Wednesday, July 31, 2013

Rimas dikawal

Alahai! Baru beberapa jam saja ketemu, takkan nak berjumpa lagi? Asyik nak berkepit. Begitu juga apabila si kekasih dapat tahu ada nama perempuan lain tertera di dalam telefon bimbit teman lelaki, pasti disoal bertubi-tubi.
Belum lagi berkahwin atau bertunang tapi hidup bagaikan di dalam penjara dikawal selia setiap masa. Jika keluar dengan emak atau adik-beradik juga perlu diberitahu kepadanya.
Memang satu masalah besar juga kalau secara tiba-tiba telefon kehabisan bateri atau tertinggal di rumah. Apabila pulang ke rumah dan meneliti telefon bimbit, hampir 100 panggilan masuk terpampang.

Perempuan harus menyedari bahawa tidak semua lelaki mahu dikawal. Mereka punya keinginan sendiri untuk meluangkan masa bersama teman lain dengan aktiviti tertentu, bukannya menghabiskan masa yang ada dengan si ‘queen control’ saja.

Bukan curang atau membuat skandal dengan wanita lain tetapi keluar bersama dengan sahabat lelaki. Jika ada kawan perempuan juga, apa salahnya? Asalkan tidak melampaui batas sebagai seorang kawan.

Pada awal perhubungan, sikap buruk ini belum kelihatan. Namun apabila usia hubungan menjangkau setahun ke dua tahun, wanita akan cenderung mengawal setiap perilaku teman lelaki.

Bagaimana pula lelaki? Adakah lelaki juga ada yang bersikap ‘king control’? Mungkin hanya 30 peratus saja tetapi penulis bukan mahu menyebelahi mana-mana jantina tetapi itu realitinya.

Ada juga yang beranggapan lelaki dan wanita sama saja kuat mengawal kerana ragu dengan kesetiaan yang ditonjolkan kekasih. Sedangkan kepercayaan adalah dinding pengukuh hubungan.

Memang kelakar apabila terjumpa remaja yang bersikap optimis. Terlalu yakin akan bertemu jodoh dengan lelaki atau perempuan yang dicintai sekian lama.
Bagaimana jika dijodohkan dengan orang lain? Bayangkanlah!


Tinggalkan buah hati

Rimas dikawal setiap masa membuatkan lelaki akan mula memandang perempuan lain. Barangkali wanita yang baru dikenali dapat memberikan kebebasan kepada lelaki untuk bertindak sendiri tanpa perlu dikongkong.

Penulis sendiri ada seorang kawan lelaki, meninggalkan kekasihnya kerana rimas dikawal sehingga tidak berpeluang untuk berjumpa rakan yang lain.

Akhirnya dia membuat keputusan untuk meninggalkan kekasihnya itu dan beranggapan keadaan akan lebih parah apabila mendirikan rumah tangga nanti. Keputusan dibuat selepas meminta pandangan dan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman.

Lelaki tidak suka dikongkong dan disoal selidik sepanjang masa oleh kekasih. Mereka berasa diri tidak dipercayai dan seolah-olah tidak setia.

Apabila terjadinya anggapan itu, lelaki akan melakukannya secara realiti sehingga perempuan itu mendapat ganjaran setimpal seperti ditinggalkan dan tidak dipedulikan lagi.

Namun perlu melihat dulu definisi ‘queen control’ itu kerana melahirkan dua pendapat berbeza sama ada positif atau negatif.

‘Queen control’ yang terlalu mengawal pergerakan teman lelaki sehingga tidak mampu bersuara untuk melahirkan pandangan sendiri adalah tindakan negatif yang tidak harus wujud dalam hubungan cinta.


5 perkara lelaki ingin di sisi wanita

1. Terima seadanya


Perkara yang paling penting adalah anda mengetahui mengenai lelaki, bukan mengubah lelaki menjadi orang lain. Jika seseorang perempuan itu mengubah personaliti teman lelaki, berkemungkinan lelaki itu tidak menyukai perempuan itu. Terima lelaki seadanya seperti mereka sudi menerima anda.


2. Memahami sikap lelaki

Cuba memahami sikap dan tingkah laku lelaki. Kemudian menyesuaikan sikap itu dengan diri anda. Adalah lebih baik cuba mengubahnya dengan sesuatu yang tidak sesuai dengan diri anda. Asalkan tidak bertentangan dengan agama dan budaya.


3. Cuba memujuk

Siapalah anda untuk mengubah seseorang itu melainkan dengan kerelaan hatinya sendiri tanpa ada sebarang paksaan dan desakan daripada orang lain. Cuba dulu pada diri sendiri dengan berubah ke arah yang lebih baik lalu mengajaknya pula untuk memperbaiki diri.


4. Saling mempercayai

Jika anda tidak mempercayai lelaki, jangan harap lelaki akan mempercayai diri anda. Untuk membuatkan diri tidak dipercayai bukannya payah dan untuk membuatkan orang percaya kepada anda bukan mudah.


5. Jangan merendahkan martabat lelaki

Apabila berkahwin, lelaki adalah ketua dalam rumah tangga. Maka perempuan jangan sesekali mengecilkan hati seorang lelaki dan membandingkan dirinya dengan lelaki lain. Kemudian membuatkan lelaki berdiam diri dan tertekan dengan sikap anda itu.

Tuesday, July 30, 2013

Belum Berpunya? Tenanglah Walaupun Masih Belum Berpunya

Belum berpunya. Pasangan hidup adalah salah satu dari stesen perjalanan dalam kehidupan bagi semua manusia. Disanalah kehidupan baru dimulakan, lengkap dengan semua jenis pelajaran yang akan membuat manusia tahu apa itu ertikebahagiaan yang sebenarnya.

