Dilema sebagai penganggur bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi anak muda, apatah lagi bagi mereka yang sudah bersedia untuk melangkah ke alam pekerjaan. Namun, jawapan biasa selepas tamat sesi temu duga seperti ‘kamu tiada pengalaman’ , ‘maaf kami mencari calon yang ada pengalaman kerja’ atau ‘tunggu panggilan daripada kami’ antara ayat biasa diberikan membuatkan ia mempengaruhi moral lepasan graduan.
Ramai mengeluh jika peluang kerja hanya terbuka kepada individu yang sudah berpengalaman. Bagaimana dengan lepasan graduan yang masih belum mempunyai apa-apa latar belakang kerja? Jika itu halnya, sampai bila mereka akan terus menanti di kampung dan melepak di rumah orang tua? Penulis berpendapat, persoalan ini hanya boleh dijawab pihak yang berkaitan.
Ramai mengakui, kebanyakan daripada kita bukan tidak mendapat pekerjaan atau sebarang tawaran tetapi mungkin kerjaya ditawarkan tidak bersesuaian dengan minat.
Kebanyakan masih mencari kerjaya yang dirasakan sesuai dengan status sebagai lepasan universiti. Tetapi jangan salah faham, bukan isu susah dapat kerja mahu dibincangkan di sini kerana nasib dan rezeki seseorang sudah tertulis, cuma perlu berusaha dan berdoa.
Kebanyakan masih mencari kerjaya yang dirasakan sesuai dengan status sebagai lepasan universiti. Tetapi jangan salah faham, bukan isu susah dapat kerja mahu dibincangkan di sini kerana nasib dan rezeki seseorang sudah tertulis, cuma perlu berusaha dan berdoa.
Apa yang Gen Y nak dikongsikan adalah perkara yang dapat anda (penganggur) lakukan untuk menjana pendapatan walaupun hanya dilakukan di rumah.
Jangan sekat kreativiti
Jika dilihat, banyak peluang pekerjaan ditawarkan tetapi graduan tidak pandai mengambil peluang yang ada. Faktor terlalu memilih dan merasakan mereka layak untuk mendapat pekerjaan lebih baik tanpa menyedari bahawa diri tiada pengalaman, sedikit sebanyak mendorong kepada isu pengangguran.
Sebenarnya, kita tidak perlu bergantung kepada sektor pekerjaan sedia ada semata-mata kerana terdapat pelbagai cara lain boleh dibuat untuk menjana pendapatan. Percaya atau tidak, ramai peniaga atas talian seperti blog, Facebook dan laman sosial lain bermula dengan bisnes kecil-kecilan. Usia muda penuh dengan kreativiti dan idea menarik, berstatus penganggur adalah waktu paling tepat untuk merealisasikan idea ini sebelum anda diterima bekerja dengan organisasi lain pada masa akan datang.
Sebagai contoh, anda boleh memulakan perniagaan sendiri dengan menggunakan ilmu yang dipelajari ketika menuntut di universiti. Ini kerana, graduan siap sedia dilatih dengan ilmu semangat keusahawanan yang membolehkan kita berniaga sendiri yang ternyata mampu membawa keuntungan tanpa bergantung kepada majikan kerana kepuasan sebenar adalah atas hasil usaha sendiri.
Bisnes atas talian
Boleh dikatakan hampir 99 peratus remaja mempunyai laman sosial sendiri dan umum mengetahui manfaat laman sosial ini untuk berhubung dengan orang lain di seluruh dunia.
Apa kata dengan kebaikan Internet ini, anda mulakan perniagaan sendiri. Mungkin fikiran celaru dan tidak tahu bagaimana nak memulakannya, segala cara perniagaan juga anda boleh pelajari di internet.
Modal adalah perkara penting untuk memulakan bisnes, apatah lagi berstatus penganggur, pastilah kita tiada duit untuk memulakan perniagaan.
Penulis berpendapat, anda boleh memulakan perniagaan dengan menjual baju terpakai ataupun dipanggil ‘pre-loved item’ di laman web, tanpa mengeluarkan sebarang duit, dengan cara ini anda boleh membentuk jaringan pelanggan untuk kembangkan bisnes dengan produk lain pada masa akan datang.
