Kehadapan anakku Z,
Jahat kan Abah? Sepanjang Z dalam kandungan, tak pernah Abah tulis pasal Z. Sekarang usia Z sudah nak masuk 7 bulan baru sempat Abah menulis. Hehe.. Maafkan Abah... Abah sibuk mengumpul duit untuk persediaan menyambut Z ke muka bumi.
Lagipun sebenarnya bukan apa, Abah sendiri tak tahu nak panggil Z dengan nama apa. Abah bimbang kalau Abah gunakan sebarang nama di blog, nama tu akan melekat terus untuk Z walhal sepanjang tempoh tu, Emak dan Abah belum jumpa kata putus lagi nak namakan Z dengan nama apa.
Pasal nama Z ni, kalau nak ikutkan, sebelum Z disahkan wujud dalam kandungan lagi Emak dan Abah sudah mula berbincang. Bila masing-masing cuba menegakkan pilihan masing-masing, mulalah perbincangan tu masuk ke tebing-tebing pergaduhan. Hehe.. Tapi Emak dan Abah profesional. Bila rasa-rasa macam tak sepatutnya gaduh pada perkara yang tak pasti, Emak dan Abah tenangkan hati masing-masing. Kami tangguhkan perbincangan tu. Emak dan Abah belum bersetuju apa-apa tentang nama Z, tapi Emak dan Abah setuju untuk lanjutkan perbincangan itu apabila Z sudah disahkan mula membesar dalam kandungan Emak.
Sekali Z disahkan muncul. Selamat datang dan selamat membesar di dalam kandungan Emak!
Pergaduhan masih tak selesai. Emak dengan cadangan Emak, Abah dengan cadangan Abah. Maklumlah, masing-masing sudah ada impian sejak sebelum berkahwin lagi. Bila sudah berkahwin, masing-masing nak impian menjadi realiti. Hakikatnya, realiti tidak semudah itu kerana banyak halangan yang tidak dilihat dan diinsafi ketika impian disemat di dalam hati.
Masa tu Emak dan Abah tak tahu lagi jantina Z. Jadi topik dan isi pergaduhan tu tidak jauh berbeza dengan yang sebelumnya. Asalnya Abah cuba mencadangkan agar jika dapat anak lelaki, Abah yang bagi nama. Jika dapat anak perempuan, Emak yang bagi nama. Mula-mula Emak macam setuju, tapi kemudian dia berubah fikiran. Sebab dia pun ada impian nama anak lelaki.
Bila rasa-rasa macam tak sepatutnya gaduh pada perkara yang tak pasti sebab tak tahu jantina Z lagi, Emak dan Abah tenangkan hati masing-masing. Kami tangguhkan perbincangan tu. Emak dan Abah belum bersetuju apa-apa tentang nama Z, tapi Emak dan Abah setuju untuk lanjutkan perbincangan itu apabila jantina Z sudah dipastikan.
Masuk bulan kelima usia Z di dalam kandungan, Z disahkan lelaki. Jadi, seperti yang dijangka, episod sandiwara pergaduhan Emak dan Abah bersambung semula.
Walaupun skop pergaduhan semakin kecil selepas Emak dan Abah tahu jantina Z, Emak dan Abah masih tak jumpa-jumpa lagi kata putus. Entah kat mana kata putus tu. Degil tau dia tak nak muncul-munculkan diri lagi. Penat Emak dan Abah mencari (bergaduh).
Ikutkan Emak, dia nak nama Z sebagai "Muhammad" sahaja. Macam nama Nabi katanya. Sepatah sahaja. Kalau panggil, memang itulah nama penuhnya. Tapi Abah pula tak fikir begitu. Abah ada kenal orang yang nama penuhnya Muhammad, tapi panggil "Mat". Orang tak panggil nama penuhnya. Jadi, point tu ada flaw juga la.
Satu lagi point Emak, nanti Z dah besar, senang nak isi borang. Macam-macam borang nak kena isi dengan benda yang sama. Penat tau Z. Bosan! Tapi pada Abah, alang-alang nak pendek, bagi sahaja nama Ali. Nama sahabat Nabi tu. Sah-sah pendek. Dah la nama sahabat Nabi, tak kurang juga bagusnya. Tapi Emak tak nak pula.