Masih belum berpunya

Namun, bagi sesetengah orang, disinilah bermulanya ujian dalam kehidupan. Disaat usia yang berjalan tak dapat lagi diberhentikan, namun jodoh dan pelengkap hidupnya tidak kunjung datang, disaat itu pula kegundahan hati menjadi parah. Diri yang masih belum berpunya pula menjadi isu terbesar dalam hidup.
Mungkin pelbagai cara telah kita lakukan. Pelbagai ikhtiar sudah diusahakan. Namun masih belum berhasil.
Mari kita berhenti sejenak, dan berfikir secara tenang dengan dada yang lapang. Memang tak ada sesiapapun yang ingin melalui ujian seperti ini. Namun bukankah takdir itu sudah ditetapkan dan Allah SWT juga tidak akan memberi ujian yang melampui kemampuan hambanya?
Kadangkala, banyak pelajaran yang dapat kita ambil diatas ujian untuk terjadi. Dengan tertundanya kebahagiaan itu, siapa tahu Allah sedang mengajar kita tentang makna menghargai. Ya, ketika jodoh telah datang, pastinya kita akan menjadi seorang yang lebih manis dalam bersyukur serta menjadi lebih istimewa.
Dengan tertundanya pertemuan itu, mungkin Allah ingin memberikan yang lebih baik kepada kita. Dan atau dengan tertundanya jodoh itu, Allah ingin menjadikan kita lebih matang dan lebih bersedia dalam membina keluarga.

Monday, July 29, 2013

Guru unggul miliki sikap penyayang, sabar

Kes guru bertindak keterlaluan terhadap murid hingga mendatangkan kecederaan masih dilaporkan. Sepatutnya perkara ini tidak terjadi memandang kepada status guru sebagai pendidik yang sepatutnya membimbing murid menjadi insan lebih baik.

Tugas seorang pendidik atau guru bukan setakat menyalurkan ilmu pengetahuan, mereka juga bertanggungjawab membina akhlak mulia kepada anak murid. Mengajar bidang apa sekalipun, aspek membina sahsiah peribadi seharusnya diletakkan sebagai teras kepada usaha pendidikan itu. 
Cabaran guru masa kini 

Guru yang penyayang dan penyabar akan menjadi seorang guru yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai sabar dan penyayang itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa hasil nikmat sabar itu sangat memberkati usaha gigihnya mendidik.

Dalam zaman serba moden dan mencabar, kerjaya sebagai guru juga penuh dengan cabaran hingga ada segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika.

Guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik murid memerlukan kesabaran dan nilai kasih sayang yang tinggi. Tanpa adanya dua sifat itu, guru pasti berhadapan dengan masalah. Sebagai mukmin, panduan ditunjukkan Rasulullah SAW boleh diamalkan semasa menjalankan tugas mendidik.

Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW yang mempamerkan perwatakan luhur pendidik. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, katanya: “Sedang kami berada di dalam masjid bersama-sama Rasulullah SAW, seorang Badwi telah datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri. Oleh demikian mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya, kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara-perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid ini adalah tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu membuang air kencing.”

Apa yang dapat kisah iktibarkan daripada kisah itu? Pertama, jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauhnya menghadapi sesuatu keadaan. 
Baginda menggunakan pendekatan menegur kesalahan seseorang secara berhemah dan lemah lembut dengan disertakan penjelasan terperinci mengenai kesalahan yang dilakukan. Inilah pendekatan sepatutnya diamalkan guru dalam proses pendidikan.

Rasulullah SAW bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mengajar perkara yang patut diketahuinya bukan dengan memarahi.

Kriteria guru unggul

Imam al-Ghazali menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru juga hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya. 

Guru yang penyayang dan penyabar akan menjadi seorang guru yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai sabar dan penyayang itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa hasil nikmat sabar itu sangat memberkati usaha gigihnya mendidik.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu terdapat sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran itu seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk daripada Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dosa kita berbeza, mungkin taubat kita juga berbeza.

Di pagi yang hening, tatkala bulan ingin menyorokkan diri mengucapkan selamat tinggal kepada penghuni di alam fana,
tatkala sang suria mula menjengukkan diri di sebalik tirai langit,
air mata ini menitis sendiri,
terkadang aku terfikir, betapa kerdilnya diri ini di sisi Mu al-Khaliq.
setiap insan pasti akan tersalah hayunan langkah
pasti akan ada yang tergelincir dari landasan yang benar
walaupun ia sebesar zarah yang tidak dapat kita renungi dari pandangan mata kasar,
tapi pasti ada kerana kita hanyalah manusia yang masih belum matang untuk memikirkan apa itu kehidupan dunia.

Jika diberi peluang walaupun sesaat untuk kembali ke zaman kejahilan,
pasti kita akan cuba untuk tidak mengulangi kesilapan yang pernah membuatkan kita hanyut dibuai dengan noda noda dunia.
noda noda dunia yang pasti tidak akan pernah punyai tarikh luput kerana syaitan tetap hadir di sisi kita walaupun
diri cuba bertatih mendekati sang Penciptanya.

Detik detik waktu terus menyelusuri landasannya tanpa kita menyedarinya.
dan syaitan terus membisikkan suaranya supaya kita sentiasa tergelincir dari landasan
kerana syaitan itu laknatullah yang tidak pernah memberi peluang kepada umat Nabi Muhammad untuk
berada di landasan yang betul.

