Tuesday, April 29, 2014

Sendi cepat rosak jika gemuk

Pernah rasa sakit secara tiba-tiba di lutut hingga sukar berjalan? Selepas diurut beberapa kali dengan minyak panas, barulah kaki berupaya melangkah perlahan-lahan? Bersedialah, kerana itu antara beberapa simptom masalah osteoartritis lutut yang dialami kebanyakan golongan muda hari ini.
Meskipun usia adalah faktor utama bagi osteoartritis lutut, golongan muda kini turut berisiko disebabkan keturunan, kecederaan ketika bersukan, jangkitan atau berat badan berlebihan.
Osteoartritis (OA) lazimnya radang sendi, berlaku apabila kusyen semula jadi antara sendi iaitu tulang rawan mula menjadi haus. 

Apabila ini berlaku, tulang sendi itu akan saling bergesel lebih rapat dan kurang serapan hentakan yang sebelum ini memberi perlindungan kepada tulang rawan itu.
Foto
RADANG sendi.

Geselan ini akhirnya menyebabkan kesakitan, bengkak, kekakuan dan menurunnya tahap keupayaan untuk bergerak.

Menurut Perunding Ortopedik, Artroplasti dan Kecederaan Sukan di Pusat Perubatan Tropicana, Dr Soong Kean Leong, OA adalah kumpulan artritis paling kerap ditemui yang biasanya dialami individu berusia 45 tahun ke atas.

“Tapi dengan perubahan gaya hidup zaman ini, makin ramai golongan muda seawal 20-an mula mengalaminya hingga ada yang terpaksa mendapatkan rawatan suntikan dan memerlukan pembedahan.

“Wanita juga didapati lebih berisiko mengalami osteoartritis lutut ini berbanding lelaki,” katanya.

Penyebab utama OA ialah umur dan hampir setiap individu akan mengalami beberapa tahap osteoartritis. Bagaimanapun, beberapa faktor lain turut dikenal pasti berupaya meningkatkan risiko artritis yang ketara pada usia lebih awal.

“Berat badan berlebihan akan memberikan bebanan kepada sendi terutamanya lutut. Setiap kilogram berat yang bertambah akan memberikan tiga ke empat kali tekanan pada lutut.

“Faktor keturunan atau mutasi genetik pula membuatkan seseorang lebih cenderung untuk mengalami osteoartritis lutut disebabkan tahap abnormal yang diwarisi dalam bentuk tulang yang mengelilingi sendi lutut.

“Selain itu, kecederaan berulang dan tekanan kerap seperti mencangkung atau mengangkat barangan berat juga akan menyebabkan berlakunya osteoartritis lutut ini.

“Tidak ketinggalan atlet kerana pendedahan berterusan kepada tekanan lutut terutama sukan yang banyak membabitkan penggunaan kaki,” katanya.

Tambah Dr Soong, rawatan tanpa ubatan biasanya dilakukan terlebih dulu kepada pesakit bagi mengurangkan kesakitan dan simptom sedia ada. 

“Rawatan dimulakan dengan perubahan gaya hidup terutama mereka yang mengalami masalah berat badan, latihan fisioterapi dan rawatan menyelaraskan semula bahagian yang sakit.

“Jika rawatan ini tidak berupaya membantu pesakit, barulah disyorkan penggunaan ubatan tahan sakit seperti COX-2, suntikan dan akhir sekali pembedahan,” jelasnya.


Suntikan efektif

Bagaimanapun ada segelintir pesakit yang tidak mahu bergantung kepada ubat tahan sakit dan memilih suntikan atas faktor segera serta efektif.

Wujud dua jenis suntikan, steroid dan gel yang bertindak mengurangkan kesakitan dan bengkak pada lutut.

“Suntikan steroid atau kortikosteroid ini membantu mengurangkan kesakitan dan bengkak OA dengan cairan yang dihasilkan di lutut. Suntikan ini juga mengurangkan keradangan pada sendi.

“Ia bertindak dengan segera, biasanya antara 24 hingga 48 jam. Secara purata, kelegaan daripada kesakitan yang ditawarkan menerusi suntikan ini bertahan antara enam hingga 12 minggu.

“Namun ia tidak boleh digunakan secara kerap, biasanya dua hingga tiga kali setahun.

“Suntikan gel atau dikenali sebagai suntikan asid hyaluronic ini turut bertindak seperti kortikosteroid, cuma kosnya lebih tinggi daripada rawatan lain.

“Kebanyakan cecair pada lutut yang sihat mengandungi asid hyaluronic tapi apabila berlakunya OA, asid hyaluronic itu makin berkurangan. Suntikan ini dilakukan bagi meningkatkan semula kandungan cecair itu.

“Suntikan ini hanya dilakukan apabila benar-benar perlu dan tiada perubahan positif pada simptom,” katanya.

Kesan sampingan pasti ada dan Dr Soong tidak menafikan pesakit akan mengalami beberapa rasa tidak selesa selepas disuntik.

“Ia seperti kita masukkan sesuatu pada lutut. Rasa tidak selesa dan ada sesetengahnya mengalami kesan bengkak kecil pada permulaannya. Tapi selepas beberapa hari, kesan itu hilang dan tidak lagi timbul rasa sakit ketika melakukan pergerakan.

“Apapun semuanya bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri,” tegasnya.

Friday, April 25, 2014

Belajar dengan muzik

Setiap orang mempunyai cara yang berbeza untuk mengulang kaji pelajaran. Ada yang memilih untuk berada di dalam keadaan sunyi sepi, duduk bersendiri di dalam bilik atau perpustakaan. Itu adalah konsep mengulang kaji pelajaran normal dan banyak diamalkan pelajar.
Tapi ada juga yang memilih untuk ‘study’ di kafe atau pusat membeli-belah. Khabarnya kalau terlalu sunyi ia akan melayangkan fikiran untuk memikirkan perkara lain dan apa yang dibaca langsung tidak menyerap dalam otak. Itu cara lain pula. 
Bagaimanapun Gen Y percaya semua kaedah mengulang kaji pelajaran itu mengikut kesesuaian dan keselesaan kepada setiap individu. Kalau cara yang digunakan tidak berkesan, sudah tentu seseorang itu akan mengubah gaya belajarnya. 

Namun tidak terkecuali mereka yang gemar mengulang kaji pelajaran sambil mendengar muzik. Kebanyakan mereka memilih untuk berada di dalam bilik dan memasang radio atau alat pemain muzik secara perlahan di belakangnya. Kadang-kadang mereka memilih membuka radio untuk menjadi peneman ketika belajar.

Tapi persoalannya, bagi mereka yang tidak pernah mencuba kaedah ini, adakah cara ini sesuai dan berkesan?

Menurut kajian yang dijalankan oleh pakar psikologi klinikal di Amerika Syarikat, Dr Emma Gray, pelajar yang mendengar muzik ketika belajar adalah pelajar yang cemerlang di dalam bidang akademik. Mereka jenis yang ‘cepat tangkap’, bijak dan mudah memahami segala teori yang diterangkan dalam sesebuah bahan bacaan.

Namun ia bukan sekadar muzik kerana kajian juga mendapati adalah penting memilih lagu yang sesuai dengan subjek yang dipelajari. Tidak semua mata pelajaran anda boleh memilih pemuzik kegemaran untuk dijadikan teman ketika mengulang kaji pelajaran.

Jika anda sedang mengulang kaji pelajaran matematik, muzik bergenre klasik perlu ada di dalam senarai lagu anda. Itu adalah fakta yang sudah direkodkan berdasarkan kajian yang dilakukan. Kajian menemukan, untuk merangsang daya ingatan dan meningkat tumpuan pembelajaran, mendengar muzik klasik ketika mengulang kaji mampu mendapatkan purata markah lebih 12 peratus di dalam peperiksaan matematik.

Muzik adalah susunan bunyi yang merehatkan di mana minda menjadi lebih tenang, imaginasi mampu diproses dengan baik dan tumpuan boleh ditingkatkan. 

Penulis sendiri mengakui yang mendengar muzik berentak perlahan, romantik dengan geselan muzik akustik mampu membantu untuk kita memahami sesuatu yang dibaca dan sekali gus membuatkannya terus melekat di dalam otak. 

Bagaimanapun dalam kajian sama ada meletakkan beberapa langkah yang harus dilakukan oleh mereka yang belajar dengan mendengar muzik untuk memastikan yang ia lebih berkesan dan praktikal. 

