Perkahwinan ibarat sebuah babak kehidupan baru bagi setiap orang. Dua orang dengan latar belakang yang berbeza menjalani hidup bersama dan dengan segala perbezaan tersebut tentu banyak perkara yang tidak diduga akan muncul.
Sedang enak merasai kebahagiaan hidup dengan gelaran baru suami isteri tiba-tiba anda dikejutnya dengan sesuatu yang tidak pernah anda duga. Lelaki yang anda sangka kenal luar dan dalam menunjukkan kepada anda perkara baru yang cukup mengejutkan.
Si dia yang sentiasa segak dan kemas di hadapan anda, berubah menjadi seorang yang pengotor dan suka bersepah ketika berada di rumah. Stoking yang dipakai dibiarkan di sofa, baju malah seluar dalam pula disangkutkan sesuka hati.
Lebih buruk dari itu si dia mula menampakkan hobinya yang sebenar. Memang kegemaran sebelum mendirikan rumah tangga menonton wayang tetapi tidak disangka bahawa hobi sebenarnya adalah menonton filem lucah. Anda terkejut bila melihat koleksi cerita lucah yang penuh di rumah. Bertambah memualkan apabila si dia mengajak anda menontonnya sekali bersama-sama.
Sekiranya anda merasakan bahawa terlalu sukar untuk berbincang dengan suami tentang sikapnya yang tidak anda sukai, mintalah bantuan daripada orang tengah. Sebaiknya perkara ini diselesaikan sebelum kejutan tersebut memberi bencana yang lebih besar dalam rumah tangga anda.
Bicarakan secara terbuka
Walaupun sukar untuk dihindari namun kemunculan hal yang tidak diduga sebenarnya boleh dikurangkan sekiranya pasangan itu melakukan komunikasi secara terbuka sebelum mendirikan rumah tangga lagi.
Meskipun tempoh perkenalan anda dengan suami cukup pendek tetapi jika masing-masing bersedia untuk berkongsi sikap asal diri, maka kejutan-kejutan ini boleh dielakkan. Bagi pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga, jangan hanya sibuk membincangkan perancangan majlis seperti pelamin, kenduri-kendara, hantaran dan sebagainya sebaliknya yang lebih penting dibicarakan secara serius adalah sikap atau rutin hidup masing-masing.
Sebagai contoh anda boleh mengumpannya dengan soalan yang berkaitan dengan dadah, judi atau minuman keras. Daripada jawapannya anda mungkin dapat menangkap seberapa jauh ‘hubungannya’ dengan perkara tersebut.
Selepas itu utarakan pula pandangan anda tentang perkahwinan yang bakal anda lalui. Bagaimana anda mahu ia berlangsung dan luahkan secara jujur apa yang anda mahukan dalam sebuah perkahwinan.
No comments:
Post a Comment