Tuesday, July 26, 2011

Doa malaikat, pahala besar buat saf depan

 KITA biasa melihat jemaah yang memenuhi saf depan ketika bersolat jemaah di masjid atau di surau, kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas. Kalau ada anak muda sekali pun, maka ia boleh dihitung dengan jari.


Yang muda, yang gagah bertenaga dan belia remaja santai lebih selesa
bersolat di barisan saf belakang. Tahukah kita bahawa beruntungnya jika
kita bersolat di saf paling hadapan kerana kita akan didoakan oleh
malaikat dan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW ada berpesan kepada kita semua: "Sesungguhnya Allah
SWT dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang
pertama."
 (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Inilah bukti anjuran Islam dalam
menggalakkan umat agar berebut untuk menunaikan solat di barisan
pertama.
Kemudian Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa jika manusia
mengetahui fadilat bersolat di saf hadapan, nescaya mereka
berebut-rebut untuk mendapatkan tempat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya." (Hadis riwayat Bukhari).
Jadi, seharusnyalah kita sebagai umat Islam bermotivasi untuk berada
di saf depan ketika melaksanakan solat berjemaah. Sekarang marilah kita
secara jujur meninjau keadaan di masjid dan surau ketika ini yang
menunjukkan betapa ramai di kalangan kita sudah tidak menghiraukan akan pesanan Nabi kita agar mengambil peluang untuk berada di saf depan.
Dalam keadaan dewasa ini, kita terpaksa akui bahawa kebanyakan
daripada kita sudah tidak mementingkan kelebihan berada di saf depan
ketika menunaikan solat. Apa yang penting, asalkan solat berjemaah
saja?

Marilah kita ghairah untuk merebut tempat di saf pertama setiap kali
mendirikan solat berjemaah. Tanamkan azam yang mantap supaya kita tidak ketinggalan saf itu. Untuk menjayakan visi itu maka hendaklah kita
segera ke masjid untuk solat berjemaah.

Marilah kita hayati peringatan Nabi SAW ini: "Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan."(Hadis riwayaat Abu Daud, At-Tirmidzi).
Ini ada satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam
mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa'ed Al-Khudry R.A. bahawa
Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW
mengingatkan mereka:

"Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka."(hadis riwayat Muslim).
Perhatikan baik-baik akan sabda Nabi SAW itu. "....akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan meninggalkan saf yang pertama...". Mungkin kitalah kaum yang dikatakan Nabi SAW itu? Fikir dan renungkanlah.

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW ada mengatakan: "Hadirilah solat
Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Sewajarnya pesanan Nabi SAW itu menjadi pedoman buat kita supaya
tidak membiarkan diri memilih saf belakang untuk bersolat jemaah di
masjid. Jangan biarkan diri kita berasa selesa dan seronok bersolat di
saf belakang, sebaliknya mulalah memilih dan segera mara ke saf paling
depan dan hampir dengan imam.
Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa solat berjemaah yang berkualiti
ialah solat seseorang yang di saf paling hadapan. Inilah golongan yang
didoakan malaikat dan mendapat jaminan ganjaran pahala yang besar di
sisi Allah

No comments:

Post a Comment