Antaranya termasuklah mengelakkan diri daripada mengulang kaji pelajaran dengan mendengar muzik sehari sebelum peperiksaan. Ini kerana sehari sebelum peperiksaan adalah masa terbaik untuk kita hanya melihat kembali kesemua bahagian yang sudah dibaca dan difahami untuk memastikan yang setiap satu fakta itu terus melekat dalam otak.

Keduanya dengan mencuba dengar muzik tanpa lirik kerana lirik itu boleh mengganggu terutamanya lagu kegemaran kita. Sibuk otak yang memproses pelajaran yang dibaca, sibuk pula bibir kita menyanyi perlahan lirik lagu tersebut. Itu tidak berkesan. 

Ketiga pula, cuba mendengar muzik perlahan atau sederhana perlahan kerana muzik yang kuat hanya akan mengganggu otak untuk memproses.

Elakkan mendengar muzik yang mempunyai pukulan dram yang kuat seperti muzik rock atau muzik keras kerana ia mempunyai potensi mengkhayalkan fikiran untuk memikirkan soal lain ataupun menyanyi sama.

Kelima pula dengan mengelakkan diri mendengar muzik baru kerana akan menyebabkan anda lebih memberi tumpuan mendengar lagu baru yang tidak biasa didengar selain perlahankan muzik latar belakang untuk memastikan tumpuan otak masih berada pada buku yang dibaca.

Bagaimanapun, setiap langkah dan resipi ini hanya berdasarkan kajian yang dilakukan dan tidak semestinya relevan untuk diguna pakai oleh semua individu. Semuanya terpulang pada anda. Kadang-kadang proses pembelajaran akan menjadi lebih ceria dan tidak membosankan. 

Di samping mengulang kaji pelajaran tanpa tekanan, pada masa yang sama kita masih boleh berhibur.

Thursday, April 24, 2014

Masih ada jalan

Kalau kita dengar kawan putus cinta, ekspresi kebiasaannya adalah diam dan berfikir baik, buruk dan sebab. Itu jalan terbaik untuk kita lakukan jika mereka luahkan perasaan. Namun pernahkah kita fikir mengapa perasaan itu boleh ada sedangkan sebelumnya sudah bermati-matian berjanji kononnya untuk hidup hingga akhir hayat.
Alasan selalunya khusus untuk pasangan muda remaja adalah sudah tiada keserasian. Putus atau cerai adalah jalan terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Betul ke?
Banyak perlu kita ambil kira dalam soal keserasian antara dua pasangan. Latar belakang pendidikan, pekerjaan, taraf kehidupan, kepercayaan, dan personaliti adalah antara perkara yang perlu kita fikirkan dalam mencari pasangan. Ada yang kata, biasanya pasangan itu berlawanan dan memang bagus begitu. 

Kalau si lelaki pendiam, si teman wanita banyak cakap. Kalau si isteri penakut, si suami pula berani orangnya. Lebih kurang macam itulah. Bagaimanapun, itu hanya pandangan yang akhirnya melekat menjadi stigma sedangkan ia bukanlah satu fakta sahih.

Percayalah, persamaan itu penting. Perbezaan yang wujud antara kamu dan pasangan haruslah perbezaan yang saling melengkapkan kekuatan hubungan. Contohnya, kamu seorang yang bijak matematik tetapi tidak pada teman wanita.
Tetapi si dia bijak dalam menguruskan hal pengurusan dan itulah yang melengkapkan kamu berdua sekiranya merancang untuk membuka sebuah syarikat atau perniagaan bersama. 

Satu perbezaan yang berkualiti dalam kata lain. Jujurnya kalau melihat daripada kebarangkalian perselisihan faham yang acap kali berlaku dalam sesebuah hubungan itu adalah kerana terlalu banyak perbezaan dan bukannya persamaan. 

Pada sesiapa yang rasakan sedang bercinta, tolonglah beri perhatian. Perhatian bukan untuk kerja atau teman, sebaliknya pada kekasih hati kamu. Apalah ertinya cinta dan bercinta tanpa adanya perhatian. Malah hubungan cinta tidak bermakna kalau kamu jiwang setiap masa. 

Tidak salah jika kamu ingin meluahkan betapa kasih dan cinta pada si dia tapi percayalah, jika kamu tiada topik lain ingin dibincangkan selain soal hati dan perasaan yang masing-masing sudah pun tahu, lama-kelamaan kamu akan rasa bosan.

Jika kamu masih tidak bosan, mungkin si dia yang tak tahan. Psikologi manusia, apabila didedahkan dengan sesuatu berulang, lama-lama jadi muak dan jelak. 

Paling hangat direkodkan menjadi punca utama kebanyakan pasangan remaja adalah kerana ego. Kalau sudah namanya manusia, tidak kiralah lelaki atau perempuan, ego itu pasti ada. Apa membezakannya adalah sama ada ego itu tinggi atau rendah. 

Kata orang, ego lelaki lagi tinggi daripada perempuan. Tapi ada juga dalam percintaan di mana orang perempuan lebih ego daripada lelaki. Walau apa pun kebenarannya atau keadaan yang berlaku, ego itu biarlah bertempat. Mempunyai ego bukan satu kesalahan kerana ia memang sudah semula jadi. Apa yang salah adalah mempunyai rasa ‘macam bagus’ dalam diri yang menyebabkan ego itu tinggi.

Orang yang rasa ‘macam bagus’ ini biasanya tidak mahu mengaku kelemahan diri. Jadi, kamu pun mungkin sudah tahu orang macam ini tidak makan nasihat. 

Kurang matang atau bersikap keanak-anakan juga antara alasan pasangan remaja sanggup melupakan janji cinta atau lebih kronik sanggup bercerai-berai. Bercinta biarlah dengan orang yang matang dan paling penting, matang dalam percintaan. 

Kalau fikirannya pun masih kebudak-budakan lagi, apalah yang kamu mahu harapkan darinya? Carilah matang, ada matlamat dan cita-cita. 

Hubungan percintaan bukan perkara main-main. Fizikal dan mental perlu diambil kira. Soal inginkan kesempurnaan dalam pasangan hingga akhirnya mengundang rasa tekanan juga antara punca selain sensitif tak bertempat hingga membuatkan pasangan muak dan bosan. 

Merajuk, menjauhkan diri, marah adalah antara tindakan mengikut hati yang mungkin terjadi jika kamu mengikut kata hati dengan membuta-tuli. Kerana sikap kamu begitu membuatkan si dia beralih mencari kebahagiaan lain. Jangan sensitif sangat kerana semua benda dan perkara boleh diselesaikan.


Bina keserasian kembali

Serasi atau keserasian adalah perkataan yang mudah disebut dan sedap didengar. Namun untuk membinanya, ia tidak semudah itu kerana ia membabitkan dua hati dan berbeza perasaan dalam mencari satu titik persamaan yang boleh membuatkan mereka membuat keputusan sama.

Apabila sesebuah hubungan itu bermula namun di pertengahan pelayaran itu mula terbit rasa tidak serasi, tiada persefahaman dan kurang sayang, mula ada antara kamu atau kekasih hati yang melatah dan cuba berpatah balik. Mula mengundur diri dalam percintaan atau mula memutuskan perhubungan walau sudah lama bercinta. 

Sayangkan perhubungan indah yang tercipta atas dasar suka sama suka terputus begitu saja? Bagaimana, mula rasa tidak serasi sedangkan selama ini kamu dan dia serasi bersama. Serasi itu apabila kamu dan dia saling menerima persamaan atau perbezaan antara dia dan kamu. 

Mencipta keserasian memang bukan mudah tapi apabila kita belajar menerima kekurangan dan perbezaan dalam minat serta pendapat pasangan kita itu adalah satu keserasian yang hebat dalam perhubungan. Ia hanya memerlukan kita membuka jiwa dan hati seluasnya untuk melihat setiap inci pasangan kita. 

Jangan sekali jatuh hukum atau membandingkan dengan orang lain kerana setiap manusia ini ada baik buruk dan kelebihan kekurangan masing-masing. 

Pasti ada perbezaan pendapat dan minat namun untuk mencapai keserasian kita perlu menerima dan memberi. Belajarlah memberi kefahaman buat pasangan dan belajarlah menerima kekurangan atau perbezaan antara kamu dan dia.

Jika semua minat kamu dan dia sama itu bukan serasi namanya tapi persamaan. Banyak persamaan bersama pun tak semestinya pasangan itu serasi dan kadangkala ia akan jadi hambar kerana tiada kepelbagaian dalam cinta dan hubungan itu.

