Ramadhan di Jordan, tak akan lengkap tanpa kisah malam 27.
Ya. Apa ada pada malam 27 Ramadhan di Jordan?
Ada sesuatu yang istimewa. Ada satu pesta. Pesta yang menghidupkan jiwa-jiwa. Ada satu jamuan, jamuan yang mengisi hati-hati. Ada satu majlis, majlis yang meneguhkan ruh-ruh. Semuanya pada malam 27, dan tradisi ini berterusan memberikan kegembiraan pada manusia yang benar-benar merasa.
Jadi saya hendak berkongsi dengan pembaca.
Berkenaan kisah malam 27 Ramadhan di Jordan.
Saya tidak tahu dari mana tradisi ini datang, atau kefahaman ini wujud. Tetapi, orang arab seakan-akan telah sepakat bahawa lailatul qadr adalah pada malam 27 Ramadhan. Jadi, tradisi di sini, pada malam 27, masjid-masjid akan mengadakan majlis iktikaf dari selepas tarawih hinggalah subuh.
Namun, berkenaan kefahaman ini, sehingga kini belum pernah lagi saya mendengar seorang pun pensyarah saya di Yarmouk yang menyokong hal ini secara penuh. Cuma mereka akan berkata:
"Moga-moga Allah kurniakan kita lailatul qadr pada malam ini" Atau "Semoga ibadah kita pada malam ini, ibadah lailatul qadr".
Jadi kita tinggalkan permasalahan malam 27 adalah malam lailatul qadr. Rasulullah SAW pun tak sebut malam lailatul qadr itu bila.
Saya hendak cerita, bagaimana malam ini digunakan dengan bersungguh-sungguh oleh manusia yang ingin menghidupkan jiwa-jiwa mereka.
Sememangnya, Ramadhan adalah pesta ibadah. Pada saya, kemuncak pesta itu kalau di Jordan adalah pada malam 27.
Masjid telah penuh semenjak Isya'. Kalau sebelum ini, jemaah memang sudah agak ramai mengisi hampir penuh satu masjid, pada malam 27, bilangan jemaah akan bertambah ramai hingga melimpah keluar dari masjid. Ini bukan metafora atau hiperbola, ini adalah realiti yang berlaku pada malam 27.
Bukan orang tua sahaja, bukan orang yang sihat sahaja, tetapi segala jenis orang, dari pelbagai lapisan usia, hadir pada malam 27. Orang tua yang solat di atas kerusi, berpuluh-puluh wujudnya di masjid. Anak-anak kecil, juga berada di masjid. Remaja, pemuda, semua membanjiri masjid malam itu.
Sebaik sahaja tarawih tamat, ada kuliah disampaikan oleh Dr Towalbeh. Pakar hadith di Yarmouk. Penyampaiannya perlahan, menusuk hati. Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri, betapa masjid sepi tanpa suara apabila penyampaian Dr Towalbeh berjalan. Ya, masjid yang besar itu, segala isinya sedang menumpukan perhatian.
Entah kenapa, hati saya bergetar-getar sepanjang saat itu. Ada kata-kata Dr Towalbeh yang kadang-kadang menyengat hati, menyedarkan diri. Memang bermakna.
Ceramah Dr Towalbeh tamat pada jam 10.30 malam. Kemudian jemaah diberikan waktu bebas selama setengah jam. Pada masa bebas ini, saya melihat ramai yang tidak duduk kosong sahaja. Kebanyakannya bangun menyambung solat sunat malam, dan sebahagian pula membaca Al-Quran. Orang-orang tua tidak pula pulang ke rumah, mereka berehat di dinding-dinding masjid. Anak-anak dan remaja juga bertahan di masjid.
Tepat pukul 11.00 malam, qiam pun bermula. Tahajjud diimami oleh Sheikh Makmun, imam masjid Universiti Yarmouk. Sheikh Makmun membaca ayat Al-Quran perlahan-lahan. Setiap rakaat amat panjang. Namun yang ajaibnya, semua jemaah tidak pula lari. Mereka bertahan dan terus mengikuti. Walaupun anak-anak kecil. Semuanya bangkit berdiri, menjadi makmum di belakang imam.
Solat tahajjud 8 rakaat, tamat sekitar jam 1.00 pagi. Sekitar 1.10 pagi, Dr Eisy Lababneh, pakar tafsir di Universiti Yarmouk pula memberikan penyampaian. Masjid masih penuh. Walaupun ada beberapa orang sudah mula pulang. Penyampaian berjalan sehingga jam 1.30 pagi, sebelum jemaah sekali lagi diberikan waktu bebas.
Seperti tadi, waktu bebas diisi bukan dengan perkara kosong. Ramai yang bangun menyambung solat sunat malamdan membaca Al-Quran. Ketika ini, ramai juga yang pulang. Masjid menjadi sedikit lengang dari tadi. Saya fikir, momentum mereka sudah menurun, dan keriangan malam ini sudah berakhir.
Namun jangkaansaya silap. Apabila Dr Adnan Khutotobah memberikan ceramahnya pula pada jam 2.30 pagi, Masjid kembali penuh dengan lautan manusia. Pada saat solat tahajjud berjemaah dimulakan pada pukul 3.00 pagi pula, bilangan jemaah kembali melimpah hingga keluar masjid.
MasyaAllah...
Apakah kekuatan ini?
Saya tidak tahu hendak bicara bagaimana. Tetapi hati saya macam ada satu lompatan kegembiraan. Seakan jiwa terisi. Hati rasa bahagia. Tambah pula melihat anak-anak sekecil umur 5 tahun, bertahan berdiri solat qiam bersama orang-orang tua. Tidak pula bermain-main di luar seperti kebiasaannya di Malaysia. Bertahan pula sepanjang malam, tidak tidur.
Solat tahajjud berjemaah berjalan sekitar sejam. 8 rakaat lagi. Pada pukul 4 pagi, program berakhir. Ramai orang pulang untuk bersahur. Masjid kembali penuh pada waktu subuh, yakni pukul 5 pagi. Sheikh Makum tidak memanjangkan bacaan solat pada waktu Subuh hari ini, mungkin meraikan para jemaah yang bertungkus lumus malam itu. Jarak waktu antara azan dan iqamah(yang biasanya setengah jam) juga dipendekkan kepada 10 minit sahaja.
Pagi itu, hati rasa lapang, jiwa rasa tenang.
Bukan mudah nak dapat suasana begini.
Bagaimana di tempat anda?
Ya, mungkin mudah untuk kita lihat beberapa orang manusia,sekumpulan kecil, bangun beriktikaf sepanjang malam sedemikian rupa. Tetapi adakah mudah untuk sebuah masjid yang besar, dipenuhi lebih lagi dari waktu Solat Jumaat pada sepanjang malam, dari lepas tarawih hinggalah ke waktu subuh.
Bukan mudah.
Tetapi di sini, inilah realitinya.
Berakhirlah malam 27 yang penuh bahagia. Penuh pengisiannya. Penuh penghayatan.
Moga Allah izinkan saya menjejakkan hati saya ke dalam malam ini sekali lagi. Moga Allah izinkan juga, saya dan kita semua, untuk menjadikan kesungguhan kita setiap hari, sama dengan kesungguhan orang-orang yang beriktikaf di masjid Universiti Yarmouk yang saya ceritakan ini.
Sumber Text: Langit Ilahi
لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
( Surah Ali-Qard 97 : Ayat 3)
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
( Surah Ali-Qard 97 : Ayat 3)
No comments:
Post a Comment