Dan kita sebagai umat Nabi Muhammad sentiasa layu dengan bisikan demi bisikan yang dihembuskan di telinga kita,
Kemanakah janji-janjimu wahai diri?
Adakah janji-janji yang dirimu taburkan hanyalah dongeng semata-mata.
Lupakah pada janjimu?
Yang ingin kembali ke landasan yang telah Allah tetapkan.
Inilah manusia,yang mudah alpa,yang mudah lupa dengan janji-janjinya.
Janji hanyalah janji yang akhirnya memakan diri sendiri.

Apakah nasib jika tiada lagi peluang untuk aku bertaubat kepada Mu.
Tiada lagi peluang dahi ini terus bersujud menyentuh tikar yang terbentang luas,
tiada lagi peluang untuk tangan ini mengangkat serta mengaminkan doa,
tiada lagi peluang untuk aku melunakkan lagi bacaan untuk aku sampaikan dalam kewajipan Mu Ya Allah.

Dosa

Ya Allah Ya Tuhanku,
ampunkanlah dosa hamba Mu ini.
Sesungguhnya kami hanyalah insan biasa yang tidak terlepas layu dari usikan usikan nakal syaitan yang durjana itu.
Semoga diriku ini masih diberi peluang untuk bersujud serta memohon seribu keampunan daripada Mu ya Allah.
Jika harini ini adalah hari yang terakhir,maka ampunkanlah dosa dosa ku ya Allah.
Hamba Mu ini ingin meninggal dalam keadaan suci bak sesuci kain putih yang tidak dicemari dengan noda noda dunia.
Andai hari ini hari yang terakhir,aku ingin sekali mengungkapkan kata maaf kepada ayah serta bonda ku kerana
aku pasti hati mereka pernah tercalar dek kerana kelakuan diri yang hina ini.
Semoga diri ini masih diberi peluang untuk menghirup udara Mu,mendengar kicauan burung serta melihat sang bulan yang indah menerangi bumi tatkala
manusia diselubungi kegelapan dan menyaksikan keindahan sang mentari yang sentiasa ceria menunjukkan dirinya yang gah di mata dunia.

Friday, July 26, 2013

Nikah Ramadan

Nikah Ramadan
Pasangan pilih bernikah pada bulan mulia dinasihat jangan sampai 'terlajak'

Cuit mencuit, jeling menjeling, senyum tersipu, sekali pandang tak puas. Itulah gelagat individu baru mendirikan rumah tangga. Bagaikan belangkas - tak lepas tangan asyik berpimpin, rasanya kalau boleh nak bawa ke mana saja pasangan mereka kerana enggan berenggang. 
Dalam keasyikan melayari bahtera baru dibina itu sepanjang Ramadan ini, jangan pula terleka dan terlepas pandang terhadap perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa. 

Pengantin baru perlu awasi tingkah laku pada siang Ramadan kerana cabaran terbatal puasa lebih tinggi." Badli Shah Alauddin, Penolong Pengarah Penyelidikan, Bahagian Agama Islam Pahang.

Ibadat puasa pada Ramadan disebut di dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan bertakwa kepada Allah. Hikmah dan rahsia berpuasa tidak akan diperoleh sekiranya tidak dipelihara adab puasa dengan sebaik-baiknya. 

Oleh itu, pasangan baru kahwin perlu memantapkan amalan kerohanian mereka. Suami dan isteri mestilah mengamalkan syariat Islam sama ada berbentuk fardu ain, fardu kifayah dan amalan sunat lain. Kekuatan kerohanian dalam rumah tangga adalah senjata ampuh untuk berhadapan dengan cabaran semasa.

Puasa Ramadan turut dijadikan sebagai asas pembinaan iman dalam jiwa setiap Muslim supaya dapat menjunjung perintah Allah, sekali gus meraih keampunan dan juga membebaskan diri daripada ancaman api neraka.

Persediaan berpuasa 
Penolong Pengarah Penyelidikan, Bahagian Agama Islam Pahang, Badli Shah Alauddin berkata, ibadat puasa berfungsi sebagai latihan pengendalian diri daripada terjerumus ke lembah kekejian akibat tarikan hawa nafsu bergelora. Pengendalian diri pada hakikatnya juga melambangkan keinsafan sekali gus menunjukkan ketaatan kepada Allah pada setiap detik terhadap perintah-Nya.

Badli Shah berkata, dalam menyediakan diri menempuh Ramadan penuh kebaikan ini, pasangan baru berkahwin perlu bijak mengendali diri dan perasaan serta pemikiran mereka sendiri dari terikut nafsu.

“Persediaan diri terbahagi kepada lima iaitu meliputi Persediaan Ruhiyah (Spiritual), ‘Ilmiyah-Fikriyah (Ilmu-Intelektual), Jasadiyah (Fizikal), Maaliyah (Material) dan Ijtima’iyyah (Sosial).

“Setiap persediaan berperanan tersendiri dalam memberikan pengertian Ramadan dan amalan lebih seimbang bahkan sempurna untuk pasangan. Contoh, Ruhiyah meliputi persediaan mengubah mental menjadi lebih bertanggungjawab, bersedia dan tunduk menerima segala ketentuan Allah, berkongsi dan melunturkan ego di dada. Ia juga bertujuan mendidik kita agar bersabar dan bersyukur,” jelasnya.

Lakukan pada malam hari

Badli Shah menegaskan , pengantin yang baru mengecapi hidup sebagai suami isteri perlu awasi perilaku khususnya ketika pada siang hari Ramadan kerana cabaran terbatal puasa adalah lebih tinggi. Sebagai contoh, dalam hal bermesra dan bercumbuan.