Ingatlah mencari sesuatu kebahagiaan itu perlu dan mencipta kebahagiaan itu juga mesti. 


Alternatif terbaik

Masalah ini pasti pernah berlaku dalam setiap kehidupan remaja terutama bagi mereka yang baru saja bercinta buat kali pertama. Kekok, tidak biasa dan sebagainya menyebabkan kamu tidak dapat mendalami perasaan dan jiwa pasangan.

Sebenarnya hubungan ini boleh diselamatkan kalau kena dengan cara. Gen Y ingin berkongsi tip bagaimana kamu boleh mengatasi masalah ini.

1) Buat sesuatu menarik bersama - Jika kamu lakukan sesuatu yang mencabar, menarik bahkan aktiviti yang menakutkan sebenarnya boleh memberikan ruang untuk kamu mengenalinya dengan lebih dekat. Kebanyakan aktiviti yang biasa dilakukan seperti menonton wayang, makan di restoran kadangkala tidak dapat memberikan kamu banyak maklumat mengenai pasangan.

Lakukan aktiviti yang memberikan pengalaman baru. Kemungkinan untuk kamu menjadi serasi adalah lebih tinggi.


2) Berbincang sesuatu diminati - Si dia mungkin sukakan sesuatu yang mencabar manakala kamu adalah sebaliknya. Usah risau kerana pokok pangkalnya kamu perlu bercakap mengenai topik yang sesuai dibincangkan bersama. Luahkan saja apa saja minat kamu dan mungkin si dia berkongsi dua atau tiga perkara yang sama. 


3) Tenangkan diri dan fikiran - Memang betul, kebanyakan mereka yang tidak serasi sebenarnya berasa kekok dengan pasangan. Perasaan malu itu sebenarnya menghalang kamu dari mengenali si dia dengan lebih dekat. Cuba ubah diri kamu dari kekok kepada seorang yang lebih terbuka. 

Mungkin cinta pertama membuatkan kamu rasa segan silu tapi cuba buang perasaan itu jauh-jauh. Sebelum berjumpa, tenangkan diri dan yakin yang kamu bukan seorang yang pasif.


4) Ingat keserasian bukan segala-galanya - Tidak semua pasangan serasi mempunyai kesudahan yang baik. Kalau nak diikutkan, keserasian itu tidaklah begitu penting jika kamu dan si dia ikhlas dalam bercinta. Mungkin keserasian itu boleh dipupuk cuma memakan masa. 

Oleh itu, kamu perlu bersabar dan dekati dia dengan lebih dekat. Selami jiwanya dan banyakkan berkomunikasi agar kamu boleh cipta suatu keadaan yang intim bersamanya.


5) Jadikan ia kesudahan yang baik - Jika kamu tidak yakin yang kamu boleh bercinta dengan pasangan dan mungkin selama-lamanya pun tidak boleh, maka apa yang perlu dibuat adalah mengakhiri hubungan. Tapi, ia tidak semestinya kamu dan si dia tidak berjumpa sesudah itu. 

Kalau boleh, jadikan hubungan itu sekadar kawan tanpa ada istilah ‘teman rapat tapi mesra’. Selain itu, jika dia bertanyakan jika kamu mahu lagi mengadakan temu janji, katakan tidak padanya dan berterima kasih kerana sudi keluar dengan kamu.

Wednesday, April 23, 2014

Bikin hati senang!

Tidak ada seorang pun terkecuali daripada ditimpa masalah. Tekanan dan gangguan minda pasti buatkan hidup sengsara. SHUHADA MANSOR kongsi cara mudah untuk buatkan hati senang dan gembira.
Jangan malu-malu lakukan sesuatu di luar ruang selesa anda. Berfikiran terbuka boleh mendatangkan perasaan senang dalam hati. Untuk melupakan seketika masalah bersarang di kepala, terdapat banyak cara yang anda boleh lakukan untuk mengubah perasaan ini. Berikut adalah beberapa cadangan untuk perubahan kecil yang boleh dilakukan dengan mudah.
Lebihkan senyum

Ada sebab mengapa orang sentiasa bercakap mengenai kepura-puraan. Rasa terganggu tidak akan hilang jika anda berikan senyuman secara terpaksa. Lakukan dengan ikhlas kerana apabila kita tersenyum, otot di muka menghantar isyarat kepada otak yang membantu mewujudkan kesan biologi iaitu ‘mood’ yang lebih baik. Hadapi keadaan yang berlaku dengan senyuman di bibir dan cuba untuk bertenang, jangan ‘moody’ dan asyik berkerut dahi, nescaya anda akan kelihatan cepat tua.

Rancang sesuatu menyeronokkan

Mungkin dalam sebulan, kita akan menghadapi satu fasa tertekan dengan hebat. Apabila situasi ini mendatang, cuba buat jadual dan senaraikan tempat menarik yang ingin anda kunjungi. Kata orang, tidak salah berangan-angan ke sesuatu tempat yang kita idamkan kerana percayalah ‘mood’ akan berubah.


Luahkan perasaan

Ada sebilangan orang meluahkan isi hati di dalam diari, ada yang meluahkannya melalui lirik lagu dan ada juga bercerita kepada teman dan keluarga. Kita tahu, pelbagai cara untuk anda mengekspresikan apa yang terbuku di hati supaya cepat rasa lega. Gunalah apa cara yang mampu menenangkan hati anda supaya rasa kurang tenteram itu tidak berlarutan.


Bersikap baik dengan orang 

Selain melemparkan senyuman, tidak salah untuk membuat sesuatu yang lain. Apa kata, jika anda punya rezeki lebih, sedekah dan berikan kepada yang memerlukan. Mungkin dengan cara ini hidup anda yang kelam akan beransur jernih. Dapat melihat reaksi mereka dan ucapan terima kasih sudah memadai untuk menghilangkan resah dalam kepala.


Riadah

Lakukan riadah dengan menghabiskan masa di tempat yang menarik, penuh kehijauan dan segar. Jika tidak mahu bersiar-siar, penuhkan ruang kosong dengan melakukan hobi dan aktiviti yang anda suka. Kajian menunjukkan bahawa beriadah di luar rumah walaupun hanya untuk beberapa minit boleh membantu meningkatkan ‘mood’.


Ambil makanan sihat 

Pemakanan juga mempengaruhi ‘mood’ anda. Hasil kajian pemakanan mendapati, makanan seperti buah beri, coklat, avokado, teh hijau dan pisang mampu mengubah mood, malah mengurangkan sikap kemurungan anda.


Hubungi rakan atau keluarga

Apabila anda dalam keadaan kurang baik, cuba hubungi teman rapat ataupun keluarga. Luangkan masa bersama hanya dengan minum teh di restoran mamak atau kafe pilihan pastinya membantu anda lupakan segala perkara yang mengusutkan minda. Selain itu, ia juga baik untuk kesihatan anda. Cuba lakukan!


Bersolat dan berdoa 

Bagi yang beragama Islam, cara inilah jalan terbaik untuk kita meminta petunjuk kepada-Nya kerana dalam apa keadaan sekali pun, Dia Maha Mengetahui dan Maha Mendengar. Sujud pada-Nya!

Remaja dan jenama

SHUHADA MANSOR percaya ramai bersetuju jika dikatakan barangan berjenama mempengaruhi tanggapan sebagai salah satu faktor pelengkap gaya. Bagi mereka yang gilakan jenama, menyarungkan produk pilihan mampu tingkatkan keyakinan dalam penampilan seharian. Anda pula bagaimana?
Pengaruh jenama memainkan peranan penting dalam mencorakkan perbelanjaan harian, apatah lagi remaja yang mudah terpengaruh dengan gaya terkini. Gen Y dilabel lebih mudah terpengaruh dengan penggunaan sesuatu jenama di mana apabila sesuatu produk terbaru keluaran jenama popular berada di pasaran, golongan muda yang akan berusaha mendapatkannya terlebih dulu.
Keinginan ini ada kalanya tidak dapat dibendung, sekali gus menjadi konflik terutama bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan sendiri. Tanpa mengira bajet yang ada, kita akan berusaha membelinya dan apabila ia menjadi ikutan ramai, maka terbentuklah budaya mengagung-agungkan jenama terbabit.
TAK MALU DIGAYAKAN
Sesiapa saja pasti tidak lari daripada suka membeli barang yang kita gemari. Namun, berlainan dengan hobi suka membeli-belah, kelompok ini akan membeli apa saja tanpa melihat duit poket terlebih dulu. Apa yang penting ia dapat memberi kepuasan kepada diri.

