Wednesday, April 23, 2014

Remaja dan jenama

SHUHADA MANSOR percaya ramai bersetuju jika dikatakan barangan berjenama mempengaruhi tanggapan sebagai salah satu faktor pelengkap gaya. Bagi mereka yang gilakan jenama, menyarungkan produk pilihan mampu tingkatkan keyakinan dalam penampilan seharian. Anda pula bagaimana?
Pengaruh jenama memainkan peranan penting dalam mencorakkan perbelanjaan harian, apatah lagi remaja yang mudah terpengaruh dengan gaya terkini. Gen Y dilabel lebih mudah terpengaruh dengan penggunaan sesuatu jenama di mana apabila sesuatu produk terbaru keluaran jenama popular berada di pasaran, golongan muda yang akan berusaha mendapatkannya terlebih dulu.
Keinginan ini ada kalanya tidak dapat dibendung, sekali gus menjadi konflik terutama bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan sendiri. Tanpa mengira bajet yang ada, kita akan berusaha membelinya dan apabila ia menjadi ikutan ramai, maka terbentuklah budaya mengagung-agungkan jenama terbabit.
TAK MALU DIGAYAKAN
Sesiapa saja pasti tidak lari daripada suka membeli barang yang kita gemari. Namun, berlainan dengan hobi suka membeli-belah, kelompok ini akan membeli apa saja tanpa melihat duit poket terlebih dulu. Apa yang penting ia dapat memberi kepuasan kepada diri.

Bagus sekiranya anda tergolong dalam kelompok perancang. Bermaksud, kita merancang terlebih dulu keinginan produk untuk bulan depan dan mula menabung untuk mendapatkannya. Namun, jangan terkejut jika ada kelompok sebaliknya. Segelintir anak muda cenderung membeli barang berkualiti walaupun menelan belanja ratusan atau ribuan ringgit.

Tanggapan bahawa pakaian digayakan akan dipandang orang sekeliling mendorong seseorang untuk terus berbelanja besar walaupun produk hampir sama boleh didapati dengan harga lebih murah. Sebagai contoh, logo jenama di baju atau seluar melambangkan cara hidup seseorang dan cita rasanya dalam bergaya. Justeru, hal ini memaksa mereka berterusan membeli produk berjenama kononnya, ‘barulah tak malu nak pakai’!

Eksekutif muda yang mahu dikenali sebagai Azmir, 28, berkata, dengan membeli barangan berjenama dapat membeli kepuasan kepadanya, apatah lagi apabila menyarungkannya di badan.

“Kepuasan membeli itu amat dirasai apabila saya mula memakai pakaian berjenama mahal. Jika kebanyakan rakan bertukar telefon bimbit apabila dapat gaji, saya pula memperuntukkan wang itu untuk membeli barangan berjenama lain seperti kasut dan topi iaitu lebih kepada aksesori.

“Gaji pertama saya diperuntukkan untuk membeli sepasang kasut berjenama yang menyamai harga bagi ansuran bulanan sebuah kereta buatan luar negara. Harga itu diperoleh selepas mendapat potongan diskaun dan hampir separuh daripada gaji saya digunakan hanya untuk membeli kasut,” katanya.

Bagi Azmir, prinsip biar papa asal bergaya sememangnya menjadi pegangannya untuk mendapatkan apa yang dimahukan.

Katanya, biarlah orang berkata apa saja, namun yang penting, hanya dia yang merasai kepuasan itu bukannya orang lain.


BUKAN HANYA BAJU DAN SELUAR

Rangkaian barangan berjenama pilihan remaja zaman sekarang bukan hanya tergolong dalam kelompok pakaian, kasut, seluar dan aksesori semata-mata tetapi dengan kecanggihan teknologi membuatkan ramai yang ingin bergaya untuk kelihatan lebih ‘up-to-date’.

