Thursday, March 24, 2011

Allah Berjanji Akan Memberi Pahala dan Balasan Yang Lebih Baik Untuk Orang Yang Sabar

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabar menurut pengertian bahasa ialah menahan atau bertahan. Sabar secara umumnya pula bermaksud tahan mencabar suatu yang sukar. Sabar terbahagi kepada tiga :

Pertama, sabar dalam ketaatan kepada Allah.

Kedua, sabar dari kederhakaan kepada Allah seperti sabar mengelak dari melakukan maksiat, dan

Ketiga, sabar atas segala ujian dan ketetapan yang telah ditentukan Allah.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Yahya (Syuhaib) bin Sinan r.a. bahawa Nabi S.A.W. pernah bersabda:

عَجَباً لأمْرِ المُؤمنِ إنَّ أمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خيرٌ ولَيسَ ذلِكَ لأَحَدٍ إلاَّ للمُؤْمِن : إنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكانَ خَيراً لَهُ ، وإنْ أصَابَتْهُ ضرَاءُ صَبَرَ فَكانَ خَيْراً لَهُ.

Maksudnya:
"Sungguh mengagumkan keadaan seorang mukmin, disebabkan segala keadaannya untuk urusan ia sangat baik. Dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: Jika mendapat nikmat, dia bersyukur. Maka bersyukur itu adalah lebih baik bagi dirinya. Dan jika menderita kesusahan, dia bersabar. Maka kesabaran itu lebih baik buat dirinya."

Pada kisah perjalanan dakwah Nabi Muhammad S.A.W. ke kota Ta’if, baginda menghadapi pelbagai dugaan yang sangat hebat dan begitu menyakitkan. Nabi S.A.W. telah diejek oleh bangsa-bangsa kaya Ta’if, kemudian dipulaukan oleh masyarakat kota Ta’if, seterusnya dilempari batu-batu sehingga menyebabkan dirinya dan Zaid bin Haritsah mendapat cedera parah berupa luka-luka di kepala, kaki dan anggota-anggota lainnya.

Namun begitu, baginda  tidak berpaling dari apa yang pernah disabdakan ia agar selayaknya bagi setiap mukmin itu dikala menimpa kesusahan agar tetap dengan kesabaran, kerana kesabaran itu adalah sangat baik buat dirinya. Apakah yang membuktikan kesabaran itu sangat baik? Adakah sekadar kata-kata kosong semata-mata? Sedang kita sudah kenali bahawa baginda  bukanlah seorang yang berkata-kata mengikut hawa nafsunya.

Bukti yang menunjukkan kesabaran itu merupakan suatu hal yang sangat baik ialah apabila kita merujuk kepada fadilatnya yang amat banyak, antaranya:

i. Pahala yang sangat baik.

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada disisi Allah adalah kekal.Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan." (Surah an-Nahl ayat 96)

ii. Orang yang sabar diberi balasan tanpa batas.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala buat mereka tanpa batas."
(Surah az-Zumar ayat 10) .

iii. Jaminan pertolongan Allah S.W.T. bagi orang-orang yang bersabar.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Ya (cukup), jika kamu semua bersabar dan bertakwa. Dan (seandainya) mereka menyerang kamu semua seketika itu juga, niscaya Allah akan menolong kalian dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.
(Surah Ali-Imran ayat 125).

Sahabat yang dimuliakan,
Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bersabar. Setiap dugaan dan halangan hidup seharian perlu ditempuhi dengan reda dan penuh keinsafan. Umpamanya apabila ditimpa kemalangan atau musibah, hendaklah menyerahkan diri dan bertawakal kepada Allah. Sikap sabar akan memberi ganjaran kepada manusia baik di dunia atau akhirat.

Ini dijelaskan dalam al-Quran bahawa setiap kebaikan itu walaupun sebesar zarah akan mendapat balasan dan ganjaran baik. Begitu jugalah ganjaran terhadap sifat sabar kerana mengharapkan keredaan Allah dan membuat kebajikan. Allah menjanjikan balasan yang baik dan kemenangan yang menggembirakan.

Sabar adalah antara sifat golongan beriman dan menjadi salah satu amal soleh. Orang yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala besar.

Ini seperti firman Allah bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau wanita sedang dia orang beriman, maka mereka itu masuk syurga dan mereka tidak pula dianiaya sedikit pun...” – (Surah an-Nisa, ayat 124).

Justeru, hendaklah kita berlumba-lumba membuat kebaikan seperti bersedekah, menolong orang yang menghadapi kesempitan dalam hidup, bersungguh-sungguh dalam mengerjakan amal ibadat. Begitu juga dalam hal berkaitan sifat sabar, terutama ketika berhadapan dengan masalah seharian. Pergaulan dengan jiran, rakan dan saudara mara perlu dijaga dengan baik.

Jika sekiranya menghadapi masaalah rumah tangga, suami dan isteri perlulah banyakkan bersabar, jangan diikut nafsu marah dan mudah mencari kesalahan orang lain. Lihatlah diri sendiri dimana kekuranga diri kita dan insaflah bahawa tidak ada manusia yang sempurna, kerana yang sempurna adalah Allah S.W.T. Bermaaf-maafanlah kerana sifat pemaaf adalah sifat orang mukmin dan sifat ahli syurga.

Sekiranya timbul perbalahan perlu ditangani dengan adil, saksama dan penuh kesabaran. Kehilangan sifat sabar hanya akan mengeruhkan keadaan, bukan menyelesaikan masalah. Sifat sabar membuktikan kewibawaan, peribadi dan ciri mukmin sejati serta mulia. Belajarlah menghormati jika kita mahu diri dihormati dan disegani orang lain.

Ganjaran sabar di dunia ialah mendapat kemenangan dan kejayaan hidup dalam menegakkan kebenaran Allah. Firman Allah bermaksud : “Ya, cukuplah jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka akan datang menyerang kamu seketika itu juga, niscaya Allah akan menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.”
(Surah Ali Imran, ayat 125).

Orang bersabar dengan ujian Allah dan sebarang kesusahan dalam mempertahankan keimanan amat dikasihi Allah serta diberikan kurnia yang banyak. Tentunya hidup kita akan dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan sepanjang masa. Firman Allah S.W.T. bermaksud: “Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan kepada mereka...”
(Surah Ali Imran, ayat 170)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Barang siapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya...” (Surah al-Anam, ayat 160).

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah kita bermuhasabah diri kita adakah sifat sabar ini ada pada diri kita? Adakah sifat sabar ini hanya setakat ucapan di bibir saja atau kita benar-benar menghayatinya dalam kehidupan kita setiap hari? Jika kita ingin dikasihi Allah S.W.T. dan mengharapkan pahala dan balasan yang lebih baik di dunia dan akhirat maka jangan ditinggalkan sifat ini jadikan ia sebagai pakaian dan amalan dalam kehidupan kita.

No comments:

Post a Comment