Selain itu, mungkin ada di antara anda yang gemar membuat kuih, kek cawan, kek ataupun hasil jahitan tangan ketika bosan di rumah.
Hobi pada masa lapang ini boleh dijadikan bisnes kecil-kecilan. Iklankan hasil kerja tangan anda tak kiralah sama ada makanan, pakaian ataupun kad ucapan, pastinya akan ada orang yang membelinya.
Cikgu tuisyen
Bagi sesiapa yang kurang berminat untuk duduk menghadap skrin komputer selama berjam-jam dengan menjual barang, anda boleh gunakan kemahiran dan pengetahuan yang ada untuk memperoleh wang saku bulanan.
Tidak salah sekiranya anda membuka kelas tuisyen di rumah ataupun menjadi guru tadika di kawasan tempat tinggal. Selain memperoleh duit poket hasil usaha sendiri anda juga dapat menimba pengalaman baru.
Penganggur yang sedang menanti pekerjaan sesuai memang senang untuk menjana duit poket.
Bisnes yang paling menguntungkan ialah bisnes yang kita tidak perlu bersusah payah memberitahu orang lain tetapi mereka akan datang kepada anda disebabkan perkhidmatan diberikan terbaik dan memudahkan orang lain.
Jika anda lakukan kelas tuisyen di rumah, persaingan mungkin kecil kerana tidak ramai yang membuka kelas tambahan di rumah terutama di kawasan luar bandar.
Dari segi kos pula, mungkin pada peringkat awal anda perlu membeli beberapa buku panduan tetapi ia berbaloi kerana pendapatan guru tuisyen juga boleh mencecah ribuan ringgit jika anda komited dan tahu pelbagaikan perkhidmatan.
Cari pendapatan sampingan, tiada yang mustahil dalam dunia ini. Meskipun anda berstatus penganggur, anda boleh cari duit sampingan.
Contohnya, menulis juga mampu menjana pendapatan. Banyak lagi bisnes yang boleh dibuat melalui atas talian tapi pastikan ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh bukannya separuh jalan. Jadilah penganggur yang produktif. Teruskan usaha!
Apa kata mereka?
Nor Raisya Alya Alwi, 25.
“Memang betul penganggur terutama daripada graduan lepasan universiti dan kolej swasta bertambah tetapi isu ini terlalu umum. Jika difokuskan dari segi pendapatan, penganggur memang boleh jana pendapatan sendiri. Tiada komitmen seperti orang lain membuatkan kita bebas untuk lakukan apa saja di rumah apatah lagi jika tinggal dengan ibu bapa. Bukan nak ambil kesempatan, tetapi bil elektrik dan sewa rumah tidak perlu difikirkan, jadi, jika hati nekad untuk cari duit sendiri, banyak cara boleh dilaksanakan. Pilih yang sesuai dan usahakan hingga berjaya,” katanya.
Farhanis Syukor, 27.
“Walaupun saya bekerja dengan syarikat swasta sekarang, saya juga pernah ada pengalaman sebagai penganggur. Lama juga saya melepak di kampung. Kerana terlalu bosan, saya cuba untuk hasilkan sesuatu dengan bahan kitar semula. Bapa saya seorang tukang rumah, jadi banyak kayu terbiar yang ada. Awalnya saya buntu kerana terlalu bosan hari-hari lakukan rutin yang sama, tapi lama-kelamaan saya cuba untuk hasilkan sesuatu dengan kayu-kayu terbabit. Saya buat kerusi mini, rak kasut dan sebagainya. Ada jiran nampak dan minta saya buatkan untuk mereka, dapat juga wang poket sementara tunggu kerja sebenar,” katanya.
Irwani Iskandar Shah, 26.
“Saya memang suka menghabiskan masa di dapur sejak kecil. Tak kiralah bantu ibu memasak atau reka cipta resipi sendiri, memang hobi saya. Selepas tamat pengajian, saya cuba nasib dengan menjual kek cawan di pasar malam sekitar kawasan rumah di Rawang. Walaupun tempoh pengangguran saya tidaklah lama cuma kira-kira empat bulan tetapi ia nyata memberi pengalaman baru buat saya. Bukan terhenti setakat itu saja, bahkan sekarang jika ada jamuan di pejabat atau hari lahir rakan-rakan, saya akan ambil tempahan kek cawan,” katanya.
No comments:
Post a Comment