Thursday, April 10, 2014

Kenal diri untuk keselesaan

Mengenal diri adalah mencari dan mengenal kekuatan dimiliki oleh diri sendiri. Mengenal kekuatan yang ada dalam diri adalah penting agar kita mampu meletakkan diri kita di tempat sesuai untuk kepentingan diri. Malah, mengenal diri adalah komponen utama bagi memastikan diri tidak tersasar atau tersalah tempat.
Ada tiga kekuatan wujud dalam diri kita dan perlu kita kenali iaitu kekuatan akal, jiwa dan kekuatan perasaan. Ketiga-tiga kekuatan ini wujud dalam diri setiap manusia, namun antara ketiga-tiganya akan hanya ada satu saja kekuatan yang dominan. 
Akan hanya ada satu saja kekuatan yang lebih kuat antara kekuatan lain dan paling dominan inilah yang akan mencorak dan menzahirkan perwatakan seseorang. Dalam setiap kekuatan ini, ada kelebihan dan ada kekurangan. Untuk mengenal sejauh mana dan kekuatan mana kita miliki, maka hendaklah kita lihat akan sifat yang dimiliki oleh setiap kekuatan ini. 

Orang yang mempunyai kekuatan akal amat sedikit jika dibandingkan dengan orang kebanyakan. Terdapat beberapa kelebihan dimiliki oleh orang yang mempunyai kekuatan akal antaranya mampu berfikir, berilmu dan jenis yang berhati-hati.

Hasil pemikirannya akan melahirkan teori dan buah fikiran serta idea bernas yang tidak terfikir oleh orang kebanyakan. Disebabkan kekuatan akalnya kuat, orang yang memiliki kekuatan akal ini mampu menguasai ilmu dengan lancar dan banyak.

Oleh kerana tajamnya fikiran, seseorang itu amat berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan atau kerjanya tidak menemui jalan buntu. Setiap perancangan akan disertakan sasaran masa untuk melihat dan menilai pencapaian atas perancangan yang dilakukannya. 

Dalam konteks mudah difahami, mengenal diri sendiri itu adalah fasa paling penting untuk seseorang individu itu terutamanya anak muda agar apa yang dilakukan dan segala macam yang dirancang untuk masa depan tidak langsung tersasar, apatah lagi tersilap. 

Mungkin kita boleh menipu atau berbohong kepada orang lain mengenai kekuatan dan kelemahan kita, namun perlu diingat, kita tidak boleh menipu diri sendiri. 

Kesan kepada menipu diri sendiri dan tidak telus terhadap personaliti diri amat berbahaya dan mampu meninggalkan kesan negatif kepada diri. Jika tidak esok atau lusa, ia akan terjadi pada masa akan datang dan impak itu berpanjangan. 

Justeru, persoalannya, bagaimana untuk kita mengenai diri sendiri dengan lebih berkesan? 

Sebelum anda ingin mengenal atau berkawan dengan seseorang, pasti anda ingin tahu apakah kelebihan atau siapakah diri anda. Ini penting kerana sikap anda yang tidak disenangi pasti akan membuatkan orang lain rasa meluat. Kenali diri sendiri terlebih dulu untuk memastikan hubungan persahabatan lebih terjaga. 

Gen Y cuba senaraikan beberapa langkah dan alternatif paling berkesan untuk kita sama-sama mengenal diri dengan cara paling mudah. Antaranya termasuklah: 


Tanya diri sendiri - Siapakah anda? Soalan ini mungkin mudah tapi sukar untuk mencari jawapannya. Ia merangkumi kefahaman, kepercayaan, rasa sangsi dan realiti yang anda tidak sangkakan. Cuba senaraikan kelebihan, keupayaan dan personaliti anda di atas kertas. Mungkin anda akan mendapati banyak kelebihan dari kekurangan. 

Namun, kekurangan itu sukar untuk disenaraikan kerana hanya rakan atau ahli keluarga saja yang boleh memberikan pendapat mereka mengenai diri anda. Ambil masa yang lama untuk menjawab semua soalan itu. Fikirkan apa kelebihan anda yang belum ditonjolkan kepada teman atau apa keburukan yang patut anda hindari. 


Tanya rakan karib untuk membantu - Jika anda mempunyai rakan karib yang boleh menyenaraikan apa yang baik dan buruk, tanya dia apakah pendapatnya tentang diri anda. Mungkin pada mulanya anda akan rasa marah atau kecewa kepadanya kerana menyinggung hati anda dengan mengatakan perkara yang anda sukar untuk terima. 

Tapi terimalah hakikat bahawa sikap buruk anda perlu dibuang dan anda perlu motivasi diri untuk maju ke hadapan. Fikirkan apa yang diungkapkan oleh rakan anda dan ambil masa untuk mengubah tabiat buruk satu persatu. Jangan hanya bertanya pada seorang rakan, sebaliknya tanyalah pada beberapa orang kerana setiap orang lain pendapatnya. 


Cari makna setiap perkataan - Anda wajib tahu apa makna di sebalik setiap ‘sikap’ yang anda senaraikan di kertas tadi. Contohnya, anda mengatakan anda baik hati tapi adakah anda tahu maksud sebenar baik hati itu, sebaik manakah anda di mata rakan, dengan cara manakah anda lakukan kebaikan, secara pura-pura atau ikhlas dan kemudiannya pertimbangkan semua itu. 

Apa yang anda perlu buat adalah selami diri anda dan fikirkan kembali adakah sifat positif yang disenaraikan itu sekadar dibuat-buat atau memang benar. 


Lihat sudut negatif - Jika anda berjaya merungkai persoalan di sebalik sifat positif yang anda miliki, cuba pula senaraikan yang negatif. Misalnya, anda seorang yang panas baran. Itu adalah perkara penting perlu diambil berat kerana sifat ini mungkin boleh menjejaskan hubungan persahabatan anda. 

Fokus kepada perkara yang mengakibatkan anda menjadi panas baran. Jika ia disebabkan telatah rakan, tegur perbuatannya. Katakan bahawa anda tidak suka kelakuannya. Anda juga perlu ubah sifat itu sendiri. Jangan terlalu cepat panas baran kerana hal yang kecil. 


Belajar merendah diri - Sifat sombong yang tidak menentu pasti membuatkan orang lain rasa ingin jauhkan diri anda. Jadi diri anda sendiri tapi sentiasa bersikap rendah diri jika anda tidak mengetahui sesuatu. Jangan berlagak seperti tahu semua perkara walaupun anda tidak faham langsung dalam topik itu. 

Jika anda rendah diri, anda membenarkan orang lain menghargai anda kerana sikap anda yang memahami apa situasi dan idea yang dikemukakan oleh orang lain.

No comments:

Post a Comment