Thursday, December 5, 2013

Zuriat istimewa

Zuriat istimewaGAMBAR kiri, Adel menunjukkan tangan palsu yang pernah digunakan ketika berusia setahun, gambar tengah keluarga bahagia Meor Amer dan Siti Hajar dengan kehadiran dua cahaya mata comel. Gambar bawah, Meor Amer mengisi masa lapang melayan kerenah Adel bermain belon. - Foto Adi Safri
Ibu bapa yakin Adel dilahirkan tanpa tangan kanan ada kelebihan tersendiri 

"Saat kelahiran Adel, dada berdebar-debar apabila doktor memanggil dan beritahu ada masalah sedikit. Saya diberitahu, bayi yang dilahirkan cuma ada sebelah tangan. Tipu kalau saya tidak sedih. Saya orang pertama diberitahu dan perlu pula memberitahu kepada isteri yang baru saja selesai dibedah. 
“Macam-macam yang saya fikirkan. Mungkin tangan itu akan tumbuh nanti,” luah Meor Amer Reza Meor Hazizi, 31, yang dikurniakan bayi lelaki istimewa, pada Julai, 2010 lalu. 


Yang nyata, Meor Adel Hariz (Adel), kini berusia tiga tahun dilahirkan tanpa tangan kanan dan pada hujung bahagian bahu, cuma tumbuh ibu jari saja. 

“Pada malam kelahiran Adel, saya sudah mula menerima kenyataan. Saya juga beritahu isteri apabila dia mula sedar dan rakan lain menerusi sistem panggilan ringkas (SMS), anak dilahirkan tanpa tangan kanan. 

“Rasa lega kerana tidak menyembunyikan perkara itu. Cuma isteri, pada mulanya sukar menerima kenyataan dan sedih. Akhirnya, dia juga seperti saya, menerima Adel seadanya,” katanya ketika mengimbas kenangan lalu mengenai anaknya kepada wartawan FAMILI, baru-baru ini. 

Meor Amer berkata, sebelum ini, beliau memikirkan mungkin kelahiran Adel secara pembedahan disebabkan songsang adalah petunjuk awal ada sesuatu yang tidak kena. 
Beliau berkata, isterinya sudah menjalani imbasan beberapa kali dan doktor menyatakan normal. Begitu juga organ penting dalam keadaan normal. 

Sehingga hari ini, Meor Amer tidak mengetahui punca anaknya dilahirkan tanpa sebelah tangan dan menganggap ia suratan takdir dan mahu terus fokus membesarkan Adel menjadi insan terbaik. 

Meor Amer yang bekerja sebagai jurutera di syarikat telekomunikasi, berkata isteri, Siti Hajar Mohd Yakop, 30, lebih memikirkan apa proses seterusnya yang perlu dilakukan apabila dikurnia anak istimewa. 

“Saya pernah terfikir untuk mengumpul wang banyak-banyak bagi membantu Adel apabila dia besar nanti. Bagaimanapun, saya mula fikir apa yang dilakukan untuk ubah kekurangan anak menjadi satu kelebihan kepadanya,” kata bapa dua cahaya mata ini. 

Pakai tangan palsu 

Beliau kemudian mengambil keputusan berhenti kerja, manakala isteri pula mengambil cuti tanpa gaji selama setahun selepas tiga bulan kelahiran Adel untuk menumpukan perhatian kepada cahaya mata barunya itu. 

“Semangat saya semakin kuat apabila adik saya yang belajar di United Kingdom (UK) dalam bidang perubatan memberitahu di negara itu sudah ada kemajuan untuk anak istimewa seperti Adel. Adik saya memberi banyak maklumat berkenaan tangan palsu. 

“Jadi, saya membawanya ke pusat perkhidmatan kurang upaya di UK. Ketika di sana, saya berjumpa ibu bapa yang mengalami nasib sama. Adel mula memakai tangan palsu ketika dia berusia enam bulan dan setahun,” katanya. 

Meor Amer berkata, beliau turut melanjutkan pelajaran peringkat sarjana kejuruteraan bio perubatan selama setahun di UK semata-mata untuk melengkapkan diri sebagai bapa kepada anak istimewa. 

Tujuan lain adalah untuk lebih memahami teknologi perubatan penyambungan tangan palsu untuk anak tersayang. Setahun selepas itu, mereka pulang semula ke Malaysia dan menyambung kerjaya sebagai jurutera. 

