Friday, April 4, 2014

Malunya dia, macam mana ni?

Selalu berlaku kepada lelaki yang asalnya dari luar bandar atau jarang bergaul. Malu sampai sukar didekati. Malah ada menganggap mereka sombong. Bagaimanapun masih ada cara mendekati mereka seperti dikongsikan MURSHID EUNOS di bawah ini.
Hakikatnya bukan semua remaja bersikap terbuka dan berperangai gila-gila seperti kamu. Bagi si pemalu, mungkin sukar berbicara dengannya. Jika cara yang digunakan salah, mungkin dia sukar meneruskan perbualan dengan kamu. Akhirnya perbualan menjadi kosong dan tidak banyak perkara dikongsi. 
Itulah keadaan dan senario yang biasa kita dengar apabila berdepan dengan mereka yang pemalu. Bukan saja tidak pandai bersembang, malah mereka dilihat seakan tidak mesra sedangkan di dalam hati mereka berlakunya perang dan konflik menyebabkan mereka menjadi terlalu malu hingga sukar menyusun kata.

Justeru, jika kamu berdepan dengan individu sebegini, jangan cepat bosan atau putus asa sebaliknya masih ada cara membuatkan mereka selesa dan kemudian berjaya buang jauh sikap pemalu mereka itu.

Pertamanya, hampiri mereka dengan cara betul seperti sentiasa senyum kerana ia menunjukkan ekspresi yang positif. Sudah tentu mereka akan mudah mengukir senyuman semula kalau tidak boleh menyusun kata. Itu sudah menunjukkan si dia membalas perkhabaran kamu.

Sentiasa pandang mata mereka, tetapi jangan anggap mereka tidak akan mengalih perhatian kerana pandangan mata ini adalah sensitif bagi si pemalu. Elakkan juga daripada menghampiri mereka secara terburu-buru kerana mereka akan anggap ia sebagai suatu ancaman. 

Jauhkan daripada tersengih secara sengaja, sindiran ataupun membawa ramai rakan.
Keduanya, tanya soalan ringkas ketika pertama kali menegur. Si pemalu mungkin tidak akan melayan mereka yang banyak mulut atau mereka yang terlalu peramah kerana personaliti itu bertentangan dengan mereka. Justeru, jangan ajukan terlalu banyak soalan kepada mereka. 

Sebaliknya, tanyakan soalan satu persatu secara ringkas untuk mereka menjawabnya. Kebanyakan si pemalu lebih rela untuk mendengar saja daripada bercakap kerana mereka juga rasa takut ketika berbicara. Fikirkan soalan yang mungkin boleh menarik perhatian mereka dan elakkan daripada menyelit perkara yang berhubung kait dengan diri kamu. 

Ketiga dan rasanya paling penting untuk diketahui adalah jangan sesekali ajukan soalan peribadi kepada mereka ketika awal perkenalan. Ketika berbicara, elakkan daripada menyebut mengenai aspek peribadi kerana kamu baru saja kenal dia dan si dia pula baru sibuk ingin membaca personaliti dan diri kamu. 

Cuba berbicara mengenai apa yang berlaku di sekitar kamu. Elakkan daripada soalan yang banyak menggunakan ya atau tidak. Apa yang kamu perlu lakukan ialah cuba kenal dirinya terlebih dulu dan sepanjang proses mengenal itu, selitkan jenaka. 

Apabila kamu sudah banyak tahu akan dirinya, cuba pula untuk tanyakan soalan peribadi tapi hadkan pada satu soalan saja.

Keempat, kamu perlu bersabar dengan mereka kerana si pemalu mungkin ragu-ragu untuk mempercayai kamu sepenuhnya. Oleh itu, jika anda bertanyakan soalan peribadi, jangan rasakan dia akan memberitahu jawapan penuh. Jika dia diam, biarkan saja dan elakkan daripada bertanya kerana ini akan membuatkan dia berasa lebih malu dan takut. 

Mereka mungkin sedang memikirkan bagaimana ingin maklumkan pada kamu mengenai diri mereka. Sabar dan terus tunggu jawapan walaupun ia memakan masa.

Kelima pula, dengar secara berhemah dan jangan sesekali memotong percakapannya. Ia dianggap sebagai biadap dan tidak berhemah. Berikan jawapan yang positif kepada apa yang diceritakan. Elakkan daripada memberi jawapan yang tidak jujur kerana ini hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Keenam, berikan mereka rasa selesa berada bersama kamu. Elakkan daripada membuat lawak terlalu kerap di hadapan si pemalu. Banyakkan memberi pujian kerana si pemalu amat gemarkan mereka yang memberi perhatian pada mereka. Pujian juga boleh menjadikan mereka lebih suka untuk mendekati diri kamu pada masa hadapan.

