Thursday, March 31, 2011

Ustaz Mohd Farhan Abdullah Al-Hafiz : Pilih Masjid, Tinggalkan Gereja


Ketika menghadiri forum perdana di Hotel De Palma Ampang, penulis tertarik untuk mengetahui kisah lanjut tentang seorang ahli panel yang merupakan bekas paderi Kristian di Sabah. Alhamdulillah, penulis dapat merungkai perjalanan yang ditempuhi oleh beliau sehingga hatinya kini berpihak kepada Islam. Bagaimana dulu beliau yang pernah memurtadkan 200 orang Islam kini berjaya mengislamkan hampir 2000 orang dari pelbagai kaum.
Ustaz Mohd Farhan bin Abdullah Al-Hafiz dahulunya dibesarkan di dalam suasana agama Kristian dan bersekolah Kristian selama lapan tahun. Beliau juga dilatih menjadi Mubaligh Kristian dan mendapat didikan awal dari ayahnya sendiri yang merupakan Ketua Gereja dari Gerakan Penginjilan Sidang Injil Borneo. Semasa menganut agama Kristian, beliau seorang yang sangat taat kepada agama warisan itu dan merupakan pengikut yang fanatik.
Ketika itu, beliau juga mengkaji perbandingan antara Kitab Injil dan Al-Quran. Beliau banyak menelaah tulisan-tulisan Al-Marhum Syeikh Ahmad Deedat yang merupakan pendakwah terhebat di dunia dan pernah berdebat dengan para paderi dari pelbagai tempat di pelosok dunia. Akhirnya dengan kuasa Allah yang tiada tolok bandingnya, mata hati beliau telah terbuka untuk melihat keindahan dan kebenaran agama Islam.
Konsep 'Triniti' Cabar Keyakinan
Menurut pendakwah bebas ini atau nama Kristiannya Pastor Yohanes, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan beliau hilang keyakinan terhadap agama Kristian. Paling utama ialah mengenai konsep 'triniti'. Dalam konsep yang dipegang oleh orang Kristian ini, mereka mempercayai bahawa Tuhan itu adalah Allah. Namun, Tuhan itu adalah gabungan daripada tiga iaitu bapa, anak dan roh kudus. Mereka juga yakin Nabi Isa yang digelar Jesus sebagai Tuhan mereka kerana baginda ialah anak Tuhan.
Bagaimapun, ketika mengkaji al-Quran selama enam tahun, Ustaz Farhan bertemu firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud, "Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): "(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?" Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (al-Maidah: 17)
Kebesaran kalam Allah itu akhirnya telah membuka pintu hati Ustaz Farhan untuk memeluk agama Islam. Justeru, pada tanggal 26 Februari 1990, beliau telah melafazkan dua kalimah syahadah dan rasmilah menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Bagaimanapun, ternyata bukan mudah pengislaman beliau diterima oleh keluarga. Beliau telah dihalau dari rumah dan dibuang oleh keluarga.
Cabaran Setelah Bergelar Muslim
Namun, sebelum beliau melangkah kaki meninggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang, beliau sempat memeluk ibu bapa dan adik-beradiknya sambil berkata, "Ayah, ibu, maafkan saya. Sungguhpun ayah ibu halau dan benci dengan saya, serta tidak mengakui saya sebagai anak, tetapi saya tidak jadikan Islam yang saya pilih sebagai pemisah hubungan antara seorang anak dengan ibu bapanya". Selepas itu, beliau sentiasa berdoa di dalam solat hajat supaya dibukakan pintu hati keluarganya memeluk agama suci ini.
Menjadi seorang Muallaf tidak membataskan dirinya untuk berusaha mendalami Islam dan mengkhatam al-Quran. Pengajian beliau bermula di Pusat Latihan Dakwah Keningau, PERKIM Petaling Jaya dan pelbagai institusi pengajian Islam. Beliau juga telah berjaya mengkhatam al-Quran pada penghujung tahun 1998.
Benarlah Allah pasti membantu hamba-Nya yang bersabar dan redha dengan ujian-Nya. Akhirnya ayah dan ibu serta adik-beradiknya memeluk Islam. Malah, setahun selepas itu, 30 keluarga terdekat juga telah berjaya diislamkan oleh beliau. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dan bergiat aktif dalam memberi ceramah dan forum kepada para pelajar Malaysia tentang kepentingan dan kewajipan berdakwah setelah kembali ke Malaysia.
Perjuangan Dakwah
Sekembalinya beliau ke tanah air, beliau mula berjuang demi agama yang tercinta. Beliau memberi ceramah berkenaan "Murtad dan Kenapa Saya Memeluk Islam" ke seluruh negara. Disamping itu, beliau turut mengadakan kuliah-kuliah bulanan di masjid-masjid dan surau-surau sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Ada kalanya beliau dijemput memberi ceramah di Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei.
Usaha dakwah seorang pejuang yang cekal ini diperhebat lagi dengan tertubuhnya dua pusat tahfiz iaitu Akademi Tahfiz Al-Quran Wal Hadith (ATAQWA) dan Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari (PPTQB). Dua pertubuhan ini adalah kerjasama bersama rakan-rakan seperjuangan beliau di Mesir. Beliau juga mengasaskan "Program Dakwah Bergerak" bagi misi dakwah Islamiyah di Sabah dan Sarawak.
Mengulas mengenai persoalan mengapa masih ada orang bukan Islam yang tidak tertarik dengan Islam sedangkan Islam itu terang-terangan sebuah agama yang indah dan lengkap untuk dijadikan panduan kehidupan, Ustaz Farhan berkata, "Halangan utama yang membuatkan orang bukan Islam tidak tertarik dengan Islam apabila orang Islam sendiri tidak menunjukkan imej dan contoh teladan yang baik. Ramai umat Islam yang tidak beramal dengan ajaran Islam dan terlibat dengan gejala sosial dan maksiat kerana jahil dalam ilmu agama."
Justeru, jelas beliau lagi, umat Islam haruslah segera kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Ia dapat dilakukan dengan cara beramal dengan Islam, menghayati ajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan menyebarkannya. Kewajipan berdakwah pula adalah perlu bagi melahirkan ummah yang bersatu dan berpegang teguh pada tali Allah SWT. Maka, pihak kerajaan dan rakyat perlu berganding bahu memainkan peranan masing-masing mengembalikan jati diri, sahsiah, akhlak dan imej umat Islam sejati.
Betapa besarnya perjuangan yang beliau lakukan demi menegakkan syariat Allah di muka bumi. Kita sebagai seorang Muslim yang memang Islam sejak dilahirkan lagi seharusnya mempunyai semangat jihad dan cintakan agama yang lebih tinggi! di akhir kata, beliau menyeru agar seluruh umat Islam sama-sama menjaga nikmat iman dan Islam di dalam diri, keluarga dan masyarakat agar tidak terkeluar dari Islam baik dari sudut perbuatan, ucapan dan tingkah laku.

No comments:

Post a Comment