Bagus sekiranya anda tergolong dalam kelompok perancang. Bermaksud, kita merancang terlebih dulu keinginan produk untuk bulan depan dan mula menabung untuk mendapatkannya. Namun, jangan terkejut jika ada kelompok sebaliknya. Segelintir anak muda cenderung membeli barang berkualiti walaupun menelan belanja ratusan atau ribuan ringgit.

Tanggapan bahawa pakaian digayakan akan dipandang orang sekeliling mendorong seseorang untuk terus berbelanja besar walaupun produk hampir sama boleh didapati dengan harga lebih murah. Sebagai contoh, logo jenama di baju atau seluar melambangkan cara hidup seseorang dan cita rasanya dalam bergaya. Justeru, hal ini memaksa mereka berterusan membeli produk berjenama kononnya, ‘barulah tak malu nak pakai’!

Eksekutif muda yang mahu dikenali sebagai Azmir, 28, berkata, dengan membeli barangan berjenama dapat membeli kepuasan kepadanya, apatah lagi apabila menyarungkannya di badan.

“Kepuasan membeli itu amat dirasai apabila saya mula memakai pakaian berjenama mahal. Jika kebanyakan rakan bertukar telefon bimbit apabila dapat gaji, saya pula memperuntukkan wang itu untuk membeli barangan berjenama lain seperti kasut dan topi iaitu lebih kepada aksesori.

“Gaji pertama saya diperuntukkan untuk membeli sepasang kasut berjenama yang menyamai harga bagi ansuran bulanan sebuah kereta buatan luar negara. Harga itu diperoleh selepas mendapat potongan diskaun dan hampir separuh daripada gaji saya digunakan hanya untuk membeli kasut,” katanya.

Bagi Azmir, prinsip biar papa asal bergaya sememangnya menjadi pegangannya untuk mendapatkan apa yang dimahukan.

Katanya, biarlah orang berkata apa saja, namun yang penting, hanya dia yang merasai kepuasan itu bukannya orang lain.


BUKAN HANYA BAJU DAN SELUAR

Rangkaian barangan berjenama pilihan remaja zaman sekarang bukan hanya tergolong dalam kelompok pakaian, kasut, seluar dan aksesori semata-mata tetapi dengan kecanggihan teknologi membuatkan ramai yang ingin bergaya untuk kelihatan lebih ‘up-to-date’.

Telefon pintar, laptop, tab, kamera dan sebagainya antara produk yang mendapat permintaan tinggi terutama daripada kalangan anak muda. Sebagai contoh, jika dulu kamera klip telefon menjadi trend, namun kini ia digantikan dengan monopod iaitu sejenis alat untuk ‘memegang’ kamera dengan jarak lebih tinggi.

Lambakan gajet ini juga mempunyai jenama pilihan tersendiri walaupun ada di antaranya dijual tanpa jenama tetapi remaja lebih memilih untuk membeli produk yang sudah mencipta nama.

Antara jenama gajet pilihan anak muda membabitkan telefon pintar termasuk Apple, Samsung dan HTC walaupun terdapat pelbagai lagi jenama yang mengeluarkan produk dengan aplikasi hampir sama. Harga bagi setiap satu barangan berjenama ini bukan calang-calang melainkan anda mempunyai pendapatan stabil, namun tidak mustahil boleh mendapatkannya jika kita menabung.

Masalahnya di sini, gila jenama ibarat penyakit yang sudah menular dalam kalangan remaja sama ada yang baru mula bekerja ataupun masih dalam peringkat pengajian.

Bagi pelajar institusi pengajian tinggi, Nur Izara Murni Mohamad, 22, dia pernah dimarahi rakan serumah kerana terlalu berjimat demi membeli beg tangan dan cermin mata hitam berjenama hinggakan dia jatuh sakit akibat kekurangan zat makanan.

“Sebagai pelajar, saya dapat wang pinjaman, jadi saya gunakan untuk beli produk yang saya suka. Apabila wang belanja harian tidak cukup, saya terpaksa catu makanan untuk tunggu belanja bulan seterusnya pemberian ibu bapa.

“Akibat tindakan drastik untuk ikat perut itu, berat badan juga susut tapi saya tidak kisah asalkan dapat apa yang dimahukan. Memang ada rakan yang memperli kerana terlalu mementingkan gaya sehinggakan sanggup berlapar. Ada juga yang secara berseloroh suruh saya gadai semua barangan itu sekiranya tiada wang, namun saya hanya balas dengan senyuman. Saya tidak pernah terfikir untuk jual balik barangan kesukaan saya,” katanya.


DULU LAIN SEKARANG LAIN

Lain kisahnya bagi pekerja swasta, Mohd Izudin Karim, 26, yang mengakui penampilannya dulu bukanlah seperti hari ini. Jika dulu dia seorang yang ringkas dan tidak pernah ambil kisah perihal produk berjenama, namun kini semuanya berbeza.

“Penampilan saya sebelum ini lebih ringkas berbanding sekarang. Jika dulu, apa saja barangan yang cantik tetapi murah akan menjadi pilihan saya. Maklumlah, saya berasal dari kampung, jadi dari segi pakaian agak kolot sedikit.

“Ketika masih awal remaja, keluargalah yang menanggung segala perbelanjaan. Wang belanja diberikan juga tak banyak, keinginan untuk memiliki barangan berjenama juga tidak ada pada masa itu. Tapi, selera mula berubah apabila bergaul dengan rakan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kehidupan semasa melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

“Melihatkan ada segelintir rakan yang sanggup berbelanja lebih membeli produk berjenama pilihan mereka membuatkan saya terpengaruh. Pada mulanya, saya cuba menolak walaupun sebenarnya mempunyai keinginan tetapi apabila memikirkan kedudukan sekarang lebih stabil, saya cuba membeli dan akhirnya berlarutan sampai sekarang,” katanya.

Katanya, memang benar kita memikirkan kualiti jika bercakap mengenai produk berjenama tetapi jika ia menjadi satu obsesi, bukanlah tabiat yang sihat. Walau sebanyak mana pun pendapatan anda, perlu diseimbangkan, apatah lagi membabitkan hobi membeli-belah. Jika tidak dikawal, pasti ada risikonya.

Tuesday, April 22, 2014

Kepala batu

Jika dilihat pada perspektif kawan dan zaman moden, itulah realiti kebanyakan anak muda hari ini. Nak putus kawan macam terlalu kejam tetapi apa kata ikuti beberapa alternatif yang dikongsikan MURSHID EUNOS ini mana tahu ia boleh membantu.
Sabar adalah penyelesaian dalam kebanyakan kes membabitkan isu keras kepala. Sama ada anak, ibu bapa, adik-beradik, kekasih hati hingga ke sahabat baik sekalipun, tiada cara lain selain daripada bersabar untuk menghadapi mereka dan tidak melarat hingga terputus hubungan.
Persoalannya, sampai bila harus kita bersabar?

Berusaha berbicara jujur kepada individu keras kepala mengenai perangai dan sikapnya mungkin membawa keadaan lebih parah kerana kebiasaannya individu seperti ini adalah mereka yang mudah melenting, tidak boleh ditegur, selalu menyifatkan kebenaran berpihak padanya dan ego.

Mana mungkin orang jenis ini mengaku salah, jauh sekali ingin memohon maaf. Justeru, jalan terbaik untuk kita berdepan dengannya adalah berdiam diri dan jangan melawan kata-katanya. Lambat laun dia akan perasan, namun mustahil untuknya meminta maaf.

Nasihat kepada mereka yang acap kali berdepan manusia jenis begini adalah jangan lawan dengan hal sama, cari waktu yang tepat untuk berkomunikasi secara efektif, mengalah dan memahami serta tunjukkan kasih sayang lebih kepadanya.

Jika kita melihat dari sudut agama sendiri pun, Allah membenci hamba-Nya yang keras kepala. Namun hakikatnya, mereka yang memiliki sikap sebegitu jarang sekali sedar dan ada usaha untuk berubah. Justeru, bagaimana cara untuk mereka berubah atau apa caranya untuk seseorang itu mengubah sikap buruknya itu. Apa yang penting bagaimana untuk kita berdepan dengan mereka yang bersikap sebegini.

Oleh itu, Gen Y ingin berkongsi beberapa cara terbaik dan berkesan untuk kita menghadapi individu seperti ini, namun dengan cara halus yang langsung tidak menjejaskan persahabatan.


