Saturday, May 21, 2011

Bila Tiba Saatnya


Sketsa 1
"Janji ada motor cukuplah."
Permintaan yang sangat naif. Seorang anak remaja yang menginginkan sebuah motor demi memudahkan perjalanannya di kampus. Ibu bapa mana yang tidak tersentuh dengan permintaan seorang anak yang baik akhlaknya dan lembut tutur bicaranya.
Selang beberapa hari sebuah motor HONDA berada di depan mata Ariff.
"Alhamdulillah. Mak abah. Terima kasih."
Maka bermulalah permulaan hidup Ariff bersama motornya di kampus.
"Wah! Ariff.
Motor baru nampak!"
"Biasa je Harith. Memudahkan gerak kerja aku. Senang nak ke kelas. "
"Senang nak ke masjid." Harith menyambung kata-kata Ariff dengan nada sinis sekali.
"Yup. Senang aku nak ke masjid. Boleh bawa ko sekali. Tak gitu Harith? Takkan ko nak biarkan aku keseorangan pergi masjid. Ada peneman baru best. Sama-sama dapat pahala."
Harith batuk-batuk kecil. "Amboi Ariff. Pandai dah bermain kata dengan aku."
Ariff hanya menghulurkan senyuman kepada Harith. Kalau Harith dilayan bercakap sampai esok pun tak habis.
..........................................................................................
Lima bulan berlalu. Ariff memerhatikan motornya. Memang segala gerak kerjanya menjadi mudah. Syukur dengan kemudahan yang ada.
"Ariff. Jom!" Harith menjerit dari tingkat tiga. Ariff memandang ke atas.
"Pergi mana?"
"Masjid la...."
"Apa dia Harith?"
"Masjid..."
Alhamdulillah. Lafaz yang tidak henti-henti terucap di bibir Ariff. Allah telah membuka hati Harith. Bila tiba masanya, hidayah itu pasti tiba.
Sketsa 2
"Fesyen apa yang kau pakai ini? Baju warna lain. Tudung warna lain. Tak masuk langsung."
"Ergh.. Cik Kak Melati. Janji saya pakai apa yang patut dipakai. Bukan orang tengok pun. Tak sempat dah nak padan memadan baju"
"Memang betul. Tapi kena jaga juga penampilan diri. Biar nampak kemas. Kita rasa selesa. Tudung letak elok-elok sikit"
"Whatever! Dah! Jom pergi makan sekarang! Kita nak pergi kafe dekat bawah ini je! Tak payah fikir lama-lama sangat. Janji pakai tudung."
Melati akur. Mengejar Zarith yang bergerak macam lipas kudung.
........................................................................................
"Zarith! Tak siap lagi! Cepat sikit! Saya dah lapar sangat ni."
"Melati ada tak tudung warna purple?"
"Nak buat apa. Tudung saya besar. Dulu kau kata tudung saya macam selimut..."
"Nak pakai. Sedondon dengan baju yang saya tengah pakai sekarang. Cepat la..."
Melati memberikan tudungnya kepada Zarith. "Sejak bila pulak fikir fasal warna-warna baju ni?"
"Bila tiba masanya. Saat untuk difikirkan akan tiba." Zarith tersenyum penuh makna...
............................................................................................................
Itu sketsa kehidupan. Mungkin dekat dengan kita.
Isinya mudah.
Perkara yang pada mulanya kita fikirkan tidak penting/ perlu akan menjadi penting/ perlu apabila tiba masanya. Dengan izin Allah segala-galanya menjadi PASTI.
Pada hari ini mungkin kita merasakan membaca buku sejarah itu tidak penting. Membosankan. Memeningkan. Terlalu banyak fakta.
Tetapi apabila tiba pada suatu peringkat, kita akan merasakan sejarah itu sangat penting. Orang yang tidak mengenal sejarah adalah orang yang buta akan hal persekitaran. Orang yang akan mudah untuk ditipu, dan akhirnya kita mula mengkaji sejarah.
Pada hari ini mungkin kita merasakan mengawal diri dari terjebak dengan soal hati dan perasaan itu tidak perlu. Ikut arus moden. Bercinta sakan. Alam kampus yang memberikan kebebasan untuk meluahkan rasa cinta yang terpendam lama.
