Wednesday, July 20, 2011

Sistem Pendidikan India Cemerlang


India menghasilkan golongan profesional terbaik di dunia sejak lebih dua dekad lalu, terutama dalam bidang IT dan kejuruteraan. Mereka menjadi buruan syarikat-syarikat terkemuka di dunia, termasuk di Silicon Valley, Amerika Syarikat.
Anehnya, India tidak mengalami dilema yang biasanya muncul dengan pencapaian sebegitu iaitu penghijrahan cendekiawan. Mengapa agaknya begitu?
Penasihat Manipal Education and Medical Group (MEMG) T.V. Mohandas Paiberkata ini kerana India mempunyai sistem pendidikan yang cemerlang. Ia mewujudkan ekosistem yang membantu negara itu menghalang penghijarahan golongan cerdik pandai.
"Apa yang istimewa mengenai Silicon Valley ialah ia mempunyai satu ekosistem terdiri daripada peneroka modal, universiti dan usahawan," katanya kepada Bernama pada temubual di kampus Bangalore Universiti Manipal, baru-baru ini.
"Untuk mewujudkan ekosistem sedemikian, sektor pendidikan harus bekerja rapat dengan pihak industri. Ia memerlukan modal dan usahawan yang sanggup membuka syarikat kecil."
India berjaya melakukan yang demikian dan buktinya adalah Bangalore, yang menjadi hab IT negara itu. IBM, Microsoft, Accenture, Sun Microsystem sialah antara ratusan syarikat tersohor yang menubuhkan pangkalan di negara itu. Tidak hairanlah Bangalore juga digelar "Silicon Valley India", berdasarkan persamaannya dengan Silicon Valley sebenar di Santa Clara Valley, California.
Kini semakin banyak syarikat perisian ternama yang bertapak di India, sekaligus menjadi penyumbang besar pertumbuhan India dalam sektor kejuruteraan perisian. Sumbangan ini dapat dilihat dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) Bangalore tahun lepas yang berjumlah USD65 bilion (RM195.5 bilion), kata Mohandas. Sektor IT sahaja menyumbang sebanyak USD23 bilion kepada jumlah itu.
Gaji Terbaik Untuk Yang Terbaik
Faktor lain yang turut menghalang penghijrahan cendekiawan adalah ganjaran setimpal yang diberikan kepada golongan profesional IT di Bangalore.
"India memastikan mereka yang berkhidmat dalam bidang IT diberi gaji dan ganjaran lebih daripada purata yang diperoleh di negara itu.
"Jika mereka memilih untuk bekerja di luar negara, mereka hanya akan mendapat emolumen yang serupa seperti orang lain," kata Mohandas. 
Sememangnya Mohandas berpengetahuan dalam hal itu memandangkan beliau sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Infosys Limited, sebuah syarikat perkhidmatan teknologi global terkemuka. Beliau pernah menerimaanugerah "CFO Terbaik di India" dari Finance Asia kerana tugasnya di syarikat itu. Beliau kemudian menjadi Pengarah Sumber Manusia dan ahli lembaga disyarikat yang sama sebelum meletakkan jawatannya bulan lalu.
Portal kerjaya Cybermedia Dice Careers Ltd dan firma penyelidikan mengikut langganan, TNS, mengganggarkan golongan profesional IT di Bangalore dibayar sehingga Rs5 juta (RM339,384) setahun.
Manakala laporan terbaru dari Payscale, syarikat online maklumat gaji, kemudahan dan pampasan, menunjukkan gaji median golongan itu ialah sehingga Rs1.1 juta (RM75,000) setahun setakat Jun. Ia turut mengambil kira tawaran pelbagai ganjaran dan kuasa belian yang lebih tinggi di India dan ramai antara mereka yang memutuskan untuk bekerja di dalam negara.  
"Tambahan pula, keluarga mereka di sini. Walaupun mereka merantau, mereka akan tetap kembali," kata Mohandas.
Namun bukanlah mudah untuk menarik syarikat IT Fortune 500 melabur di India tanpa menawarkan tenaga kerja berpendidikan tinggi, katanya.
"Kita memerlukan tenaga kerja, tetapi bukan sebarang orang. Kita memerlukan yang terbaik dari yang terbaik." Dengan kesedaran itulah India bersungguh-sungguh memastikan kewujudan peluang pendidikan terbaik di negara itu. Tetapi negara dengan populasi lebih satu bilion orang itu tidak bermasalah dalam mencari "yang terbaik dari yang terbaik".
India menghasilkan berjuta-juta lepasan universiti dalam bidang IT dan kejuruteraan saban tahun. Ini sememangnya memudahkan misi mencari tenaga kerja terbaik untuk diberi tawaran kerja menarik. Katanya Bangalore kini mempunyai lebih 650,000 orang di sektor IT yang cukup berpengalaman untuk bekerja di luar negara.
Sedia Untuk Industri