Jelasnya, mengikut Imam Nawawi: “Jika cumbuan berat itu dapat dikawal yakni tidak berlaku persetubuhan atau keluar mani, maka dibolehkan. Tapi jika orang itu dari golongan tidak boleh mengawal nafsu, maka ia adalah dilarang” (al-Majmu’: 6/86).

“Tidak dinafikan perbuatan bermesra, cumbu rayu, atau berdakap tidak membatalkan puasa. Kepada pengantin baru dan suami atau isteri yang tinggi nafsunya, saya nasihatkan, jangan lakukannya memandangkan ia boleh mengakibatkan ‘azl (keluarnya mazi). 

“Perbuatan ini boleh mengundang dosa. Sewajarnya bagi seorang mukmin menghindari apa juga perbuatan mampu merangsang keluarnya mazi seperti memeluk, mencium dan seumpama dengannya.

“Tapi, perkara ini tidak bererti bahawa pasangan suami isteri turut berpuasa dari melakukan hubungan seksual atau apa juga perbuatan menjurus kepada hubungan seksual. Lakukanlah pada malam hari hingga awal fajar,” jelasnya.

Bayaran puasa terbatal

Secara asas, sesiapa saja melakukan hubungan seks tanpa mengira sama ada keluar air mani atau tidak puasanya batal dan mereka dikenakan hukuman kafarat.
“Berdasarkan hadis riwayat, hukuman kafarat terhadap mereka yang melakukan hubungan kelamin pada siang Ramadan, mereka hendaklah menebus kesalahan itu dengan membebaskan seorang hamba, puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang miskin.

“Justeru, kepada pasangan suami isteri jangan melakukan sebarang aktiviti itu sepanjang anda berpuasa. Bahkan, jangan menghampiri apa juga perkara menjurus kepada seksual pada siang hari. 

INFO: Persediaan perlu di hadapi pasangan baru

1) Persediaan Ruhiyah (Spiritual)
* Ini meliputi persediaan mengubah mental menjadi lebih bertanggungjawab, bersedia tunduk dan menerima segala ketentuan Allah, sedia berkongsi serta meluntur ego bahkan berlapang dada. Selain itu belajarlah untuk sabar dan syukur.

2) Persediaan ‘Ilmiyah-Fikriyah (Ilmu-Intelektual)
* Bersedialah untuk mengemudi rumah tangga dengan pengetahuan, ilmu dan pemahaman. Ada ilmu tentang ad-Din dan ada yang berkaitan dengan ilmu berkomunikasi makruf kepada pasangan. Ada pula ilmu untuk menjadi ibu bapa baik (parenting), pengurusan ekonomi dan banyak lagi ilmu lain.

3) Persediaan Jasadiyah (Fizikal)
* Jika sedang menderita penyakit tertentu khususnya berkaitan kesihatan reproduksi, perlulah disegerakan mencari penyembuh. Peliharalah kesihatan seutuhnya kerana ia bakal menjamin kebahagiaan rumah tangga dalaman dan luaran.

4) Persediaan Maaliyah (Material)
* Konsep awal tugasan seorang suami adalah memberi nafkah, maka tunaikan tugasan ini dengan sempurna mengikut batasan kemampuan kita.

5) Persediaan Ijtima’iyyah (Sosial)
* Persediaan untuk hidup bersama keluarga baru, hidup bermasyarakat, faham bagaimana untuk berjiran, mengerti bagaimana untuk bersosial dan mengambil peranan di tengah masyarakat.

INFO: Langkah mudah untuk pasangan baru berkahwin untuk mengamalkan puasa dengan lebih sempurna

1. Pejamkan mata dan tahanlah ia daripada memandang kepada segala perkara tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikan daripada mengingati Allah S.W.T.

2. Pelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata riak.

3. Pelihara pendengaran daripada mendengar hal dilarang dan dibenci sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengari.

4. Pelihara seluruh anggota tubuh badan lain daripada membuat dosa dan memeliharanya juga daripada segala dibenci.

5. Tahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan halal kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.

6. Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Karakter tidur

Diriwayatkan daripada Barra’ bin ‘Azib r.a, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan, kamu hendaklah berwuduk seperti wuduk untuk solat. Kemudian hendaklah kamu baring di lambung kanan kamu.”
Hadis ini mengajar kepada umat Islam supaya baring mengiring sebelah kanan.
Adapun tidur dengan cara yang lain adalah seperti tidur meniarap. Ada fakta mengatakan yang seseorang tidur meniarap di atas perutnya selepas tempoh yang tertentu akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang badan yang besar yang menghalang dada daripada meregang dan mengecut ketika menghembus dan menyedut nafas. 

Kedudukan seperti ini juga menyebabkan kesukaran pernafasan yang boleh mengganggu jantung dan otak. Pengkaji dari Australia menyatakan yang berlaku peningkatan kematian kanak-kanak kepada tiga kali ganda apabila mereka tidur meniarap dibandingkan jika mereka tidur di lambung kanan atau kiri.

Majalah Times melaporkan kajian di Britain menunjukkan peningkatan kadar kematian mengejut kanak-kanak yang tidur meniarap.

Tidur telentang pula akan menyebabkan pernafasan dengan mulut kerana mulut akan terbuka ketika menelentang disebabkan regangan rahang bawah. Sepatut dan seeloknya hidung yang bernafas kerana ia terdapat bulu-bulu dan hingus menyaring udara yang masuk dan banyaknya saluran darah disediakan untuk memanaskan udara.

Bernafas dengan mulut lebih menyebabkan seseorang itu terkena selsema di musim sejuk dan juga menyebabkan keringnya gusi yang akhirnya menyebabkan radang.

