Monday, July 18, 2011

Kiranya Ini Dikatakan Taman Syurga


Alhamdulillah kerana dengan izin dari Allah, kita dipertemukan lagi diruangan yang menemukan kita hanya melalui baris-baris bicara.
Damai rasanya berada dibawah sinar mentari yang seakan menyembunyikan dirinya sejak awal pagi tadi.
Subhanallah... titis-titis jernih ini mengalir lagi tatkala memandang ke langit yang luas memayungi bumi.
Bersyukur kerana masih jua diberi helaan nafas dan menikmati keindahan ciptaan-Nya.
Kisah yang ingin aku titipkan kali ini, merupakan satu kisah yang mungkin menjadi anugerah
dari Allah buat insan kerdil dan hina ini.
Terfikir juga untuk tidak berkongsi, tetapi rasanya tidak ada salahnya andai sedikit rasa bahagia ini ku kongsikan bersama.
Moga Allah memberkati tiap perkongsian dan terus-menerus menghulurkan rasa cinta yang begitu menebal bua-tNya... Insya-Allah.
Seperti biasa, setiap petang khamis, aku hadir ke kelas pengajian tajwid disurau Ar Rahman, berhampiran kawasan kediaman ku.
Biasanya aku tiba lima minit lebih awal sebelum kelas bermula, cuma sesekali terbabas jua seminit dua.
Sudah menjadi amalan ku, setiap kali memulakan perjalanan ke tempat pengajian(surau) aku akan berdoa;
Doa Pergi ke Masjid (maksudnya);
Ya Allah,
jadikanlah cahaya dihatiku
cahaya dilidahku
cahaya dipendengaranku
cahaya dipenglihatanku
cahaya dari belakangku
cahaya dihadapanku
cahaya dari atasku
dan cahaya dari bawahku.
Ya Allah, berilah aku cahaya... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.
: Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, dalam sebuah hadis bahawa Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi S..AW telah keluar dari rumah Maimunah r.a selepas betahajjud, untuk ke masjid bersolat Subuh. Maka baginda S.A.W telah membaca doa ini.. (sama-sama kita amalkan... Insyaallah).
Perjalanan ke surau itu mengambil masa lebih kurang 10 minit dari rumah.
Setibanya aku diperkarangan surau, ku lihat belum ramai yang hadir.
Mungkin juga aku yang sedikit awal daripada mereka hari ini.
Kalimah-kalimah suci yang dipasang, menghiasi kamar telinga ku.
Indah ku rasa, damainya jiwa mendengar kalimah yang membesarkan Ilahi. Terhibur benar rasa hati.
Dari situ juga aku tahu, bahawa penganjur kelas, Puan Intan yang ku anggap seperti kakak ku sendiri sudah ada didalam surau.
Memang menjadi kebiasaan, kak Intan (panggilan sahabat-sahabat padanya) menjadi orang pertama yang hadir disurau.
Beliau yang akan menyediakan keperluan untuk ustaz dan mengemaskini surau sebelum kelas dimulakan.
Sekali lagi, aku membaca doa ketika melangkah masuk ke dalam surau, (amalan yang tidak mahu aku lepaskan... Insyaallah).
Doa Masuk ke Dalam Surau/Masjid (maksudnya);
"Ya Allah, ampunilah aku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu... aamiin Ya Rabbal'aalamiin."
Sebaik saja kaki melangkah dipintu surau, terlihat 2 orang sahabat menyambutku dengan senyuman.
"Assalamualaikum.." Ucapan salam bersambut.
Tepat jam 5.30 petang, kelas dimulakan dengan membaca ummul kitab, Al Fatihah.
Seusai kata-kata aamiin dilafazkan, kami mengalunkan doa Qhatam Al Quran.
Dan setiap kali saat ini tiba hati benar-benar tersentuh.
Malah terasa hamba hina ini bagai merayu dan merintih untuk memohon 'perhatian' dari Yang Allah Maha Esa.
Doa Qhatam Al Quran (maksudnya);
Ya Allah,
Rahmatilah kami dengan Al Quran.
Jadikan ianya Pimpinan, Cahaya, Petunjuk dan Rahmat.
Allah ingatkan kami, apa yang terlupa
Ajarkanlah...
Ajarkanlah...
Yang tak diketahui
Kurniakan kami membacanya
Sepanjang malam
dan sepanjang siang hari
Jadikan ianya hujjah kami (pembela kami diakhirat)
Ya Rabbal'aalamiin...
Disinilah..
Saat inilah...
Tiba-tiba aku mendengar alunan doa ini begitu merdu dan gemersik sekali.
Allahu Allah...
Bukan suara kami Ya Allah.
Terasa yakin benar diri ini, bahawa suara-suara itu bukan suara kami Ya Allah.
Genangan airmata menjadikan aku bertambah hiba.
Didada ini bagai terbit satu getar yang tak mampu aku luahkan.
Allahu Akbar!
Apakah ini yang Kau sebut-sebut, sesungguhnya para Malaikat ada bersama-sama hamba-Mu yang mencari ilmu?
Subhanallah.
Dalam kesyahduan yang aku rasakan menjadikan aku tidak mampu lagi untuk mengangkat wajah ini.
Tertunduk malu aku dengan-Mu Ya Allah.
Andai benarlah, apa yang aku dengar ini anugerah dari-Mu, aku bersyukur.
Aku benar-benar bersyukur.
Ya Allah, letakkanlah kami, hamba-hambaMu ini, dikalangan mereka yang tidak jemu-jemu ingin menggali ilmu-Mu.
Tiada bekalan terbaik selain ilmu yang kami cari, untuk kami jadikan panduan agar dapat kami beramal pada-Mu.
Ya Allah, tiap ruang dan peluang yang sentiasa Engkau bukakan buat kami, akan kami jadikan satu jalan dalam kami merebut keredhaan-Mu.
Redhailah kami Ya Rabbi.
Limpahilah RahmatMu buat kami Ya Rabbi.
Bahagiakanlah kami didunia dan akhirat nanti...
Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan hanya denganMu...
Allahu Rabbi.
Walau keindahan yang dapat aku dengari itu hanya sebentar cuma, tapi hingga saat ini, gemersiknya suara yang singgah ke telinga menjadikan aku benar-benar rindu untuk terus berilmu.
Moga apa yang aku kongsikan ini, menjadikan hati kita bertambah rindu dan lunak untuk merebut cinta Allah Yang Maha Esa.
Selagi diberikan keizinan untuk bernafas dibumi pinjaman-Mu ini Ya Allah, aku berjanji untuk terus mencari, mencari ilmu yang akan menjadi bekalan tika aku pulang ke sisi-Mu nanti...

No comments:

Post a Comment