Sunday, February 6, 2011

Bilakah Seorang Anak Perlu Didisiplin?

Puan. Saya mempunyai seorang anak lelaki tunggal baru berusia setahun setengah. Masalah saya ialah, suami saya mudah naik baran dan kurang sabar dengan anak kami. Bila saya tegur, alasan yang diberikannya ialah supaya anak tidak pijak kepala bila besar nanti. Apakah pandangan puan? Bilakah sebenarnya waktu dan tempoh paling sesuai untuk seseorang anak itu mula didisiplin oleh ibubapa? ~ Z, Shah Alam.

Jawapan :

Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh Puan Z. Bila menyebut tentang 'disiplin', sesetengah ibubapa menyangka ia bermakna 'memukul', 'mengugut' atau mengambil tindakan kasar supaya si anak berubah kelakuan kepada yang lebih baik. Pada pandangan saya, 'disiplin' lebih sesuai ditakrifkan sebagai 'menetapkan dan menguatkuasakan hadnya' (to set and enforce limits).

Disiplin Mengikut Umur

Disiplin boleh ditetapkan berdasarkan umur. Ini kerana, kanak-kanak yang berbeza umurnya sudah tentu berbeza dari segi kematangan dan kebolehan memahami tindak-tanduk ibubapa. Umpamanya, seorang anak berusia tiga tahun sudah tentu berbeza caranya untuk mendisiplin berbanding anak yang sudah berusia sepuluh tahun.

Secara amnya, dari segi umur dan disiplin, kanak-kanak boleh dikategorikan seperti berikut:

  1. Bayi baru lahir – 1.5 tahun: Tidak perlu didisiplin. Anak yang masih bayi hanya mampu menangis jika ada sesuatu yang tidak kena. Ia menangis bila kurang sihat. Menangis bila lapar. Menangis bila tidak selesa. Jadi formula untuk anak yang masih kecil seperti ini ialah BERTINDAK SECARA RESPONSIF iaitu berikan perhatian sewajarnya. Malah, kajian membuktikan, bayi yang ibu-bapanya sentiasa responsif (cepat memberi respons dan tidak membiarkan anak berlarutan menangis) menjadi anak yang lebih tinggi keyakinan dirinya apabila meningkat remaja.
  2. 1.5 tahun – 2 tahun: YA dan TIDAK. Maksudnya, untuk anak dalam lingkungan umur ini, kita hanya perlu memperkenalkan disiplin secara lembut, umpamanya dengan diperingatkan berkali-kali. Contohnya apabila anak cuba memasukkan jari ke dalam soket elektrik, kita larang dan katakan, "Ini soket elektrik. Boleh terbakar tangan jika disentuh."
  3. 2 tahun – 5 tahun. Inilah peringkat umur yang benar-benar memerlukan ibubapa untuk memperkenalkan kaedah disiplin berkesan untuk jangka panjang. Inilah objektif disiplin kita; iaitu seorang anak sudah elok perangainya apabila mencapai lingkungan kira-kira 5 tahun. Bermakna, dalam tempoh tiga tahun, seseorang anak boleh diharapkan secara realistik untuk dididik berkelakuan baik, contohnya tidak memecahkan barang atau sudah pandai mengambil hati kawan.

Peka Dengan Perkembangan Anak

Pun begitu, kategori umur di atas hanyalah sebagai garis panduan kasar sahaja. Perlu diingat bahawa setiap kanak-kanak mengalami proses kematangan yang unik dan berbeza dari kanak-kanak yang lain. Sesetengah anak menjadi matang lebih cepat dan awal berbanding anak-anak yang lain. Manakala sesetengah yang lain pula lebih lambat dan memerlukan jauh lebih banyak kesabaran dan ketabahan, umpamanya anak yang lambat pembesaran ('slow development'). Oleh itu, Puan perlu peka untuk mengubah-suai kategori di atas mengikut kematangan anak Puan sendiri.

Beberapa Kaedah Disiplin

Tentunya tiada sekolah di mana kita boleh belajar cara-cara untuk mendisiplin anak. Rata-rata ibubapa cenderung untuk mendidik anak mengikut apa sahaja gaya didikan yang diterima mereka sendiri. Biasanya ini ialah stail ibubapa mereka sendiri atau datuk atau nenek atau sesiapa sahaja yang berperanan membesarkan mereka semasa kecil. Oleh itu, jika mereka dibesarkan secara lembut, kemungkinan besar inilah stail yang bakal digunakan untuk mengasuh anak sendiri. Begitu juga sebaliknya; jika dibesarkan oleh ibubapa yang garang dan panas baran, sebagai ibu atau bapa inilah cara yang secara automatik akan digunakannya. Dalam erti kata lain, gaya mengasuh anak biasanya dipelajari turun-temurun.

