Wednesday, March 9, 2011

TABARRUJ: Bertudung, tapi Seksi

Bismillahirrahmanirrahim….
Sedikit perkongsian sewaktu menonton Wanita Hari Ini pada tengah hari tadi (7 Mac 2011). Tertarik dengan satu sesi perbincangan bersama ustaz Haslin, Heliza dan editor majalah An Nur tentang tajuk:BERTUDUNG, TAPI SEKSI.. Inilah reality sekarang. Ini kerana imej bertudung kini tidak lagi disesuaikan dengan baju kurung atau jubah, tetapi ia telah diubah suai mengikut peredaran zaman. Mungkinkah ini agenda Yahudi kuffar yang ingin melihat kehancuran umat Islam? Teringat video ‘The Arrival’ siri 46, salah satu taktik mereka untuk memusnahkan cara hidup umat Islam ialah melalui ‘sex’. Umat Islam hari ini disajikan dengan pelbagai konsert Hollywood yang membahayakan iman, majalah lucah yang berlambak di pasaran, budaya mengagungkan artis, fesyen yang terpesong dari syari’at Islam dan banyak lagi agenda jahat mereka. Tanpa sedar, sedikit sebanyak ia telah berjaya mempengaruhi jiwa pemuda pemudi Islam hari ini. Lihatlah cara hidup kebanyakan kaum hawa hari ini, terlalu ramai yang tidak bertudung dan ada yang bertudung, tapi berpakaian ketat, nipis dan terbuka.. Inilah yang menjadi topik perbincangan di WHI tadi. Kebanyakan alasan yang digunakan untuk membenarkan perkara ini iaitu BERTUDUNG TAPI BERFESYEN KETAT, NIPIS dan TERBUKA ialah
  1. Dosa kecil je kalau sekadar ketat sedikit pun. Kami kan dah bertudung
  2. Lambang kemodenan (up to date)
  3. Setaraf dengan wanita lain agar tidak dipandang ‘lain’ oleh mereka
  4. Jalan cepat bertemu jodoh
Moga kita semua diberi hidayah taufiq untuk terus mengamalkan Islam dalam SELURUH KEHIDUPAN seharian kita sebagaimana firman Allah Ta’ala: “Wahai orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara sempurna. Jadi, saya terfikir untuk berkongsi ilmu yang saya dapat hasil daripada pembacaan buku TABARRUJ DOSA BERHIAS. BAGAIMANA MENGENALINYA DAN MENGHINDARINYA, karya Hj Mohd Hanif Hj Ismail lulusan B.A (Hons) Al-Azhar. Sungguh, saya akui mutiara ilmu daripada buku ini amat bermakna dalam memberi keyakinan untuk terus istiqomah dengan pemakaian muslimah dan Alhamdulillah, setakat ini 4 orang sahabat yang mana selama ini ragu untuk berubah ke arah yang lebih baik TELAH BERJAYA MENDAPAT KEYAKINAN melalui hujah dan jawapan yang diberikan dalam buku ini kerana kesemua hujahnya bersandarkan Al Quran dan as Sunnah. Segala puji bagi Allah dan semoga Allah limpahkan rahmat kepada Ust Hj Mohd Hanif serta hasil tulisan ini mampu sedikit sebanyak membetulkan gaya hidup dan identiti muslimah kini supaya tidak tersasar dari landasan syara’.

APA ITU TABARRUJ ??
Menurut Imam Bukhari: Tabarruj ialah mempertontonkan seorang wanita akan kecantikannya kepada lelaki yang bukan mahram. Jadi, dapatlah disimpulkan bahawa konsep tabarruj ini melibatkan segala benda yg bertujuan utk perhiasan. Al- Qurtubi telah menafsirkan bahawa perhiasan itu terbahagi pada 2 iaitu perhiasan semula jadi dan perhiasan buatan. Perhiasan semula jadi  adalah kecantikan wajah dan keindahan tubuh yg tercipta sejak lahir lagi manakala perhiasan buatan pula ialah alat2 yg dipakai oleh wanita utk menambahkan lagi kecantikan dirinya. 

