Monday, December 16, 2013

Kias bersebab

Perempuan memang logik apabila berkias ataupun menyimpan kehendak hati di depan lelaki terutamanya mereka yang masih belum punya ikatan. Peribadinya lebih tersembunyi dan perlu ada ruang ke belakang sedikit berbanding lelaki yang lebih ‘sempoi’.
Kalau perempuan lebih-lebih, nanti ada pula tanggapan tak tahu malu atau jenis perempuan tak jaga gaya. Perlu ‘jual mahal’ dan kena ada ego di sebalik kelembutan. Itulah realitinya perempuan.
Namun ada ketikanya masalah timbul apabila perempuan terlalu berdiam atau menyembunyikan kehendaknya dan lelaki pula jenis yang ambil mudah dan tidak pandai ‘membaca’ bahasa tubuh seseorang perempuan itu. Memang parah kerana lama-kelamaan, simpan dalam dan makan setiap inci dalaman hingga akhirnya meletus! Itu lebih menakutkan.

Kebiasaannya, pasangan kekasih umpamanya, si lelaki akan terlebih awal memberikan amaran kepada teman wanitanya.

Katanya, lelaki memang jenis berterus terang. Jika wanita berkias, dia kurang memahami dan sebaliknya membiarkannya saja.

Lelaki tidak suka wanita terlalu berkias sehingga mengusutkan hati dan fikirannya. Terus terangkan lebih menyenangkan kerja. Apabila lelaki membisu bukanlah bermakna dia tidak langsung memikirkan hal itu, sebaliknya dia enggan memanjangkan atau mengeruhkan sesuatu situasi buruk.

Itu selalu berlaku ketika perselisihan faham yang mana lelaki kebiasaannya lebih gemar mendiamkan diri daripada bersuara kerana bimbang ia akan merumitkan lagi keadaan. Kadang-kadang bahasa yang digunakan lelaki kasar dan boleh membuatkan wanita terguris.

Cara hidup lelaki lebih mudah berbanding wanita. Oleh sebab itu, lelaki sukar untuk memahami apabila sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk bahasa kiasan oleh wanita.

Bagi lelaki, golongan wanita berkebolehan untuk membicarakan sesuatu subjek yang sensitif dan sedih sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti. Tetapi lelaki pula lebih suka untuk menyembunyikannya dan membisu.

Itu adalah amaran yang selalunya diberikan lelaki pada awal perkenalan kerana mereka sering kali menjadi mangsa salah komunikasi dengan wanita yang akhirnya hingga terpaksa memutuskan hubungan.

Perempuan kalau berkias menyembunyi sesuatu, mereka ingin lelaki memahaminya. Lelaki pula tak semuanya ‘tahan’ untuk melayan perangai perempuan yang tidak pernah berterus terang, jadi akhirnya dia akan membiarkannya saja.

Kemudian, perempuan akan memendam rasa dan timbul perasaan benci, marah dan geram. Apabila lelaki memujuk sehari kemudian, perasaan itu lebih parah dan ketika itu katanya sudah terlewat.


Ego tersembunyi

Itulah peratusan terbesar yang membuatkan pasangan muda selalunya memutuskan hubungan. Salah komunikasi dan kononnya tidak memahami antara satu sama lain sedangkan puncanya ada kalanya terlalu remeh. Tapi pernah tak golongan lelaki terfikir mengapa perempuan lebih gemar berkias?

Di sebalik kelembutan seseorang wanita itu terselit juga keegoannya yang jarang ditonjolkan. Biasanya wanita jarang berterus terang mengenai apa dia mahukan meskipun amat mengharapkan lelaki memahaminya. Mereka sering kali berkias-kias.

Pertamanya, mereka inginkan perhatian. Wanita inginkan perhatian dan kasih sayang terutamanya daripada orang yang rapat dengannya. Apabila melihat orang di sekelilingnya sibuk dengan aktiviti sendiri, dia akan bersuara untuk membuat permintaan dengan cara cakap berlapik.

Contohnya mereka akan mengatakan: “Bosanlah asyik tengok siaran TV yang sama”. Ataupun “Selalunya hujung minggu pergi mana?” Tapi ayat tersirat ingin dikatakannya adalah: “Alangkah bagus kalau awak ajak saya keluar tengok wayang atau makan angin.”

Wanita sebenarnya bukan minta diberikan perhatian 24 jam tapi cukuplah sekadar pasangannya mengambil tahu akan dirinya.

Keduanya, mereka sebenarnya tidak pernah puas. Walaupun ramai mengatakan lelaki memiliki sifat tidak pernah puas, wanita juga tidak terkecuali kerana rata-rata wanita yang lebih sukar untuk puas dalam apa juga aspek.

Sebagai contoh, apabila mendapat sesuatu perkara diidamkan, dia akan berkias-kias dengan pasangannya mahukan sesuatu yang baru. Contohnya: “Saya lihat trend sekarang ramai suka iPad 2 berbanding laptop. Apa pendapat awak?”

Dia berkias kerana tidak mahu dimarahi atau si pasangannya mengeluh pula kalau terus meminta apa yang diinginkan. Tapi sebenarnya dalam hatinya dia ingin pasangannya membelikannya iPad 2!

Itulah perempuan! 


Bahasa jiwa

Ketiganya, mereka berkias kerana sekadar ingin menguji. Wanita memang suka menguji dan diuji. Dia lebih selesa menggunakan orang terdekat dengannya untuk dijadikan modal dan alasan bagi menilai sejauh mana kasih sayang yang diberikan kepadanya. 

“Alangkah bagusnya kalau saya jadi macam wanita itu, layanan diberikan bagai puteri,” kata kebiasaan yang terpacul daripada mulut teman wanita. Jauh dalam hatinya, dia hanya inginkan layanan sama seperti wanita yang dipuji. Tapi bukan semua wanita bersikap begitu, cuma jika diberi peluang, apa salahnya.

Keempatnya, mereka berkias kerana bimbang dimarahi. Lepas dapat satu, ada lagi kemahuan belum dipenuhi membuat dia berasa tidak selesa. Tambahan pula wanita lebih mementingkan kesempurnaan.

Kalau boleh dia inginkan sesuatu yang lain daripada lain, biarpun dia tahu risiko akan dimarahi. Oleh sebab bimbang dengan keadaan begitu, dia akan sedaya upaya berkias dan berharap pasangannya dapat memahami ‘bahasa jiwanya’.

Itulah alasan perempuan berkias dan mengapa kekasih anda ada kalanya berdiam diri menunjukkan rasa marah. Kalau ditanya, jawapan klise: “Saya OK, tak ada apa-apa.”

Sebenarnya lelaki pun janganlah terlalu pentingkan diri atau tidak sensitif kepada keinginan mereka. Bukannya susah untuk menunjukkan rasa sayang lebih daripada biasa ataupun menghargai mereka lebih kerap lagi.

Bukankah ia akan memberikan lebih keserasian dan menambah rasa cinta antara kamu. Cubalah faham sikit bro

No comments:

Post a Comment