1. Cermin diri sendiri - Kamu pasti sudah puas menasihati rakan kamu yang keras kepala tapi tidak juga berhasil untuk mengubah sikapnya. Perlu diingat, mereka tidak akan mengubah sikap mereka hanya kerana kamu menyuruhnya berubah, sebaliknya sebagai kawan yang baik dan memahami, kita yang harus mencari jalan berdepan dengan sikapnya itu.

Apa yang kamu perlu lakukan adalah ambil masa untuk renungkan diri dan sikap kamu sendiri. Mungkin rakan kamu bersifat negatif seperti itu kerana sikap kamu yang tidak disenangi. Jika kamu mula berubah ke arah kebaikan, sudah tentu si dia juga akan tersentuh, sekali gus mengubah sikap.

Misalnya kamu menasihati rakan untuk berhenti merokok tapi kamu sendiri merokok. Disebabkan itulah rakan kamu kadangkala keras kepala dan tidak mahu menuruti nasihat kerana kamu sendiri berada di sudut yang negatif.


2. Sabar - Jika rakan baik kamu bersifat keras kepala, kamu perlu bijak tangani emosi dan bersikap lebih sabar dalam berdepan masalah atau sebarang kemungkinan. Contohnya, rakan kamu adalah seorang yang memang tidak ‘makan’ nasihat, maka kamu perlu sabar dalam menasihatinya.

Fikirkan yang dia mungkin akan berubah suatu hari nanti jika kamu terus menasihati dan mungkin tidak akan berubah langsung jika kamu tidak memberikan perhatian kepadanya. Kata orang, sabar itu sentiasa membuahkan hasil kerana sikap kamu yang positif membantu rakan pasti akan dibalas baik kelak.


3. Bijak mengatur rancangan - Pasti kamu ingin rakan yang degil berubah ke arah lebih baik, namun tidak semua rancangan kamu menjadi untuk melihatnya berubah. Terlalu banyak rintangan yang menjadi penghalang kepadanya untuk berubah.

Oleh itu, kamu perlu mahir mengawal situasi. Apa yang perlu dilakukan ialah menyelidik serta mendekati rakan kamu secara sendirian. Kenal pasti apa dilema dihadapinya yang menyebabkan dia menjadi sedemikian. Pasti ada perkara buruk yang berlaku padanya dan itu adalah tugas kamu sebagai rakan karibnya untuk menasihati serta menyelesaikan masalah.


4. Beri kritikan membina - Kamu mungkin pernah mengalami situasi di mana rakan kamu sangat degil dan tidak mahu belajar ataupun melakukan perkara yang berfaedah. Kamu perlu bersikap lebih lembut dalam situasi ini dan cuba berikan kritikan padanya yang bermaksud tersirat.

Ini boleh menyebabkan rakan kamu rasa berfikir mengenai apa yang dikatakan. Selain itu, kamu boleh menyelesaikan masalah rakan anda yang keras kepala dengan memberikan nasihat yang kamu peroleh daripada pakar dan cuba praktikkan secara kerap.


5. Beritahu perkara sebenar - Jika semua teknik dan motivasi yang kamu lakukan tidak berkesan, cara terakhir adalah berterus terang kepada rakan yang kamu tidak sukakan perbuatannya. Jujur dengannya bahawa perbuatannya itu penuh dengan unsur negatif dan dia patut berubah.

Walaupun dia mungkin tersinggung, lama kelamaan dia akan sedar atas perbuatannya dan mula fikirkan cara hidup yang lebih positif berbanding dulu.

Bisingnya dia

Ramai orang menyangka hanya golongan jejaka yang berdengkur setiap kali tidur. HAZRIL MDNOR menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan itu kerana si gadis turut ‘mengeluarkan bunyi’ ketika tidur. Sudah pasti janggal kerana ia bercanggah dengan sifat gadis yang biasa tidur secara tenang.
Sebut saja pasal tidur, pasti ramai terbayang waktu paling ‘indah’ untuk merehatkan otak dan badan selepas penat bekerja. Tetapi, bagaimana pula jika teman serumah atau ahli keluarga kerap berdengkur ketika tidur? sudah pasti masalah itu akan mengganggu kitaran tidur kita.
Pokok pangkalnya, masalah dengkuran yang kuat sebenarnya bersifat umum, bermakna penyakit ini boleh dihidapi sesiapa saja, namun ia lebih cenderung berlaku pada golongan lelaki dan mereka yang mengalami masalah berat badan. Jika setiap kali dengkuran kamu diselang-selikan dengan pernafasan, ia sebenarnya normal, namun apabila ia berterusan tanpa henti, itu tandanya kamu mengalami masalah pernafasan yang boleh memudaratkan.

Bagaimana dengkuran berlaku? Ia terjadi apabila muncul sekatan pada aliran udara dalam saluran pernafasan di bahagian belakang mulut dan hidung kamu. Bunyi bising dengkuran terjadi apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar di antara satu sama lain. Malah, gejala tidur berdengkur ini sebenarnya terjadi sejak dari kecil dan ia akan bertambah kerap mengikut peningkatan usia seseorang.

Kaji selidik dari Universiti Michigan mendapati beberapa sebab lain mengapa remaja boleh berdengkur dengan kerap. Antaranya lemah otot di lidah dan lelangit lembut. Tisu tekak yang besar dan tebal juga salah satu punca. Akhir sekali, ia terjadi disebabkan saluran pernafasan yang tersekat.

Persoalannya, remaja lelaki yang tidur berdengkur memang tidak boleh disangkal lagi. Tapi bagaimana jika ia kerap terjadi pada si gadis? Pasti ada mulut yang bercakap mengenainya dan tidak kurang menggelarkan gadis itu ‘kurang ayu’, ‘tidak manis’ ataupun ‘hilang sifat feminin’.

Adakalanya masalah pernafasan itu terjadi kerana terlalu penat pulang dari pejabat. Oleh itu, gadis yang ‘workaholic’ lebih cenderung menghidap penyakit ini berbanding wanita yang bekerja lebih pasif dan tidak banyak menggunakan kekuatan mental.


Kesan buruk

Kita sendiri tahu berdengkur dengan kuat boleh mengganggu orang sekeliling terutamanya mereka yang tidur dalam bilik yang sama. Lebih buruk lagi apabila waktu berdengkur sebenarnya tidak terhad pada malam hari saja tapi juga pada waktu petang dan tengah hari juga boleh berlaku jika kamu alami masalah pernafasan yang serius setiap kali tidur.

Hakikatnya, berdengkur dalam kalangan gadis ini memang tidak elok kerana gadis kebanyakannya memiliki sifat feminin. Masalah dengkur itu sebenarnya boleh mengubah persepsi jejaka terhadap si gadis lebih-lebih lagi jika dia ‘kantoi’ tidur berdengkur di hadapan kawan lelaki.

Jangan sesekali ingat bahawa golongan lelaki saja yang mengeluarkan bunyi ‘pelik’ ketika berdengkur. Hakikatnya, si gadis juga mengalami masalah yang sama, cuma mereka jarang memberitahu masalah itu atau selalu ‘cover’. Kalau difikirkan kembali, bunyi dengkuran sama saja bagi lelaki mahupun perempuan dan ia terbukti mengganggu waktu tidur teman sekeliling.

Dari aspek kesihatan, remaja perempuan yang berdengkur ini boleh berhadapan dengan masalah kesihatan yang lebih serius tanpa diketahui mereka. Satu kajian menyatakan, si gadis jarang berjumpa doktor untuk pemeriksaan kerana lebih suka memendam saja masalah ini. Jika berterusan, ia akan mengakibatkan saluran udara dalam hidung tersekat dan lama kelamaan akan membawa pada penyakit lebih serius seperti ‘Apnea Tidur’. Ia dikategorikan sebagai penyakit berbahaya kerana saluran pernafasan ditutup sehingga tidak ada oksigen yang akan mencapai paru-paru.

Selain itu, bunyi dengkuran yang terlalu kuat serta saluran pernafasan yang kerap tertutup akan membuatkan kamu kerap terjaga seketika apabila sedang tidur dan ini boleh mengganggu kitaran tidur kamu pada waktu malam.

Ia berlaku kerana kamu perlu menarik udara ke saluran hidung ketika bernafas dan apabila saluran itu ditutup, ia boleh menyebabkan nafas sesak dan seterusnya membuatkan kamu terjaga.

Lebih buruk lagi keadaan apabila kamu seorang yang bekerja pada syif pagi. Padahnya, gangguan tidur itu juga boleh menyebabkan waktu tidur tengah hari terganggu, naik berat badan, pening kepala dan penurunan prestasi kerja.