APAKAH TABARRUJ DIBOLEHKAN DALAM ISLAM ??
 Firman Allah Ta'ala: “Janganlah mereka (wanita) memperlihatkan perhiasan tubuh”. Oleh sebab itu, Allah s.w.t telah mewajibkan kaum wanita menutup aurat supaya dia tidak mendedahkan perhiasannya. Namun realiti hari ini, terdapat pelbagai fesyen tudung yang mana tidak selari dengan tuntutan syari’at. Pernah sekali saya menonton rancangan busana muslimah. Programnya bercirikan Islam, namun gaya penampilannya tidak berlandaskan syariat yg telah ditetapkan. Allah memerintahkan supaya melabuhkan tudung hingga ke dada, namun apa yg diketengahkan melalui  rancangan ini berlawanan terus dgn saranan Allah. Tudung di bahagian depan disingkatkan manakala di sebelah belakang labuh sehingga ke punggung. Masya Allah, betapa umat Islam hari ini makin terpesong dek arus kemodenan sehingga menjadikan tudung itu sebagai perhiasan kepada org yg melihat. Ia jelas berlawanan dengan suruhan Allah iaitu tudung itu sebagai mekanisme utk menutup perhiasannya atau fitnahnya

'STRICT'NYA ISLAM. NAK BERHIAS SIKIT PUN X BOLEH KE?
Tidaklah salah untuk kita berhias kerana Allah itu cantik dan  Allah sukakan kecantikantapi berhiaslah sekadarnya dan apa yg penting, memenuhi tuntutan syariat .Berpakaianlah mengikut lunas2 Islam. Allah telah memberikan anak Adam 3 kategori pakaian sebagaimana dalam surah Al A'raf: 25.

“Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian yang menutup aurat kamu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian yang disandarkan pada taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah mudah-mudahan mereka mengenangnya” (Al-A’raf:25)

Dalam ayat di atas, 3 kategori pakaian ialah:
1) Pakaian yang  menutup aurat, yang malu apabila dilihat orang.
2) Pakaian indah yang menutup aurat dan sebagai penghias badan
3) Pakai taqwa: Pakaian jenis 1 dan 2, ditambah juga sebagai penghias rohani. Memenuhi semua syarat menutup aurat: 

         o Menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan
         o Tidak nipis dan terlalu jarang
         o Tidak ketat dan longgar
         o Tidak menyerupai kaum lelaki dan begitu juga sebaliknya

..................................................................................................................................................

Namun realiti muslimah kini, ramai yg menyokong dan mengamalkan tabarruj ini. Lihatlah fesyen hari ini, ramai yang bertudung, tapi dipakai dengan baju yang ketat dan nipis hingga menampakkan bentuk badan. Ramai yang bertudung, tapi dililit ke atas hingga menampakkan dada. Ia jelas bertentangan dengan suruhan Allah dalam surah An Nur ayat 31: "Dan katakanlah pada perempuan beriman agar melabuhkan tudung ke dadanya...". Ramai yang bertudung, tapi tudung terlalu nipis hingga menampakkan rambut. Ramai yang bertudung, tapi perhiasan terlalu banyak hingga menarik perhatian orang ramai. Inilah realiti hari ini. Mereka sering berhujah dengan pelbagai alasan untuk mengahalalkan tabarruj ini, sehingga terkadang kita sering tertipu dengan retorik yang diada-adakan oleh mereka. Namun Alhamdulillah, buku ini akan menjawab segala alasan golongan yg menyokong dan mengamalkan tabarruj ini. 

