Tuesday, May 31, 2011

Anak Awak Kiut! Alhamdulillah


"AAAA...Kick, kick."
Salahudin dan Toriq berlari-lari, mengejar bola yang ada. Terkadang terjatuh, mereka bangun semula. Tersengih dan sambung berlari.
Oh. Terlupa pula, Salahudian dan Toriq adalah dua orang anak kecil daripada seorang sahibah yang berasal dari South Africa.. Comel dan pintar. Tidak dilupakan juga, aktif sangat.
"Now you know why I am so tired."
Mumtaz, umi mereka berjenaka. Saya dan kawan-kawan yang lain tergelak.
"So how did you do your assignment?." Saya bertanya, terkadang terbit rasa kagum pada diri wanita itu.
Hendak menguruskan rumahtangga, bersama dua orang anak yang aktif bukanlah satu perkara mudah. Saya sendiri tidak tergambar bagaimana dia menguruskan hal pelajaran pula.
Mumtaz dan suaminya adalah pelajar cemerlang di tempat saya belajar.
Tambahan lagi, disebabkan kepandaian mereka, mereka membuka kelas pula. Suami Mumtaz mengajar Bahasa Inggeris dan Mumtaz mengajar Bahasa Arab.
Sekarang cuba bayangkan, bagaimana Mumtaz mengajar, menguruskan suami, rumahtangga, anak-anak dan menyiapkan assignment yang diberi.
Bagaimana?
"Alhamdulillah..Allah helps me." Mumtaz menjawab tenang, sekaligus merentap hati saya.
Habis luluh semua keegoan yang merasa semua kerja itu terjadi lantaran diri sendiri, sedangkan Allah yang membantu dalam setiap pergerakan tubuh badan saya.
Pergantungan
"Ah!! Tension! Stress! Banyakkkk kerja!" Ramai pelajar yang merungut, sehingga stress memikirkan segala kerja. Terkadang sehingga tidak tidur malam.
"Rata-rata yang mendapat rawatan kaunseling adalah dari kalangan pelajar IPT." Bicara seorang kaunselor bertauliah.
Kenapa ya?
Baik, mari kita lihat situasi di sekeliling kita...
Di institusi tempat kita belajar, berapa ramai yang benar-benar belajar, bukan hanya sekadar untuk mendapatkan sekeping sijil?
Berapa ramai yang dirinya benar-benar diserahkan kepada Allah? Berapa ramai yang ke kelas hanya kerana Allah?
"Ish.. Rendahnya markah aku ni. Pensyarah ni memang kedekut bagi markah. Soalan pun susah." Seorang pelajar merungut sebaik sahaja melihat kertas peperiksaan yang tercatat markah yang rendah.
Lantas, jari menuding ke sana ke mari. Menyalahkan orang itu dan ini, sehingga lahir pula rasa sakit hati dan tidak bersyukur.
Sahabat, marilah jadi insan begini. Jika markah itu rendah, mari tudingkan jari pada diri sendiri. Kita yang tak belajar, kita yang tidak menyerahkan sepenuh penghargaan kepada Allah.
"Ish Mastura! Saya dah belajar betul-betul. Struggle habis, tak tidur malam dah niiii!"
Baik baik. Kamu dah belajar sungguh-sungguh. Tapi, cukup tak doa kamu kepada Allah? Solat fardhu terjagakah di awal waktu?Solat sunat Dhuha dan sunat-sunat lain, sudahkah dibuat dengan keikhlasan hati?
Ingatlah duhai sahabat...
"Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka kemanapun kamu menghadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya) lagi Maha Mengetahui." - [Al-Baqarah : 115]
Kita tak pernah akan lepas daripada dugaan dan ujian, maka setelah berusaha, serahkan segalanya pada Allah, hakikatnya Dia yang memberi keputusan, baik atau tidak.
Hanya pada Dia seharusnya manusia berserah diri, bukan kepada pensyarah, bukan kepada sahabat. Hanya DiaAllah.
Semuanya Dari Allah
"Allah..." Tangan saya menggeletar sewaktu ingin memeriksa keputusan peperiksaan semester lepas.
Menggeletar kerana saya seolah-olah pasti bahawa keputusan saya tidak akan sebagus mana.
"Bismillah..." Sebelah mata ditutup, tidak sanggup melihat keputusan yang bakal terpampang di hadapan mata.
Dalam beberapa saat sahaja, laman web portal pelajar mempamerkan keputusan.
Entah kenapa, mata saya terus mencari jumlah pointer.
"Alhamdulillah..." Air mata saya bergenang. Tangan saya masih menggeletar, menggeletar bukan lagi kerana takut tetapi kerana keputusan yang terpampang lebih daripada apa yang saya bayangkan.
Maka sahabat.. Adakah keputusan yang saya terima itu adalah hasil usaha saya sendiri?
Tidak. Mana mungkin saya mampu belajar jika Allah tidak mengizinkannya.
Mana mungkin saya mampu menghafal jika Allah tidak membenarkannya.
Mana mungkin saya bisa menyiapkan segala tugasan jika Allah tidak memudahkannya.
Justeru, jangan pernah walau sekali merasakan apa yang kita ada pada hari ini adalah hasil usaha kita sendiri. Sekali Allah tidak meredhainya, maka hancurlah semua...
Kita hanyalah memberi komitmen terhadap pelajaran. Siapkan tugasan di awal waktu, datang kelas, dan membuat ulangkaji. Namun di pengakhirannya Allah jua yang menentukan segalanya.
Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah.
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya." - [Al-Imran : 159]
Mari Menjadi Insan Yang Bersyukur
"Salahudin!!" Toriq berteriak, memanggil abangnya.
Salahudin bersedia untuk menerima bola daripada Toriq.
"Cepatlah.." Petah Salahudin bercakap Melayu.
"Cepat bagi kat kakak." Saya melayani karenah si comel berdua itu.
Dalam hati, saya mengagumi satu makhluk ciptaan Allah. Kak Mumtaz.. Betapa dia sentiasa bersyukur dan kerana kesyukurannya itu Allah beri kelapangan hati dan rezeki yang melimpah ruah.
"Your son is very cute." Saya berkata.
"MasyaAllah, Alhamdulillah."
"They are very clever."
"MasyaAllah, Alhamdulillah.." Ayat yang sama meniti dari bibir kak Mumtaz.
Alhamdulillah, Alhamdulillah..Alhamdulillah.
Sahabat, mari jadi seorang yang bersyukur. Kelak, rezeki akan datang tanpa disangka-sangka..
Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment