Wednesday, July 20, 2011

Jika Dahulu Ramadhan Aku Sia-Siakan..


Marhaban Ya Ramadhan!
Terasa indah pada hari ini mampuku berdiri, menghadiahkan seribu kali kesyukuran, di bulan Syaa'ban yang mulia. Ini bermakna aku semakin menghampiri Ramadhan Al Mubarak yang ku tunggu-tunggu demi cintaku pada yang Esa. Ya, masih tinggal cuma beberapa hari lagi sebelum Ramadhan tiba. Namun, tatkala teringat bahawa ajal datang umpama kilat memanah bumi, malah lebih laju dan tepat detiknya, aku menjadi sayu.
Bagaimana andainya Ramadhan kali ini tidak dapat ku temui? Mungkinkah nyawaku ditarik sebelum sempatnya Ramadhan kembali? Segala persoalan ku tahu tidak akan terjawab namun, aku kembali memohon kepada Dia, Allah S.W.T, panjangkanlah usia hambamu ini, dan berikanlah kesempatan memenuhi Ramadhan-Mu lagi. Kerana Ramadhan dahulu aku telah mengecewakan Mu, Ya Allah. Kerana Ramadhan dahulu aku telah banyak mensia-siakan Ramadhan dengan kealpaan dan kemungkaran.
Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Mengapa ia dikatakan begini? Sudah tentu semua telah maklum bahawa Ramadhan merupakan satu-satunya bulan yang kita diuji dengan pelbagai corak ujian untuk mengukur kesabaran demi memperoleh seribu kebaikkan daripadanya. Masya-Allah!
Jika ada antara yang bukan Islam bertanyaku, 'Tidak lapar kah kamu semua berpuasa selama 30 hari? Kalau aku di tempat engkau, sudah tentu aku tidak dapat memenuhi tuntutan puasa tersebut'.
Maka aku selalu nyatakan pada mereka bahawa, 'aku berpuasa bukanlah bermakna aku sedang kebuluran. Sedangkan di setiap pelusuk dunia masih ramai yang tidak menemui makanan dan minuman. Adakalanya berhari-hari mereka kelaparan namun mereka tetap cuba untuk hidup sehingga sisa-sisa nafas yang terakhir. Aku berpuasa demi mengingati Allah dan ciptaan Allah yang ditakdirkan kekurangan serba-serbi dalam kehidupan, di malam hari aku beribadah memuji Allah kerana aku bersyukur, ditakdirkan hidup dalam golongan manusia yang sederhana. Masih mampu meraih nasi dan lauk pauk. Masih mampu meneguk air berwarna warni lengkap berais. Tapi mereka? Ada yang sekadar meneguk air lumpur. Ada yang menangis, meneguk air longkang. Mengapa tidak kita yang serba cukup ini masih tidak bersyukur?'
Aku teringat mengenai kisah sahabat Nabi yang dikasihi mengharungi bulan Ramadhan:
Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib, apabila masuk bulan Ramadhan, dan ketika malam telah melabuhkan tirainya, beliau mengadap mihrabnya (tempat ibadat) sambil memegang janggutnya lalu ia mengangis sambil berkata: Wahai dunia! Samada kamu menghadap kepada ku atau berpaling dariku, aku telah ceraikan kamu dengan talak tiga, dan tidak mungkin lagi aku kembali kepadamu. Sesungguhnya umur kamu pendek, urusun kamu (menipu daya manusia) sangat hina dan tipu daya sangat besar. Ohh! Alangkah sedikitnya bekalan (ku), sedangkan perjalanan sangat jauh dan jalan pula sukar!
Masya-Allah, Saidina Ali sahabat Baginda S.A.W yang dijamin syurga pun merasakan dirinya mempunyai bekalan amalan yang sedikit, inikan lagi kita yang nyata-nyata sering melakukan dosa besar dan kecil kepada Allah S.W.T? Sekali lagi hati ini bertukar sayu dan hiba. Aku mungkin bijak menyatakan kepada mereka tentang fadhilat berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi aku sendiri masih banyak melakukan dosa yang sedar dan tidak di bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain selain Ramadhan. Sedangkan aku tahu aku tidak semulia Saidina Ali. Ampunkanlah dosaku Ya Allah!
Allah menciptakan manusia dengan tujuan, iaitu untuk menguji samada kita baik atau sebaliknya.
Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
"Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)." [Al-Mulk : 2]
Setiap permulaan pasti ada pengakhiran bukan? Pengakhiran ujian itulah yang dinamakan Mati/Maut.
Firman Allah ta'ala yang bermaksud:
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya." [Ali-Imran:185]
Ramadhan adalah bulan penuh dengan kebaikan, keberkatan dan rahmat Allah yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya. Ia ibarat seperti pasar-pasar perniagaan yang kesemua barang-barangnya yang di jual adalah yang terbaik dan dijamin kekal selama-lamanya. Inilah perniagaan yang sangat menguntungkan.