Jalan penyelesaian

Sesudah mengetahui masalah ini berlarutan, kamu perlu atasi dengan segera untuk menurunkan kadar penyakit berbahaya pada diri. Lakukan beberapa langkah berkesan ini.

Langkah pertama, pastikan kamu ubah posisi tidur. Apa kamu perlu ketahui ialah lidah, langit-langit, tonsil dan otot di belakang kerongkong saling bersentuhan dan ini menyebabkan kamu berdengkur. Perkara ini bertambah buruk lagi apabila kamu tidur secara posisi telentang.

Posisi ini mengakibatkan lidah akan tertarik ke belakang dan menyempitkan saluran udara. Lebih memadai jika kamu ubah posisi tidur yang tidak bagus itu pada tidur secara mengiring.

Kedua, turunkan berat badan kamu. Percaya atau tidak, mereka yang alami ‘obesiti’ atau penambahan berat dan mempunyai jaringan leher yang tebal dan ini adalah risiko kamu tidur berdengkur. Seeloknya, turunkan berat badan dengan kadar yang bertepatan agar lemak yang terkumpul di bahagian kerongkong boleh dikurangkan.

Ketiga, elakkan dari mengambil pil penenang termasuk pil tidur dan apa saja produk ubatan lain yang bertujuan untuk menenangkan kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. Ini kerana pengambilan bahan ini boleh mengganggu sistem saraf dan juga menyebabkan otot dan tisu dalam kerongkong tidak aktif untuk masa yang lama.

Keempat, pastikan hidung kamu tidak tersumbat sebelum tidur. Cuba amalkan hidu wap air panas ataupun kamu boleh letakkan tuala yang sudah dicelup dengan air panas pada muka dan sedut wap yang keluar. Ia bertujuan untuk menghilangkan lendir yang tersumbat dalam rongga hidung. Jika lendir hilang sepenuhnya, nescaya kadar dengkuran boleh menurun. Tapi ingat, jika selesema, pastikan kamu mengambil ubat yang betul sebelum tidur.

Kelima, jika kamu seorang gadis yang selalu mengemas rumah, elakkan daripada menghidu habuk dan apa-apa partikel yang menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Pada malam hari, pastikan cadar dan sarung bantal bersih daripada habuk dan bakteria. Untuk kesan yang lebih baik, cuba pasang ‘air filter’ di rumah untuk memperoleh bekalan udara yang bersih.

Langkah keenam, gunakan produk yang boleh membersihkan hidung dengan berkesan. Misalnya kamu boleh mendapatkan produk seperti ‘Breathe Right’ sebagai langkah percubaan untuk menghilangkan masalah ini. Mungkin ia tidak hilang sepenuhnya, tapi bunyi dengkuran kamu boleh dikurangkan.

Akhir sekali, jika masalah ini berlarutan walaupun selepas melaksanakan cara di atas, jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor pakar kerana kemungkinan kamu menghidap penyakit tidur berbahaya.

Identiti diri

HAZRIL MD NOR juga pernah mengalami proses mencari identiti diri dan ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditempuhi. Penulis percaya setiap remaja yang sentiasa mempunyai disiplin dan prinsip yang betul dapat mengharungi proses ini dengan lebih mudah.
Hasil daripada era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, remaja semakin berani membuat keputusan sendiri dan menolak sekeras-kerasnya pendapat orang yang lebih dewasa walaupun jelas terbukti mereka sebenarnya salah. Apakah punca utama masalah ini? Kajian pakar psikologi di Amerika Syarikat mendapati remaja mengalami tempoh tumbesaran kompleks dan mereka harus menyesuaikan diri dengan perubahan peranan, sikap dan juga ideologi.
Anak muda yang melawan cakap ini sering merasakan dirinya betul dan tidak ada cacat cela. Jika diberikan nasihat atau pendapat, ada saja yang mahu dibangkang. Namun, jika diselami jiwa remaja ini dengan lebih mendalam, mereka sebenarnya ingin membentuk identiti diri, namun hakikatnya ibu bapa menghalang dan menyekat pergaulan anak-anak.

Kebiasaannya, dalam tempoh membesar itu, anak muda memang kerap memberontak dan berlaku konflik antara ibu bapa. Misalnya, kamu enggan melakukan kerja sekolah ataupun melaksanakan kerja yang disuruh oleh keluarga. Perkara ini adalah normal dan ia berlaku dalam diri setiap remaja yang ingin membentuk identiti sendiri. Pada saat ini juga banyak berlaku salah faham antara kamu dan juga keluarga.

Kamu inginkan kebebasan dalam apa saja aktiviti yang dilakukan. Sama ada dari segi pergaulan, pendidikan, aktiviti sosial dan lain-lain. Hakikatnya, proses membentuk identiti diri itu bergantung kepada individu juga. Ada yang melampaui batas dan ada juga yang dapat mengawal perasaan serta tingkah laku sepanjang proses kematangan ini. Apa saja yang kamu lakukan sebenarnya bergantung pada faktor berkawan dan aktiviti yang dilakukan.

Walaupun begitu, perlu diingatkan untuk sentiasa beringat apakah kesudahannya sama ada baik atau buruk. Akan sampai saat di mana kamu sedar, perbuatan itu betul atau salah dan ia bergantung kepada kamu untuk meneruskannya atau tidak. Bagi ibu bapa, mereka pasti inginkan yang terbaik untuk masa hadapan kamu.


Kesan baik

Dalam proses bergelar dewasa, kamu akan mendapat banyak pengalaman sama ada baik atau buruk. Kebaikannya boleh dilihat dari aspek pergaulan antara rakan sebaya. Hasil daripada pergaulan dengan ramai orang, kamu dapat meningkatkan kemahiran bersosial dan boleh berkomunikasi dengan baik.

Kita dapat lihat remaja yang banyak bergaul sebenarnya mempunyai kadar kemurungan yang kurang berbanding mereka yang sukar atau enggan bergaul. Jika pergaulan diluaskan, ia mudah untuk kamu menyesuaikan diri dengan semua orang. Biasanya, kamu kurang berasa malu atau kurang keyakinan diri ketika berhadapan dengan semua orang.

Selain itu, dalam proses ini kamu dapat membentuk identiti diri yang sebenar. Ini kerana kamu bebas buat apa saja yang disukai dan boleh memilih untuk menggemari sesuatu tanpa ada halangan. Dari saat inilah, kamu dapat menonjolkan diri sendiri kepada orang lain. Misalnya, kamu seorang yang sukakan aktiviti lasak. Itu adalah diri sebenar kamu kerana tiada kekangan yang dihadapi sejak kecil. Bermakna, minat itu berputik dalam diri kamu sendiri dan bukan kerana dipaksa oleh orang lain. Pendek kata, kamu boleh berbuat apa saja yang disukai.

Apa yang paling penting, apa saja yang kamu lakukan perlu ada campur tangan keluarga tapi bukan sepenuhnya. Ia bertujuan untuk menghalang kamu daripada melakukan perkara yang bercanggah dengan pemikiran masyarakat atau lebih tepat, perkara yang tidak berfaedah. 


Kekangan dari ibu bapa

Bagi remaja yang bebas mencari identiti sendiri, kamu mungkin bernasib baik. Tetapi tidak pada mereka yang selalu dikongkong ibu bapa. Kalau nak diikutkan, memang betul keluarga harus membentuk nilai murni dalam diri anak-anak. Hakikatnya, anak muda perlu bersosial bersama teman lain dan tidak boleh hanya menurut ibu bapa sepenuhnya.

Buktinya, kamu mungkin kurang keyakinan diri, selalu bimbang dan takut serta tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Oleh itu, jika kamu seorang remaja yang dalam proses bergelar dewasa, cuba beritahu ibu bapa kamu untuk mencari kawan yang ramai dan kemudian membuat keputusan sama ada kawan dikenali itu memberi contoh yang baik atau sebaliknya.

Hakikatnya boleh dilihat kerana anak muda yang sentiasa di bawah perlindungan ibu bapa bersikap lebih pasif dan takut untuk bergaul seterusnya digelar antisosial. Jika dilihat kembali, remaja yang lambat ‘menikmati’ perkara baru seperti dalam usia 20 tahun ke atas pasti akan mengalami sindrom ‘culture-shock’ atau kejanggalan terhadap aktiviti sosial. Perkara ini berlaku kerana kamu bersikap terlampau pasif dan tidak mahu ambil tahu keadaan sekeliling. Pendek kata, kamu takut dan tidak berani untuk mencuba perkara baru.