Memandangkan begitu ramai graduan dihasilkan di India setiap tahun, setiap lepasan universiti terpaksa berebut dengan berjuta-juta lain untuk peluang keemasan bekerja dengan syarikat antarabangsa ternama yang bertapak di negara itu.
Mereka berusaha menambah nilai dan kebolehan diri kerana kecermelangan akademik sahaja tidak lagi mencukupi. Untuk memenuhi keperluan itu, Manipal Group telah bekerjasama dengan bank swasta terbesar di India, ICICI, untuk menubuhkan universiti korporat pertama negara itu.
ICICI Manipal Academy for Banking and Insurance (IMA), yang terletak dikampus Bangalore, bertujuan melatih pelajar yang dipilih oleh bank itu sendiri untuk dijadikan graduan yang "tersedia untuk industri".
Timbalan Pengarah IMA, Kol C. Krishnan berkata silibus dan modul latihan di akademi itu adalah hasil persiapan perbincangan menyeluruh antara pihakuniversiti dan ICICI.
"Ini memastikan para penuntut sentiasa mengetahui perkembangan terbaru industri dan mengemaskini pengetahuan mereka," katanya.
ICICI juga mengendalikan proses saringan dan kemasukan penuntut keuniversiti itu yang membuat pengambilan 350 pelajar baru, empat kali setahun.
Akademi itu menjalankan latihan amali menyeluruh dengan memberi penekanan bukan sahaja terhadap pengetahuan tetapi juga perkembangan personaliti.  
Sekumpulan wartawan dari Malaysia baru-baru ini berpeluang melawat akademi itu dan melihat beberapa penuntut melakukan simulasi transaksi perbankan antara pelanggan dan pekerja bank. Krishnan berkata penuntut di akademi itu yang berusia antara usia 23 dan 26 dan telah mempunyai ijazah pertama. Program setahun itu termasuk tiga bulan latihan industri yang akan membantu memberi kelebihan kepada penuntutnya berbanding mereka di institusi lain.
"Apabila mereka berjaya menamatkan program dan diserapkan ke dalam cawangan-cawangan bank ICICI, mereka akan terus memegang jawatan penolongpengurus gred teratas, begitu berharga kualiti dan kebolehan mereka," katanya.
Hasil kerjasama antara bank itu dan pihak Manipal menarik minat banyak bank lain untuk membuat pelaburan yang serupa. Antaranya ialah Corporation Bank, bank sektor awam terbesar di India. 
Turut berkongsi satu bangunan dengan akademi itu ialah Fakulti Media dan Hiburan. Fakulti itu juga berupaya melahirkan graduan terbaik jurusan itu yang diserap masuk untuk bekerja di studio animasi antara yang terbaik di dunia yang bertapak di India, seperti Dreamworks dan Pixar.
Fakulti itu menggunakan kaedah pembelajaran bercampur termasuk e-permainan,simulator dan pembelajaran online.
Seiring dengan keperluan dan kemajuan industri, fakulti itu turutmemperkenal kursus peringkat sarjana bagi seni mainan dengankandungan modul yang diiktiraf industri.
Pastikan Graduan Menyumbang Kepada Modal Insan
Sementara itu, Manipal Education and Medical Group akan membuka Manipal International University (MIU) di Malaysia tidak lama lagi.
Naib Canselor Dr Ravindra M.P berkata selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia, MIU akan berbincang dengan sektor korporat tentang keperluan industri sebelum menyediakan suatu modul kursus untuk MIU. Ini bagi memastikan graduannya mempunyai peluang pekerjaan yang cerah.
Katanya tindakan itu juga seiring dengan falsafah Manipal Education Groupuntuk memastikan graduan mereka turut menyumbang nilai kepada modal insan negara.
"Secara peribadinya, saya percaya Malaysia amat lengkap dari segi infrastruktur dan persekitaran keseluruhan.
"Namun tanpa jumlah besar graduan berkualiti dan berpendidikan tinggi, amat sukar untuk mereka mendapat kerja selain di bahagian bawah piramid (organisasi)."
Dr Ravindra berkata matlamatnya ialah untuk memastikan graduan Manipal di Malaysia bergerak ke atas dalam rangkaian nilai di pasaran. Ini akan dilakukan dengan menggunakan formula sama yang digunakan di institusi pendidikan Manipal di India yang  paling berjaya, sambil mengambilkira persekitaran di Malaysia.
Dr Ravindra yang sebelum ini turut berkhidmat di Infosys Limited berpengalaman luas sebagai penganalisis sistem, konsultan, arkitek penyelesaian, pengurusan pendidikan dan pertumbuhan pasaran.
Kampus sementara MIU ialah di Malaysia Airlines Academy di Kelana Jaya .Adalah dianggarkan kumpulan penuntut pertama seramai 600 orang yang akan masuk September ini. MIU menyasarkan 20,000 pelajar menjelang 2021 dengan pelaburan berterusan berjumlah USD200 juta (RM602 juta).

No comments:

Post a Comment