Thursday, February 24, 2011

You'll Never Be Alone

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqara: 186)

Hablumminallah

Jika kita merasa kesunyian, berzikirlah atau bersolatlah kerana disitu adalah hubungan utama kita dengan Allah Swt. Hubungan dengan Allah Swt lebih bersifat kerohanian kerana ia adalah berkaitan dengan ruh dan hati.

Tatkala kita merasa sunyi tanpa hubungan dengan manusia, sunyi itu membawa kita lebih mengingati Allah Swt. Barangkali rasa sunyi itu petanda untuk kita lebih tunduk dan khusyuk kepada Allah Swt. Ketika itu, mintalah bantuan Allah Swt, pengampunanNya, RahmatNya, Kasih SayangNya, HidayahNya untuk memenuhi ruang hati kita sehingga kita benar-benar cinta kepada Allah Swt.

"Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau di dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi lalu berkata: ya Tuhan kami sesungguhnya tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami dari siksa neraka". (Surah Ali-Imran ayat 191)

"Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati akan menjadi tenteram".(Surah Ar-Ra'd ayat 28)

Hablumminannas

Adakah zaman ini kita masih merasa tidak cukup berhubungan sesama manusia untuk mengajak manusia ke arah kebaikan? Di zaman IT ini tiada alasan untuk mengatakan tiada orang untuk kita dakwahkan atau untuk kita ajak kepada kebaikan. Medium facebook, blog dan emel akan cukup membuatkan kita teramat sibuk dari merasai kesunyian itu.

Islam bukan sekadar iman dalam jiwa, malah hendaklah diamalkan dalam kehidupan keluarga dan masyarakat, bersesuaian dengan maksud Islam sebenar, iaitu selamat, sejahtera, aman, dan damai. Jika dilihat konsepnya dalam Islam, ada satu prinsip yang Allah tetapkan bagaimana sepatutnya umat manusia berhbungan antara satu dengan yang lain.

Allah berfirman yang bermaksud:"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran." (Surah Al-Maaidah Ayat 2)

Ayat tersebut menggesa agar kita tolong-menolong atas kebaikan dan ketakwaan dan Allah s.w.t tegas melarang perkara yang boleh membawa kepada dosa atau permusuhan mahupun dengan ibu bapa, anak-anak, jiran tetangga, masyarakat, majikan dengan pekerja, pemimpin dengan rakyat dan sebagainya.

Hakikatnya kita tak pernah keseorangan

Alone? Lonely? Keseorangan? Jangan biarkan Syaitan dan Iblis merajai hati kita apabila kita terlalu memikirkan keseorangan diri. Ingatlah ada malaikat yang sentiasa bersama kita, sel-sel tubuh badan, dan pelbagai lagi makhluk yang sentiasa ada bersama kita. Dan tentunya Allah Swt sentiasa Maha Mendengar dan Maha Mengetahui tentang kita.

No comments:

Post a Comment