ALASAN 1: Tabarruj adalah dosa kecil, tak pe je..
Kebanyakan golongan wanita terpelajar yg lalai ini hanya mengenal zahir kehidupan dunia sahaja dan mereka terlupa akan kehidupan abadi di akhirat kelak. Oleh itu, mereka melihat dosa besar sebagai dosa kecil dan kuantiti mega kebajikan yg dilakukannya dpt melenyapkan dosa2 kecil mereka ini. Lagipun, Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Mereka menggunakan dalil nakli dalam surah al-Furqan:70 yg bermaksud: “kecuali orang yg bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal baik. Maka orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah sesungguhnya bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Tetapi, mereka perlu ingat bahawa dosa kecil jika dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar, bak kata pepatah “sikit2 lama2 jadi bukit”. Renunglah hadis Nabi ini: “Seorang mukmin melihat dosanya seperti bukit di atas (kepalanya) yang dibimbangi akan jatuh ke atasnya. Manakala orang munafiq melihat dosanya seperti lalat yang hinggap di muknya, maka dihalaunya lalat itu”. Adakah kita memilih untuk menjadi seorang munafiq berbanding seorang mukmin sebagaimana hadis Nabi tadi? Dan satu lagi, INGATLAH, sesungguhnya KEBAIKAN ITU DAPAT MENGHAPUSKAN KEJAHATAN JIKA DISERTAI dengan  PENYESALAN dan TAUBAT. Adapun jika berterusan dalam kejahatan, maka jadilah sebaliknya. Kejahatan itu yang akan menghapuskan kebaikan. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu

ALASAN KE-2: Tabarruj adalah lambang kemodenan, up-to-date
Pasti ramai di kalangan perempuan yang bertudung labuh pernah melalui pengalaman diejek kawan2 sendiri kerana dianggap tidak up-to-date. Kita yg masih muda ini dipanggil mak cik, ustazah sehingga kadang2 terasa malu dan rendah diri apabila berkumpul bersama kerana imej kita yg tidak selari dgn tuntutan tamadun moden kini.

Tapi, janganlah bersedih wahai wanita beriman kerana Allah Ta'ala telah berfirman: Janganlah kamu berasa hina dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamu orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang beriman” (Al-Imran:139). Wanita yg melakukan tabarruj ini menunjukkan bahawa dirinya adalah wanita yg jahil tentang agama. Zahir sahaja mengenal Penciptanya, tetapi masih berterusan dalam melakukan maksiat, berterusan di atas landasan kejahilan tentang Islam. Sangat aneh apabila Barat yg begitu masyhur amat menitik beratkan agar barang2 berjenama dibalut dan dibungkus rapi agar terpelihara dan tidak cepat rosak. Tetapi hal yang sama tidak berlaku terhadap benda bernyawa yg bergelar PEREMPUAN. Malah, merek menuntut agar wanita mendedahkan tubuh dan perhiasan mereka sebagai tatapan ramai untuk iklan dan melariskan jualan. Jelas terbukti bahawa Barat telah meletakkan maruah kaum wanita di bawah paras harga dan nilai barangan2 biasa di kedai. Kalau kaum wanita sudah terhina maruahnya sebegitu rupa, mengapa wanita muslimah masih berlumba- lumba meniru cara hidup mereka yang terhina itu? Kesimpulannya, tabarruj bukanlah lambang kemodenan kerana KEMODENAN SEBENAR DI SISI ALLAH  ialah KEMODENAN YANG MEMBAWA RAHMAT BAGI SEKELIAN ALAM.

ALASAN KE-3: Tabarruj meletakkan diri seseorang wanita setaraf dengan kebanyakan wanita lain supaya terselamat dari penghinaan dan cercaan
 "Islam bermula dengan dagang (asing) dan berakhir dengan dagang. Maka beruntunglah orang yang dagang". Hakikat hari ini, TERLALU SEDIKIT bilangan muslimah yang benar2 berpakaian menutup aurat menurut kehendak syari'at, sehingga sering saja mereka berasa tersisih dari dunia ramai kerana rata2 perempuan kini berpakaian sekadar menutup apa yang patut sahaja. Tapi fikirkan: Jika wanita jahil menghina hukum Allah, mengapa wanita Islam harus mengikut mereka? Jika mereka akan dicampakkan ke dalam jurang neraka, mengapa wanita muslimah masih beria-ia mengikut jejak mereka? Sabda Nabi: “Sesiapa yang menyerupai kaum tertentu, maka dia termasuk dalam kaum itu”. Menghairankan sekali, KENAPA WANITA MUSLIMAH KINI TIDAK MALU MENONJOLKAN IDENTITI FASIQ, TETAPI MALU UNTUK MENONJOLKAN IDENTITI TAQWA DAN IMAN DENGAN BERPAKAIAN MENURUT SYARI'AT. Adakah mereka sanggup menggantikan perkara baik demi perkara maksiat semata-mata kerana takut dengan pandangan tidak puas hati dan cercaan ahli fasiq dan maksiat ini? Lalu mengutamakan redha mereka daripada redha Allah Ta'ala?

