Friday, March 25, 2011

Bayi Ditinggalkan Abang Disangka Bayi Dibuang


Tindakan seorang budak lelaki meninggalkan adik perempuannya berusia tiga bulan di tingkat bawah rumah mereka di Flet Taman Larkin Perdana di sini untuk bermain, menimbulkan kekecohan penduduk yang menyangkakan bayi itu merupakan bayi dibuang.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata kejadian berlaku 12 tengah hari apabila bayi itu ditemui dalam sebuah beg galas oleh seorang peniaga. "Melihat keadaan bayi itu yang hampir dihurung semut, peniaga terbabit terus menghubungi polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zainuddin berkata siasatan polis mendapati bayi berkenaan sebenarnya ditinggalkan secara tidak sengaja oleh abangnya yang berumur enam tahun kerana dia pergi bermain dengan kawan-kawannya. Beliau berkata bayi itu dijaga oleh abangnya selepas ibu mereka keluar mencari kerja manakala nenek mereka pergi ke sebuah klinik.
Selain bayi itu, budak lelaki berkenaan turut menjaga dua lagi adik perempuannya yang berumur tiga dan dua tahun. Menurut Zainuddin, bapa kanak-kanak itu tiada di rumah kerana bekerja di sebuah resort di Pulau Sibu, dekat Mersing. "Ibu mereka yang berumur 24 tahun pulang ke rumah ketika polis masih berada di tempat bayi ditemui itu.
Wanita itu kemudian dibawa ke Balai Polis Larkin untuk direkodkan keterangan," katanya. Peniaga Shahril Tugiman, 36, berkata ketika beliau temui bayi itu, dia tidak menangis. "Saya bertanyakan kepada abangnya yang sedang bermain tetapi budak lelaki itu hanya menggelengkan kepala sebagai tanda tidak mengetahui siapa bayi tersebut. Bimbang kemungkinan bayi itu adalah bayi yang dibuang, saya terus menghubungi polis," katanya.
- Johor Bahru, 24 Mac 2011

No comments:

Post a Comment