Tidur mengiring ke kiri pun tidak elok kerana jantung ketika itu dihimpit oleh paru-paru kanan yang mana ia lebih besar daripada paru-paru kiri. Ini memberi kesan pada tugas jantung dan mengurangkan kecergasan jantung lebih-lebih lagi kepada orang tua. Seperti mana perut yang penuh ketika itu akan menekan jantung.

Perbandingan di antara tidur mengiring ke kanan dan tidur mengiring ke kiri mengikut kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa makanan yang lalu daripada perut kepada usus berlangsung di antara 2.5 hingga 4.5 jam apabila orang yang tidur mengiring ke kanan. Manakala orang yang tidur mengiring ke kiri memerlukan masa di antara lima hingga lapan jam bagi proses yang sama.

Bagaimanapun tidur yang terbaik adalah dengan kedudukan mengiring ke kanan kerana paru-paru kiri lebih kecil daripada sebelah kanan. Ini menyebabkan jantung menanggung benda yang lebih ringan. 

Hati juga akan dalam kedudukan tetap stabil dan tidak tergantung. Perut akan bertenggek di atasnya dengan baik. Ini memudahkan untuk mengosongkan makanan dari perut selepas proses penghadaman.

Ada pula fakta lain berkaitan tidur mengikut gaya dan maknanya. Umpamanya anak muda atau individu yang tidur gaya bayi. Majoriti wanita tidur dengan gaya ini dan mereka dikatakan lebih tahan lasak, tapi agak sensitif dan ada kalanya pemalu. Golongan ini juga dikatakan mudah dipujuk.

Jika tidur dengan posisi mengiring dengan kedua belah tangan tetap di sisi badan, bermakna orang ini adalah seorang yang bersosial dan mudah bergaul dengan rakan-rakan yang mudah dipercayai.

Gaya tidurnya mengiring sama ada ke kiri atau ke kanan dengan kedua-dua belah tangan di depan badan. Siapa yang tidur dengan gaya ini dikatakan seorang yang berfikiran terbuka tapi pada masa sama suka bersikap sinis, jenis syak wasangka dan degil tanpa mahu mendengar kepada keputusan dibuat.

Gaya ini lazimnya tidur terlentang dengan gaya tangan seperti berpeluk tubuh. Golongan ini dikatakan suka menyendiri, agak pendiam, tidak cerewet dan memandang tinggi pada diri sendiri dan orang lain. 

Golongan ini berpotensi untuk mengalami dengkuran kerana posisi belakang badan yang rata. Mungkin cara tidur seperti ini membuatkan mereka kerap bangun malam tetapi cara tidur seperti ini sebenarnya bukanlah begitu merehatkan.

Golongan yang gemar tidur meniarap dengan tangan di bawah bantal atau tangan diselubungi bantal dan kepala mengiring ke kiri atau kanan, dikatakan orang yang kurang suka menerima kritikan. Golongan ini juga dikatakan sukakan aktiviti luar dan agak tergopoh-gapah dalam tugasan harian mereka.

Gaya tapak Sulaiman adalah gaya tidurnya telentang sambil tangan atau lengan diletakkan di atas kepala dan dahi dikenali sebagai orang yang prihatin dan suka mendengar. Golongan ini juga gemar membantu dan tidak suka jika segala perbuatan mereka diberi penghargaan. Boleh dikatakan golongan ini menghadapi masalah dengkur dan tidur yang tidak lena setiap malam.

Thursday, July 25, 2013

10 cara Merebut Cinta Bekas Kekasih

Setiap hubungan pasti ada pasang surutnya. Putus-sambung-putus cinta itu lumrah. Ada yang putus tak ingin bersambung. Perit rasa mungkin menyesakkan diri. Ada pula ingin kembali memperbetulkan masa lalu. Lihat sahaja Putera William dan Kate atau Justin Timberlake dan Jessica Biel. Mereka pernah putus cinta sebelum kembali hangatkan hubungan hingga ke jinjang pelamin.

GUA kira anda juga punya pengalaman sama. Masih menyimpan rasa buat bekas kekasih. Mula-mula kamu fikir hidup dia lebih baik tanpa kamu. Tetapi akhirnya kamu menyedari dirimu yang tak mampu hidup tanpa dia. Bagaimanakah mahu kembali merebut semula cinta si dia? Sedangkan si dia mungkin sedang membuka hatinya pada yang lain.

Kelebihan buat anda kerana anda pernah hadir dalam hidupnya. Rasa cinta pernah tertumpah buat anda. GUA ada beberapa tips mahu dikongsi bersama anda. Semoga berhasil hendaknya.
1. Jangan Hubungi Dia
Memang sukar buat anda tetapi buat sementara waktu elakkan. Mungkin saat-saat itu dia akan terkenangkan saat-saat indah bersama anda. Beri ruang dia berasa rindu pada anda. Sibukkan diri anda agar tidak berjiwa lara. Seandainya dia menghubungi, pastikan dia mengesan diri baru anda. Buang sifat yang paling tidak disukainya.

2. Berdikari dan Elak Mengekori Dia
Kalau anda asyik mengekori dia, kebarangkalian hatinya mahu berpaling kepada anda surut. Mungkin buat masa ini dia perlu bersendirian. Tunjukkan diri anda yang baru. Lebih berdikari dan mampu hidup tanpa bergantung sesiapa. Entah-entah sikap anda yang menyumbang pada perpisahan. Jadilah insan lebih matang dan bukan itu bermakna kamu haru menjadi orang lain tetapi memperbaiki diri sahaja.

3. Keluar Bersuka Ria
Ya! Tiba waktunya anda keluar bergembira dengan teman-teman. Pastikan anda tidak tunjuk hati kamu sedang lara. Bergembiralah! Kadang-kadang zaman teknologi ini membantu. Manalah tahu gambar kamu sedang bersuka ria ini sampai ke pandangannya, dia pasti terdetik rasa.

