Monday, December 2, 2013

Lepak bergaya

Kalau dulu, budaya lepak mudah diterjemah. Ia adalah amalan berkumpul tanpa arah tujuan, matlamat, objektif, hala tuju, misi dan visi, biasanya oleh golongan remaja. Mereka memerhati orang ramai yang lalu-lalang di situ, kadang-kadang sambil bermain lagu atau menghisap rokok.
Adakalanya mereka mengusik gadis-gadis yang lalu dengan bersiul atau gelak ketawa yang berlebihan dengan keadaan yang tidak menentu. Budaya yang tidak sihat ini juga sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah.
Namun jika melihat pada perspektif hari ini, lepak bukan lagi pada kegiatan merokok atau berkumpul tanpa objektif kerana mereka yang berjawatan tinggi pun ada kalanya gemar melepak atau membuang masa terutamanya ketika hujung minggu.

Lepak yang pernah menyerang anak muda pada akhir 90-an acap kali dikaitkan dengan kurangnya perhatian ibu bapa. Mereka tidak mengambil perhatian berat dalam pendidikan anak-anak. Sikap ibu bapa yang mementingkan diri sendiri, sering bertengkar dan berselisih faham menimbulkan ketakutan dan kebosanan dalam kalangan anak-anak.

Mana yang sudah besar remaja, mereka mengambil keputusan untuk lepak di luar bersama kawan bagi membunuh rasa bosan itu.

Keduanya, kerana ajakan rakan sebaya yang mana remaja mudah terikut dengan rakan-rakan untuk mencuba sesuatu perkara baru selain pengaruh media massa.


Berpeleseran

Namun kalau sudah punya kerja bagus dan jawatan tinggi, masih kelihatan duduk bersembang berjam-jam di kedai mamak atau duduk berpeleseran di pusat membeli-belah, adakah itu turut dikategorikan sebagai melepak?

Gen Y meneliti senario ‘lepak’ dalam kalangan remaja berkerjaya, ia jauh berbeza dengan istilah lepak yang acap kali dikaitkan dengan budak sekolah yang berpeleseran tanpa tujuan.

Lepak zaman ini dalam kalangan mereka yang punya status tinggi hanyalah sesi menghilangkan tekanan kerja dan lebih kepada sembang dengan kawan mengenai masa depan, merencana hidup dan berbual kosong mengenai pelbagai cerita. 

Berbanding ‘lepak’ yang menjadi budaya negatif adalah mereka (anak muda) yang menghabiskan masa kerana ingin lari daripada ibu bapa atau rumah akibat tekanan seperti kehidupan susah, mak dan ayah sering bertengkar dan ingin kebebasan. 

Lepak mereka itu jenis yang merbahaya memandangkan ia boleh menjurus kepada pelbagai unsur negatif lain termasuk merokok di awal usia, hubungan sosial lelaki dan perempuan, pengambilan dadah termasuk menghidu gam dan ganja serta jenayah rompak, ragut dan gaduh.

Tapi kalau sudah dewasa, kerja bagus dengan pendapatan pun lumayan, lepak yang dikaitkan dengan mereka bukanlah merbahaya cuma ia lebih kepada senario tidak baik kerana membuang masa, melakukan perkara tidak berfaedah dan membazir. 

Lepak anak muda hari ini pun bukan lagi di longkang hujung kampung bermain gitar tapi lebih kepada kafe mewah seperti Starbucks dan masing-masing sibuk bermain dengan telefon canggih atau gajet berteknologi tinggi. 

Senang cakap, penulis pun macam tu!

No comments:

Post a Comment