Tuesday, March 8, 2011

Semua Orang Melakukan Kesilapan


KETIKA memandu ke tempat kerja pada setiap pagi, saya biasa berdepan dengan kenderaan yang melanggar lampu merah, berhenti di petak kuning, memandu perlahan di lorong laju, memandu laju dan memotong di lorong perlahan atau pun memintas kereta saya tanpa memberi lampu isyarat pun.
Ada masanya, saya berdepan dengan kenderaan di hadapan yang lambat sangat bergerak ketika lampu isyarat bertukar hijau, kereta yang mengubah haluan dan memasuki lorong saya di tempat pembayaran tol atau membunyikan hon apabila saya mengambil masa yang lama untuk menyeberangi simpang empat.
Apa yang akan saya lakukan apabila ternampak kesalahan-kesalahan jalanraya, kurang timbang rasa pemandu lain atau mereka yang menyusahkan pemanduan saya? Saya tidak lakukan apa-apa. Tersenyum tidak, marah pun saya tidak lakukan. Malah, saya maafkan mereka meskipun saya membebel sendirian. Mengapa? Kerana kesemua kerenah, telatah, gelagat dan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu-pemandu itu sebenarnya pernah saya lakukan.
Maafcakap. Saya tidak berniat langsung untuk menggalakkan pelanggaran etika dan undang-undang di jalanraya. Malah, saya penjunjung kedaulatan undang-undang. Kesalahan-kesalahan itu kadangkala saya lakukan, tidak dibuat hari-hari sebagai satu tabiat seseorang yang suka melanggar peraturan.
Dalam pada itu, saya sedar dan memahami si pelaku kerana saya juga pernah melakukan kesalahan jalan raya sepertinya. Oleh kerana saya pernah buat kesilapan dan kesalahan jalan raya sebagai pemandu, maka saya patut menerima seadanya jika saya ternampak mereka yang melakukan kesilapan dan kesalahan itu.
Pendek kata, jika kita pernah melakukan sesuatu dosa ketika kita lalai, kita mestilah bersedia untuk memahami dan memaafkan mereka yang melakukan dosa yang sama seperti yang pernah kita lakukan. Mungkin, mereka yang melakukan kesalahan itu alpa atau mempunyai masalah lain hingga tidak sengaja atau terpaksa melanggar peraturan.
Sebaliknya, apa yang banyak kita lihat pada hari ini ialah, terdapat mereka yang mengkritik, mencerca, menghina, malah menghukum mereka yang melakukan sesuatu kesalahan, seolah-olah dia atau keluarganya sendiri tidak pernah melakukan kesalahan itu. Seolah-olah dia manusia yang tiada dosa sama sekali. Inilah sikap dua kali lima yang kita anuti tanpa disedari.
Oleh kerana tidak sedar akan kelemahan diri, yang ada ketikanya dua kali lima juga seperti orang lain, maka kita berlagak seperti orang yang amat bagus ketika berada dalam suasana yang baik. Kita mengata orang yang bersolat laju, sedangkan kita sendiri selalu lewat mendirikan sembahyang.
Kita menjegil mata pada orang yang memotong barisan kita di pejabat pos, tetapi kita minta tolong anak saudara kita yang bekerja di bank untuk mendahulukan transaksi kita. Kita memarahi anak yang tidak sudah-sudah hendakkan mainan baru sedangkan kita juga tidak habis-habis menghias kereta hingga kosnya menelan beribu ringgit.
Kita meleteri isteri yang membuang masa dengan bergosip bersama jiran, padahal kita menghabiskan berhari-hari memancing di tempat yang jauh. Kita memarahi kakitangan yang lewat datang mesyuarat, walhal kita terus batalkan mesyuarat bila kita sedar yang kita terlewat menghadirinya.
Sikap dua kali lima ini terjadi apabila kita asyik mencari kesalahan orang tetapi tidak ingat akan kesilapan diri sendiri. Ia berlaku kerana kita suka sangat memandang ke luar, dan tidak pandai memandang ke dalam diri. Muhasabah bukan menjadi cara untuk mengenali kelemahan diri. Kerana tiada cara mentarbiah diri, maka diri dirasakan baik dan bagus sedangkan orang lain buruk. Sikap begini tidak disukai Allah dan Rasul.
Bersabda RasululLah s.a.w: "Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka ALLAH akan mencari keaibannya. Sesiapa yang ALLAH cari keaibannya, maka ALLAH akan mendedahnya sekalipun di rumahnya. (Hadis sahih. Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

No comments:

Post a Comment