Hong Kong adalah bandar pelabuhan entreport terpenting di Asia. Ia pintu masuk kepada pasaran Tanah Besar China dengan mobiliti pasaran 1.4 bilion penduduk, hampir seperempat penduduk dunia.
Hong Kong sangat berpengaruh dalam perdagangan antarabangsa dengan pengukuhan pelabuhan Shanghai di utara, Osaka di timur laut dan Singapura di selatan. Mereka membentuk sebuah pakatan yang dinamik berpandukan paksi kemegahan Naga Asia Timur.
Selain melabuhkan barangan, kapal pelbagai saiz mendaratkan ribuan kelasi kapal yang sudah beberapa minggu belayar dan dahagakan keseronokan berpijak di tanah rata. Kapal pengangkut jet pejuang Tentera Laut Amerika Syarikat misalnya mempunyai 4,000 kelasi kapal. Pelayar lautan ini, mereka berevolusi. Mereka transformasikan diri menjadi lebih baik daripada semalam.
Sesetengah mereka bersara awal menjadi jutawan dan memulakan perniagaan kedai runcit, restoran mahupun kedai serbaneka kecil-kecilan di serata Hong Kong, Dubai, Rotterdam dan Osaka.
Cukup 10 tahun belayar, kelasi biasa boleh mengumpulkan hampir RM500,000 dan memulakan kehidupan baru. Istimewanya, baru-baru ini saya terserempak sekumpulan kelasi Malaysia yang bekerja dengan syarikat perkapalan antarabangsa. Rupa-rupanya mereka kelasi yang dilatih Akademi Laut Malaysia ALAM berpangkalan di Melaka.
Saya rasa bangga kerana mereka anak Malaysia dan berbangsa Melayu. Hasil dialog bersama mereka di remang-remang senja berlatarbelakangkan Tsim Sha Shui dan kapal persiaran terbesar Hong Kong milik Kumpulan Genting iaitu Superstar Genting Aries, saya ‘disekolahkan’ budak-budak kelasi ini dengan kisah pelayaran mereka yang bersejarah. Kata mereka, belayar tiada apa yang istimewa untuk diceritakan tetapi kisah mereka menjadi pelayar, itu yang pentingnya.
Seorang daripada mereka, Mahmud dulunya penunggu simpang tiga kampung Felda Bersia, bersenjatakan gitar kapok patah tiga berikatkan ‘selotape’. Malam berjaga siang tidur persis ‘Batman’, pelajaran tak ke mana, dua tahun tidak buat apa-apa cuma menambah derita orang tua. Namun, dia bernasib baik kerana diselamatkan dan ditaja FELDA untuk masuk ALAM.
Mahmud dan rakan tajaan FELDA ini digilap dan dilahirkan semula menjadi insan Melayu berkeperibadian tinggi atau saya takrif sebagai ‘Malay with Towering Personality’. Di samping kursus asas ‘rating’ enam bulan, terdapat juga pengajian pegawai selama tiga tahun untuk mereka yang berkelayakan dalam akademik menjadi pegawai dan kapten kapal.
Saya suka dengan cerita Mahmud. Selepas habis ALAM, Mahmud ditawarkan belayar dengan kapal berpangkalan di Brazil. Begitu juga rakan lain semuanya habis ditempah kerana permintaan yang tinggi terhadap kelasi dan pegawai perkapalan rakyat Malaysia. Kita semua patut ucapkan syabas kepada FELDA, MARA dan agensi lain kerana mereka merubah masa depan dan tamadun bangsa, mereka melahirkan insan daripada manusia.
Selepas 15 bulan belayar, Mahmud pulang ke desa memeluk ibu dan bapanya. RM10,000 di letak di atas meja. “Duit apa ni Abang?“ tanya bapa Mahmud. Mahmud jawab ringkas. “Itu duit mak dan bapa, ganti balik masa abang tak kerja dua tahun dulu.” Sekadar renungan, bangsa Melayu dulu gagah di nusantara. Jika di darat ia perwira, jika di laut ia nakhoda. Bukankah pengembara pertama merentas benua dari Asia ke Afrika seorang nakhoda Melayu dalam Armada Portugis dan Sepanyol bernama Nakhoda Awang Enrique? Bukankah ras Melayu ini dulu menjajah seluruh pelusuk nusantara? Dari Pattani ke Demak, Srivijaya hingga Sulu, Bugis dan Langkasuka? Melayu ini dulu ada ratusan Nakhoda Awang Enrique. Hari ini di zaman moden, anak Melayu cuma terpesona dengan Enrique Iglesias. Syukur, hari ini saya menjadi saksi kepada kelasi kapal dan pegawai pelayaran Melayu. Jadi, jangan merungut konon kerja tiada, masa depan suram, tiada peluang dan sebagainya. Jangan sentimental sangat dengan simpang tiga kampung yang sinonim dengan gitar kapok kamu itu wahai Melayu. Kamu perlu gagah hidup dalam bencana dan kemudaratan. Bertahan dalam kegawatan ekonomi, elektrik, cukai GST dan banjir. Hari ini kalau tak ada Internet kamu semua dah berteriak tak dapat kemas kini Twitter dan Facebook. Kamu perlu belajar daripada kelasi Cina. Belajar daripada usahawan Cina. Kamu harus bertekad dan berhijrah seperti saudara Cina kita. Kamu perlu jadi ‘towering personality’. Ingat Awang Enrique.
No comments:
Post a Comment