“Tidak pernah terfikir untuk sambung belajar. Tetapi saya lakukan untuk anak. Begitu juga isteri. Ilmu perubatan ini bukan untuk kerjaya tetapi lebih kepada untuk berkongsi dengan ibu bapa lain ,” katanya. 

Anugerah tidak ternilai 

“Kini, saya sedar kelahiran Adel ada hikmahnya kerana percaya Adel ada kelebihannya. 

Adel juga seperti kanak-kanak lain. Dia sudah boleh memegang botol susu seawal usia empat bulan dan pada usia dua tahun, dia sudah menyarung baju. Saya lihat, Adel suka berdikari dan melakukan sendiri apa saja. 

“Malah dia kuat semangat. Jika ada kawan bertanya mana tangannya, selamba saja dia tunjukkan ibu jari kecil pada bahagian kanannya. Malah dia menjelaskan ibu jari itu sebagai ‘good’. Ini tangan Adel, itu jawapan yakin Adel jika disoal anak lain mana tangannya,” katanya 

Justeru, Meor Amer berkata, ibu bapa sepatutnya memberikan galakan dan semangat kepada anak untuk yakin pada diri dan melakukan aktivitinya sendiri. 
“Memang sedih tengok dia terkial-kial pakai baju sendiri, tetapi dia boleh melakukannya apabila dilatih. Memang rasa kasihan, tetapi perlu tahan perasaan itu untuk melihat kejayaannya,” katanya. 

Kualiti masa dengan anak 

Berbicara soal kualiti masa bersama keluarga, Meor Amer, berkata walaupun beliau dan isteri sibuk bekerja, mereka pasti meluangkan masa sebaiknya untuk Adel. 

Katanya, beliau akan meluangkan 15 minit untuk berinteraksi dengan anak sulung dan bongsunya, Mai Safiyya, 2, walaupun hanya bermain belon atau melempar bola. Ia lebih baik berbanding menonton televisyen bersama keluarga. 

“Usia anak enam tahun ke bawah ibarat masa emas kerana 15 peratus daripada ingatan atau memori awal mereka pada fasa ini amat penting dalam tumbesaran kanak-kanak. Manfaatkan masa sebaiknya untuk bersama keluarga” katanya. 

Adel pencetus inspirasi tulis buku 

Kelahiran Adel memberi inspirasi kepada Meor Amer untuk menulis buku bertajuk The Greatest Gift: Unlocking The Hidden Treasures in Your Children. 

Meor Amer berkata, buku bertemakan motivasi keibubapaan setebal 180 muka surat itu ditulis hasil pengalamannya dan turut dilengkapkan temu bual dengan beberapa pakar kanak-kanak tempatan, selain memasukkan teori yang dipelajari ketika menuntut di UK. Ia berjaya dihasilkan dalam masa enam bulan dengan bantuan isteri. 

“Buku ini adalah semangat yang dikumpulkan sepanjang membesarkan Adel dan dia adalah sumber inspirasi untuk saya berkarya. Saya ingin nyatakan kepada ibu bapa lain mengenai potensi anak tiada hadnya. 

“Malah buku ini bukan saja didedikasikan kepada ibu bapa yang ada anak istimewa, ia juga boleh menjadi inspirasi kepada ibu bapa yang kecewa mempunyai anak nakal, hiperaktif dan mengalami masalah pembelajaran. Sebagai ibu bap,a kita perlu sediakan peluang untuk anak dan bukan buat keputusan untuk mereka,” katanya. 

Ikuti bengkel penulisan 

Meor Amer, berkata sebelum menulis buku, beliau sudah mengikuti bengkel penulisan buku yang dikendalikan pengarang terkenal di Kanada, Gerry Robert. 

Katanya, buku itu dijual dengan harga RM49 dan pembaca boleh membacanya menerusi muat turun salinan digital di laman web www.thegreatestgiftbook.net selepas ia dilancarkan pada Februari depan. 

Jelas Meor Amer, inti pati buku itu sarat dengan panduan cara mendidik, kaedah pembelajaran, cara mencungkil potensi anak dan membesarkan anak, selain pengalamannya dianugerahkan anak istimewa 

INFO: Penerimaan anak istimewa 
1. Bersyukur. Setiap perkara yang berlaku ada hikmah. 
2. Jangan berpura-pura dengan kesedihan yang membelenggu. 
3. Terima takdir. 
4. Fikir dan usaha ke arah kebaikan dan peningkatan diri. 
5. Berkongsi masalah dengan mereka yang senasib dan prihatin.

No comments:

Post a Comment