Kesemua enam langkah ini adalah asas kepada kamu untuk memulakan komunikasi dan interaksi dengan mereka yang pemalu. Tapi jangan ingat mereka yang pemalu tidak tegas kerana kebiasaannya mereka adalah jenis yang begitu pentingkan diri dan tidak pernah memikirkan soal lain daripada kekurangan diri mereka sendiri.

Jangan terkejut pula apabila si pemalu sudah selesa dengan kamu, dia pula yang bercakap tidak henti hingga kamu tidak punya ruang untuk mencelah. 


Kenapa jadi pemalu?

Kalau difikirkan kembali, pelik juga ada orang yang menjadi begitu pemalu hingga sukar untuk diajak bersembang. Mengapa keadaan ini boleh berlaku? Itulah persoalan yang acap kali ditanya kepada teman jika ada antara kamu yang berdepan dengan mereka yang mempunyai karakter sebegini. 

Mengikut teori dan kajian umum, si pemalu bermula daripada anak kecil yang suka menyendiri dan lebih suka melakukan sesuatu di dalam biliknya sendiri. Perasaan malu adalah perasaan gelisah dialami seseorang terhadap pandangan orang lain atas dirinya.

Ada mengaitkan personaliti ini sebagai sesuatu yang hati-hati, curiga dan sebagainya, namun sebenarnya ia adalah masalah dalam diri yang dipanggil konflik rasa yakin.

Pada umumnya sejak lahir manusia memiliki sedikit perasaan malu. Namun apabila perasaan itu berubah menjadi semacam, rasa takut berlebihan maka hal itu akan menjadi suatu fobia atau takut mengalami tekanan daripada orang lain atau takut menghadapi masyarakat. 

Individu yang pemalu selalu menghindar daripada keramaian dan tidak dapat secara aktif bergaul dengan temannya lain. Sifat pemalu dapat menjadi masalah cukup serius sebab akan menghambat kehidupan anak, misalnya dalam pergaulan, pertumbuhan harga diri, belajar dan penyesuaian diri. 

Umumnya ciri mereka yang pemalu adalah terlalu sensitif, ragu-ragu, murung dan sukar bergaul. Jadi mereka perlu diberi bantuan.

Punca mereka menjadi pemalu adalah kerana unsur keturunan. Sejak lahir mereka dilihat agak sensitif dan kemungkinan hal itu terjadi kerana pembawaan ibu yang ketika sedang mengandung mengalami tekanan jiwa. Namun ini juga belum dapat menjadi suatu bukti kuat apakah kelak anak yang sensitif itu akan menjadi seorang pemalu.

Alasan kedua yang mengatakan sebab mereka menjadi pemalu adalah kerana zaman kanak-kanak mereka kurang gembira. Ada sebahagian mereka ini mengalami hal-hal kurang menyenangkan pada masa kanak-kanaknya. Misalnya orang tua sering berpindah-randah, bercerai, meninggal, dipaksa pindah sekolah atau dihina oleh teman dan sebagainya.

Semua pengalaman itu mengakibatkan terganggunya hubungan sosial mereka dengan lingkungan pembesaran, suka menghindar atau mundur dan tidak berani bergaul dengan orang tidak dikenal.

Mungkin juga pemalu ini disebabkan faktor ketiganya iaitu kurang bermasyarakat. Sifat pemalu akan terjadi apabila anak hidup dengan latar belakang di mana ia diabaikan oleh kedua-dua ibu bapanya atau dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang mengasingkan diri, terlalu dikekang sehingga mereka tidak dapat mengalami hubungan sosial normal dengan masyarakat.

Keempat pula punca mereka menjadi pemalu mungkin disebabkan perasaan rendah diri. Mungkin perasaan malu itu timbul kerana mereka pendek, bersikap kaku atau punya kebiasaan jelek, lalu berusaha untuk menutupinya dengan cara menyendiri atau menghindari pergaulan dengan orang lain. 

Kerana kurang rasa percaya diri dan beranggapan dirinya tidak sebanding dengan orang lain, ia tidak suka memperlihatkan diri di mana-mana majlis kemasyarakatan atau sosial.

Ada juga mengatakan punca mereka menjadi pemalu adalah kerana pandangan orang lain yang merasuk ke dalam dirinya sejak kecil. Mungkin orang dewasa sering mengatakan yang mereka pemalu, bahkan guru dan teman juga berpendapat sama, sehingga akhirnya ia benar-benar menjadi seorang pemalu.


Atasi rasa malu

Orang-orang dengan sifat pemalu secara naluri menyimpan kesedaran kalau diri mereka terlewat daripada orang lain. Sifat pemalu biasanya membuat seseorang kehilangan kesempatan, kurang mendapat kesenangan dan terpinggir daripada hubungan sosial.

Sifat pemalu dapat membawa banyak kerugian tapi bagi kamu yang memiliki sifat ini, tak perlu berkecil hati kerana pada dasarnya ada banyak cara untuk mengusir jauh-jauh sifat yang merugikan ini. Sebenarnya formula daripada rasa malu terdiri daripada ‘terlalu berpusat pada diri sendiri’ dicampur dengan rasa gugup.

