kerja, berhadapan dengan tragedi tragis bukan asing lagi pada zaman ini dan jumlah itu pula dilaporkan kian meningkat. 

TEKANAN BOLEH DIATASI MENERUSI BANYAK CARA, ANTARA PALING MUDAH ADALAH KOMUNIKASI SAMA ADA DENGAN KELUARGA ATAU PAKAR PSIKOLOGI" Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur

Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, berkata sakit mental jika tidak dirawat memungkinkan usia muda wanita sia-sia kerana ia boleh mempengaruhi pandangan mereka terhadap fungsinya sebagai individu.

Katanya, ia boleh mempengaruhi kehidupan bahagia sebuah keluarga, malah dari segi ekonomi, mungkin tenaganya tidak boleh dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Masalah kesihatan mental yang sering berlaku kepada wanita ialah kemurungan. Ia adalah penyakit mental yang menyebabkan emosi menurun hingga memberi kesan negatif dan pemikiran serta perlakuan seseorang.

Katanya, masyarakat terutama wanita perlu mengetahui kemurungan adalah satu penyakit serius dan perlu mendapatkan rawatan sewajarnya bagi mengelakkan ia berulang. 
“Ia menyerang secara senyap jika wanita tidak memberikan perhatian sepenuhnya terhadap perubahan sikap diri dan dapatkan rawatan lebih awal untuk mengelakkan pelbagai kejadian tidak diingini. Wanita cenderung mengalami emosi tidak stabil. Kadangkala boleh jadi pendiam, mengasingkan diri atau memendam perasaan,” katanya ketika berceramah mengenai ‘Gender Dan Kesihatan Mental Wanita’ anjuran Kumpulan Sokongan Wanita Hospital Gleneagles, di sini, baru-baru ini.

Kumpulan sokongan yang dikenali sebagai ‘Women to Women Well-being Tea Talk’ itu dilancarkan pada Mac 2011 adalah sebagai landasan kepada wanita untuk mendapatkan sokongan emosi, berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai isu berkaitan kesihatan secara santai. 

Mangsa murung

Dr Nor Hamidah berkata, walaupun lelaki turut menghadapi kemurungan, tetapi bilangannya lebih kecil berbanding wanita dengan 12.1 peratus wanita, berbanding 10.4 peratus lelaki.

Kemurungan berpunca daripada tekanan. Dan tekanan itu boleh tercetus menerusi pelbagai perkara, sama ada masalah itu kronik atau mungkin ‘remeh’ pada orang biasa. 

Sedangkan, terlalu memikirkan sesuatu masalah, menyebabkan fikiran kusut hingga mengganggu kualiti kehidupan harian tanpa disedari.

Sayangnya ‘mangsa’ kemurungan lebih kerap menyerang wanita dalam usia produktif iaitu 30 hingga 40 tahun dan rata-rata memegang tugas sebagai ibu, isteri atau pekerja.

“Sama ada tidak menyedari atau ketepikan rasa, ia hanya akan menyebabkan emosi wanita semakin tertekan hingga mengganggu emosi mereka. Justeru, luahkan tekanan boleh dilakukan menerusi banyak cara, antara paling mudah ialah komunikasi sama ada dengan keluarga atau pakar psikologi. 

“Malangnya hanya dua daripada lima wanita yang mengalami gangguan keresahan dan perubahan emosi ini mendapatkan bantuan. Jumlah kecil itu berpunca daripada kewujudan stigma.

Perlu kaunseling

“Sebab stigma juga ramai yang lebih suka mendapatkan bantuan bomoh kerana wanita itu mungkin dianggap kena sampuk sedangkan untuk mengenal pasti penyakit itu perlu melalui sesi kaunseling.

“Lebih buruk lagi apabila masyarakat memandang sinis kepada individu yang mendapatkan bantuan psikiatri dan lantas melabelkan sebagai gila dan perlu dihantar ke hospital sakit jiwa,” katanya.

Dr Nor Hamidah berkata, untuk memastikan wanita sejahtera, keluarga seharusnya mengambil inisiatif membawa wanita berkenaan berjumpa pakar psikiatri.

Hakikat perlu diketahui ialah setiap penyakit ada rawatan. Malah peluang sembuh lebih cerah sekiranya dikesan lebih awal.

“Begitupun tahap sembuh bergantung kepada peringkat kemurungan dialami. Ada yang singkat dan ada juga memakan masa. Malah jenis rawatan juga berbeza. Ada yang perlu ambil ubat saja dan tidak kurang juga perlu melalui sesi kaunseling,” katanya.

INFO : Kesihatan mental
* Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan akan berada di tangga kedua penyakit tidak berjangkit yang menyerang wanita selepas penyakit jantung. Kadar kemurungan wanita adalah 41.9 peratus manakala lelaki pula 29.3 peratus yang menunjukkan jumlah keseluruhan pesakit wanita dua kali ganda berbanding lelaki. Biasa dihadapi wanita pada usia produktif antara 30 hingga 40 tahun.

Tanda :
* Gangguan tidur 
* Emosi tidak menentu
* Kurang tumpuan
* Letih dan tertekan
* Memiliki perasaan negatif dalam diri seperti selalu bersedih, putus harapan, berasa tidak berguna, bersalah dan ingin membunuh diri.
* Hilang selera makan dan berat badan turun mendadak.

Elak tertekan :
* Sokongan daripada keluarga amat diperlukan mengurangkan tekanan dihadapi wanita.
* Banyakkan rehat dan melakukan aktiviti riadah seperti bersiar-siar dan melakukan aktiviti berfaedah dan disukai.
* Elakkan daripada memikirkan sesuatu perkara hingga boleh menjejaskan emosi. Kongsi masalah dapat menyuraikan tekanan perasaan.
* Jaga pemakanan. 
* Amalkan cara hidup dan diet seimbang.

No comments:

Post a Comment