Tidak semua orang petah berkata-kata. Ada yang diam seribu bahasa tidak pandai mengolah ayat dan menyusun kata untuk dilontarkan kepada orang lain. Malahan nampak janggal untuk bersuara dan bila perlu saja atau sepatah ditanya sepatah yang dijawab.
Kera sumbang yang dimaksudkan adalah sebilangan mereka yang suka bersendirian dan tidak suka bergaul. Masih ada lagi mereka yang begini? Setahu penulis, mereka yang bersikap menyendiri biasanya tidak suka campur tangan dalam urusan orang lain.
Mereka yang kera sumbang ini biasanya amat sukar untuk dilihat keluar secara berkumpulan. Mereka lebih suka berseorangan. Keluar makan atau berbuka puasa juga seorang diri. Tidak seperti rakan yang lain sibuk bergelak ketawa dengan pelbagai aneka cerita kawan-kawan.
Apabila berseorangan, kemungkinan hidup akan menjadi murung, sehingga menjejaskan prestasi kerja atau belajar. Seperti yang kita tahu, setiap manusia memerlukan teman untuk meluahkan perasaan atau berkongsi masalah terutama yang berhampiran dengan mereka.
Apabila berseorangan, kemungkinan hidup akan menjadi murung, sehingga menjejaskan prestasi kerja atau belajar. Seperti yang kita tahu, setiap manusia memerlukan teman untuk meluahkan perasaan atau berkongsi masalah terutama yang berhampiran dengan mereka.
Tidakkah muncul perasaan aneh apabila tidak mempunyai teman rapat yang boleh memberikan sedikit sebanyak kata-kata motivasi dan nasihat dalam diri.
Si kera sumbang ini kebiasaannya sangat suka menjauhkan diri daripada orang lain. Mengapa agaknya terjadinya masalah ini? Apakah cara terbaik untuk elak diri digelar kera sumbang?
Tidak disenangi rakan-rakan
Apabila tidak disenangi oleh rakan-rakan seperti diejek, dikeji dan diumpat, membuatkan perasaan mereka berasa menurun daripada bersemangat terus menjadi kosong peratus.
Malah ingin menegur rakan-rakan yang lain juga bimbang akan dimarahi dan diketawakan. Sebenarnya tidak semua orang suka dengan diri kita jika kita sukar untuk menyukai diri orang lain.
Maksudnya di sini kita perlu mengkaji diri sendiri semula, sejauh mana penerimaan kita terhadap orang lain sebelum kita menilai penerimaan orang lain terhadap diri sendiri.
Penulis membuat andaian sendiri bahawa kebanyakan golongan remaja terlalu melihat kehebatan diri sendiri tanpa mengkaji kehebatan orang lain yang tidak ada pada diri.
Penampilan selekeh
Penampilan yang kurang menyenangkan juga membuatkan orang sekeliling sukar untuk mendekati. Bukan sahaja kita yang menjauhkan, malah orang lain pun tidak ingin rapat.
Remaja perlu ingat, penampilan melambangkan keperibadian seseorang. Dengan penampilan juga membolehkan orang lain menerima dan berkawan dengan kita.
Kepelbagaian fesyen terkini yang lebih moden, golongan muda boleh tampil dengan imej yang bersih dan kelihatan lebih segar, berbanding imej yang membuatkan diri dibelenggu kemurungan kerana sentiasa keseorangan.
Menjaga penampilan dengan imej yang sihat dan bersih, mampu menarik lebih ramai kawan untuk mendekati, seterusnya menghilangkan gelaran si kera sumbang.
Kurang bertutur
Tidak mempunyai keberanian dalam melontarkan pendapat juga menjadi penyebab kepada si kera sumbang menyendiri dan berdiam duka.
Mereka seharusnya bermotivasi diri dalam mengeluarkan hujah dan pendapat yang bernas kepada orang lain. Tetapi perlu sedar juga sebenarnya orang yang pendiam ini lebih berbahaya daripada mereka yang banyak bercakap.
Cara-cara untuk bergaul
1. Mulakan dengan diri sendiri
Jika berasa meluat dengan kelakuan orang lain yang ‘plastik’ dan mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan diri menjauh, cuba praktikkan dan terapkan nilai itu dalam diri dulu, sebelum meminta orang lain untuk berkelakuan sama.
2. Jadilah manusia yang bijak
Manusia diberikan akal untuk berfikir. Kita bukanlah sesiapa untuk mengajak orang berkawan dengan kita. Cubalah bertimbang rasa dan menerima orang lain sebaiknya kerana mereka sudi menerima kita apa adanya. Jangan terlalu sombong dengan kecantikan rupa paras yang menyebabkan orang lain menjauhkan diri daripada terus berkawan.
3. Berlaku adil
Cuba berlaku adil dengan semua rakan yang dikenali, agar mereka tidak berkecil hati dengan penerimaan anda kepada mereka sehingga diri dipulaukan. Tidak menyebelahi mana-mana pihak jika ada sebarang pertelingkahan yang terjadi antara rakan lain.
4. Bertanya dan meminta pertolongan
Jangan malu untuk bertanyakan pendapat orang sekeliling tidak kira yang rapat atau tidak. Apabila terlalu menyombong diri seperti semua perkara anda tahu, membuatkan anda lagi tersisih daripada masyarakat lain.
5. Jadi orang yang boleh dipercayai
Sikap ini memang sukar untuk setiap orang lakukan, sehingga sanggup berbohong untuk mendapatkan sesuatu. Tapi harus diingatkan untuk mendapatkan ramai teman anda mestilah jujur dan ikhlas dalam berkawan, agar semua orang mempercayai kata-kata yang anda ucapkan dan mempunyai mesej yang baik.
6. Kenali rakan anda
Perlu tahu bahawa setiap orang mempunyai peribadi dan karakter yang berbeza-beza dan jangan fikir semua orang mempunyai pendirian yang sama seperti yang anda harapkan. Mengenali dan bergaul dengan mereka secara tidak langsung akan mengukuhkan keakraban sesama manusia.
No comments:
Post a Comment