Pada Abah, biarlah dalam hati Abah ni ada seorang sahaja Muhammad yang dekat dengan hati Abah, iaitu Nabi Muhammad. Kalau ada Muhammad lain yang dekat di hati Abah, Abah tak rasa selesa la. Macam dah tak ada ruang dah dalam hati Abah ni untuk seorang lagi Muhammad. Huhu... Abah nak nama Nabi Muhammad yang ada dalam hati Abah ni unik. Tiada duanya. Tiada penggantinya.
Pujuk punya pujuk, Emak lenturkan hatinya untuk menerima pandangan Abah tu. Jadi, nama Z memang akan ada Muhammad, tetapi bukan Muhammad sahaja.
Itu tak bermakna Emak dan Abah dah habis bergaduh. Belum lagi~ Selagi belum dapatkan nama penuh Muhammad Si Polan bin Muhammad Zaki, selagi tu lah Emak dan Abah bergaduh. Huhu...
Emak dan Abah mahukan huruf Z juga sebab kami nak kekalkan MZ tu. Singkatan nama Emak dan Abah kedua-duanya ada MZ. Bukan senang nak mencari persamaan seperti itu pada nama pasangan. Jadi, ada nilai keunikan di situ.
Gaduh, gaduh juga. Tapi tak semestinya tak ada langsung persamaan dan persetujuan. Itu yang buat hubungan Emak dan Abah makin erat. Di sebalik awan mendung, ada sinar mentari menanti berkunjung.
Z nak tahu? Walaupun skop pilihan nama sudah semakin sempit, emak dan Abah masih tak habis-habis bergaduh lagi. Emak dan Abah dah setuju dengan Muhammad Z. Tapi Z tu apa?
Cari punya cari, Emak berkenan dengan satu nama Z ni. Abah pula berkenan dengan nama Z lain. Hah sudah... Bergaduh lagi. Huhu...
Sebenarnya bergaduh tu bukannya apa. Setiap pihak cuba nak lembutkan hati pihak yang satu lagi agar menerima cadangannya. Nampak betul hati Emak dan Abah ni masing-masing keras. Hahaha... Tapi kan Z, dalam keras-keras tu pun, sebenarnya keras bersebab. Bukannya Emak dan Abah suka-suka je nak berkeras dengan pilihan masing-masing tanpa sebab yang kukuh.
Pada setiap pilihan Emak dan Abah, masing-masing ada kewajaran atau justifikasinya. Tak adalah masing-masing letakkan pilihan atas sebab seperti "nama tu sedap", "nama tu selalu orang pakai", dan "nama tu senang nak sebut". Emak dan Abah cuba elakkan point-point macam tu kalau nak bergaduh. Kalau guna juga, cepat je kena cantas. Hehe... Kewajaran yang Emak dan Abah ada pada pilihan masing-masing mesti terkandung mesej-mesej dan makna yang tersendiri.
Jadi, akhirnya mungkin sebab dah penat bergaduh, atau mungkin juga itulah sebenarnya pilihan yang terbaik untuk nama Z, Emak dan Abah dah jumpa kata putus. Rupa-rupanya kata putus tu menyorok dekat internet! Hehe... Search punya search, akhirnya jumpa...
Dan nama Z ialah Muhammad Z.......
Ada la~ Nanti-nantilah bila Abah dah tulis dekat dalam borang surat beranak Abah bagitahu Z. Ini belum rasmi dalam rekod Kerajaan lagi ni. Tak boleh kepoh-kepoh lagi.
Yang penting, Emak dan Abah sudah kurang satu topik untuk bergaduh. Dalam membuat keputusan dalam rumahtangga ni Z, memang macam tu. Kena ada perbincangan yang telus, tulus dan mulus. Setiap pihak yang memberikan hujah, kena berdasarkan pemikiran yang rasional. Emosi memang kena tolak tepi.
Tapi macam Abah sebagai suami, kenalah faham bahawa perempuan ni tahap emosi mereka lebih tinggi berbanding lelaki. Emosi itu bukan tak penting, tapi ia perlu diletakkan pada tempat yang betul. Jadi, menjadi tugas pihak suami untuk menyalurkan emosi isteri itu kepada perkara-perkara yang sepatutnya. Rasional suami menjadi saliran, emosi isteri menjadi aliran. Sesat saliran, sesatlah aliran. Melimpahlah ia pada tanah yang tidak perlukan air, menumbuh dan menyubur lumut dan kulat perpecahan rumahtangga, nauzubillah...
No comments:
Post a Comment