 Firman Allah ta'ala lagi mengenai kehidupan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya)." [Al-Saf : 10-11]
**
Oleh kerana aku merupakan manusia yang sering terlalai dan membuat dosa, maka Ramadhan ini lah sebenarnya merupakan waktu untuk aku menghapuskan dosa-dosaku agar aku dikembalikan kepada-Nya tanpa noda-noda dosa.
1)Sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan ganjaran pahala, maka di ampunkan dosa-dosa yang lepas dan akan datang." [HR Al-Bukhari]
2)Sabda Rasulullah SAW lagi:
"Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat yang lain dan puasa Ramadan ke Ramadan yang lain,semuanya adalah penghapus dosa-dosa di antara kedua-duanya selagi mana ia menjauhi dosa-dosa besar." [HR Muslim]
Insya-Allah dengan kehadiran Ramadhan kali ini aku akan berusaha merebut peluang ini untuk berpuasa dengan penuh keimanan kepada-Mu, bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga malah turut menahan diri daripada godaan syaitan dan hawa nafsu.
3)Sabda rasulullah SAW tentang kebaikan Ramadhan lagi:
"Semua amalan anak Adam akan di ganda pahalanya, setiap amalan baik sama dengan sepuluh kebaikan dan diganda lagi sehingga tujuh ratus melainkan puasa. Maka firman Allah ta'ala: Maka sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku sendiri akan membalasnya, ia meninggalkan syahwatnya dan makan demi kerana-Ku." [HR Muslim]
Lantas aku teringat kisah Rasulullah S.A.W bahawa Baginda pernah bercerita kepada sahabat-sahabat Baginda, mengenai perihal syurga Rayyan, iaitu syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang ikhlas berpuasa,
4)Sabda Rasulullah SAW mengenai Syurga Rayyan:
"Sesungguhnya di syurga ada satu pintu di namakan Ar-Rayyan, akan masuk melalui pintu ini pada hari qiamat mereka yang berpuasa , tidak akan masuk melaluinya selain daripada mereka. Di katakan: Di manakah orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka yang berpuasa memasukinya, setelah mereka masuk pintu ini pun ditutup dan tidak akan masuk lagi seorang pun selepas itu." [HR Al-Bukhari]
Baginda S.A.W juga pernah menyatakan bahawa bukan sahaja pintu syurga Rayyan yang akan dibuka malah semua pintu-pintu syurga akan memperlihatkan isinya( terbuka) dan pintu-pintu neraka akan tertutup selama sebulan.
5)Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila masuk Ramadhan, pintu-pintu syurga akan di buka, di tutup pintu-pintu neraka dansyaitan-syaitan di gari." [HR Al-Bukhari]
Apabila membaca hadis ini, aku sering berasa lega. Alhamdulillah, tiada syaitan yang akan menganggu ibadahku ketika bulan Ramadhan, sudah pasti ibadah ku akan menjadi tip-top dan sempurna! Tetapi aku sering lupa bahawa hawa nafsu itu masih ada dalam diri. Aku berazam, Ramadhan kali ini aku akan tundukkan hawa nafsuku agar ia patuh menunaikan arahan dan perintah Allah S.W.T.
Di akhir Ramadhan, Allah kurniakan pula satu malam yang tiada tandingannya dengan malam-malam yang lain. Benar bahawa Allah itu Maha Penyayang dan Pengampun. Seboleh-bolehnya Dia menciptakan hari dan bulan untuk manusia-manusia bertaubat dan mensucikan diri daripada dosa. Jika Allah itu zalim, sudah tentu Dia tidak akan menciptakan penghulu keindahan Ramadhan ini yakni malam lailatul qadar dipengakhir Ramadhan! Pepatah inggeris mengatakan, Save The Best for The Last.
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan." [Al-Qadr : 1-3]
6)Rasulullah juga turut bersabda mengenai keistimewaan Lailatul Qadar:
"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, Allah telah fardukan ke atas kamu puasa ramadhan, di buka padanya pintu-pintu langit (pintu syurga) dan di tutup pintu-pintu neraka Jahim, di ikat syaitan-syaitan yang paling jahat, bagi Allah satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang di haramkan dari kebaikannya, maka ia di haramkan dari segala kebaikan." [Hadith sohih-Riwayat al-Nasa'i]
Sesungguhnya begitu mulia Ramadhan Al-Mubarak. Begitu besar dan banyak kebaikannya. Malah tidak terhitung jumlah dosa-dosa yang terhapus kerananya! Ya Allah Ya Rabbi, jauhkanlah aku daripada kelalaian menyambut bulan-Mu Ramadhan. Tingkatkanlah usaha ku ke arah mencapai rahmah-Mu. Amin

No comments:

Post a Comment