Friday, February 18, 2011

Solat Yang Sempurna

SESUNGGUHNYA solat yang dilakukan setiap Muslim lima kali sehari semalam bukan sahaja kewajipan yang mesti dilaksanakan, tetapi tujuan solat itu sebenarnya selain berkomunikasi dengan Allah dan menunjukkan kepatuhan terhadap-Nya, juga untuk membentuk dan mendidik manusia menjadi insan soleh.



Namun, hal itu boleh berlaku jika solat itu dilaksanakan dengan sempurna dalam erti kata sebenar. Sebab itu, kadang-kadang kita hairan kenapa ramai orang menunaikan solat, tetapi masih melakukan perkara dosa dan tidak menjauhi larangan Allah. Sudah tentu ada sesuatu tidak kena dengan solatnya iaitu sama ada tidak khusyuk ketika melakukannya, manakala rukun dan gerakan solat tidak sempurna. Kalau tidak, masakan Rasulullah menyuruh orang yang sudah melakukan solat supaya mengulangi solatnya hingga tiga kali. Sebabnya, ketika solat, orang itu belum menyempurnakan wuduknya, takbirnya, berdirinya, bacaannya, rukuknya, sujudnya dan toma’ninahnya (tertib).

Rasulullah (SAW) bersabda bermaksud:

“Mahukah kamu aku beritahu mengenai seburuk-buruk pencuri?” Sahabat bertanya: “Siapakah dia wahai Rasulullah?” Nabi menjawab: “Orang yang mencuri dari solatnya.” Sahabat bertanya: “Bagaimana seseorang mencuri dari solatnya?” Sabda Baginda: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.”

Solat bernilai di sisi Allah ialah solat yang ada pengaruhnya dalam kehidupan yang dapat membentuk keperibadian Muslim yang unggul. Solat itu dapat menghindar daripada berlaku pelbagai perkara mungkar dan mengikis sifat mazmumah atau keji, sesuai dengan firman Allah bermaksud:

“Dan dirikan solat, sesungguhnya solat (yang sempurna) itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut: 45).

Solat tidak cukup untuk menghalang perbuatan keji walaupun memenuhi ketentuan sebenarnya jika di luar solat seseorang itu tidak menjaga dirinya daripada hal negatif. Solat yang sempurna dan bernilai hikmahnya terpancar dalam kehidupan seharian.

Apabila solat itu mempengaruhi kehidupan seharian bermakna pelaku solat berkenaan berjaya mendirikan solat bermutu, sesuai dengan ajaran Rasulullah (SAW).

Seseorang itu dikatakan benar-benar solat apabila lengkap dan terlaksana gerak badan serta gerak jiwa (dijiwai dan dihayati solat itu). Dengan sepenuh jiwa dia mengabdikan diri terhadap Allah dan bermunajat kepada-Nya. Ketika solat, ingatannya kepada Allah semata-mata. Inilah dimaksudkan firman Allah:

“Dan dirikanlah solat itu semata-mata untuk mengingati Aku (Allah).” (Surah Taha: 14).

Untuk mencapai kesempurnaan solat yang dapat membentuk peribadi mulia, tentunya memerlukan ilmu. Oleh itu, setiap Muslim perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan keagamaan, kerana walau apapun menuntut ilmu adalah kewajipan kepada setiap individu Muslim.

"

No comments:

Post a Comment