Ia sebenarnya elok untuk mengelakkan kamu melakukan perkara yang tidak berfaedah, namun andai kata kamu tiba-tiba berkawan dengan remaja ‘liar’ dan tidak dapat mengawal tingkah laku, lambat-laun kamu akan hanyut juga.

Pentingnya di sini adalah kebebasan untuk berkawan dan melakukan aktiviti yang kamu sukai. Jangan mengharapkan ibu bapa untuk menentukan kerjaya untuk kamu, sebaliknya kamu sendiri yang harus bijak memilih apa yang diminati.

Apa saja pilihan ibu bapa yang ternyata bercanggah dengan minat anak muda pasti akan membawa kepada masalah seperti belajar setengah jalan, menukar bidang pendidikan dan sebagainya.


Motivasi diri

Walaupun kamu bebas membuat apa saja yang diingini untuk mencapai matlamat mencari identiti diri, pastikan kamu selalu mendapat motivasi yang mencukupi daripada ibu bapa. Perkara yang dilakukan menurut hawa nafsu dan tidak bertepatan dengan agama pasti akan menghanyutkan kamu dalam kancah kegelapan.

Sepanjang proses mencari identiti, elakkan daripada mengikut kawan melakukan sesuatu yang tidak berfaedah secara berterusan. Perasaan ingin tahu itu pasti ada tapi jangan pula disebabkan perasaan itu, kamu mengubah personaliti kamu yang sememangnya sudah positif itu. Apabila kamu berjaya mendalami proses ini, kemungkinan besar kamu sudah boleh membuat pertimbangan dengan betul.

Otak kamu mula berkembang dan dapat menerima sesuatu secara menyeluruh. Misalnya, kamu sudah boleh berfikir dengan matang dan dapat menentukan perkara yang baik dan buruk. Sesudah itu, dapatkan pula nasihat dari ibu bapa dan mereka yang berpengalaman untuk mengelakkan diri kamu bertindak melampaui batas. Selamat berjaya!

Wednesday, April 16, 2014

Hobi jadi duit

Suka memasak, tangkap gambar, menulis ataupun pandai berbicara? Semua kelebihan ini boleh ditukarkan kepada wang ringgit jika kita mahu dan tahu caranya. Jangan sia-siakan bakat yang ada tetapi cari jalan merealisasikan kreativiti yang ada untuk memperoleh pendapatan sendiri pada usia muda.
Sedalam mana pengetahuan kita terhadap sesuatu boleh dikembangkan dan dikongsi dengan orang lain. Bukti jelas yang ada menunjukkan ramai anak muda berstatus peniaga dan usahawan sama ada di dalam talian atau memiliki premis kedai, memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan didorong rasa minat. Contohnya, kegilaan wanita bertudung mengumpul koleksi terbaru hijab menjadikan mereka produktif mengeluarkan label tudung sendiri di pasaran.
Rata-ratanya kelompok ini dikesan dalam kalangan graduan lepasan universiti yang diajar sedikit sebanyak mengenai ilmu keusahawanan, sekali gus mendorong mereka mencuba nasib di pasaran. Ramai pereka fesyen muda dilahirkan dengan masing-masing mempunyai label pakaian sendiri.

Penulis pasti golongan ini dilahirkan daripada graduan dalam bidang seni reka secara amnya. Hobi dan minat dalam bidang fesyen ataupun mereka cipta busana menjadi pendorong mereka memilih kursus seni reka dalam pengajian.
Foto

Ada minat boleh berjaya

Orang yang berjaya membina kerjaya dan perniagaan berasal daripada minat dan kebolehan mereka melakukan sesuatu dengan tekun dan penuh usaha. Bayangkan bagaimana perasaan anda apabila disuruh melakukan sesuatu yang tidak diminati? Sudah tentulah hasilnya tidak memuaskan dan ada kemungkinan kerja terbabit tidak selesai. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada segelintir anak muda sering bertukar pekerjaan dengan alasan tidak sesuai melakukan pekerjaan terbabit.

Memang tiada jalan mudah untuk menjana duit tetapi bukan mustahil untuk mendapatkannya jika kita tekun dan rajin. Menjadi lebih kreatif supaya dapat mencari lebih banyak peluang membuka laluan kepada sesiapa saja yang tidak mahu terkongkong dengan bekerja makan gaji. Jika anda seorang yang mahu mencuba dan belajar untuk menjadi inovatif, maka anda akan menemui seribu satu cara untuk menukarkan hobi kepada wang yang lumayan bahkan sebahagiannya boleh dilakukan dengan jayanya hanya dari rumah saja.

Seperti diketahui umum, Internet adalah landasan terpenting bagi sesiapa saja dalam bidang pemasaran. Sama ada syarikat kecil-kecilan ataupun sudah menempa nama, laman sosial dan laman web dijadikan platform utama untuk memasarkan barangan. Maklumat dan tip berkaitan isu ini dihidangkan meluas di Internet, malah di situ jugalah kita dapat mencipta hubungan lebih luas dengan pelanggan bahkan berpeluang meneroka pasaran di dalam dan luar negara.

Bergabung dengan komuniti yang memiliki hobi yang sama juga sangat membantu. Manfaatkan sepenuhnya hobi anda kerana ia bukan saja dapat meningkatkan jalur hubungan, bahkan boleh berkongsi mengenai peluang bisnes lebih kukuh.

Harus diingat bahawa dalam perniagaan pasti wujud halangan. Di mana ada usaha pastinya ada risiko yang menanti, apatah lagi hobi itu sangat spesifik seperti membuat seni tanah liat misalnya yang mempunyai jaringan pasaran terhad.


‘Jual’ kelebihan diri

Setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri. Ada yang dilahirkan petah berbicara, pandai menjahit, bijak bertukang, minat mengumpul barang antik dan sebagainya menjadikan setiap orang tercipta dengan keunikan masing-masing. Untuk memulakan langkah ini, anda perlu kenal pasti kelebihan diri dan usaha untuk ‘menjualnya’ dengan cara terbaik.

Ramai dalam kalangan rakan penulis berjaya dalam perniagaan masing-masing. Ada antaranya berjaya menjana pendapatan belasan ribu ringgit sebulan hanya dengan mengambil tempahan produk manisan seperti kek, kek cawan, ‘cookies’ dan sebagainya.

Jika ramai dalam kalangan remaja lelaki suka merempit, apa kata ubah hobi terbabit untuk jadikannya kerjaya. Mendaftar diri untuk memasuki pertandingan ‘cubprix’ mungkin memakan modal yang tinggi tetapi tidak salah mencuba dari peringkat bawah yang terbuka kepada sesiapa saja.

Berminat dalam bidang kewangan? Anda boleh menjual buku berkaitan kewangan sedia ada di Internet dengan hanya perlu menghubungi penerbit buku untuk mendapatkan harga borong sebelum menjualnya semula.

Jika anda meminati bidang jahitan, tidak salah menajamkan kemahiran sedia ada dengan mengambil upah menjahit busana. Selepas beberapa tahun, anda boleh memohon kontrak menjahit daripada mana-mana syarikat korporat, menulis buku jahitan sendiri, menganjurkan kursus jahitan secara pos ataupun di dalam kelas.

Yang namanya anak gadis pasti lebih cenderung ke arah masakan. Kenal pasti kategori masakan yang anda minat sama ada ala barat, Melayu asli ataupun kepelbagaian minuman, cipta resipi sendiri kemudian jualkan kepada pasaran luar. Jika sudah berpengalaman dan dipercayai pelanggan, anda pastinya sudah bersedia menjadi usahawan tempahan makanan besar-besaran.

Tidak kira apa saja hobi, minat, pengalaman, pengetahuan, pekerjaan anda kini dan sebelum ini, ada caranya untuk mengubahnya menjadi lebih besar dan meluas.

Jika anda berpendapat hobi berkaitan perniagaan tidak menguntungkan, carilah pekerjaan yang boleh dikaitkan dengan minat anda. Contohnya, anda suka menyatakan pemikiran dalam bentuk tulisan di blog, jadi, kenapa tidak mencuba untuk menjadi seorang penulis? Atau mempunyai kepakaran dalam membuat rekaan grafik, cari peluang untuk bergabung dengan pasukan kreatif di syarikat pengiklanan mahupun majalah. Selain mendapat kepuasan melalui hobi, anda juga mendapat bayaran untuk hasil kerja dilakukan.