Fikir secara logiknya, adakah mereka ingin minum arak supaya orang mabuk tidak mengeji mereka? Adakah mereka akan berzina supaya pelaku zina tidak perlekehkan mereka? Ketahuilah, sesungguhnya wanita2 pengikut fesyen dan trend moden ini sanggup memperlekehkan muslimah2 sejati yang menjadikan isteri2 Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan. Masya-Allah, adakah dunia kini sudah mencapai tahap kejahilan di mana tahap kebatilan mentertawakan kebijaksanaan, kefasiqan mentertawakan ketaqwaan? Ingat, jika hari ini wanita murahan ini memandang rendah dan mentertawakan muslimah sejati yg mereka anggap sebagai kuno dan lapuk, akan datang suatu hati nanti, muslimah sejati ini pula yang akan mentertawakan wanita murahan ini sebagaimana janji Allah dlm surah Al-Mutoffifin:29-36:“Sesungguhnya, orang yang derhaka, mereka selalu mentertawakan orang beriman. Dan apabila orang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan mencemuhnya……Maka pada hari ini, orang beriman pula mentertawakan orang (derhaka) itu

ALASAN KE-4: Tabarruj adalah jalan untuk percepatkan perkahwinan bagi perempuan
 Jika kita lihat senario kini, ramai muslimah yang telah mengubah identiti mereka dari bertudung litup kepada tudung yg pelbagai fesyen kini kerana bimbang diri mereka yg belum disunting lagi untuk mengakhiri zaman bujangnya. Lantas, mereka merendahkan sedikit demi sedikit martabat maruah mereka hanya kerana untuk mencuri perhatian mana2 pemuda. Wanita muslimah ini tidak menyedari bahawa pemuda yang bakal menyuntingnya nanti tidak mencari hati yang bertaqwa demi kebahagiaan yang kekal. Maka, dia tidak akan menjadi suami yang soleh. Kesimpulannya, tabarruj mungkin percepatkan perkahwinan, tetapi yang lebih bahaya, ia turut percepatkan penceraian.
..........................................................................................................................................

Maka, hendaklah wanita muslimah berhati-hati terhadap murka Allah. Janganlah berterusan mengikut hawa nafsu kerana dipermainkan oleh syaitan yang memperelokkan amalan buruk sehingga menampakkan ia hanyalah dosa kecil  dan menyebabkan mereka melihat perkara haram sebagai halal. Na'uzubillah min zaalik. Semoga kita semua dapat istiqomah di atas jalan yang benar dan menjadi mukminat solehah kerana mukminat solehah itu lebih cantik daripada bidadari syurga.

p/s:  Jika hendak mantap lagi, kajilah keperluan menutup aurat menurut kajian saintifik. SETIAP PERINTAH ALLAH PASTI BAWA RAHMAT DAN KEBAIKAN PADA UMATNYA, sama ada perintah itu BERAT atau RINGAN. Mohon agar Allah kurniakan kekuatan dan kesabaran untuk istiqomah dengan cara hidup Islam sebenar.

Segala yang baik ini daripada Allah Ta’ala dan segala yang buruk itu dari kelemahan diri sendiri. Semoga usaha yang sedikit ini mampu menjadi bekal amal soleh untuk bertemu dengan Allah suatu hari nanti. Siiru ‘ala barakatillah..

MUTIARA BERHARGA: TABARRUJ DOSA BERHIAS. Bagaimana mengenali & menghindarinya.

No comments:

Post a Comment