Tetapi apabila sampai masanya, diri anda akan mula terfikir betapa perlunya mengawal diri dari terjebak dengan cinta yang melampaui batas. Baru tersedar betapa Allah melarang sesuatu itu demi kebaikan hidup kita dunia dan akhirat. Apabila hatimu diketuk dengan hidayah Allah, sambutlah. Jangan lepaskannya lagi. Kawal jangan layan. Amalkan cinta halal. Bina hidup dengan redha Ilahi.
Jelajah lagi. Ambil sebagai contoh mengenai kelas agama/ kelas fardu ain. Pada zaman persekolahan dahulu, kita tidak mengambil berat mengenai kelas seperti ini. Ponteng itu selalu. Latihan yang diberi, pasti tidak dibuat. Segala-galanya diambil mudah sehingga mak ayah pun tak kuasa untuk memaksa lagi.
Nah. Apabila sampai masanya, tiba-tiba tersedar diri betapa ruginya diri ini tidak menuntut ilmu agama itu sebaik mungkin.
Rugi. Sangat rugi. Tetapi sebenarnya rugi itu akan melahirkan perasaan untuk menghargai.
Menghargai Islam itu sebagai panduan hidup bukan sekadar agama keturunan. Mula untuk mendalami dan tidak membuta tuli.
Apabila tiba saatnya kita memang harus memilih.
Dalam perjalanan hidup ini kita sentiasa harus memilih. Setiap masa. Setiap jam. Mungkin juga setiap saat. Pada ketika kita terjaga dari lena, kita harus memilih sama ada untuk bangun untuk solat Subuh atau terus menarik selimut untuk menyambung tidur. Pada masa ini kita diuji. Pilihan harus dibuat. Saat mujahadah sedang berlaku. Maka, selamat bermujahadah saya ucapkan untuk diri dan juga untuk anda.
Pilihan itu akan sentiasa muncul dalam kehidupan ini. Bila sudah bangun subuh, kita mula terfikir, nak pakai baju warna apa hari ini, merah atau biru? Hitam atau putih?
Nak makan apa hari ini, nasi lemak atau roti canai? Masak sendiri atau beli?
Semua itu perlu difikirkan. Perlu dipilih.
Belum lagi jika kita bicara hal hati dan perasaan.
Apabila hati sudah tertaut pada seseorang, banyak lagi pilihan akan timbul.
Nak meluahkan atau memendam? Nak kahwin atau belajar dulu? Nak kawal nafsu atau layan je? Nak jaga pandangan atau tengok je? Nak jaga hati atau mulakan zina hati?
Wah. Semakin mencabar pilihan yang perlu dibuat. Semua itu perlu dipilih.
Yang pasti, bila memilih, ingat Allah selalu. InsyaAllah, pilihan anda itu diredhai.
Hikmah itu tidak nampak dalam sekelip mata.
Jika kita renung kembali setiap kejadian yang berlaku pasti punya hikmahnya. Hikmah yang tersembunyi dan tidak nampak dalam sekelip mata.
Kehidupan itu membawa kita untuk lebih memahami. Perjalanan hidup ini menemukan kita dengan macam-macam perkara. Dan semua itu mengajar kita untuk berfikir. Berfikir dengan cara yang matang.
Apabila masanya sudah tiba, bersiap sedialah.
Apabila sampai satu tahap, perkara-perkara yang tidak pernah kita sangka untuk fikirkan kita akan terjebak untuk memikirkan mengenai hal itu.
Semua perkara ini berlaku kerana tahap kematangan kita berbeza. Cara pemikiran mula bercambah dan mula untuk menjadi orang yang berfikir. Berzikir dan berfikir.
Mungkin dulu kita menyatakan bahawa solat di rumah sudah cukup buat kita. Tetapi apabila sampai suatu masa, diri mula didedahkan dengan kepentingan solat jemaah, maka diri mula bergerak untuk memahami dan seterusnya melaksanakan. Alhamdulillah.
Sesungguhnya, hadapi perjalanan hidup ini dengan tenang.
Apa yang datang, apa yang perlu difikirkan dengan lebih serius, apa yang perlu dipilih, apa yang tidak pernah difikirkan lalu perlu difikirkan ...... Hadapi segala-galanya dengan tenang.
Renungi juga firman Allah dalam surah Ar-Ra'd ayat 28:
"Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati akan menjadi tenteram"
Maka, apabila tiba saatnya, hadapilah dengan tenang...

No comments:

Post a Comment