4. Hubungi Secara Kasual
Mungkin ada barang si dia masih kamu simpan. Telefon secara bersahaja atau mesej tanyakan dia perlukan barang-barang itu atau tidak? Namun, jangan kamu telefon tanpa alasan atau sebab kerana ia hanya memperbodohkan diri sahaja. Biar kukuh! Jangan sekali-kali bangkitkan rasa rindu, bertanyakan hal peribadi dan bangkitkan hal masa lalu. Cukup dengan nada bersahaja.

5. Kembali Jadi Insan Dicintai
Dia jatuh hati dengan kamu kerana apa? Fikir dalam-dalam saat kali pertama cinta berpaut. Kembali jadi diri individu tersebut. Kembalikan ingatan dia pada saat kali pertama dia memandang kamu dan berbunga cinta. Seandainya berpeluang bertembung, pastikan kamu memakai pakaian disukainya. Atau pakaian kali pertama kalian bersua.

6. Fikir Betul-Betul Keputusan Anda
Sebelum melangkah lebih jauh. Kembali berfikir mengapa anda mahu menawan hati dia kembali. Berbaloikah? Kalau si dia hanya kaki kikis dan kaki pukul, terlucut dari ikatan silam pun kira syukur rahmat. Tetapi jikalau anda dapati dia berbaloi dimiliki dan kesilapan lalu itu berpunca dari anda. Jom.. kita ke langkah seterusnya…

7. Siasat Apakah Dia Masil Ambil Berat?
Sebelum itu siasat dahulu situasi si dia di sana apakah masih mengambil berat perihal anda? Kalau setakat dia sudah punya pengganti. Lupakan sahaja. Tetapi kalau dia masih ada sekelumit rasa ambil berat, cerah peluang anda.

8. Keluar Berkumpulan
Aturkan pertemuan secara berkumpulan dengan teman-teman. Lakukan aktiviti bersahaja. Ataupun sekiranya teman-temanlah jadi punca pertelingkahan, keluar berdua secara kasual. Pergi ke tempat biasa kamu pergi. Beritahu baru-baru ini kamu pernah ke sana dan teringat waktu berdua.

9. Yakin Diri
Elak rasa rendah diri. Mungkin bekas kekasih kini dikelilingi individu berupa paras menawan tetapi anda perlu yakin diri. Pedulikan pandangan orang lain. Apa yang penting anda selesa menjadi diri sendiri tanpa perlu berpura-pura.

10. Berbincang
Sekiranya dia mula bertanyakan semula kisah lalu. Bincang secara baik. Kalau ada kesilapan anda, mohon maaf dengan segera. Seandainya dia kembali bertanyakan cinta anda, mungkin mulakan dengan perlahan. Biar dia kagum dengan diri baru kamu itu. Jangan gelojoh.

Monday, July 22, 2013

Pantang larang kecantikan

Cantik bukan setakat di definisikan sebagai cantik rupa paras saja tetapi merangkumi banyak aspek, dari hujung rambut hingga hujung kaki. 

Bagaimanapun, jika seseorang itu memiliki rupa paras menawan, ia bonus kepadanya. Selain itu, keinginan untuk cantik bukan setakat menggunakan produk kecantikan di pasaran dengan pelbagai fungsi, ia juga perlu diselaraskan dengan beberapa pantang larang supaya kesannya lebih maksimum. 

Pantang larang ini wujud sejak zaman dulu kala lagi. Lihat saja datuk nenek kita mengekalkan kecantikan tanpa bantuan produk. Jawapannya mudah, hanya mengamalkan pantang larang ditambah pula mengambil pemakanan berkhasiat dan aktiviti harian, kecantikan asli itu pasti terserlah. 


Malah, ada yang sehingga usia tuanya tetap kekal dengan petua dan pantang larang berkenaan. 

Tiada kos yang tinggi diperlukan, hanya konsisten dan elakkan daripada melakukan perkara dilarang. Justeru, di sini, terdapat beberapa pantang larang mudah yang boleh di aplikasi terutama membabitkan wajah dan rambut wanita kerana ia antara aset paling berharga buat mereka. 

1. Jangan memicit jerawat 

Jerawat memang menjadi masalah kepada penampilan wanita. Setiap bulan pasti akan tumbuh dan ‘mencacatkan’ wajah. Timbul geram dan terasa ingin saja dipicit. 
Apa pun, jangan sesekali memicit jerawat menggunakan kuku kerana ia akan merosakkan kulit dan memburukkan lagi keadaan jerawat anda sehingga meninggalkan parut. Jika ingin teruskan juga, pastikan tangan anda betul-betul bersih atau gunakan sarung tangan. 

2. Jangan gunakan sabun mandi 

Sabun mandi sesuai untuk kulit badan saja, bukannya kulit wajah. Bahan yang terkandung di dalam sabun mandi itu boleh menghilangkan minyak asli kulit muka dan kesannya ia boleh menjadikannya kering. Gunakan pencuci wajah yang sesuai dengan jenis kulit anda. 

3. Jangan keringkan rambut guna tuala 

Kebanyakan wanita selepas mandi sering menggosok rambut yang basah dengan tuala dengan hasrat supaya ia cepat kering. Tapi tahukah anda, menggosok terlalu kuat boleh menjadikan rambut mudah putus dan kusut terutama jika rambut panjang. 

Cara yang sepatutnya digunakan ialah dengan memerah rambut anda dan membalut dengan tuala. Biarkan ia kering sebentar tanpa perlu memberi tekanan kepada rambut anda. 

