Friday, May 20, 2011

Wahai Lelaki, Taati Ibumu, Jambatan Terbentang Luas Ke Syurga Jannah


Ibu dan ayah permulaan kehidupan bagi seorang anak. Kasih ibu mampu ke syurga dan kasih ayah pula akan kekal selamanya. Ibu yang mengandungkan insan bergelar anak selama sembilan bulan 10 hari, bertarung nyawa ketika melahirkan dan berpenat lelah mengasuh dan mendidik hingga mampu menjaga insan kamil dan berjaya.
Segala pengorbanan yang diberikan tidak pernah mereka menuntut ganjaran melainkan dengan satu harapan dan niat iaitu, anak yang dikandungnya itu mampu mengharumkan nama keluarga, agama, bangsa dan tanah air. Itulah yang diharapkan oleh insan bergelar Ibu dan ayah.
Apabila sudah dewasa dan kaki yang kecil dahulu sudah mampu menampung diri sendiri ada yang alpa dan lupa dengan tanggungjawab mereka terhadap insan bergelar ibu. Mungkin saat ini, muka ibu dahulunya 'tegang' dan berseri sudah berkedut seribu.
Jika dahulu dialah manusia paling ligat dibendang membanting tulang membantu si ayah di sawah, kini hanya mampu berkerusi roda ataupun sekadar mampu melemparkan pandangan jauh ke bendang.Anak-anak di mana? Jawapannya satu sibuk urusan sendiri, sibuk urusan isteri atau suami, sibuk persekolahan anak-anak dan sibuk mengejar dunia. Ibu dibiarkan rindu dan menghitung hari-hari sunyi mengharapkan kepulangan anak-anak.
Hari ini ramai ibu bapa dibiarkan sendirian kerana ramai yang tidak faham tanggungjawab terhadap warga ini. Terutama anak lelaki. Fahamilah tanggungjawab kamu besar terhadap mereka. Jika sudah beristeri dan berkeluarga sekalipun, sebagai anak lelaki, syurga kamu tetap di bawah telapak kaki ibu.
Jelas dalam hadis Sahih Bukhari menjelaskan, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, maksudnya : 'Siapakah yang wajib kita hormati dan kasihi selepas Allah SWT dan Nabi? Jawab Nabi, Ibu kamu. Selepas itu? Ibu kamu. Selepas itu? Ibu kamu. Dan kali keempat lelaki itu bertanya 'selepas itu'?' Jawab Nabi, ayah kamu.

No comments:

Post a Comment