Thursday, December 5, 2013

Aku penganggur!

Coretan dalam surat khabar, blog mahupun majalah yang berkisarkan lambakan graduan menganggur menunjukkan angka luar biasa. Lihat saja, graduan ijazah kelas pertama turut terkena tempiasnya. Bukankah kecemerlangan akademik itu mampu membuatkan mereka mudah memperoleh pekerjaan?
Dulu, penulis turut mendaftar di laman ‘job street’ atau blog lain yang akan memuat naik perihal kerja kosong. Dari situ menunjukkan banyak kerja kosong yang diiklankan dengan pelbagai jawatan. Aneh, sekiranya graduan tidak mengambil peluang di depan mata.
Gaji? Kenapa ia dipersoalkan, sedangkan banyak cara yang boleh dilakukan terutama ia dapat mengasah bakat yang ada dan ambil peluang itu sebagai satu pengalaman. Inilah dikatakan, belum bekerja sudah ‘demand’ gaji!

Satu hal pula, di mana ada yang sudah bertahun-tahun tamat belajar tetapi belum pernah menghantar satu pun resume ke sana sini. Ada juga yang mengharapkan gaji harus setimpal dengan kelayakan yang ada. Wahai kawan, janganlah meletakkan harapan terlalu tinggi, dengan pengalaman yang belum ada, sudah tentu anda akan terbiar menganggur sampai bila-bila.

Jika perempuan, mungkin boleh tunggu orang masuk meminang. Tapi bagi lelaki pula, jangan berharap keluarga kekasih akan menerima anda sebagai menantu. Nak menyara kehidupan sendiri pun belum tentu lepas.


Cerewet & memilih

Ada benarnya apabila sudah tamat saja belajar, perkara pertama yang akan dilakukan adalah memilih pekerjaan yang secocok dengan anda. Oleh itu, diri akan sentiasa memikirkan soal gaji, tempat tinggal, jawatan dan pelbagai perkara remeh yang lain. Jangan terlalu ‘lurus’ untuk membuat pilihan kerana peluang hanya datang sekali dalam seumur hidup.

Fikirlah hala tuju yang betul terutama apabila anda dibebani dengan hutang pinjaman pelajaran ataupun keinginan membantu keluarga di kampung yang banyak bersusah payah untuk anda selama ini.

Ketahuilah bahawa graduan di Malaysia ini sangat ramai. Itu tidak termasuk lagi calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang pasti menunggu masa untuk keluar mencari peluang.

Walaupun anda menetap di Kulim tetapi berjaya mendapat kerja di Kuala Lumpur, tidak ada salahnya untuk anda berhijrah ke bandar lain bagi meluaskan pengalaman. Bahkan, anda adalah insan terpilih untuk menyandang jawatan berkenaan, ia lebih baik daripada calon yang tidak dipanggil bekerja!

Jika gaji menjadi topik utama, bangun dan berusaha sekerasnya agar anda dinaikkan pangkat dengan cara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Ada baiknya bermula dari bawah. Di situ anda boleh belajar secara perlahan-lahan tanpa perlu ada sebarang tekanan dan mendapat ilmu tambahan daripada rakan kerja yang sudah lama berkhidmat.


Terpaksa untuk kerja

Apabila malas dan kemudian mendapat kerja. Itu menyebabkan ada di antara graduan yang bekerja dalam keadaan terpaksa. Apa yang dikatakan terpaksa merangkumi beberapa aspek, antaranya didesak oleh keluarga, tidak mahu menjadi penganggur atau malu jika tidak bekerja. Selain ada komitmen lain yang harus ditanggung membuatkan mereka tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu kerja.

Selain tidak pasti kerjaya apa yang harus mereka pilih, ada yang merasakan kerjaya itu mestilah dalam bidang yang dipelajari. Ada juga yang tidak peduli kerja apa sekalipun walaupun berlainan dengan apa yang dia belajar. Asalkan ada kerja dan dapat gaji.

Sebelum tamat belajar, fikir dan renungkan cita-cita yang anda impikan. Lantas tetapkan pendirian untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh. Jika tidak dapat apa yang dimahukan, jangan sesekali menyesal atau berputus asa.

Jika pada mulanya ia sekadar ‘paksa’ tetapi selepas dipupuk dengan kerajinan dan usaha yang tinggi, status itu akan bertukar menjadi ‘rela’.


Bodoh sombong

Ya, ini adalah satu sifat yang harus dihindarkan dalam diri seseorang itu terutama yang masih bergelar ‘fresh graduate’.

Nuralya Mohd Roslan, 27, mengatakan tidak ada syarikat yang akan menawarkan jawatan besar sekiranya individu itu tidak mempunyai pengalaman.

“Sebagai contoh, anda mengidamkan ­jawatan pegawai atasan tapi hakikatnya anda perlu terlebih dulu memegang jawatan yang setimpal atau memulakan yang bawahan dulu. Jika anda ingin menjadi pensyarah misalnya, anda perlu menjadi pembantunya terlebih dahulu.

“Saya mengatakan ini berdasarkan pengalaman sendiri dan rakan-rakan di mana ini yang membuatkan seseorang itu menolak setiap peluang temu duga, lalu mendatangkan kerugian pada diri sendiri sampai bila-bila,” kata ustazah muda ini.


Serba boleh

Menurut seorang lagi rakan Gen Y, Mohd Hafizul Mohd Yahya, 28, kemahiran ‘multitasking’ atau serba boleh sangat diperlukan oleh syarikat besar.

“Jangan menyimpan angan-angan tinggi sekiranya anda tidak ada kemahiran itu. Jika hanya duduk menaip dan mengangkat telefon, pasti seseorang itu tidak akan lama bertahan. Misalnya, anak muda kini tidak suka kerja yang membosankan sehingga buat diri rasa malas bangun pagi untuk ke tempat kerja.

“Oleh sebab itu, mereka tidak dapat mempersembahkan mutu kerja berkualiti yang syarikat mahukan. Ini yang membuatkan ramai graduan menganggur tidak ‘tahan’ dengan cara yang ditampilkan tempat kerja lama,” kata pegawai bank ini.

Justeru, semua graduan digalakkan untuk bekerja yang membabitkan bidang praktikal berbanding teori yang sudah tidak lagi relevan pada masa kini.

Setiap pekerjaan mahukan anda bijak dan tangkas dalam menghasilkan sesuatu. Bidang yang ada hari ini memerlukan anda membuat lebih daripada apa yang tercatat dalam ‘kontrak’ atau kertas perjanjian.

Biar apa sekalipun alasannya, ia terletak di tangan sendiri. Sama ada bekerja atau me­nganggur.

No comments:

Post a Comment