Beberapa kaedah disiplin yang biasa digunakan termasuk:

  1. AGRESIF: Kasar melampaui batas umpamanya sering memukul dan memaki-hamun anak.
  2. PASIF: Terlalu memanjakan anak dan membiarkannya membuat apa sahaja yang diingini.
  3. MANIPULATIF: Menyalahgunakan autoriti sebagai ibubapa dengan memainkan emosi negatif anak. Contohnya suka membanding-bandingkan seorang anak dengan anak yang lain terutama di hadapan anak yang kurang digemari. Contohnya dari segi kepintaran dan pencapaian.
  4. ASERTIF: Tegas bila perlu dan kena pada tempatnya.

Selain itu terdapat cara-cara lain yang kurang berkesan seperti tabiat suka berleter. Anak yang sudah terbiasa dileter akan 'switch off' secara automatik sebaik sahaja mendengar ibu atau bapa mula berleter. Jadi apa yang diperolehi oleh ibubapa yang suka berleter hanyalah tekanan darah yang semakin tinggi!

Fikirkan : Adakah Cara Yang Lebih Baik

Saya berani mengatakan, tiada seorang ibu atau bapa pun yang boleh dikatakan mendidik anak cukup sempurna di dunia ini termasuk diri saya sendiri. Ini kerana yang sempurna itu hanya Allah Maha Kuasa dan kesempurnaan itu hak Allah semata-mata. Selagi kita bergelar insan, usaha mendidik anak ini adalah suatu usaha yang berterusan; kita perlu berusaha menuju kesempurnaan. Ibu bapa yang prihatin akan sentiasa menyoal diri dan mengimbas kembali usahanya setiap hari sama ada dia sudah melakukan yang terbaik untuk anaknya ataupun tidak. Kebanyakan kita menggunakan gabungan keempat-empat kaedah yang disenaraikan di atas. Tetapi semakin banyak kaedah ASERTIF yang kita gunakan, bertambah baiklah disiplin dan akhlak anak kita.

Pilih Kaedah Asertif - Kaedah Disiplin Terbaik

Apakah bezanya kaedah ASERTIF dengan kaedah-kaedah lain? Paling penting, ibu bapa yang ASERTIF bersikap tegas apabila perlu tetapi lembut di waktu-waktu lain. Bila difikirkan, untuk anak yang umurnya setahun setengah ke atas, situasi yang memerlukan ketegasan lazimnya hanya berlaku beberapa kali sehari sahaja.

Yang saya maksudkan dengan ungkapan 'bersikap tegas' di sini ialah contohnya bercakap dengan nada yang tegas tanpa meninggikan suara sehingga menggerunkan anak tesebut. Umpamanya dengan anak yang sudah berusia hampir lima tahun, memadai dahi berkerut dan nada sedikit kurang senang untuk mengingatkannya supaya mandi sebelum waktu magrib.

  • Contoh: Anak yang baru berusia setahun setengah tertumpah air secara tidak sengaja di atas meja.
  • Respons yang sesuai: Ambilkan kain lap, letakkan tangan anda di atas tangannya dan sama-sama lapkan air yang tumpah. Ibubapa yang bijak akan menggunakan peluang ini untuk mengajar anaknya dengan berkata, "Bila air tumpah, kita lap. Kalau tidak, lantai jadi licin, nanti adik jatuh!" Dengan ini, bukan sahaja anak diajar untuk tidak panik bila sesuatu yang kurang diingini berlaku, perbendaharaan katanya juga meningkat berkembang!
  • Respons yang TIDAK sesuai: Memukul tangannya atau menampar atau menengking.

Juga salah satu ciri kaedah ASERTIF ialah, anak diberi ruang untuk belajar daripada akibat perbuatannya sendiri. Prinsipnya mudah: Perbuatan yang baik menghasikan akibat yang baik. Manakala perbuatan yang buruk pula menghasilkan akibat yang buruk. Dengan ini, setiap anak belajar untuk bertanggungjawab di atas setiap keputusan yang dibuatnya.

Jika ibu bapa bersikap konsisten iaitu peraturannya tidak berubah-ubah tidak tentu hala setiap hari, seseorang anak itu akan jelas tentang peraturan-peraturan yang perlu dipatuhinya. Hasilnya, dalam masa tiga tahun yang singkat ini (antara 2 – 5 tahun), secara beransur-ansur anak itu dengan sendirinya mudah dilentur dan seluruh keluarga akan lebih harmoni, Insya'Allah. WallahuA' lam.

No comments:

Post a Comment