4. Jangan sikat rambut basah 

Seeloknya sikat rambut anda ketika kering kerana rambut yang basah, ia mudah tersimpul, kusut dan boleh mengakibatkan rambut mudah putus dan rosak. 

5. Bersihkan muka sebelum tidur 

Jangan sesekali anda tidur tanpa membersihkan muka. Ini kerana muka yang tidak dicuci dan bermekap ia boleh menyebabkan pori-pori kulit tersumbat dan seterusnya memberikan masalah kulit seperti jerawat. Jika malas sekali pun, cuci saja sudah mencukupi. Jangan biarkan kulit anda tidak boleh bernafas. 

6. Jangan mandi air panas 

Mandi air panas ada kelebihan dan kekurangan, tetapi jika kulit anda kering seeloknya cuba elakkan daripada mandi air panas atau mandi menggunakan mandian haruman.

Kekalkan kualiti wajah

Rumusan campuran biji matahari, esktrak bali dan timun lembutkan tekstur kulit

Kualiti kulit wajah lazimnya, dinilai berdasarkan keadaan kulit yang elok, tidak berjerawat atau tiada sebarang cela yang timbul. Apabila sudah mengenalpastinya, tindakan dilakukan ialah terus menggunakan produk yang biasa di aplikasi pada kulit wajah supaya kesannya tetap kekal sama tanpa sebarang perubahan drastik. 

Namun, jangan terlupa kerana perubahan kulit wajah juga boleh berlaku disebabkan oleh peredaran masa, situasi, tekanan kerja dan diri, perubahan hormon serta keadaan persekitaran yang sering berubah. 

Akibatnya, tanpa regim penjagaan yang sebenar, kulit wajah tidak berupaya mengekalkan kualiti manakala kesegarannya akan hilang lama kelamaan. 


Prihatin dengan masalah yang mungkin dihadapi oleh sesetengah wanita, Clinique memperkenalkan losyen pelembap, Dramatically Different Moisturizing Lotion+ yang memberi perubahan positif kepada kulit wajah. 

Losyen itu dirumus oleh pakar Clinique dengan kerjasama ahli dermatologi menerusi penyelidikan bahan terbaru dan teknologi berterusan bagi memastikan pengguna mendapat kebaikan yang maksimum. 

Tekstur lembut 

Selama hampir tujuh tahun, tiga formula pakar dermatologi, 53 penyelidikan dan 100 percubaan dilakukan bagi mendapatkan hasil produk yang sangat bernilai ini dengan kelebihan meningkatkan kekuatan kulit wajah sebanyak 54 peratus dalam tempoh lapan minggu penggunaan tanpa mengubah teksturnya yang lembut. 
Bahkan, hasilnya turut memberi dua kali ganda kelembapan bagi memastikan kulit terhidrat dengan selesa sepanjang hari dan menjadikan kulit sihat serta mampu menangani masalah persekitaran yang kurang elok. 

Timbalan Presiden Clinique Pembangunan Pendidikan Global, Janet Pardo , berkata bagi membuktikan produk ini berkesan, kebanyakan kulit wanita yang diuji terdiri daripada kulit kusam, kering, kemerahan, gatal dan sebagainya. 

“Gejala ini boleh diklasifikasikan sebagai kulit yang lemah dan tidak sihat. Ujian dilakukan bukan saja pada skala kecil tetapi diuji pada 1,600 wanita di lima negara yang memiliki pelbagai jenis etnik, masalah kulit, jenis kulit dan peringkat usia di seluruh dunia. Hasilnya sangat menakjubkan. Kebanyakan kulit mereka menjadi lembut, licin, kekal selesa dan lembap sepanjang masa,” katanya pada majlis pelancaran produk baru berkenaan. 

Hadir sama pada pelancaran produk baru-baru ini ialah Pengarah Clinique Pembangunan Pendidikan Global John Miller, Pengarah Eksekutifnya, Pamela Hoffman dan Pengarah Pakar Perkhidmatan dan Pembangunan Pendidikan Global, Erin Burke. 


Kuatkan daya tahan kulit 

Bahan kompleks yang digunakan bagi memberi kekuatan kepada kulit wajah pula ialah campuran biji matahari, esktrak bali dan timun yang membantu menguatkan daya tahan kulit serta kesan daripada persekitaran yang kurang elok. 

Bahan untuk melembap ialah hyaluronic asid yang terbukti efektif membantu melembapkan bagi penghidaratan lebih baik; glycerin mampu menyerap air dan urea untuk memastikan kulit sihat. 

Kata Janet, pelembap terbaik di dunia boleh didapati, tetapi jika kulit tiada ketahanan rosak, kelembapan itu akan kering begitu saja. 

“Dua aspek ini sangat penting bagi mendapatkan kulit wajah yang sihat, malah ia boleh menjadikan kulit muda, bercahaya dan tahan lama,” katanya.

Saturday, July 20, 2013

Alamak! Alahan teruk

Jangan pandang remeh bila diri anda mengalami alahan teruk. Alahan kebiasaannya akan menyebabkan ruam, mata menjadi gatal, sukar bernafas, bersin, bengkak mulut, pening dan muntah.
Alahan dalam bahasa Inggerisnya, ‘allergy’ bermaksud perubahan aktiviti. Terjadinya alahan kerana tindak balas hipersensitif yang berlaku dalam sistem pertahanan badan yang bertindak apabila terdapatnya benda asing di badan manusia yang melalui kulit dan paru-paru. 
Sejarah keluarga yang mempunyai alahan terhadap benda asing tertentu mampu membuatkan seseorang menghidapi kerengsaan teruk yang mengganggu rutin seharian. 

