Friday, July 26, 2013

Nikah Ramadan

Nikah Ramadan
Pasangan pilih bernikah pada bulan mulia dinasihat jangan sampai 'terlajak'

Cuit mencuit, jeling menjeling, senyum tersipu, sekali pandang tak puas. Itulah gelagat individu baru mendirikan rumah tangga. Bagaikan belangkas - tak lepas tangan asyik berpimpin, rasanya kalau boleh nak bawa ke mana saja pasangan mereka kerana enggan berenggang. 
Dalam keasyikan melayari bahtera baru dibina itu sepanjang Ramadan ini, jangan pula terleka dan terlepas pandang terhadap perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa. 

Pengantin baru perlu awasi tingkah laku pada siang Ramadan kerana cabaran terbatal puasa lebih tinggi." Badli Shah Alauddin, Penolong Pengarah Penyelidikan, Bahagian Agama Islam Pahang.

Ibadat puasa pada Ramadan disebut di dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan bertakwa kepada Allah. Hikmah dan rahsia berpuasa tidak akan diperoleh sekiranya tidak dipelihara adab puasa dengan sebaik-baiknya. 

Oleh itu, pasangan baru kahwin perlu memantapkan amalan kerohanian mereka. Suami dan isteri mestilah mengamalkan syariat Islam sama ada berbentuk fardu ain, fardu kifayah dan amalan sunat lain. Kekuatan kerohanian dalam rumah tangga adalah senjata ampuh untuk berhadapan dengan cabaran semasa.

Puasa Ramadan turut dijadikan sebagai asas pembinaan iman dalam jiwa setiap Muslim supaya dapat menjunjung perintah Allah, sekali gus meraih keampunan dan juga membebaskan diri daripada ancaman api neraka.

Persediaan berpuasa 
Penolong Pengarah Penyelidikan, Bahagian Agama Islam Pahang, Badli Shah Alauddin berkata, ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kekejian akibat tarikan hawa nafsu bergelora. Pengendalian diri pada hakikatnya juga melambangkan keinsafan sekali gus menunjukkan ketaatan kepada Allah pada setiap detik terhadap perintah-Nya.

Badli Shah berkata, dalam menyediakan diri menempuh Ramadan penuh kebaikan ini, pasangan baru berkahwin perlu bijak mengendali diri dan perasaan serta pemikiran mereka sendiri dari terikut nafsu.

“Persediaan diri terbahagi kepada lima iaitu meliputi Persediaan Ruhiyah (Spiritual), ‘Ilmiyah-Fikriyah (Ilmu-Intelektual), Jasadiyah (Fizikal), Maaliyah (Material) dan Ijtima’iyyah (Sosial).

“Setiap persediaan berperanan tersendiri dalam memberikan pengertian Ramadan dan amalan lebih seimbang bahkan sempurna untuk pasangan. Contoh, Ruhiyah meliputi persediaan mengubah mental menjadi lebih bertanggungjawab, bersedia dan tunduk menerima segala ketentuan Allah, berkongsi dan melunturkan ego di dada. Ia juga bertujuan mendidik kita agar bersabar dan bersyukur,” jelasnya.

Lakukan pada malam hari

Badli Shah menegaskan , pengantin yang baru mengecapi hidup sebagai suami isteri perlu awasi perilaku khususnya ketika pada siang hari Ramadan kerana cabaran terbatal puasa adalah lebih tinggi. Sebagai contoh, dalam hal bermesra dan bercumbuan.

Jelasnya, mengikut Imam Nawawi: “Jika cumbuan berat itu dapat dikawal yakni tidak berlaku persetubuhan atau keluar mani, maka dibolehkan. Tapi jika orang itu dari golongan tidak boleh mengawal nafsu, maka ia adalah dilarang” (al-Majmu’: 6/86).

“Tidak dinafikan perbuatan bermesra, cumbu rayu, atau berdakap tidak membatalkan puasa. Kepada pengantin baru dan suami atau isteri yang tinggi nafsunya, saya nasihatkan, jangan lakukannya memandangkan ia boleh mengakibatkan ‘azl (keluarnya mazi). 

“Perbuatan ini boleh mengundang dosa. Sewajarnya bagi seorang mukmin menghindari apa juga perbuatan mampu merangsang keluarnya mazi seperti memeluk, mencium dan seumpama dengannya.

“Tapi, perkara ini tidak bererti bahawa pasangan suami isteri turut berpuasa dari melakukan hubungan seksual atau apa juga perbuatan menjurus kepada hubungan seksual. Lakukanlah pada malam hari hingga awal fajar,” jelasnya.

Bayaran puasa terbatal

Secara asas, sesiapa saja melakukan hubungan seks tanpa mengira sama ada keluar air mani atau tidak puasanya batal dan mereka dikenakan hukuman kafarat.
“Berdasarkan hadis riwayat, hukuman kafarat terhadap mereka yang melakukan hubungan kelamin pada siang Ramadan, mereka hendaklah menebus kesalahan itu dengan membebaskan seorang hamba, puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang miskin.

“Justeru, kepada pasangan suami isteri jangan melakukan sebarang aktiviti itu sepanjang anda berpuasa. Bahkan, jangan menghampiri apa juga perkara menjurus kepada seksual pada siang hari. 

INFO: Persediaan perlu di hadapi pasangan baru

1) Persediaan Ruhiyah (Spiritual)
* Ini meliputi persediaan mengubah mental menjadi lebih bertanggungjawab, bersedia tunduk dan menerima segala ketentuan Allah, sedia berkongsi serta meluntur ego bahkan berlapang dada. Selain itu belajarlah untuk sabar dan syukur.

2) Persediaan ‘Ilmiyah-Fikriyah (Ilmu-Intelektual)
* Bersedialah untuk mengemudi rumah tangga dengan pengetahuan, ilmu dan pemahaman. Ada ilmu tentang ad-Din dan ada yang berkaitan dengan ilmu berkomunikasi makruf kepada pasangan. Ada pula ilmu untuk menjadi ibu bapa baik (parenting), pengurusan ekonomi dan banyak lagi ilmu lain.

3) Persediaan Jasadiyah (Fizikal)
* Jika sedang menderita penyakit tertentu khususnya berkaitan kesihatan reproduksi, perlulah disegerakan mencari penyembuh. Peliharalah kesihatan seutuhnya kerana ia bakal menjamin kebahagiaan rumah tangga dalaman dan luaran.

4) Persediaan Maaliyah (Material)
* Konsep awal tugasan seorang suami adalah memberi nafkah, maka tunaikan tugasan ini dengan sempurna mengikut batasan kemampuan kita.

5) Persediaan Ijtima’iyyah (Sosial)
* Persediaan untuk hidup bersama keluarga baru, hidup bermasyarakat, faham bagaimana untuk berjiran, mengerti bagaimana untuk bersosial dan mengambil peranan di tengah masyarakat.

INFO: Langkah mudah untuk pasangan baru berkahwin untuk mengamalkan puasa dengan lebih sempurna

1. Pejamkan mata dan tahanlah ia daripada memandang kepada segala perkara tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikan daripada mengingati Allah S.W.T.

2. Pelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak.

3. Pelihara pendengaran daripada mendengar hal dilarang dan dibenci sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengari.

4. Pelihara seluruh anggota tubuh badan lain daripada membuat dosa dan memeliharanya juga daripada segala dibenci.

5. Tahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan halal kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.

6. Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

No comments:

Post a Comment