KOTA BHARU, 1 Feb: Pelajar-pelajar Kelantan yang sedang menuntut di Mesir dinasihatkan menjauhi tempat-tempat berlaku rusuhan bagi mengelakkan mereka terperangkap dengan konflik di negara itu sekarang. Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, setakat ini pelajar Kelantan yang menuntut di Mesir selamat dan keluarga mereka tidak perlu risau. “Saya ada menghubungi pelajar kita di Kaherah, mereka memberitahu berada di dalam keadaan selamat biar pun konflik di negara itu semakin meruncingkan sekarang. “Cuma mereka memberitahu kesukaran mendapatkan bekalan makanan ekoran banyak pasar dan kedai ditutup,” katanya di sini. Kebangkitan rakyat Mesir menuntut Presiden Hosni Mubarak yang memerintah 30 tahun meletak jawatan kini bertukar menjadi rusuhan sehingga beberapa bandar diambil alih pasukan tentera. Rusuhan berdarah yang dilaporkan mengorbankan kira-kira 100 orang, merupakan kedua berlaku selepas Tunisia yang menyaksikan bekas Presiden Zine al-Abidine Ben Ali digulingkan pada 14 Januari lalu. Bahang kebangkitan rakyat di dunia Arab dikatakan mungkin menular pula ke Yemen dan Syria apabila rakyat mulai mempertikaikan pemerintahan yang disifatkan mereka autokratik. Di Mesir difahamkan terdapat lebih 5,000 pelajar yang berasal dari Kelantan. Pelajar dari Kelantan paling ramai di Mesir berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Sebahagian besar mereka melanjut pelajaran dengan pembiayaan sendiri. Mohd Amar berkata, ada juga pelajar yang ditaja di bawah Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) di mana mereka melanjut pelajaran di bidang perubatan. Menurutnya setiap tahun Yakin menghantar seramai 10 pelajar melanjut pelajaran di bidang tersebut. ”Setakat ini alhamdulillah pelajar kita di Mesir masih selamat. Bagaimanapun keluarga pelajar boleh mendapat maklumat dari semasa ke semasa daripada Wisma Putra bagi mendapat gambaran sebenar di Mesir,” ujarnya. Sementara dalam perkembangan lain beliau menafikan mengeluarkan kenyataan dengan menganggap peniaga Pasar Lama MPKB dan Arked Uda sebagai ’biawak pasir’ seperti dilaporkan sebuah media massa hari ini. Katanya, beliau tidak menujukan ungkapan tersebut kepada peniaga, sebaliknya menjelaskan sikap pemimpin Umno yang berubah-rubah apabila bercakap mengenai Islam. ”Ketika berceramah di hadapan orang Melayu mereka mengatakan Malaysia negara Islam, dan ketika berdepan dengan bukan Melayu mereka mengecam usaha PAS mendaulatkan Islam. ”Tidakkah itu menggambarkan seperti biawak pasir yang mempunyai dua lubang bagi memudahkan melarikan diri,” ujarnya. Oleh itu beliau menyifatkan apa yang dilaporkan media terbabit dipetik di luar konteks sebenar ceramahnya. |
No comments:
Post a Comment