Reaksi alahan ini mungkin terjadi dalam keadaan yang ringan atau serius sama ada berlaku dalam sekelip mata atau beberapa minit selepas terdedah dengan ‘alergen’ bahan atau makanan tertentu. Namun ada juga yang alahan selepas beberapa hari atau minggu.

Anafilaksis adalah tindak balas alahan yang sangat teruk kerana berlaku secara tiba-tiba selepas tubuh sensitif dengan bahan tertentu. Ia boleh menyebabkan kematian jika lambat menerima rawatan perubatan.

Istilah ‘allergy’ ini dicipta oleh pakar kanak-kanak, Clemens Von Pirquet pada tahun 1906 selepas beliau mendapati sebilangan pesakitnya adalah hipersensitif yang tidak terlalu bahaya seperti debu atau makanan tertentu. 

Alahan adalah suatu reaksi yang berlebihan dari sistem pertahanan tubuh badan. Sistem kekebalan tubuh biasanya melindungi tubuh daripada virus dan bakteria dengan antibodi untuk melawan serangan alahan bakteria. 

Satu kajian yang dibuat mendapati bahawa alahan yang paling teruk pernah dialami oleh masyarakat sedunia adalah disebabkan hama atau habuk. 

Tahukah anda terdapat 10,000,000 hama yang ada di tilam dan bantal ketika kita sedang tidur? Hama tidak terlalu bahaya dan tidak membawa sebarang penyakit serius. Namun najis hama itu akan membuatkan alahan teruk kepada pesakit asma, resdung dan ekzema.

Bayangkan selama ini kita tidur beralaskan benda kotor yang mengandungi bakteria dan virus berbahaya. Tak takut atau geli ke?

Sentiasa disarankan agar membasuh dan menukar cadar tilam bagi mengelak hama atau habuk terkumpul dengan banyak sehingga menjejaskan kesihatan manusia. 

Alahan bergantung kepada ketahanan badan seseorang individu. Hama juga membuatkan manusia mudah untuk dapat jangkitan asma, sehingga membuatkan seseorang itu sukar bernafas, selsema dan gatal tekak serta hilang suara.

Dr. Zeldin dari Institut Kebangsaan Perkhidmatan Persekitaran Kesihatan, Amerika Syarikat mengesyorkan strategi baru untuk sarung tilam dan bantal agar terhindar daripada hama. 

Walaupun strategi ini tidak terus membunuh hama namun mampu memberikan sedikit maklumat kepada masyarakat berkaitan dengan najis dan bahan buangan hama ini. 

Zeldin menyatakan, membasuh cadar dengan air panas sekurang-kurangnya sekali seminggu mampu mengurangkan jumlah terkumpul najis bakteria itu. 

Tujuan menerima rawatan adalah untuk mengurangkan gejala alahan ini daripada terus merebak dan berulang lagi. Gejala yang ringan tidak memerlukan sebarang rawatan khas. Ia akan pulih dengan sendiri tanpa ada sebarang pengambilan ubatan tertentu. Krim atau ubat sapu juga mampu melegakan ruam alahan. 


Jenis-jenis alahan

1. Alahan makanan


Makanan adalah sumber tenaga kepada tubuh badan manusia. Namun harus diingatkan ada juga makanan yang membawa racun kepada sistem tubuh badan sehingga menyebabkan alahan teruk. Makanan laut seperti ketam, sotong dan udang akan membuatkan sebilangan pihak akan mengalami alahan gatal-gatal di seluruh muka dan tumbuh bengkak di bibir.


2. Alahan ubat 

Sesetengah ubat tidak sesuai dengan tubuh badan seseorang itu. Jadi disarankan sebelum mengambil sebarang jenis ubat-ubatan, perlu mendapatkan nasihat dan pandangan doktor atau pegawai farmasi agar tidak berlaku kesan alahan yang berterusan. 


3. Alahan racun serangga

Apabila sistem tubuh yang tidak kuat dan lemah. Sesetengah golongan muda tidak tahan dengan bau racun serangga seperti ubat nyamuk sehingga terpaksa bertahan menutup hidung dengan kain.


4. Alahan haiwan

Bulu-bulu halus pada tubuh haiwan juga boleh mengakibatkan individu itu alami alahan. Seperti bulu kucing yang terlekat di hidung dan tangan akan menyebabkan bersin teruk dan selsema. Jika membela kucing atau haiwan berbulu yang lain, pastikan sentiasa memandikan haiwan itu dengan bersih sebelum membelai dan menyentuhnya. 


5. Alahan bahan kimia

Ada remaja yang mengalami alahan dengan bahan kimia tertentu yang akan mengakibatkan ruam merah di badan dan kawasan sensitif di tubuh. 


6. Alahan minuman

Remaja yang tidak tahan sejuk disarankan tidak mengambil minuman berais. Bukan hanya ais tetapi juga alah dengan minuman yang lain. Bayi yang masih kecil juga alah dengan susu sehingga menyebabkan tompok merah dan ruam. Jadi ibu yang masih muda harus memilih susu formula yang sesuai untuk bayi. 


Cadangan
  • Apabila masuknya waktu malam, tutup tingkap untuk menghalang debunga atau kulapuk masuk ke dalam rumah. 
  • Gunakan penyaman udara yang dapat membersihkan dan mengeringkan udara. 
  • Pakai topeng yang melindungi debu semasa melakukan aktiviti pembersihan rumah dan makan ubat-ubatan sebelum melakukan aktiviti itu.
  • Harus diingatkan tidak mengambil ubat secara berlebihan dos, bimbang gejala dan kesan buruk lain pula yang berlaku