Bukti hobi jadi kerjaya

Mudah dicuba tidak cukup untuk dijadikan alasan bagi memulakan perniagaan. Anda harus menjadi seorang yang mampu bersaing dan bertahan dalam bidang diceburi. Usaha perlu berterusan dalam mengasah kemampuan selain diri sanggup mengorbankan waktu, keluarga, kewangan, menyertai kursus berkaitan dan rajin mencari maklumat.

Kenal pasti kelemahan

Akan ada satu ketika di mana anda perlu mengenal pasti kelemahan diri ketika menghadiri temuduga kerja. Ia adalah soalan temuduga yang biasa, namun sukar untuk menjawabnya. Jika tidak bersedia untuk soalan itu, jawapan anda mungkin tidak berasas dan banyak unsur rekaan.
Namun, tidak semua kerja dan jenis posisi di sesebuah organisasi akan bertanyakan soalan sebegini melainkan pihak atasan yang ingin mengambil anda bekerja ingin melihat sejauh mana anda peka terhadap diri sendiri. 
Dalam kata lain, penemu duga ingin melihat tahap psikologi diri anda dalam mengenal kelemahan dan kekuatan diri. 

Kebiasaannya lapangan kerja membabitkan pengurusan dan pendidikan khas akan berdepan persoalan sebegini. Malah lapangan keselamatan juga ada sesetengahnya ingin memastikan mereka yang ingin bekerja peka dengan diri sendiri.

Gen Y ingin berkongsi tip untuk mengatasi masalah ini.

1. Teliti dan fahami soalan - Apabila ditanya apakah kelemahan yang dimiliki terutama ketika menghadiri temu janji kerja, ia bukanlah perkara yang perlu diutamakan. Apa yang penting anda tahu kelemahan diri dan apa jalan penyelesaian terhadapnya. 

Jika jawapan berbunyi, “saya tiada kelemahan langsung”, itu bermakna kelemahan utama anda adalah kurang kesedaran diri. Perlu diingatkan yang sedar kelemahan diri bukan bermakna diri itu lemah tapi bermaksud anda seorang yang peka dan kenal diri sendiri. 


2. Sentiasa bersedia - Langkah seterusnya yang perlu dilakukan ialah memahami diri anda dan kenal pasti apa kelemahan yang mungkin ada pada diri. Jika tidak tahu, sudah semestinya anda sukar untuk bercakap dengan penemu duga. Cuba fahamkan dulu apa kelemahan kerana ia bukan saja penting, malah menjadikan anda yakin dan bersemangat di mata penemu duga. 

Senaraikan kelemahan anda di kertas dan sertakan sekali cara untuk mengatasinya. 


3. Analisis kelemahan secara berkala - Seperti yang dikatakan di atas, kelemahan tidak dapat diterokai dengan segera. Ia memerlukan masa dan kudrat yang tinggi. Untuk kesan yang terbaik, elakkan daripada melakukannya secara kerap. Lakukan ia sekali setiap tiga bulan dan jika ia terlalu cepat, kurangkan pada sekali setiap enam bulan. 


4. Maklumkan kelemahan yang betul - Memutarbelitkan jawapan hanya akan membawa padah. Misalnya, anda memberitahu penemu duga bahawa kelemahan yang paling ketara pada diri ialah anda seorang yang sempurna dan tidak punyai kelemahan. Ini hanya menyebabkan penemu duga menganggap anda menafikan diri sendiri. 

Cuba berterus terang dan buang ego anda jauh-jauh. Contohnya, anda boleh katakan, “kadangkala saya mengambil masa terlalu lama menyemak balik kerja yang sudah dibuat.” 


5. Lakukan langkah seterusnya - Anda sudahpun menyatakan kelemahan pada penemu duga. Langkah seterusnya, tunjukkan pada mereka bahawa anda akan berusaha untuk menghilangkan masalah itu. Anda bukan saja mempunyai keyakinan untuk bercerita perkara sebenar tapi juga membuat suatu kaedah baru untuk mengatasi masalah berkenaan. 


6. Berhenti dan lihat - Selepas menjawab pertanyaan penemu duga, berhenti bercakap. Tunggu giliran mereka untuk bercakap seterusnya. Anda sudah memberikan jawapan yang dikehendaki, maka tunggu untuk maklum balas. Penemu duga mungkin akan menunggu seketika dan melihat gelagat anda. 
Pastikan pada saat ini anda merenung mereka dengan raut wajah yang lembut dan menunggu untuk maklum balas. 


7. Bersedia untuk menghadapi maklum balas - Anda sepatutnya sudah mempunyai sekurang-kurangnya tiga kelemahan dan cara mengatasi kelemahan itu. Penemu duga mungkin akan bertanya soalan yang sama berkali-kali. Pada waktu ini, pastikan anda sudah bersedia untuk memberikan jawapan yang bernas dan tepat mengenai kelemahan anda serta cara mengatasinya.

Thursday, April 10, 2014

Slim Down By Slowing Your Eating Speed

Do the words “inhale,” “scarf,” and “wolf” describe the way you eat, even when you are on a weight-loss diet? And are you wondering why you’re not losing weight? It might be because of how quickly you are eating. Dieters often ask whether their eating speed can affect their weight loss. The answer, says nutritionist Molly Gee, RD, MEd, Baylor College of Medicine, Houston, Texas, is yes.
Your Eating Speed: Too Fast Means You Overeat
“Olympic speed eaters will usually eat until they feel full,” says Gee, who isn’t talking about culinary athletes, but rather, with humor, the average Joe and Jane who shovel in their food every night.
“It takes approximately 15 to 20 minutes for the signal of [fullness] to reach the brain,” explains Gee. “This is where portion controlgoes out the window.”
In other words, it takes some time for your stomach to talk to your brain, and speed eaters are taking in too much too fast before the message can be received. Eating more slowly could give that all-important message the time to register before you undermine your best calorie-counting intentions with an extra scoop of mac ’n’ cheese.
Your basic goal: “Try not to be the first person finished at the table,” advises Gee.
Your Eating Speed: Chew Slowly for Comfort and Control
Your eating habits and your digestion begin with good chewing habits. “Chewing your food is the first step in digestion, and skipping this step makes it harder for proper digestion,” says Gee.
Taking time to chew not only slows your eating speed, but can also help you feel better after a meal. “Many of my patients tell me how surprised they are that they have less heartburn as a result of chewing more and slowing down. They do not use antacids anymore.”
Also, chewing slowly allows you to better enjoy your food, a tasty benefit for people who are trying to appreciate the value of smaller portions.
Your Eating Speed: Fast, Slow, or Moderate?
Dinner isn’t a speed race, but you might wonder where your eating speed rates in comparison to friends and family. There are no standard measures of eating speed, and how fast or slow you eat depends a lot on what the food is, your utensils, and how much there is of it. But you know you are a slow eater if you are the last one still eating at the table. On the other hand, says Gee, “Fast eaters are the first ones finished, usually in five to six minutes.” You want to clock yourself somewhere in between, with the moderate eaters.
Your Eating Speed: Enjoying What You Eat
Another benefit to chewing slowly: Food tastes better.
"We see higher [taste] ratings at the slower rate," says dietitian Kathleen Melanson, RD, PhD, assistant professor of nutrition and food at the University of Rhode Island. Melanson and colleagues tested the relationship between the rate of eating and factors such as how many calories are consumed and participants’ reported levels of satisfaction. Volunteers ate certain types of meals, first slowly and then, later, fast. The study found that, calorie for calorie, you will experience greater palatability at the slower rate, explains Melanson.
She has also demonstrated that people who slowly eat low-calorie foods eat nearly half as many calories as those who quickly eat high-calorie foods. "Conventionally, slow eating has been presented as just taking more time to eat,” Melanson says, but her research shows that what really matters is how many calories you eat per minute.
Your Eating Speed: Tips for Slowing Down
Melanson's method combines slow eating with being aware of the taste of food and when you feel full. She recommends:
  • Take small bites.
  • Chew each bite 15 to 20 times.
  • Savor the food as you chew.
  • Swallow before taking the next bite.
  • Pause between bites and take a sip of a no-calorie beverage, if you like.
  • Between bites, be aware of how your hunger is being sated.
For people who have limited time to eat lunch at school or work, Melanson suggests you eat the main part of your meal slowly and keep additional food items, such as an apple, to be eaten later when you have time.
Gee recommends setting your fork or spoon down between bites. “I assign chopsticks to really difficult cases,” she adds.
By trying these methods, you may steal a little time from other activities, but you’ll also lose moreweight — and that’s a good trade-off.