Telefon pintar, laptop, tab, kamera dan sebagainya antara produk yang mendapat permintaan tinggi terutama daripada kalangan anak muda. Sebagai contoh, jika dulu kamera klip telefon menjadi trend, namun kini ia digantikan dengan monopod iaitu sejenis alat untuk ‘memegang’ kamera dengan jarak lebih tinggi.

Lambakan gajet ini juga mempunyai jenama pilihan tersendiri walaupun ada di antaranya dijual tanpa jenama tetapi remaja lebih memilih untuk membeli produk yang sudah mencipta nama.

Antara jenama gajet pilihan anak muda membabitkan telefon pintar termasuk Apple, Samsung dan HTC walaupun terdapat pelbagai lagi jenama yang mengeluarkan produk dengan aplikasi hampir sama. Harga bagi setiap satu barangan berjenama ini bukan calang-calang melainkan anda mempunyai pendapatan stabil, namun tidak mustahil boleh mendapatkannya jika kita menabung.

Masalahnya di sini, gila jenama ibarat penyakit yang sudah menular dalam kalangan remaja sama ada yang baru mula bekerja ataupun masih dalam peringkat pengajian.

Bagi pelajar institusi pengajian tinggi, Nur Izara Murni Mohamad, 22, dia pernah dimarahi rakan serumah kerana terlalu berjimat demi membeli beg tangan dan cermin mata hitam berjenama hinggakan dia jatuh sakit akibat kekurangan zat makanan.

“Sebagai pelajar, saya dapat wang pinjaman, jadi saya gunakan untuk beli produk yang saya suka. Apabila wang belanja harian tidak cukup, saya terpaksa catu makanan untuk tunggu belanja bulan seterusnya pemberian ibu bapa.

“Akibat tindakan drastik untuk ikat perut itu, berat badan juga susut tapi saya tidak kisah asalkan dapat apa yang dimahukan. Memang ada rakan yang memperli kerana terlalu mementingkan gaya sehinggakan sanggup berlapar. Ada juga yang secara berseloroh suruh saya gadai semua barangan itu sekiranya tiada wang, namun saya hanya balas dengan senyuman. Saya tidak pernah terfikir untuk jual balik barangan kesukaan saya,” katanya.


DULU LAIN SEKARANG LAIN

Lain kisahnya bagi pekerja swasta, Mohd Izudin Karim, 26, yang mengakui penampilannya dulu bukanlah seperti hari ini. Jika dulu dia seorang yang ringkas dan tidak pernah ambil kisah perihal produk berjenama, namun kini semuanya berbeza.

“Penampilan saya sebelum ini lebih ringkas berbanding sekarang. Jika dulu, apa saja barangan yang cantik tetapi murah akan menjadi pilihan saya. Maklumlah, saya berasal dari kampung, jadi dari segi pakaian agak kolot sedikit.

“Ketika masih awal remaja, keluargalah yang menanggung segala perbelanjaan. Wang belanja diberikan juga tak banyak, keinginan untuk memiliki barangan berjenama juga tidak ada pada masa itu. Tapi, selera mula berubah apabila bergaul dengan rakan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kehidupan semasa melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

“Melihatkan ada segelintir rakan yang sanggup berbelanja lebih membeli produk berjenama pilihan mereka membuatkan saya terpengaruh. Pada mulanya, saya cuba menolak walaupun sebenarnya mempunyai keinginan tetapi apabila memikirkan kedudukan sekarang lebih stabil, saya cuba membeli dan akhirnya berlarutan sampai sekarang,” katanya.

Katanya, memang benar kita memikirkan kualiti jika bercakap mengenai produk berjenama tetapi jika ia menjadi satu obsesi, bukanlah tabiat yang sihat. Walau sebanyak mana pun pendapatan anda, perlu diseimbangkan, apatah lagi membabitkan hobi membeli-belah. Jika tidak dikawal, pasti ada risikonya.

No comments:

Post a Comment