Apa kata kita lakukan transformasi bagi membuang jauh sikap ini dengan tingkatkan rasa penghargaan kendiri. Iaitu dengan cara menerima diri tanpa syarat. Kita dapat menerima diri kita terutamanya keadaan fizikal sedia ada dengan reda dan kita patut bersyukur atas kejadian fizikal kita yang mengandungi hikmah yang nikmatnya tidak terhitung banyaknya. Dengan cara ini kita akan mula menyayangi, menerima dan menghormati diri kita.

Kedua, harga diri juga dapat ditingkatkan melalui cara penampilan diri kita iaitu cara kita berpakaian. Imej pakaian kamu menjadikan kamu begitu teruja dan akan mengikiskan rasa malu kerana penampilan berpakaian yang mengakibatkan kita rasa rendah diri.

Belajarlah cara berpakaian mengikut situasi tertentu agar kamu kelihatan menarik dan anggun. Dengan cara ini kamu tidak akan malu dengan penampilan diri yang baru.

Ketiga pula, jika kamu malu untuk berkomunikasi maka kamu hanya perlu belajar cara yang betul untuk meningkatkan kelancaran pertuturan dan mesej penyampaian kamu secara lisan dan bukan lisan. Bukan lisan adalah seperti nada suara, mimik muka, gerakan tangan, kaki, bahu dan badan kamu serta jarak sesuai.

Penyampaian mesej berkesan akan meningkatkan penampilan diri kamu. Mereka akan kagumi kamu dan seterusnya keyakinan baru ini meningkatkan rasa percaya diri yang dapat menghilangkan rasa malu.

Keempat pula, hentikan mengkritik diri kamu secara negatif sebaliknya kritikan perlu dibuat sebagai panduan untuk membina kredibiliti kamu. Sebagai contoh kamu mengkritik diri kamu sukar untuk mudah mesra, jadi kamu perlu bertanya pada suara hati kamu bagaimanakah caranya saya dapat meningkatkannya.

Apa saja bicara diri yang menidakkan kebolehan kamu maka kamu perlu bertanya dan terus bertanya agar kamu dapat meningkatkannya.

Kelima, jaga setiap kata-kata bicara negatif sama ada dari diri kamu atau pun bicara luaran yang menidakkan kebolehan kamu. Setiap kali berlaku penafian kebolehan kamu maka apa yang perlu dilakukan adalah berikan cabaran pada diri kamu ialah ucapkan terima kasih dan mulai perbaiki dan tingkatkan diri kamu pada mana-mana kelemahan yang ada. 

Cari cara-cara bagaimana kamu dapat meningkatkan diri kamu dan seterusnya laksanakan program tersebut.

Enam pula, iktiraf segala pencapaian kamu walau sekecil manapun. Ulangi ucapan kata-kata pujian dan syukur pada Allah atas pencapaian kejayaan kamu sendiri. Sebutkan selalu sehingga melekat di sanubari kamu. 

Tujuh, bicara diri positif dapat meningkatkan rasa percaya diri bagi mengikis rasa malu. Katakan pada diri kamu secara berulang-ulang apabila ada sesuatu perkara yang ingin kamu lakukan yang kamu pasti dan mesti melakukan.

Lapan, bergaul selalu dengan orang-orang berjaya bukan untuk dibuat perbandingan yang boleh menjadikan kamu semakin malu, tetapi belajar dan perhatikan personaliti orang berjaya sebagai panduan kepada kamu membina rasa hebat diri.

Kesembilan pula untuk mengatasi rasa malu adalah dengan melakukan raptai mental agar kamu sentiasa dapat ‘melihat’ diri kamu yang hebat dan dikagumi oleh orang sekeliling. Buat latihan berulang kali pada setiap perkara yang kamu ingin lakukan.

Lihat dulu peristiwa tersebut sebagaimana yang kamu inginkan agar kamu dapat melakukan yang terbaik apabila situasi itu kamu lakukan nanti.

Langkah ke sepuluh, berikan cabaran pada diri kamu untuk melakukan perkara yang kamu takut kerana inilah cara terbaik untuk kamu atasi rasa malu. Pengalaman hebat yang kamu lalui akan dapat membina rasa percaya diri bagi atasi rasa malu.

Sebelas pula, letak peringatan dalam diri yang setiap orang adalah hebat dan unik. Sentiasa rasakan kamu orang penting dan sesiapa saja orang yang kamu temui adalah penting. Jadi dengan cara ini kamu tidak akan rasa malu kerana harga diri kamu sudah ditingkatkan dari masa ke semasa.

Akhir sekali, berdoalah pada Allah untuk hindari rasa malu dalam diri kamu. Insya-Allah kamu dapat menyelesaikannya.

No comments:

Post a Comment